Pages

Friday 23 October 2015

Infak kerana Allah

"Didalam Al-Quran, Allah سبحانه وتعالى berfirman; "Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka infakkan, dan Allah Maha Mengetahui terhadap setiap sesuatu. Apa makna ayat ini? Maknanya infak itu akan dihitung, dihisab dan dibalas oleh Allah سبحانه وتعالى."

"Ada beza balasan dan amal. Balasan akan diberi sesuai dengan amal yang dilakukan. Balasan yang berkualiti akan diberi kepada amalan yang berkualiti. Amalan yang kurang berkualiti, balasannya pun kurang berkualiti."

"Jadi, bilamana kita beramal kepada  Allah سبحانه وتعالى dan nak tahu sebesar mana ganjarannya, tengok sebesar mana pengorbanan kita kepada Allah سبحانه وتعالى. Allah akan beri pada kita dengan kadar kita beramal kepada Allah. Ada orang yang memberi infak baik dalam bentuk jihad atau sebagainya."

"Ada juga dalam bentuk perkhidmatan, masa juga atau apa saja yang kita ingin berikan pada orang lain. Makanya dikira infak dan dihitung oleh Allah سبحانه وتعالى. Rasulullah mempunyai dua siwak, satu lurus dan satu lagi bengkok. Ketika ingin menghadiahkan pada sahabatnya, Rasulullah ﷺ memberikan yang lurus."

"Masalahnya bukan kepada siwak yang diberi kerana harganya pun tidak tinggi, tetapi nawaitu ketika memberi itu yang akan dihisab oleh Allah سبحانه وتعالى. Kalau kita ada dua barang, yang satu cantik dan satu lagi kurang cantik, yang mana yang kita akan beri pada orang?"

"Tentulah yang kurang cantik. Mengapa? Kerana sifat semulajadi manusia ialah suka kepada keduniaan atau kepada barang yang dimiliki. Contohilah Rasulullah. Contoh yang terbaik. Dalam apa saja Rasulullah beri yang terbaik bahkan kepada infaknya juga, beri kepada orang lain juga barangnya yang terbaik."

"Dizaman kita sekarang, nak bersedekah infakkan pon juga berat. Itu pon ada juga semacam itu. Terkadang, ada peminta sedekah datang kepada kita. Lalu dimaki orang itu, sudahlah dimaki diusir keluar sana. Subhanallah. Dimakinya orang itu."

"Kamu tiada hak untuk memaki, menghukum orang itu. Yakni yang minta sedekah itu apatah lagi menuduhnya berdusta. Hak kita kepadanya hanyalah untuk bagi atau tidak. Kalau tak mahu bagi sudahlah. Diam saja. Kan Allah sudah berfirman didalam Al-Quran; "Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka infakkan, dan Allah Maha Mengetahui terhadap setiap sesuatu."

"Lalu buat apa dimaki orang itu. Apa hak kita. kalau rasa mcam curiga dan tak nak bagi, katakan saja minta maaf tidak ada untuk kamu pada hari ini. Jangan cakap apa-apa lagi, apatah lagi menghina. Jika dibagi dan penerima khianat, maka dosanya atas penerima sedekah tersebut. Akan tetapi ganjaran Pahala kamu tetap akan dicatit, dan ada ganjaran kamu di sisi Allah سبحانه وتعالى."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

No comments:

Post a Comment