Pages

Tuesday 26 September 2017

KEUTAMAAN WIRID

Habib Abdullah bin ‘Alwi Al-Haddad berkata: Ketahuilah, bahawa wirid mempunyai pengaruh yang amat kuat untuk menerangi qalbu dan mengendalikan anggota tubuh. Akan tetapi, ia tidak akan efektif kecuali setelah diamalkan secara berulang-ulang dan terus menerus di waktu-waktu tertentu. Jika engkau tidak termasuk orang-orang yang melewatkan seluruh siang dan malam dalam tugas-tugas kebaikan dan amal-amal khair, maka paling sedikit engkau harus mengamalkan beberapa wirid secara teratur pada waktu-waktu tertentu, jika pada suatu saat, dan kerana suatu alasan, engkau tidak mengerjakannya, maka hendaknya engkau segera mengganti (mengqadha’) wirid tersebut di waktu lain, agar nafsumu terbiasa dengan berbagai wirid tersebut.

Dalam setiap keadaan, manusia pasti memerlukan taubat. Tidak ada seorang pun yang terlepas dari keperluan untuk bertaubat, meskipun dia seorang yang Nabi yang maksum (terlindung dari perbuatan dosa), apalagi selainnya. Kerana itulah para malaikat, para nabi dan rasul, serta kaum siddiqin yang terjaga dari perbuatan dosa, mereka senantiasa memohon ampun (istighfar) dan bertaubat kepada Allah. Jika demikian adanya, maka orang-orang yang suka mencampuradukkan kebaikan dan keburukan, yang suka bermaksiat dengan melakukan berbagai perbuatan dosa seperti kita ini, sepatutnya lebih memerlukan dan lebih wajib untuk bertaubat. Oleh kerana itu, jika memperoleh kemudahan, kita harus segera menyusul manusia-manusia terbaik tersebut. Dan hal ini dapat dilaksanakan jika kita senantiasa meneliti niat, perbuatan mahupun ucapan kita. Jika kita mampu memperbaiki dan meluruskan ketiga hal tersebut, maka kita akan memperoleh waridat yang indah.

Waridat yang kita peroleh adalah sesuai dengan amal yang kita kerjakan. Kerana itulah, mereka yang memiliki waridat tersebut menyatakan bahwa waridat yang tiba ke dalam hati adalah sesuai dengan macam wirid yang kita amalkan. Jika kita melakukan hal-hal yang baik, maka kita juga akan memperoleh hal yang baik. Wirid merupakan tubuh waridat. Sebagaimana roh tidak akan masuk ke dalam jasad janin yang berada di perut ibu, kecuali setelah sempurnanya jasad tersebut, maka waridat juga tidak akan tiba di hati seorang hamba sebelum tubuhnya dihias dengan berbagai wirid. Oleh kerana itu, mereka yang mengabaikan dan meremehkan wirid, mereka adalah golongan yang sangat bodoh, lalai dan sangat lemah pemahamannya.

Golongan yang berjalan menuju Allah memiliki perhatian, semangat dan ketekunan dalam membaca berbagai wirid. Mereka menikmati wirid-wirid tersebut. Inilah tanda kesungguhan mereka di dalam berjalan menuju Allah dan kemampuan pemahaman mereka yang besar. Barang siapa memahami kedudukan wirid, maka dia akan menaruh perhatian yang besar terhadap berbagai macam wirid dan zikir. Sehingga perjalanannya menuju Allah berlangsung dengan baik dan dia akan senantiasa memperoleh limpahan kurniaNya.

Adapun seseorang yang berada di dalam kebodohan, sedikit pun dia tidak akan menaruh perhatian terhadap berbagai macam wirid tersebut. Dan seandainya dia membaca salah satu wirid itu, maka ringan baginya untuk meninggalkannya. Jika salah satu wirid yang dia baca dengan lewat kerana satu sebab, maka dia tidak akan pernah merasa kehilangan mahupun merindukannya. Ini merupakan tanda kebodohannya. Seseorang yang demikian keadaannya, sebenarnya ia tidak berjalan menuju Allah Ta’ala.

Oleh kerana itu, kamu semua pasti akan melihat keutamaan dan manfaat nyata yang akan diperoleh mereka yang suka membaca wirid, di dunia ini sebelum di akhirat nanti. Kamu akan melihat perbezaan yang sangat besar antara golongan yang mengisi hari-hari mereka di tempat seperti ini dengan membaca, memuliakan dan mengagungkan wirid — ikut membaca wirid sebelum dan setelah subuh, sebelum dan setelah shalat zohor, zikir sebelum solat asar, doa ketika berjabat tangan selepas solat asar dan wirid selepas asar dengan hati yang khusyuk — dengan golongan yang mengabaikan berbagai macam wirid tersebut. Di antara mereka pasti tampak perbezaan yang sangat besar yang akan tampak dalam perjalanan kehidupan mereka di dunia maupun di Akhirat. Kedua kelompok manusia ini tidak dapat disamakan.

Orang yang memiliki ikatan hati dengan kaum solihin tidak mungkin dapat disamakan dengan orang yang tidak memiliki ikatan hati dengan mereka.

Yang menyandang akhlak mulia tidak mungkin dapat disamakan dengan mereka yang tidak menyandangnya. Orang yang beramal tidak mungkin dapat disamakan dengan orang yang tidak beramal. Bagaimana mungkin keduanya dapat disamakan. Allah Ta’ala mewahyukan:

ام حسب الذين اجترحوا السيئات ان نجعلهم كالذين ءامنوا وعملواالصلحت سواء محياهم ومماتهم ساء ما يحكمون

“Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahwa kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, yaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? amat buruklah apa yang mereka sangka itu.” (Al-Jatsiah, 45:21)

Dapatkah disamakan seseorang yang ketika turun hujan rahmat hatinya khusyuk (ingat kepada Allah) dengan seseorang yang lalai? Apakah keduanya dapat disamakan? Yang satu hatinya selalu berhubungan dengan Allah sedangkan yang lain hatinya putus hubungan denganNya. Yang satu menghadapkan diri kepada Allah sedangkan yang lain berpaling dariNya. Keduanya tidak mungkin dapat disamakan. Sudah menjadi ketentuan Allah di alam semesta, kedua jenis manusia ini tidak mungkin dapat disamakan. Tidaklah sama kegelapan dengan cahaya, orang yang normal penglihatannya dengan tuna netra, dan yang hidup dengan yang mati, meskipun semuanya adalah makhluk Allah. Kerana itu, jika kamu perhatikan, golongan yang bertaubat senantiasa menekuni berbagai wirid dan zikir. Mereka akan banyak beristighfar memohon ampun kepada Allah. Rasulullah salallahu alaihi wasallam bersabda:

طوبى لمن وجد في صحيفته استغفارا كثيرا

. (HR Ibnu Majah)
‘Sungguh beruntung seseorang yang mendapati istighfar yang banyak dalam buku catatan amalnya

Setelah Rasulullah salallahu alaihi wasallam menyatakan mereka sebagai seorang yang sangat beruntung, maka mereka akan merasakan kenikmatan yang luar biasa.

[al Allamah al Habib Umar Bin Muhammad Ben Hafidz hafizahullah]

Wednesday 20 September 2017

BANYAK MENDENGAR, BANYAKLAH MANFAAT DAPAT

Ahli hikmah mengatakan "Kenapa Allah jadikan lidah satu, telinga dua? Bukan lidah satu, telinga pun satu? Ataupun lidah satu dan telinga pun satu? Lidah ini digunakan untuk bercakap menyampaikan sesuatu. Manakala telinga pula digunakan untuk menangkap pendengaran apa yang dikatakan.

Jadi kenapa Allah ciptakan lidah kita satu dan telinga kita dua? Kerana supaya kamu mendengar lebih banyak daripada kamu bercakap." Ini ada orang asyik cakap je. Bilamana ada orang memberikan nasihat, menegur maka asyik cakap je, tak nak dengar, pandai melawan, cakap tak apa lain kalilah tegur dan sebagainya. Ini yang menjadi masalah besar.

Dikisahkan datang seorang menuju bertanya meminta nasihat daripada seorang Ulama. Maka Ulama itu mengatakan "Kalau kamu bercakap kepada aku satu kalimah sahaja maka aku akan beri kamu sepuluh nasihat.
Tapi kalau kamu bercakap sepuluh perkara maka satu pun aku tak akan kasi kepada kamu."

Itu menunjukkan apa? Kalau kita kurang bercakap automatik kita banyak mendengar. Bila kita banyak bercakap automatik kita kurang mendengar. Bila dah sikit mendengar maka kuranglah nasihat yang kita dapat, manfaat yang kita dapat.  Maka nak dengar banyak nasihat, nak dengar banyak manfaat, nak dengar banyak kebaikan kurangkan bercakap.

Perasan tak sebab itu bila kita tengah dengar kuliah maka janganlah banyak bercakap dengan kawan sebelah ataupun sibuk pandang kiri, kanan dan main handphone mesej sini, mesej sana.

Dan bila kita duduk bersama orang yang berilmu maka kita dengarkan betul-betul apa yang mereka katakan InshaAllah kita akan mendapat banyak manfaat.

[USTAZ ASHRAF BIN MOHAMED OSMAN HAFIDZOHULLAH]

KURANGKAN BERCAKAP, BANYAKKAN MENDENGAR

Imam Sufyan Ath-Thawri Rahimahullah mengatakan "Orang yang senyap ini selamat daripada percakapan yang salah dan dia terpelihara daripada percakapan yang buruk dan terselamat daripada perkara yang tidak berfaedah. Siapa senyap dia selamat dan akan memberikan kehebatan kepada tuannya."

Dikisahkan ada seorang datang berjumpa seorang Ulama untuk meminta nasihat. Maka Ulama itu mengatakan "Kalau kamu nak aku boleh berikan nasihat. Kalau kamu nak aku boleh kumpulkan ilmu seluruh Ulama di dunia ini dan aku boleh ringkaskan intipatinya dan berikan kepada kamu.

Dan aku juga boleh ringkaskan hikmah-hikmah kebijaksanaan orang-orang dekat seluruh dunia ini dalam satu perkataan aku boleh beri kepada kamu. Dan aku juga boleh berikan tips perubatan yang mana seluruh dunia ini intipatinya akan aku beri kepada kamu.

Aku akan berikan kamu tiga perkara iaitu:

1)Intipati daripada ilmu seluruh dunia.

2)Intipati hikmah daripada seluruh ahli hikmah seluruh dunia.

3)Intipati tips kesihatan yang paling penting seluruh dunia.

Kalau kamu ditanya sesuatu yang mana kamu tak tahu maka jawab saya tak tahu. Maka kamu akan perolehi ilmu seluruh dunia. Adapun, hikmah kebijaksanaan seluruh dunia. Kalau kamu duduk sama-sama dalam satu kumpulan maka hendaklah kamu jadi orang yang paling banyak senyap dan jadi orang yang paling kurang bercakap.

Dan akhir sekali, intipati kesihatan seluruh dunia adalah kamu berakhlak dengan baik. Kalau kamu berakhlak dengan baik maka kamu telah merehatkan diri kamu daripada penyakit-penyakit dan jikalau kamu berakhlak buruk maka kamu telah menyeksa diri kamu sendiri dan mendapatkan penyakit-penyakit di dalam diri kamu."

[USTAZ ASHRAF BIN MOHAMED OSMAN HAFIDZOHULLAH]

BAGAIMANA NAK LAHIRKAN HIKMAH DALAM PERCAKAPAN

Berkata Amru Ibn Qais ketika menceritakan tentang Luqman Al-Hakim. Yang mana pada asalnya rupa paras Luqman Al-Hakim adalah seorang yang berkulit hitam dan juga berbibir tebal dan dahinya itu tidaklah seperti orang-orang yang cantik.

Suatu hari datang seorang lelaki di dalam majlisnya. Lalu berkata lelaki itu "Wahai Luqman. Bukankah engkau dulu seorang pengembala kambing bersama denganku?" Kata Luqman Al-Hakim "Ya."

Jadi lelaki itu mengatakan "Wahai Luqman. Bagaimana engkau boleh sampai seperti ini yang hebat yang boleh bercakap menyampaikan hikmah?"

Dia tak sangka yang dulunya Luqman Al-Hakim seorang pengembala kambing. Dia ingat Luqman Al-Hakim ini seperti dia juga cumanya yang bezanya Luqman ini banyak diam. Tiba-tiba dia tengok Luqman Al-Hakim ini duduk di satu tempat yang hebat, mengajar memberikan hikmah.

Maka Luqman Al-Hakim mengatakan "Aku sampai ke tahap ini kerana aku sentiasa bercakap benar dan aku sentiasa diam daripada perkara-perkara yang aku tak perlu bercakap maka dengan sebab itu lahirlah hikmah dari apa-apa yang aku cakap."

Itulah bezanya kita ini dengan orang-orang yang ahli hikmah ini. Mereka banyak diam dan berkata benar sehingga lahirlah hikmah. Kita ini tak diam-diam, bila nak hikmahnya? Kemudian, minta maaf cakap, kita ini kadang-kadang percakapan kita itu ada yang tak benar maka susah untuk nak mengeluarkan daripada yang berharga dari apa yang kita cakap.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

PENTINGNYA MENJAGA LIDAH DAN HATI

Dikisahkan ketika Luqman Al-Hakim bekerja mengambil upah sebagai pengembala kambing. Suatu hari tuannya memerintahkan beliau mengatakan "Wahai Luqman. Engkau sembelih seekor kambing dan bawakan kepada aku bahagian yang terbaik."

Maka Luqman Al-Hakim pun menyembelih seekor kambing dan membawa lidah dan hati diberikan kepada tuannya "Ini bahagian yang paling baik wahai tuan." Jadi tuannya berkata lagi "Wahai Luqman. Engkau sembelih seekor lagi kambing dan engkau bawa bahagian yang paling buruk sekali."

Maka Luqman Al-Hakim pun sembelih seekor lagi kambing. Lalu dia bawa lidah dan hati juga. Tuan dia pun berkata "Wahai Luqman. Tadi bahagian baik pun lidah dan hati. Dan bahagian yang buruk pun lidah dan hati. Kenapa? Jadi yang mana satu in?"

Maka Luqman Al-Hakim pun mengatakan "Wahai Tuan. Kalau lidah dan hatinya baik maka baiklah keseluruhannya. Manakala, kalau kedua ini tak baik maka tak baiklah seluruhnya."

Oleh kerana itu, pentingnya kita ini dituntut untuk sentiasa menjaga lidah kita ini daripada berkata-kata sesuatu yang tidak baik, tidak memberikan manfaat kepada diri kita dan juga orang lain. Berkata-katalah apabila dirasakan perlu supaya kita ini tidak tersalah cakap.

Begitu juga dengan hati ini, kita perlulah sentiasa membersihkan hati daripada sifat-sifat yang tidak baik. Selalulah kita membersihkan, mensucikan hati ini dengan kita selalu menghadiri majlis ilmu, duduk-duduk bersama dengan orang-orang yang hidup hatinya seperti Para Auliya, Para Ulama dan orang-orang soleh.

Mendengar akan nasihat-nasihat mereka dan kita beramal dengan ilmu yang kita perolehi itu untuk kita mendekatkan diri kepada Allah.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

Sunday 17 September 2017

MEMAAF DAN MINTA MAAF SIFAT AHLI SYURGA

Suatu hari Nabi ﷺ telah duduk bersama Para Sahabat Baginda ﷺ di dalam Masjid Nabawi. Tiba-tiba Nabi ﷺ bersabda "Akan masuk di tengah-tengah kalian seorang lelaki yang beliau merupakan Penghuni Syurga Allah." Dan tidak lama setelah itu sejurus kemudian masuk lelaki itu ke dalam majlis Rasulullah ﷺ.

Maka pada hari yang kedua, Nabi ﷺ juga bersabda yang sedemikian "Akan masuk di tengah-tengah kalian seorang lelaki yang beliau merupakan Penghuni Syurga Allah." Dan tidak lama kemudian setelah Nabi ﷺ menyebutkan maka masuk lelaki yang sama yang semalam masuk ke dalam majlis Rasulullah ﷺ.

Maka tiba hari yang ketiga, Nabi ﷺ juga bersabda "Akan masuk di tengah-tengah kalian seorang lelaki yang Allah سبحانه  وتعالى masukkan ke dalam Syurga." Lalu lelaki yang masuk ke dalam majlis Rasulullah ﷺ adalah lelaki yang sama yang masuk
pada hari pertama dan juga hari kedua.

Dan setelah mereka bersurai maka salah seorang daripada kalangan Para Sahabat Nabi    ﷺ yang bernama Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu mengekori lelaki tersebut ke rumahnya. Apabila sampai ke rumah lelaki tersebut, Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu meminta izin kepada beliau untuk tinggal, duduk di dalam rumahnya selama 3 hari kerana beliau ada masalah dengan keluarganya.

Maka beliau dizinkan dan masuk untuk tinggal di dalam rumah lelaki tersebut selama 3 hari untuk beliau memerhatikan apakah amalan yang istimewa daripada lelaki tersebut sehingga Nabi ﷺ mengumumkan kepada seluruh Para Sahabat Radhiyallahu'Anhum Ajmain bahawa dirinya adalah Penghuni Syurga.

Sehingga Para Sahabat berasa hairan dan takjub dengan pengumuman Nabi Muhammad ﷺ secara jelas dan juga terang bahawa lelaki itu adalah Penghuni Syurga maka sudah tentu ada amalan-amalan yang istimewa yang dilakukan oleh lelaki tersebut.

Maka selama 3 hari Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu tinggal di rumah lelaki tersebut maka beliau tidak dapat memerhatikan apakah amalan yang istimewa yang dimiliki oleh lelaki tersebut sehinggalah pada hari yang ketiga, beliau meminta izin kepada lelaki tersebut dan mengatakan "Sebenarnya aku tak ada masalah dengan keluarga aku. Hanyasanya aku telah diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ bahkan seluruh Para Sahabat telah diberitahu oleh Baginda ﷺ bahawa engkau adalah Penghuni Syurga.

Diberitahu kepada kami sebanyak 3 kali dan aku berasa hairan dan aku ingin sekali tahu apakah amalan yang istimewa yang dimiliki oleh kamu." Maka lelaki itu mengatakan "Saya punya ibadah dan amalan saya seperti yang kamu perhatikan. Biasa-biasa sahaja. Saya melakukan yang wajib dan tidak banyak melakukan amalan-amalan daripada ibadah sunnah."

Maka kemudian Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu mengatakan "Sudah tentu kamu ada amalan yang istimewa yang menyebabkan Rasulullah ﷺ mengumumkan nama kamu tersenarai di dalam senarai Penghuni Syurga."

Maka lelaki itu mengatakan "Saya tidak ada amalan seperti yang kamu perhatikan kecuali amal yang aku harapkan bahawa ianya menjadi suatu saranan untuk aku disenaraikan sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah ﷺ ialah setiap hari aku bersihkan hati aku daripada sebarang kekotoran ataupun sebarang gangguan kepada mana-mana orang mukmin.

Aku mengatakan "Ya Allah. Barangsiapa yang menzalimi aku, aku maafkan dia. Dan barangsiapa yang aku ada menyakiti dan menganggunya, aku yang akan berjumpa dengannya untuk meminta maaf." Maka aku tidak akan ada rasa dengki ataupun dendam kepada mana-mana mukmin."

Kemudian Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu mengatakan "Aku telah memegang tangan lelaki tersebut dan membawa beliau ke dalam Masjid Nabawi untuk dipertemukan dengan Rasulullah ﷺ."

Maka Saidina Abdullah bertanya kepada Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Ini adalah lelaki yang kamu katakan sebanyak 3 kali tersenarai daripada kalangan Penghuni Syurga. Aku telah duduk bersamanya selama 3 hari dan tidak ada amalan istimewa daripadanya kecuali beliau mengatakan "Pada setiap malam, dia tidak tidur kecuali beliau memaafkan semua orang yang menyakitinya dan juga menganggunya.

Dan jika beliau ada mempunyai kesalahan dan kekasaran kepada orang lain maka beliaulah yang akan berjumpa dengannya untuk meminta maaf daripadanya." Maka Nabi ﷺ mengatakan "Wahai Abdullah. Sesungguhnya dia tersenarai daripada kalangan Ahli Syurga kerana sifat tersebut."

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

Thursday 7 September 2017

KEBAIKAN ISLAM SESEORANG

Kebaikan Islam seseorang itu adalah dirinya meninggalkan perkara yang tiada kena mengena dengan dirinya. Perkara yang ada kena mengena dengan diri seseorang itu adalah perkara yang diwajibkan oleh Allah  سبحانه وتعالى maka itu ada kena mengena dengan diri seseorang itu. Begitu juga perkara yang diharamkan oleh Allah سبحانه وتعالى itu ada kena mengena dengan dirinya.

Akan tetapi, kalau dia melakukan sesuatu perkara yang tiada kena mengena dengan perkara wajib, meninggalkan perkara yang haram ataupun membuat perkara yang sunnah dan meninggalkan perkara yang makruh maka ini adalah perkara yang tiada kena mengena dengan dirinya.

Dan juga jangan kita ini menyibukkan diri kita dengan perkara yang tak ada kena mengena dengan diri kita. Contohnya mengumpat, memfitnah, mengambil tahu perihal orang lain yang tiada kena dengan urusan akhirat dan sebagainya.

Nabi ﷺ melarang kita daripada:

1)Banyak berkata-kata yakni berkata-kata perkara yang tidak mendatangkan manfaat lebih-lebih lagi dalam urusan akhirat. Dan ketahuilah sifat Nabi ﷺ itu adalah sikit berkata-kata dan berkata apabila perlu yang mendatangkan manfaat.

2)Banyak bertanya perkara yang tak ada kena mengena dengan diri kita yakni mengambil tahu perihal orang lain yang langsung tidak menambahkan kebaikan, manfaat kepada diri apatah lagi urusan akhirat.

3)Mensia-siakan harta yang kita perolehi yakni membelanjakan harta pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya, tidak perlu, membazir dan sebagainya.

Dan berkatalah dalam tiga keadaan ini yang mana perlunya seseorang itu untuk bercakap:

1)Bercakap untuk mengajak kepada kebaikan, memberikan manfaat pada diri sendiri dan orang lain.

2)Bercakap untuk mencegah kemungkaran, menghalang daripada berlakunya kemaksiatan dan sebagainya.

3)Bercakap untuk memperbaiki ataupun mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

BERKATA-KATALAH APABILA KATA-KATAMU ITU LEBIH INDAH DARIPADA DIAMMU

Suatu hari ketika Nabi ﷺ meluangkan masa bersama isteri Baginda Nabi ﷺ iaitu Saidaitina Shafiyyah Binti Huyyah Radhiyallahu'Anha yang mana dalam keadaan yang agak lama.

Yang mana isteri Baginda Nabi ﷺ ini seorang yang agak rendah orangnya berbanding dengan Saidaitina Aisyah Binti Abu Bakar Radhiyallahu'Anha yang tinggi dan cantik.

Kemudian, apabila Nabi ﷺ menziarahi Saidaitina Aisyah. Ditanya oleh Saidaitina Aisyah kepada Nabi ﷺ. "Wahai Rasulullah. Adakah kamu bersama dengan Shafiyyah sambil ketika itu Saidaitina Aisyah membuat isyarat tangan yang membawa maksud "bersama Shafiyyah yang pendek".

Lalu ditegur oleh Nabi ﷺ. "Wahai Aisyah. Jika apa yang kamu cakapkan itu diletakkan di dalam lautan nescaya percakapan kamu itu akan membuatkan lautan itu bertukar menjadi najis."

Ya Allah!! Dengan hanya satu perkataan yang disebutkan oleh Saidaitina Aisyah Radhiyallahu'Anha​
yang seperti mempersendakan itu telah dikatakan oleh Rasulullah ﷺ akan menyebabkan lautan yang bersih bertukar menjadi najis.

Ini suatu pengajaran buat kita semua kerana Nabi ﷺ memberitahu bahawa dengan lidah ini dengan kata-kata kita ini akan menentukan sama ada kita diberikan kebaikan ataupun keburukan.

Agak-agak bagaimana sekiranya seseorang itu mengatakan perkataan-perkataan yang lebih dahsyat lagi, lebih teruk, membidaahkan orang, mengkafirkan orang lain, menyesatkan orang lain, mengumpat, memfitnah dan sebagainya? Sudah pasti ianya akan lebih teruk daripada itu.

Oleh itu, pentingnya kita menjaga lidah kita semua daripada berkata-kata sesuatu yang tidak patut yang tidak memberikan manfaat pada diri kita dan orang lain.

SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH.

PERINGATAN MENJAGA LIDAH DARIPADA BERKATA-KATA SESUATU YANG TIDAK SEPATUTNYA DAN TIDAK BERMANFAAT

Apabila kita melihat di dalam hadis banyak peringatan-peringatan yang serius yang diberikan oleh Nabi ﷺ kepada manusia supaya menjaga lidah mereka kerana melalui lidah ini seseorang itu boleh masuk ke dalam syurga ataupun masuk ke dalam neraka.

Melalui lidah ini juga hubungan manusia dengan Allah سبحانه وتعالى itu baik ataupun hubungannya menjadi buruk. Begitu juga dengan melalui lidah ini manusia boleh berhubung, menjaga hubungan dengan baik atau hubungan manusia itu menjadi buruk.

Disebutkan di dalam hadis yang sahih riwayat Muslim. Suatu hari Nabi ﷺ berjumpa dengan seorang Sahabat Baginda iaitu Saidina Mu'adz Bin Jabal dan mengatakan kepada Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu.

"Wahai Mu'adz. Hendakkah engkau aku bagitahu dua perkara yang mana kalau engkau jaga dua perkara ini aku jamin engkau akan masuk Syurga." Maka Saidina Mu'adz Bin Jabal mengatakan "Nak wahai Rasulullah". Lalu Nabi ﷺ mengatakan "Engkau jagalah benda yang berada di antara dua bibir kamu (lidah) dan engkau jagalah yang berada di antara dua celah peha kamu (kemaluan)."

Disebutkan di dalam riwayat yang lain yang mana dalam hadis yang panjang Saidina Mu'adz Bin Jabal bertanya kepada Nabi ﷺ tentang Islam, tentang solat dan Nabi ﷺ menjawab dengan jawapan yang panjang dan di penghujung hadis akhirnya Nabi ﷺ bertanyakan kepada Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu.

"Wahai Mu'adz. Apakah engkau nak aku khabarkan kepada kamu perkara yang menjadi raja kepada semua ini. (Yang menyelamatkan seseorang daripada binasa)." Saidina Mu'adz mengatakan "Nak Ya Rasulullah." Lalu Nabi ﷺ mengatakan "Kamu jagalah lidah kamu (sambil Nabi ﷺ memegang lidah Saidina Mu'adz).

Kemudian, Saidina Mu'adz Bin Jabal bertanya kepada Nabi ﷺ "Wahai Rasulullah. Apakah kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita ucapkan, katakan?" Lalu Nabi ﷺ mengatakan "Apakah tidak benda yang menyebabkan seseorang itu tersungkur, merangkak di dalam api neraka banyak disebabkan lidahnya."

Disebutkan di dalam riwayat yang lain "Tersungkur dengan dahi dia dan juga dengan depan hidung yang mana dia akan merangkak di dalam api neraka menggunakan dahi dan depan hidungnya."

Oleh sebab itu, pentingnya seseorang itu menjaga lidahnya daripada berkata sesuatu yang tidak patut, tidak mendatangkan manfaat pada diri mahupun orang lain apatah lagi perkara yang dilarang Allah سبحانه  وتعالى.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

JOM KITA BERSUNGGUH-SUNGGUH DI DALAM BERAMAL MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH TA'ALA

Wahai saudara-saudaraku hendaklah kita bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadah, ketaatan kepada Allah سبحانه  وتعالى. Ketahuilah sesungguhnya Syurga itu mahal harganya dan ianya memerlukan kesungguhan untuk mendapatkannya.

Nabi ﷺ menyebutkan "Sesungguhnya jual beli dengan Allah itu adalah suatu jual beli yang mahal harganya dan ganjaran jual beli bersama Allah itu adalah Syurga."

Kalau kita inginkan Syurga maka pisahkan hati kita daripada dunia. Allah dengan dunia dalam hati tak boleh duduk sekali. Sama ada Allah dalam hati kita ataupun dunia dalam hati kita.

Maksud pisahkan hati kita daripada dunia bukannya maknanya kita tinggalkan dunia tetapi kita tidak jadikan dunia itu segala-galanya lebih penting daripada Allah سبحانه  وتعالى yang mana kita mengutamakan urusan dunia berbanding kita mengutamakan kewajiban kita kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Contoh yang paling mudah adalah bila tiba waktu solat adakah kita lebih mengutamakan solat ataupun kita utamakan urusan dunia sehingga kita tidak menyahut panggilan seruan azan untuk berjemaah ataupun solat di awal waktu bukannya kita melengah-lengahkan solat meletakkan solat perkara no.2 tetapi lebih mengutamakan urusan dunia.

Jadilah sepertimana Para Sahabat Radhiyallahu' Anhumma Ajmain yang mana mereka meletakkan dunia di tangan mereka bukannya terletak di dalam hati mereka tetapi yang ada di dalam hati mereka itu hanyalah semata-mata Allah سبحانه وتعالى.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

JOM KITA BERZIKIR SEBANYAK-BANYAKNYA DI WAKTU PAGI DAN PETANG SETIAP HARI

Kebanyakan orang Islam pada hari ini. Ramai orang menyangka bahawasanya perjalanan kita untuk menuju ke Syurga Allah itu sangatlah jauh dan susah. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku. Sesungguhnya sebenarnya perjalanan kita untuk menuju ke Syurga Allah itu sangatlah pendek dan mudah.

Macam mana itu? Kita hanya berhajat kepada amal yang sedikit sahaja tanpa kita menyekutukan Allah dengan segala apa-apa sesuatu pun. Bahkan kita hanya perlu melakukan segala perkara-perkara yang difardhukan oleh Allah سبحانه  وتعالى ke atas diri kita dan kita meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan serta kita tambahkannya dengan perkara-perkara sunat mengikut kemampuan kita dan akhir sekali kita ikhlaskan niat-niat kita nescaya Allah سبحانه  وتعالى memasukkan kita ke dalam Syurga-Nya.

Suatu hari telah datang seorang bertanya kepada Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Tunjukkan kepada aku satu amalan yang kalau aku buat akan menyampaikan aku untuk masuk Syurga." Maka Rasulullah ﷺ mengatakan "Sentiasalah kamu membasahkan lidahmu itu untuk berzikir menyebut nama Allah سبحانه  وتعالى."

Oleh kerana itu, marilah kita sama-sama memperbanyakan menyebut nama Allah, berzikir kepada Allah. Allah سبحانه  وتعالى tidak menyuruh kita untuk melakukan solat banyak-banyak, Allah سبحانه  وتعالى tidak menyuruh kita untuk berpuasa banyak-banyak, Allah سبحانه  وتعالى tidak menyuruh kita untuk membayar zakat banyak-banyak.

Akan tetapi, Allah سبحانه  وتعالى berfirman yang bermaksud "Wahai orang-orang beriman, berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang." [Al-Ahzab : 41-42]

Kenapa kita kena selalu menyebut dan bertasbih kepada Allah pada pagi dan petang? Kerana Allah سبحانه  وتعالى jualah yang menghidupkan kita. Allah سبحانه  وتعالى yang memberikan segala-galanya kepada diri kita baik itu harta kekayaan yang kita miliki hari ini, semuanya adalah hasil kurniaan, pemberian, izin daripada Allah سبحانه  وتعالى. Di samping, Allah سبحانه  وتعالى yang menyucikan kita dengan diturunkan rahmat-Nya kepada diri kita.

Di mana rahmat-rahmat yang diturunkan kepada kita tidak terhitung banyaknya di setiap nafas-nafas kita kerana kita menyebut, mengingati kepada Allah سبحانه  وتعالى. Orang yang sentiasa membasahkan lidahnya untuk berzikir menyebut nama Allah maka dia telah pun menyucikan hatinya.

Penyucian hatinya itu bertambah banyak kerana dia telah "bersama" Allah سبحانه  وتعالى maka kita mendapati orang-orang yang selalu berzikir ini hati mereka lembut dan bercahaya. Bahkan terpancar cahaya zikir itu kepada wajah orang yang melazimi zikirnya. Tidak yang terkesan pada hati seseorang itu melainkan Allah memakaikan "pakaian" kepada dirinya.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku. Sesungguhnya zikir itu adalah cahaya. Oleh kerana itu, kita mendapati orang-orang yang sentiasa berzikir membasahkan lidahnya hanya untuk mengingati kepada Allah dan Rasul-Nya, wajah mereka bercahaya. Apabila kita melihat diri mereka mendatangkan suatu ketenangan kepada hati-hati kita, mengingatkan kita kepada Allah.

Subhanallah!! Wajah mereka bercahaya dikeranakan hati mereka sentiasa bersama dengan Allah di mana-mana sahaja mereka berada baik itu ketika ianya berseorangan mahupun ketika duduk bersama dengan teman-temannya. Jasadnya bersama makhluk tetapi hatinya tidak pernah terputus daripada bersama dengan Allah, mengingati kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Aku (Syeikh Feras) ingin berpesan, mengajak kita semua untuk sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى. Bukannya kita cuba untuk selalu berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى tetapi kita mesti dan wajib selalu berzikir kepada Allah dikeranakan Allah سبحانه  وتعالى bukan untuk di cuba. Allah telah pun berfirman di dalam Al-Quran maka kita hendaklah beriman terus dengan apa yang diturunkan oleh Allah.

Jadi marilah kita sama-sama sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى setiap hari di waktu pagi dan petang hari. Kita beristighfar  memohon keampunan daripada Allah di atas segala dosa-dosa dan kesilapan yang pernah kita lakukan dahulu, sekarang dan yang akan datang sebanyak 100 kali.

Kemudian, kita berselawat ke atas Nabi ﷺ sebanyak 100 kali. Akhir sekali kita tutup zikir kita dengan kita mengucapkan kalimah "Laa Illaha Illallah" sebanyak 100 kali.

Masa yang kita ambil untuk berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى ini tidak lebih daripada 15 minit pun ataupun mungkin akan kurang daripada itu bergantung kepada keadaan diri seseorang itu.

Selepas kita dah membiasakan diri kita terus istiqamah melakukan zikir-zikir ini maka kita teruskan lagi dengan kita berzikir kepada Allah   سبحانه  وتعالى tanpa bilangan-bilangan tertentu. Teruskan kita berzikir kepada Allah, habiskan masa-masa kita dengan kita mengingati kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Jagalah lidah kita ini daripada bercakap ataupun melakukan perkara-perkara yang akan membinasakan diri kita serta mematikan hati kita. Sebaliknya kita peruntukan masa-masa kita setiap hari untuk kita menyebut nama Allah سبحانه  وتعالى Yang Maha Kekal.

Yang mana dengan kita sentiasa mengingati kepada Allah pasti akan menghidupkan hati kita dan memberikan ketenangan yang tidak boleh kita dapatkan di mana-mana pun. Yang mana setiap zikir kita itu akan mendatangkan cahaya kepada hati kita. Kita akan melihat keberkatan zikir tersebut di dalam kehidupan kita. Bahkan kita akan melihat nanti cahaya zikir itu ketika saat sakaratul maut.

Ketahuilah orang-orang yang hidupnya itu sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى menyebut "Laa Ilaha Illallah" nescaya Allah tidak akan lupa ketika di saat sakaratul maut kelak. Dengan kita berzikir Ini merupakan di antara salah jalan daripada jalan-jalan yang menyebabkan hati kita itu bersih dan suci.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

BERSEDEKAHLAH SETIAP HARI DENGAN KAMU BERZIKIR, MENGUCAPKAN 33 TASBIH, 33 TAHMID DAN 33 TAKBIR

Suatu hari datang Para Sahabat yang miskin yang datang kepada Rasulullah ﷺ mengatakan "Ya Rasulullah. Kami ketinggalan di dalam suatu amal dengan orang-orang yang mempunyai harta iaitu kami tidak dapat bersedekah, menginfakkan harta di jalan Allah. Jadi kami rugi yang itu. Yang lain kami boleh untuk saingi mereka tapi yang ini memang kami tak ada."

Inilah Para Sahabat yang disebutkan orang yang saling berlumba dalam kebaikan. Tak mahu ketinggalan walaupun sedikit pun. Ketika mereka mengadu kepada Nabi ﷺ sebab nak dapat juga kedudukan yang sama di sisi Allah di akhirat, di syurga. Itu maksudnya. Bukan di dunia ini. Itu kita!!!

Jadi Nabi ﷺ memberikan panduan kepada mereka "Bacalah selepas solat 33 kali Subhanallah, 33 kali   Alhamdullilah dan 33 kali Allahu akbar."

Maka Para Sahabat yang tidak berkemampuan, tidak mempunyai harta untuk bersedekah ini mengamalkan apa yang diajarkan oleh Nabi ﷺ selepas solat. Maka amalan ini dilihat oleh Para Sahabat, orang-orang yang mempunyai harta yang punyai duit ini. Mereka melihat apa yang dilakukan oleh orang-orang faqir ini sebab belum pernah lagi sebelum ini mereka buat.

Jadi ditanya kepada mereka "Apa yang kamu buat?" Mereka mengatakan "Kami berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى yang kami dapatkan daripada Nabi ﷺ." Nak disembunyikan tak boleh sebab ada larangan daripada menyembunyikan ilmu.

Menyembunyikan ilmu itu ada ancaman yang berat daripada Allah. Akhirnya mereka terpaksa memberitahu "Rasulullah ﷺ ajarkan kepada kami orang-orang miskin yang tak boleh nak bersedekah, tak mampu nak bersedekah. Kalau kami buat ini maka sama nilainya dengan kami bersedekah."

Apa dia? "Subhanallah 33 kali, Alhamdullilah 33 kali, Allahu akbar 33 kali." Orang-orang kaya ini dengar, orang-orang yang ada harta ini dengar maka mereka orang-orang miskin ini frust dan sekali lagi berjumpa dengan Rasulullah ﷺ.

Mereka mengatakan "Ya Rasulullah. Mereka pun buat juga. Mereka bersedekah dan mereka juga bersedekah. Macam mana dengan kami ini?" Maka Nabi ﷺ tak boleh nak kata apa. Akhirnya Nabi ﷺ mengatakan "Setiap kamu diberikan kelebihan oleh Allah سبحانه  وتعالى maka setiap orang akan mendapatkan kelebihan berdasarkan apa yang diberikan oleh Allah."

Akan tetapi, ingat sesungguhnya yang namanya kekayaan, harta itu. Bahkan yang banyak berlaku bukannya membuatkan mereka ingat, berzikir kepada Allah tetapi membuatkan mereka lupa dan tak berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Sebab ujian itu lebih berat lagi diberikan oleh Allah سبحانه  وتعالى. Harta itu banyak melalaikan. Jadi walaupun Para Sahabat berasa cemburu dengan mereka orang-orang yang dapat menginfakkan harta di jalan Allah tapi Nabi ﷺ juga memberikan kepada mereka daripada amalan yang dapat menyamai tetapi tidak boleh menangini orang yang bersedekah dengan hartanya.

Tapi sebenarnya juga nak bagitahu beratnya sedekah dengan harta yang dimiliki itu sebab harta yang dimiliki itu adalah merupakan daripada ujian yang berat yang diberikan oleh Allah  kepada hamba-Nya.

Sebab itu kekayaan itu adalah satu ujian yang berat. Jangan ingat kita ada duit buat kita senang nak beramal. Memang kalau ikutkan begitu tapi cakapnya senang tapi bila kita nak beramal itu belum tentu lagi kita dapat mengeluarkannya di jalan Allah سبحانه  وتعالى sebab kita ada dua musuh yang paling sangat menjauhkan kita dari bersedekah adalah hawa nafsu kita yang tak pernah kenyang dan cukup dengan apa yang kita ada dan syaitan.

"Anak Adam ini" Kata Nabi ﷺ "Tak pernah cukup. Kalau sekiranya mereka diberikan suatu lembah ataupun gunung itu dijadikan emas. Maka dia akan minta yang kedua. Kalau diberikan yang kedua, dia akan minta yang ketiga. Tak akan cukup sehinggalah tanah itu masuk ke dalam mulut mereka."

Bermakna tunggu mati barulah habis. Kalau tidak nak lagi, nak lagi. Inilah sifatnya anak Adam dalam tamaknya mereka kepada dunia.

Dalam riwayat lain zikir ini adalah yang diajarkan oleh Nabi ﷺ kepada Saidatina Fatimah Radhiyallahu'Anha untuk dibaca sebelum tidur.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

JAGALAH ZIKIR SETELAH SOLAT DAN SEBELUM TIDUR

Diriwayatkan daripada Imam Abu Daud Rahimahullah daripada Nabi ﷺ iaitu "Orang yang menjaganya perbuatan ini amalan ini maka dia akan pasti masuk syurga." Apa dia? Orang yang berzikir selepas solat.

Nabi ﷺ menyebutkan "Tasbih kepada Allah سبحانه  وتعالى setiap kali selepas solat 10 kali, dia bertahmid 10 kali dan dia bertakbir 10 kali. Semua itu 150 kali (30x5) mengikut kiraan lisan bersamaan 1500 mengikut berat timbangannya." Dalam riwayat yang lain "33 kali tasbih, 33 kali tahmid dan 33 kali takbir."

Dan bila dia sebelum tidur baca 33 kali tasbih, 33 kali tahmid dan 34 kali takbir maknanya 100 kali dalam kiraan tetapi ditimbangan 1000.
Dilipatgandakan yang mengikut amal itu tadi kata Nabi ﷺ pasti akan dapat syurga."

Kemudian Nabi ﷺ mendahulukan mengatakan " ianya mudah, ianya sedikit tetapi yang menjaganya yang buatnya ianya sedikit bilangannya."

Kita ini masuk golongan yang sedikit ini kah? Ataupun kita termasuk dalam golongan orang-orang yang anggap mudah?

Sahabat bertanya "Ya Rasulullah. Kamu kata ia mudah tapi yang buat itu sedikit. Apa yang kamu maksudkan wahai Rasulullah."

Kata Nabi ﷺ "Iaitu apabila waktu itu sampai yakni waktu tidur kamu teringat ini lalu syaitan menidurkan kamu sebelum kamu sempat membacanya ataupun syaitan telah menganggu di waktu solat kamu lalu mengingatkan kamu sesuatu keperluan sebelum kamu sempat membacanya."

Yang akhirnya tak sempat langsung membacanya kerana teringatkan perkara yang belum lagi selesai. Cepat-cepat bangun daripada solat  yang akhirnya langsung tak membaca 33 kali tasbih, 33 kali tahmid dan 33 kali takbir kerana terkejar-kejar, telah pun ditipu oleh syaitan mengejar urusan yang belum selesai perkara-perkara melibatkan hal dunia.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

JANGAN KAMU TINGGALKAN ZIKIR & DOA SETELAH SOLAT

Al-Imam Habib Abdullah Bin Alwi Al-Haddad Rahimahullah mengatakan "Wahai saudaraku!! Hendaklah anda memelihara zikir-zikir itu dan khususnya doa-doa yang warid pada waktu setelah habis solat."

Apakah yang dimaksudkan dengan warid? Iaitu yang warid yang dimaksudkan itu adalah yang adanya sumber baik itu daripada Al-Quran, baik itu daripada Hadis Nabi ﷺ bahkan termasuk juga daripada doanya Para Ulama dan Solihin sebab Para Ulama itu merupakan Pewaris Para Nabi.

Tidaklah mereka menerima wahyu akan tetapi mereka mendapat ilham. Dan mereka juga mempunyai nilai di sisi Allah سبحانه  وتعالى dikeranakan itu Nabi ﷺ mengatakan "Para Ulama itu adalah Pewaris Para Nabi."

Maka apabila mereka menyusun kepada doa. Bermakna mereka juga berdoa, memohon kepada Allah dan doa mereka juga luar biasa.

Maka jagalah doa-doa yang warid ini untuk kita amalkan sebagai suatu peringatan juga bahawa doa yang tidak akan ditolak oleh Allah adalah doa setelah solat.

Buktinya banyak di dalam hadis termasuk di dalam hadis yang disebutkan daripada Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu yang dihadiahkan oleh Nabi ﷺ doa khusus tanda cinta Nabi ﷺ kepada Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu.

"Allahumma a'innii ala dzikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik."

"Ya Allah. Tolonglah aku agar selalu berzikir, mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaguskan ibadah kepada-Mu."

Kenapa Nabi ﷺ pilih untuk Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu baca setelah solat? Boleh sahaja dia baca sebelum tidur. Bacalah kamu ketika bangun diwaktu pagi. Tak!!! Akan tetapi Nabi ﷺ kata "Bacalah kamu pada setiap selesai daripada solat."

Ini menunjukkan bahawa berdoa sesudah solat itu adalah qobul. Itulah maksudnya. Kalau ada orang yang mempertikaikan. Banyaknya dalil yang menyebutkan akan keutamaan berdoa setelah solat.

Maka Nabi ﷺ mengajarkan kepada kita zikir-zikir dan doa-doa yang menjaga kita. Yang melindungi akan ummat. Ketika nak tidur maka adanya amalan, doa yang diajarkan oleh Nabi ﷺ.

Ketika bangun tidur, ketika berpakaian, ketika masuk tandas, keluar tandas, ketika nak keluar rumah. Semuanya adanya doa-doa yang telah pun diajarkan oleh Nabi ﷺ kepada kita.

Subhanallah!! Detailnya yang diajarkan oleh Nabi ﷺ. Kenapa? Sebab kata Nabi ﷺ "Tiada satu apa pun kebaikan pun yang aku tahu kecuali aku akan ajarkan dan tiada satu keburukan pun yang aku tahu kecuali aku akan cegah dan aku akan larang."

Itulah tanda kasih sayang Nabi kita Muhammadt kita kipada kita. Selama 63 tahun kehidupan Nabi ﷺ. Diangkat menjadi Rasulnya 40 tahun. Setelah itu berdakwah dan mengajak 23 tahun daripada umur Nabi ﷺ.

Bayangkan semua perkara telah pun diajarkan oleh Nabi ﷺ. Baik daripada sebesar-besar perkara dari segi sudut kepimpinan, politiknya, pentadbiran, ekonomi hatta perubatan diajar oleh Nabi ﷺ. Amalan-amalan kehidupan makan, minumnya.

Begitu juga sampai kepada sekecil-kecil perkara masuk tandas, keluar tandas, tidur, bangun sebagainya. Semuanya telah pun diajarkan oleh Nabi kita Muhammad ﷺ selama 23 tahun. Bermakna bilakah masanya Nabi kita rehat?

Kita yang umur sekarang ini berapa banyak sangat yang kita ajar kepada orang? Tak sempat!!! Kita nak ajar diri kita pun tak sempat tapi 23 tahun Nabi ﷺ habiskan umurnya untuk ummat.

Itulah tanda kasih sayang Nabi kita Muhammad ﷺ kepada kita. Tinggal lagi sayang tak kita satu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Yang kedua adalah sayang tak kita kepada diri kita sendiri.

Sebab yang nak dilindungi itu adalah diri kita. Yang kita nak dilindungi itu adalah keluarga kita, rumahtangga kita, masyarakat kita dengan doa yang kita baca itu. Jadi jangan dakwa "Saya sayang diri saya, saya sayang masyarakat, saya sayang jiran tapi amalannya tidak dibuat."

Bukan sayang itu bukan hanya dengan kamu berhias, mencantikkan fizikal. Tidak!!! Sayang itu adalah dengan kamu melaksanakan apa yang telah diajarkan oleh Nabi ﷺ sebagai sifat kamu menyayangi kepada roh dan juga jasadmu. Yang dengannya kamu akan amalkan dan dilindungi oleh Allah سبحانه  وتعالى.

Imam Al-Haddad Rahimahullah mengingatkan kepada kita supaya menjaga wirid-wirid dan doa-doa selepas setiap kali solat. Yang memang doa-doa itu banyak tetapi diringkaskan untuk kita menjaganya. Di antara yang sangat dituntut tentang wirid selepas setiap solat dan yang terutamanya adalah kita mengucapkan doa ini:

"Allahumma a'innii ala dzikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik."

"Ya Allah. Tolonglah aku agar selalu berzikir, mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaguskan ibadah kepada-Mu."

Doa ini adalah hadiah yang dihadiahkan oleh Nabi ﷺ kepada Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu. Yang mana Nabi ﷺ mengatakan "Wahai Mu'adz. Aku cinta kepada kamu maka jangan kamu lupa untuk membaca setiap selepas solat

"Allahumma a'innii ala dzikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik."

"Ya Allah. Tolonglah aku agar selalu berzikir, mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaguskan ibadah kepada-Mu."

Doa ini dijadikan satu hadis musalsal bil mahabbah dipanggil iaitu hadis yang juga Saidina Mua'dz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu bila jumpa dengan Para Sahabat yang lain ataupun Para Tabi'in. Saidina Mua'dz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu mengatakan "Ya Fulan. Aku cinta kepada kamu maka jangan kamu lupa untuk membaca setiap selepas solat

"Allahumma a'innii ala dzikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik."

Sehingga ianya disambung dan disambung dan kita hari ini juga pernah dapat mungkin daripada kalangan Para Ulama yang datang kepada kita yang mana mereka ini Para Ulama Besar-Besar cuma kita sahaja yang nampak kecil.

Kadang-kadang mereka bagi ijazah kepada kita, bagi musalsal kepada kita. Kita ambil remeh-temeh sahaja. Kadang-kadang kita ambil tapi kita tak amalkan. Jadi sama juga tidak memberikan manfaat kepada diri kita.
Diijazahkan untuk diamalkan. Kalau diamalkan ada kesinambungan, cinta sampai kepada Nabi ﷺ.

Kemudian, jangan kita lupa untuk bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali dan untuk menutup zikir ini menjadi 100 ucapkanlah zikir ini:

"Laa ilaaha illallaahu wahdahuu laa syariikalah lahul mulku walahul hamdu yuhyii wa yumiitu wahuwa 'alaa kulli syai'in qadiir."

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

BERUNTUNGNYA ORANG YANG SIBUK BERZIKIR KERANA PARA MALAIKAT BERSAMANYA DAN MENDOAKANNYA

Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat darjat mereka yakni orang-orang yang berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى dalam keadaan penuh asyik dan kecintaan kepada-Nya.

Rasulullah ﷺ mengatakan "Sekiranya kamu sentiasa sibuk berzikir nescaya Para Malaikat akan berjabat tangan dengan kamu ketika kamu berjalan dan ketika kamu tidur."

Dalam hadis yang lain Rasulullah ﷺ menyebutkan "Perumpamaan antara orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir itu umpama orang yang hidup dengan orang yang mati."

Orang yang sentiasa membasahkan lidahnya, memanfaatkan waktunya untuk mengingati Allah dengan zikrullah maka sudah pasti hatinya akan hidup, memperolehi ketenangan, kenikmatan dari Allah سبحانه وتعالى.

Manakala orang-orang yang lalai tidak membasahkan nikmat kurniaan lidahnya itu untuk berzikir, mengingati Allah maka hatinya akan menjadi mati, keras sepertimana orang yang tidak mempunyai nyawa.

Saidina Salman Al-Farisi Radhiyallahu'Anhu mengatakan "Apabila seseorang hamba mengingati Allah سبحانه وتعالى dalam keadaan senang, kelapangan, kemewahan. Kemudian apabila dia mengalami penderitaan dan kesusahan.

Maka Para Malaikat akan berkata kepada Allah سبحانه  وتعالى bahawasanya "Suara hamba-Mu yang doif dalam kesusahan itu biasa didengar. Lalu mereka memohon bantuan daripada Allah  سبحانه وتعالى untuknya."

Akan tetapi, sekiranya seseorang itu lalai dan tidak mengingati Allah maka Para Malaikat akan berkata kepada Allah  سبحانه وتعالى bahawa "Kami tidak biasa mendengar suara itu."

Dan ingatlah syurga itu mempunyai 8 pintu. Salah satu daripada pintu syurga itu adalah khas bagi orang-orang berzikir kepada Allah  سبحانه وتعالى.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

BERUNTUNGNYA ORANG YANG SELALU MEMPERBANYAKAN ZIKIRNYA, MENGINGATI ALLAH TA'ALA

Disebutkan zikir ini merupakan amalan yang mengungguli kepada semua amalan. Bahkan orang yang beramal dengan amalan yang mulia pun diungguli dengan zikirnya. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidina Sa'ad Bin Abi Waqqas Radhiyallahu'Anhu.

Ketikamana ditanya kepada Baginda Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Manakah jihad yang afdal? Orang yang berjihad yang manakah yang afdal?" Maka Rasulullah ﷺ mengatakan "Jihad yang paling banyak zikirnya." Ditanya lagi kepada Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Sedekah yang manakah yang lebih afdal yang lebih baik?"

Maka Rasulullah ﷺ mengatakan "Yang paling banyak zikirnya." Ditanya lagi "Ya Rasulullah. Bagaimana dengan solatnya?" "Yang paling banyak zikirnya" Kata Nabi ﷺ. " Bagaimana dengan puasanya?" Dijawab oleh Nabi ﷺ "Yang paling banyak zikirnya."

Semuanya daripada amal kebaikan yang membezakan kedudukan orang yang melaksanakan itu adalah yang mengiringi kepada segala kehidupannya, masanya, amalannya dengan zikirullah.

Oleh kerana itu, Saidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu'Anhu ketika mendengar akan apa yang disebutkan oleh Nabi ﷺ. Beliau mengatakan kepada Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu'Anhu "Wahai Umar. Bermakna orang yang berzikir kepada Allah ini telah membolot semua kebaikan itu."

Maka Nabi ﷺ ketika mendengar akan apa yang dikatakan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu'Anhu. Baginda Rasulullah ﷺ mengatakan "Benar wahai Abu Bakar." Oleh kerana itu, sangat-sangat kita ini perlu mengambil peluang di dalam sesuatu amalan yang sebenarnya boleh dilakukan di mana-mana pun iaitu berzikir kepada Allah.

Bahkan disebutkan oleh Tsabit Al-Bunani Rahimahullah. Beliau mengatakan "Sesungguhnya aku tahu bila Allah ingat kepada aku." Maka orang yang mendengar berasa pelik dan hairan bagaimana Tsabit Al-Bunani Rahimahullah ini boleh mengatakan bahawa dia tahu bila Allah ingat kepada dirinya.

Lalu mereka mengatakan "Wahai Tsabit. Macam mana kamu boleh tahu pula Allah itu ingat kepada kamu?" Maka dia mengatakan "Aku tahu ketika Allah ingat kepada aku adalah apabila aku ingat kepada Allah dikeranakan Allah telah berfirman di dalam Al-Quran maksudnya "Maka ingatilah Aku (dengan berzikir kepadaKu) nescaya Aku pun akan mengingati kamu." [Al-Baqarah : 152]

Maka aku tahu bilakah Allah ingat kepada aku." Subhanallah!! Bila? Ketika dia ingat kepada Allah سبحانه  وتعالى. Jadi orang-orang yang selalu berzikir ini hatinya itu pastinya akan sentiasa tenang, hatinya hidup, hatinya pasti bercahaya dan akan diberikan kebaikan di dunia dan akhirat oleh Allah سبحانه  وتعالى.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

KORBANKAN MASAMU UNTUK BERZIKIR KEPADA ALLAH

Al-Allamah Syeikh Abdul Hadi Al-Kharsa Hafidzohullah menyebut ketika beliau mensyarahkan kitab Ummu Barahin:

Berkata Imam Baijuri Rahimahullah dalam kitab Syarah As-Sanusiyyah:

"Kalimah لا اله الا الله sewajarnya diucapkan oleh orang awam  dalam sehari adalah sebanyak 300 kali, manakala bagi guru-guru dan penuntut ilmu sehari sebanyak 12 000 kali. "

Ini semua agar kalimah ini menjadi darah daging untuk meraih kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.

[AL-ALLAMAH SYEIKH ABDUL HADI AL-KHARSA HAFIDZOHULLAH]

Marilah kita sama-sama berusaha, bermujahadah mengorbankan sedikit waktu kita pada setiap hari untuk kita berzikir kepada Allah  سبحانه  وتعالى tidak kira dalam keadaan kita sedang duduk, berdiri ataupun baring. Bersendirian ataupun dalam perkumpulan maka ajarkan diri kita untuk sentiasa ingat kepada Allah. Basahkan lidah kita dengan zikirullah.

Jangan lupa amalkan setiap hari untuk beristighfar sekurang-kurangnya 100 kali, membaca sayyidul istighfar 3 kali pagi dan 3 kali petang ataupun sebelum tidur, berselawat sebanyak 300 kali, mengucapkan kalimah toyyibah sebanyak 300 kali dan andaikata diberikan kekuatan, kelapangan cuba amalkan zikir harian Imam Al-Ghazali Rahimahullah. Tak dapat buat 1 000 kali maka kita cuba buat sebanyak 100 kali dulu.

Semoga Allah سبحانه  وتعالى memberikan kepada kita semua kekuatan untuk kita sentiasa ingat kepada-Nya, dapat berzikir dengan sebanyak-banyaknya pada setiap hari.

Wednesday 6 September 2017

SYUKUR DAN SABAR SIFAT ORANG MUKMIN

Bagaimana kita nak mengajar diri kita untuk redha dalam menghadapi, menerima segala bala, musibah yang ditimpakan ke atas kita?

Terlebih dahulu kita mestilah tahu bahawasanya tidaklah Allah سبحانه  وتعالى menurunkan sesuatu musibah, bala, ujian ke atas hamba-Nya melainkan itu adalah salah satu daripada tanda kasih sayangnya Allah  سبحانه  وتعالى kepada hamba-Nya. Dan juga sebagai tanda peringatan kepada diri kita yang sering leka dan lalai dalam mengingati Allah سبحانه  وتعالى supaya kita ini kembali kepada-Nya.

Kekadang kita melihat sesuatu musibah, bala yang ditimpakan ke atas kita itu secara zahirnya mungkin nampak tidak baik bagi kita tetapi sebenarnya ianya adalah baik di sisi Allah  سبحانه  وتعالى.

Setiap orang mukmin pasti akan diberikan ujian oleh Allah سبحانه  وتعالى . Tidaklah dinamakan seseorang itu beriman melainkan pasti dia akan diuji oleh Allah.

Dikisahkan mengenai seorang Wali Allah di bumi Syam yang bernama Syeikh Mahmoud Affandi Rahimahullahu' Taala. Yang mana beliau ini merupakan seorang yang lumpuh satu badannya, tak boleh bergerak melainkan hanya kepalanya sahaja boleh bergerak.

Pernah suatu hari beliau didatangi, diziarahi oleh Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti Rahimahullahu' Taala. Kata Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti Rahimahullah "Aku niat pergi ziarah ini sebab nak menggembirakan hatinya sebab dia menghadapi lumpuh satu badan maka pasti dia ini dalam keadaan sedih.

Akan tetapi, sebaliknya yang berlaku. Demi Allah. Aku ziarah dia dan tidak aku balik melainkan yang rasa seronok yang rasa gembira adalah aku. Sepatutnya aku ziarah dia untuk menggembirakan dia tapi terbalik pula yang terjadi. Aku yang rasa seronok dan gembira."

Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti Rahimahullah bertanya kepada Syeikh Mahmoud Affandi Rahimahullah "Apa khabar kamu wahai Abu Ahmad? Ada apa-apa yang kamu nak aku tolong?"

Jawab Syeikh Mahmoud Affandi Rahimahullah "Alhamdullilah. Tidak ada apa-apa yang mengurangkan aku kecuali redha." Jadi Syeikh yang lumpah ini. Beliau melihat segala bala, ujian yang menimpa kepada dirinya itu merupakan suatu kenikmatan sebab dia memahami sabdaan Nabi ﷺ.

Di dalam sebuah hadis sohih Nabi ﷺ mengatakan "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal Ini tidaklah terjadi kecuali hanya kepada diri seorang mukmin.

Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur kepada Allah سبحانه  وتعالى maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya, apabila ditimpakan kesusahan, dia pun bersabar kepada Allah  سبحانه  وتعالى maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya."

Syukur dan sabar ini adalah perbuatan yang baik dan ini adalah cara kita di mana memuji Allah  سبحانه وتعالى dalam apa jua keadaan yang menimpa diri kita. Jadi kita kena lihat segala pemberian Allah ataupun segala halangan, musibah yang diberikan oleh Allah adalah kebaikan.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

JAGALAH PERINTAH ALLAH NESCAYA DIA AKAN MEMELIHARA KAMU DISAAT SENANG MAHUPUN SUSAH

Di dalam sebuah hadis yang agak panjang yang diriwayatkan oleh Saidina Abdullah Ibnu Abbas Radhiyallahu'Anhu. Berkata Saidina Abdullah Ibnu Abbas Radhiyallahu'Anhu "Aku suatu hari berada di belakang Nabi ﷺ maka berkatalah Nabi ﷺ "Wahai anak kecil. Sesungguhnya aku akan mengajarkan kepada kamu beberapa kalimat.

Jagalah (perintah) Allah سبحانه  وتعالى nescaya Dia akan memelihara kamu.
Jagalah (kehormatan) Allah سبحانه  وتعالى nescaya engkau akan mendapati merasakan Allah سبحانه  وتعالى berada bersama-sama kamu. Jika engkau meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah سبحانه  وتعالى semata-mata. Jika engkau memohon sesuatu pertolongan maka pohonlah pertolongan itu daripada Allah سبحانه  وتعالى.

Dan ketahuilah bahawa jika semua ummat manusia berkumpul untuk membantu kamu dalam memberikan sesuatu manfaat kepada kamu maka mereka tidak akan dapat memberikan sesuatu manfaat kepada kamu kecualilah apa yang telah pun dituliskan oleh kamu oleh Allah سبحانه  وتعالى.

Begitu juga andaikata mereka berkumpul untuk memudaratkan ke atas kamu dengan sesuatu mudarat maka mereka tidak akan dapat memudaratkan sesuatu ke atas kamu kecualilah apa yang telah pun dituliskan ke atas kamu. Telah diangkatkan pena dan telah pun kering lembaran-lembaran." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dan sifat hadis ini adalah hasan lagi sahih.

Di dalam hadis yang sama riwayat selain Imam At-Tirmidzi. Nabi ﷺ mengatakan kepada Saidina Abdullah Ibnu Abbas Radhiyallahu'Anhu "Jagalah Allah سبحانه  وتعالى. Sesungguhnya engkau akan mendapati Allah itu di hadapan kamu. Hendaklah engkau sentiasa ingat kepada Allah سبحانه  وتعالى ketika kamu dalam keadaan senang nescaya Dia akan ingat kepada kamu disaat kamu susah.

Ketahuilah sesuatu yang melakukan kesalahan kepada kamu itu tidak akan dapat memberikan musibah kepada kamu. Dan sesuatu musibah yang berlaku kepada kamu itu tidak membetulkan ke atas jalan-Nya. Dan ketahuilah kemenangan itu datang dengan kesabaran dan jalan keluar itu setelah melalui kesusahan. Dan setelah kesusahan itu datang kemenangan." Ini adalah di antara hadis yang terpenting daripada Nabi ﷺ kerana ianya menyentuh beberapa kaedah utama dalam agama.

Imam Ibnul Jauzi Rahimahullah mengatakan "Aku bertadabbur terhadap hadis ini dan ianya memberikan kepada aku banyak maknanya. Dan seolah-olahnya ianya memenatkan fikiran aku kerana terlalu banyak pengajaran yang aku dapat daripadanya maka kecewalah sesiapa yang tidak tahu tentang hadis ini ataupun memahami hanya sedikit sekali daripada hadis ini."

Oleh kerana itu, kita tanyakan kepada diri kita masing-masing. Apakah pengajaran yang kita dapatkan setelah kita mengetahui tentang hadis ini? Kalau kita lihat situasi yang terjadi pada zaman kita sekarang ini baik itu dengan musibah, fitnah dan bala bencana yang menimpa kita semuanya adalah berpunca daripada lemahnya hubungan kita kepada Allah سبحانه  وتعالى, leka dan lalainya kita daripada mengingati Allah  سبحانه  وتعالى.

Ketahuilah segala musibah, bala bencana dan fitnah yang kita hadapi pada zaman sekarang ini adalah untuk mengingatkan kita kembali untuk menyedarkan kita kembali bahawa tiada yang lebih besar daripada Kekuasaanya Allah سبحانه  وتعالى.

Oleh kerana itu, marilah kita kembali kepada Allah kita menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita bertaubat dan beristighfar di atas segala dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada Allah سبحانه  وتعالى baik dosa-dosa yang sengaja dilakukan ataupun dosa yang tidak disengajakan yang kita tidak sedari.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

TAUBAT KUNCI MERAIH CINTA ILAHI

Janganlah kita sesekali berhenti dan berasa penat untuk bertaubat kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى walaupun kita masih lagi bermaksiat kepada Allah kerana Allah  سبحانه  وتعالى amat mencintai hamba-Nya yang bertaubat dan pasti dan pasti Allah  سبحانه  وتعالى akan menerima taubat kita dan mengampunkan dosa-dosa kita.

Allah سبحانه  وتعالى berfirman di dalam Al-Quran yang maksudnya "Sesungguhnya Allah cinta kepada orang-orang yang bertaubat dan mensucikan diri." Orang-orang yang selalu bertaubat dan selalu menyucikan dirinya daripada melakukan dosa-dosa dan beristighfar memohon keampunan Allah   سبحانه  وتعالى maka dia akan memperoleh cinta Allah سبحانه  وتعالى. Bahkan darjatnya, kedudukannya di sisi Allah akan diangkat sehingga dia menjadi Kekasih Allah.

Berapa banyak kisah Para Salafusoleh yang diceritakan kepada kita. Yang mana ada di kalangan mereka itu yang asalnya merupakan seorang perompak, samseng, kaki botol dan sebagainya. Orang yang bergelumang dengan dosa dan kemaksiatan. Jauh daripada ajaran Islam. Akan tetapi, bilamana mereka berjaya mendapatkan cahaya Allah, hidayah daripada Allah maka mereka bersungguh-sungguh di dalam bertaubat, menyesali akan dosa dan kemaksiatan yang pernah dilakukan, meninggalkan kemaksiatannya.

Sehingga Allah سبحانه  وتعالى mengangkat kedudukan mereka, darjat mereka menjadi sebagai Wali-Nya. Inilah di antara sifatnya Para Auliya' Allah iaitu mereka adalah orang-orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah.

Oleh kerana itu, syaitan akan cuba menipu kita, menghalang kita daripada bertaubat kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى agar kita tetap dalam keadaan bermaksiat. Barangsiapa yang tertipu dengan bisikan was-was maka dia akan rugi di dunia dan juga akhirat.

Imam Al-Junaid Rahimahullah mengatakan " Antara tanda-tanda orang-orang yang diterima taubatnya oleh Allah سبحانه  وتعالى adalah dia akan tetap mengingati akan dosa-dosa dan kemaksiatan yang pernah dia lakukan dahulu. Walaupun dia telah bertaubat dan meninggalkannya tetapi dia tetap akan terus berisitghfar memohon keampunan kepada Allah  سبحانه  وتعالى tanda dia menyesali kesilapannya dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada dirinya."

Itulah tanda-tanda orang yang benar-benar bertaubat yang menyesali dengan perbuatan dosanya. Berbeza dengan keadaan kita sekarang ini yang mana kadang-kadang kita tidak ingat langsung dengan dosa-dosa dan kemaksiatan yang kita lakukan dahulu tetapi yang kita hanya dan selalu ingat adalah apakah kebaikan yang pernah kita lakukan.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]