Pages

Monday 12 October 2015

Perkara Yang Ghaib.

"Allah سبحانه وتعالى tidak akan membiarkan orang-orang munafiq yang busuk hatinya bercampur bersama orang beriman yang bersih hatinya. Tak, suatu masa identiti sebenar mereka akan terzahir juga, sumpama bangkai, jika disembunyi sekalipun, pasti akan tercium juga baunya."

"Jadi, sifat orang munafiq yang menyembunyikan kekafirannya kepada Allah سبحانه وتعالى, dan nampak Islam di sisi kaum muslimin dengan mereka turut solat bersama Rasulullah ﷺ, menghadiri majlis Rasulullah ﷺ dan pergi berjihad bersama Rasulullah ﷺ."

"Namun, Allah سبحانه وتعالى tidak menzahirkan kemunafikan mereka dengan menyatakan yang ‘fulan munafik, fulan munafik’. Sifat munafiknya mereka dizahirkan oleh Allah. Allah سبحانه وتعالى yang menzahirkan secara praktikal, yakni ditunjukkan dengan perbuatan mereka kaum munafik sendiri."

"Kaum muslimin yang selama ini tertanya-tanya siapakah munafiq diantara mereka akhirnya mengetahui apabila hanya daripada seratus orang yang hadir untuk Perang Uhud, tiga ratus daripadanya patah balik."

"Perbuatan khianat mereka meninggalkan kaum muslimin mengejutkan kaum muslimin kerana selama ini mereka hanya tahu bahawa Abdullah bin Ubai bin Thalul ialah ketua orang munafiq. Perbuatan kufur mereka memberikan jawapan bahawa mereka munafiq."

"Oleh itu, kita sebagai orang beriman tidak boleh mudah menghukum seseorang dengan apa yang ada didalam hatinya kerana Allah سبحانه وتعالى tidak mengajarkan kita menghukum mereka begitu. Allah tidak beritahu dengan jelas yang ‘fulan munafik, fulan munafik’, jadi kita juga tidak boleh buat begitu. Hanya Allah سبحانه وتعالى yang berhak menghukum isi hati seseorang."

“Allah سبحانه وتعالى tidak mahu menunjukkan kepada Kamu perkara yang ghaib. Allah tidak menujukkan isi hati seseorang sama ada dia munafiq atau beriman, kenapa? Supaya kita tidak mudah menghukum isi hati orang lain."

"Kalau semua orang boleh tahu apa yang ada dalam hati orang lain, maka tiada orang boleh hidup tenang kerana jika kita boleh tahu isi hati orang lain, maka orang lain pun akan boleh tahu isi hati kita. Jangan kita nak menghukum orang lain, tapi tak mahu dihukum."

"Macam mana kita boleh hidup selesa jika orang lain tahu perkara buruk tentang kita? Ditutupkan dan disimpan perkara itu merupakan satu nikmat dari Allah سبحانه وتعالى kepada kita. Kalau segala perkara ghaib ditunjukkan Allah, kita mungkin tahu yang selepas sepuluh tahun hidup seronok kita akan dapat musibah. Ketika itu, walaupun perkara itu akan berlaku dua puluh tahun lagi, kita pasti takkan dapat hidup tenang."

“Dan Allah memilih Rasul-Nya untuk diberitahukan perkara yang ghaib. Perkara ghaib ini ada dua jenis. Yang pertama, Mutlak. Semua orang tak tahu. Yang kedua, Ghaib tidak mutlak. Dan ghaib bagi segolongan tapi tak ghaib bagi segolongan yang lain. Makanya contoh mudah, Ada orang kehilangan dompet kerana dicuri. Maka, dompet itu ghaib bagi pemilik, tapi tidak ghaib bagi pencuri."

"Perkara ghaib mutlak tidak diketahui sesiapa juga kecuali apabila Allah سبحانه وتعالى mengkehendaki ianya diberitahu kepada orang-orang yang dipilih Allah iaitu para Anbiya dan para Rasul. Allah سبحانه وتعالى berfirman didalam Al-Quran nul Kareem bahawa Allah Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan tidak akan menzahirkan kecuali kepada sesiapa yang diredhai Allah daripada kalangan Rasul."

"Tetapi cuma sebahagian yang akan dizahirkan dan bukan semuanya, kerana itu para Rasul pun banyak tidak mengatahui tentang perkara yang ghaib. Kata Rasulullah ﷺ didalam Al-Quran; "Kalau saya ini tahu perkara yang ghaib, maka saya akan banyak memperlakukan sebab-sebab yang boleh mendatangkan manfaat dan menolak mudarat."

"Tapi oleh kerana perkara ghaib tidak diketahui semuanya oleh Rasulullah ﷺ, terkadang baginda mendapat perkara baik, dan terkadang perkara tidak baik pun baginda mendapatnya. Contohnya, baginda menang dalam Perang Badar, tetapi kalah dalam Perang Uhud. Jika tahu akan berlaku kekalahan, pasti Rasulullah ﷺ tidak akan menyuruh tentera muslimin keluar sehingga mengorbankan tujuh puluh orang."

"Orang yang paling banyak dibukakan daripada perkara-perkara ghaib ialah Rasulullah ﷺ. Baginda diberitahu perkara yang berlaku sebelum zaman baginda, dan juga perkara selepas zaman baginda akhir zaman. Bahkan baginda juga dizahirkan dengan perkara ghaib di alam barzakh."

"Baginda pernah lalu di kubur dan mengatakan yang seorang disiksa kerana suka mengadu domba, manakala seroang lagi tidak membersihkan dengan betul ketika buang air kecil. Ketika baginda menziarahi kubur seorang pencuci masjid, Ummu Mehjan, baginda bertanya akan keadaannya."

"Baginda Rasulullah ﷺ juga dizahirkan dengan perkara dari alam akhirat syurga dan neraka, contohnya dalam peristiwa Israk dan Mikraj, dan ketika baginda mengimamkan solat bersama sahabat. Ketika dalam solat, sekali baginda terkehadapan seperti ingin mengambil sesuatu, dan sekali baginda terkebelakang seperti menjauhi sesuatu."

"Ketika mendekati, baginda diperlihatkan buah-buahan syurga dan baginda ingin memetiknya. Ketika menjauhi pula, baginda diperlihatkan azab neraka dan baginda bertanya, “Anna min kum?” yang bermaksud “Saya ada di situ jugakah?”. Kenapa Rasulullah ﷺ bertanya begitu?"

"Untuk mengajarkan agar kita tidak berasa aman dari ketentuan Allah سبحانه وتعالى, dengan tidak menganggap dirinya dijamin syurga oleh kerana keturunannya, atau ibadatnya. Orang yang merasa aman daripada ketentuan Allah adalah orang-orang yang tidak sempurna imannya."

"Rasulullah ﷺ bertanya untuk menunjukkan ketinggian rasa takut baginda kepada Allah سبحانه وتعالى. Orang yang takut di dunia dijamin keamanan di akhirat, manakala orang yang aman di dunia, akan takut di akhirat."

"Tidak seorang pun boleh merasa aman dengan amal baiknya di dunia kerana penghujung kehidupan seseorang itu ghaib. Maka, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Apabila para Rasul diceritakan dengan perkara yang ghaib oleh Allah سبحانه وتعالى, mereka akan menceritakannya pula kepada kaumnya. Rasulullah dah sampaikan kepada kita. Oleh itu, hendaklah kita beriman dengan Rasulullah ﷺ."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

No comments:

Post a Comment