Pages

Wednesday 18 October 2017

KEHIDUPAN BERUMAHTANGGA

"Ketaatan seorang suami itu, adalah kepada ibunya. Manakala, ketaatan seorang isteri itu, adalah kepada suaminya. Dan di dalam perkahwinan, didalam alam rumah-tangga kadang kala ujian datang melanda sebagainya, dan berlaku perselisihan, Salah seorang daripada kalian hendaklah menjadi air. Jangan kedua-duanya menjadi api kerana akan mengakibatkan rumah menjadi panas dan terbakar."

"Api bersama api akan menyebabkan terbakar, Rasulullah ﷺ mengatakan perpisahan boleh berlaku. Maka kita ingin elakkan, perpisahan hendaklah diletakkan paling jauh dan di tepi. Jika salah seorang menjadi api, kemarahan, panas barannya, dan sebagainya maka salah seorang mesti menjadi air yang menyejukkan."

"Apabila seorang isteri meninggal dunia, dan kematiannya itu mendapat keredhaan daripada suaminya, maka Allah سبحانه وتعالى akan tempatkan si isteri itu ke dalam Syurga. Segala amal soleh yang dilakukan oleh suaminya, yang masih hidup itu, akan dibalas sama kepada isterinya. Hendaklah  seorang isteri itu memiliki sifat-sifat yang baik layanannya kepada suaminya, tutur kata yang baik, dan tidak merungut ketika memperoleh nafkah daripada suaminya."

"Sekiranya seorang isteri itu bersikap buruk kepada suaminya, maka akan datang murka Allah سبحانه وتعالى kepada si isteri. Didalam riwayat mengatakan; Rasulullah ‎ﷺ pernah ditanya; "Ya Rasulullah, mengapakah penghuni Neraka itu ramainya kaum wanita?" Maka dijawab oleh Rasulullah‎ﷺ; "Salah satu diantaranya adalah mereka itu ramai yang tidak menghargai akan suami mereka."

"Makanya, jangan sampai salah seorang panas baran, dia juga panas baran. Maka bagaimana akan menjadi rumah tangga yang harmoni. Maka bertolak ansur lah, berkasih sayang lah, mawaddah dan letakkan fokus di alam rumah tangga ini; "Ya Allah, aku ingin keredhaan-Mu wahai Allah."

"Ya Allah, sepanjang hidupku ya Allah bersama pasanganku ini Ya Allah, aku ingin sedaya upaya menunaikan hak nya, Wahai Allah, Aku menunaikan hak nya YaAllah sebab mahukan keredhaan-Mu Wahai Allah." Jika pasanganku ini, belum menunaikan hak nya terhadap aku, makanya, aku akan menunaikan hak nya terlebih dahulu."

"Ini yang di ajarkan dalam agama kita bagaimana dapat menunaikan hak orang lain. Tetapi sesuatu yang diajarkan oleh orang barat kepada kita ini untuk kita tuntut hak. Maka manusia akan hanya menuntut hak nya maka akan datang perselisihan dan perbalahan yang tidak akan kunjung tiba ke mana perdamaian dan juga kesatuannya. "

"Dan apabila setiap pasangan yang suami berfikir bagaimana aku dapat menunaikan hak isteri aku, dan isteri pun memikirkan bagaimana aku dapat menunaikan hak suamiku, maka dengan demikian ia akan melahirkan rumah tangga yang harmoni."

Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

SEBENAR BENAR TAUBAT

"Selepas solat hendaklah kita berdoa. Amalkan doa. Ini lepas solat angkat kaki cabut. Selepas solat nabi biasa mengamalkan doa; "Allahumma ajni minan nar." Ya Allah lindungkan aku dan selamatkanlah aku dari api neraka. Nabi Muhammad ﷺ mengamalkan tujuh kali selepas solat. Nabi kita menyeru setiap orang mengungkapkan untuk berlindung dr api neraka. "Ajni" yakni selamatkan diri sendiri dulu."

"Allahuma solli ala saidina Muhammad. Dan sebab apa doa makan kita dianjurkan dengan berlindung dengan api neraka? Sebab makan ni paling dekat dengan api neraka. Apa yang masuk kot mulut ni. Makan yang haram akan menubuhkan unsur haram dalam darah daging kita. Dan golongan salaful soleh sangat mengambil berat bab mkn nih."

""Allahuma solli ala saidina Muhammad. Berhati-hati lah, dengan dosa-dosa, ketika masa muda. Kerana, Ianya akan mempengaruhi zuriatmu. Contoh isteri para salaful soleh selalu berpesan kepada suaminya, apabila nak keluar rumah pegi mencari rezeki. Contoh isteri solehah. "Tolonglah abang, carikan kami rezeki yang halal untuk isteri dan anak-anak abang ni. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Kalau Orang yang tak solat ni, atas dunia lagi orang dah tak suka. Bahkan dalam kubur pon, jiran tak nak berjiran dengan dia. Sebab solat adalah hal dengan Allah سبحانه وتعال yang wajib ditunaikan. Allah murka perkara pertama ialah perkara solat. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Para alim ulama dia sangat warak. Kenapa tok guru selalu datang awal kenduri kahwin? sebab takut termakan bekas orang yang tak solat. Sangatlah warak. Takut hilang keberkatan. Begitu juga bekas tangan orang yang tak solat. Yang buat kuih masak nasik. Sangat amik berat bab mkn ni. Sebab jadi darah daging. Kita tak ada semua masuk je, air tangan orang kafir masak pon kita apa pedulinya."

"Kelompok yang pertama masuk neraka antaranya, orang yang amalannya sudah habis sebab mengumpat, maki, cela org lain. Orang yang dimaki itu semua nak tuntut pahala balik kepada orang ni. Dia ni dikatakan orang yang muflis diakhirat. Tapi ada satu cara, satu pengecualian iaitu bagi orang-orang yang bertaubat."

"Kita selalu sebut. Taubat taubat. Apa makna taubat? Taubat ialah kita ingat dan berasa kesedihan diatas perbuatan dosa kita yang telah kita lakukan. Kesan dosa umpama baju akan mereput apabila kita pakai. Macam tu lah badan kita ni apabila berbuat dosa. Dan syarat taubat nasuha suci ni, berhenti daripada melakukan lagi, menyesal didlm hati, dan berazam tak nak buat dah. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Dan Orang yang bertaubat dari dosa adalah, seperti orang yang tak berdosa. Sekalipun dosa itu beribu-ribu kali dia telah buat. Tapi dengan tiga syarat taubat diatas. Kalau tak cukup syarat pon wajib jugak kita bertaubat. Contoh dh bertaubat tp buat lg. Maka kena taubat lagi. Kalau mati sbelum taubat maka panjang cerita sebab nanti kena bukak kes depan Allah سبحانه وتعالى."

""Allahuma solli ala saidina Muhammad. Dan Sebelum tidur wajib kita beristighfar, bagi setiap ape dosa kite buat dlm sehari tuh. Kita ingat satu dosa kite buat wajib taubat utk satu dosa itu. Kalau boleh apa yang kita ingat setiap dosa itu maka perlulah setiap itu istighfar dilafazkan."

"Allah ini Huwattawwabur rahim. Allah maha penerima taubat dan maha pengasih. Sebab Allah سبحانه وتعالى tak mahu kita ni masuk neraka. Bahkan Allah lagi suka sapa yang bertaubat dan suka pada orang yang suka menyucikan dirinya. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Antara dosa anggota. Dosa mata paling senang dilakukan. Sebab apa Allah uji mcm tu? Hikmahnya sebab kalau ada istighfar dan menyesal. Allah سبحانه وتعالى suka ungkapan itu. Ada prosedur dia untuk sebut istighfar ini iaitu kena menyesal dulu. Kalau tak menyesal bermakna kite bermain-main dengan Allah. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Orang yang berdosa dia orang kenal diri dia siapa. Dimana dia pergi dia rasa die tak elok, dia rasa tak baik smpai menjejakkan kaki ke syurga pon akan rasa. Ya Allah, aku dosa banyak. Tapi Allah bagi aku masuk syurga. Allah bagi hadir majlis ilmu. Rasa rendah hina diri. orang macam ni Allah سبحانه وتعالى. paling suka. Ada juga banyak dosa, tapi bangga diri jugak."

"Macam mana nak didik anak dizaman mencabar ni? Macam mana, kita nak didik anak kita seperti mak ayah kita dulu, didik kita. Kita mintak doalah. "Ya Allah, Ya tuhanku, engkau selamatkanlah anak-anak keturunan kami dizaman mereka. Ya Allah. Engkau kurniakan iman kepada anak-anak kami dizaman mereka. Ya Allah. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Jadi ibubapa doalah setiap masa kat anak-anak. Kalau anak degil jangan putus asa dengan anak kita. Jangan putus doa sebab hidayah berada digenggaman Allah سبحانه وتعالى. Paling dekat dengan Allah ialah doa ibubapa. Mustajab. Tanamkan dalam hati berkhidmat kepad ibubapa kita sampai akhir hayat mereka."

"Kita mintak doa, "Ya Allah, aku sebenarnya mmg nak berkhidmat kepada ibubapa aku tapi aku bekerja. Maka Allah, akan permudahkan satu per satu. Mintak doalah banyak-banyak utk ibubapa kita. Semoga Allah سبحانه وتعالى merahmati kedua ibu-bapa kita sama ada yang masih hidup, ataupon yang telah pergi meninggalkan kita. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

Daripada TG Sheikh Zainul Asri Haji Romli.

MENDIDIK ANAK - ANAK

"Ibu adalah madrasah pertama seorang anak. Pendidikan didalam islam itu bermula sebelum bayi itu lahir, yakni sejak belum berkahwin lagi. Kerana khawatir menanam benih yang tidak baik pada tanah yang tidak baik maka lahirlah generasi yang tidak baik. Kerana didalam Al-Quran ada menyebut
Lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita yang tidak baik. Lelaki yang baik untuk Wanita yang baik."

"Jadi jika kamu inginkan wanita yang solehah, sebelum itu kamu kena solehkan diri kamu dahulu. Insya Allah, Allah سبحانه وتعالى akan menghantarkan wanita yang solehah untuk kamu. Madrasah pertama bagi seorang anak adalah bermula sebelum ibu dan ayahnya berkahwin lagi, kerana ia dididik melalui apa yang dilakukan oleh bakal ibu dan ayahnya."

"Dan Wanita yang sarat mengandung cubalah untuk hadir ke majlis majlis ilmu, majlis majlis cinta rasul, majlis-majlis zikir ia memberi kesan kepada anak didalam rahim tersebut. Memberi cahaya kepada anak tersebut. Amalkan membaca Surah Maryam, Surah Yusuf dan Surah Lukman kepada anak didalam kandungan ibu."

"Perlu dididik diri sendiri supaya zuriat yang dilahirkan juga zuriat yang telah terdidik. Jika ibu dan ayahnya seorang yang baik maka insya Allah anaknya akan jadi seorang yang baik. Sifat ibu bapa akan diwarisi oleh anak anak samada perkara yang baik ataupun tidak baik ia akan diwarisi terus tanpa perlu diajar."

"Keruntuhan adab menjadi punca utama kerosakan pendidikan.
Kerana didalam Al-Quran ada menyebut. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Jika madrasah pertama sudah terdidik dengan baik maka generasi yang akan dilahirkan juga generasi yang terdidik."

"Apa itu adab? Adab adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Pendidikan paling asas ialah pendidikan dari rumah. Jika tiada individu, yang membentuk didalam pendidikan maka rosaklah masyarakat itu. Ibu bapa memainkan peranan yang penting kepada anak anak. Jangan mengharapkan para guru disekolah untuk membentuk anak-anak, kerana anak itu adalah anak kita, darah daging kita tanggungjawab kita."

"Dan setiap ibu bapa akan ditanya oleh Allah سبحانه وتعالى tentang pendidikan agama anak-nya. Maka Rasulullah ﷺ telah memberi formula mendidik anak kita. Rasulullah berpesan kepada kita tiga perkara. Tiga perkara yang Nabi Muhammad ﷺ katakan kepada kita iaitu; "Kamu ajarkan kepada anak anak kamu yang pertama sekali adalah cinta kepada Rasulullah ﷺ." Kerana seseorang yang cinta kepada Rasulullah ﷺ akan membawa kepada cinta kepada Allah سبحانه وتعالى."

"Dan kamu gunakanlah apa sahaja medium, apa sahaja perantaraan yang boleh kita sampaikan kepada anak anak kita, anak anak muda kita, diri kita kepada cinta kepada Rasulullah ﷺ. Lakukan kerana itu adalah kunci kekuatan kita, cinta kepada Rasulullah ﷺ akan menumbuhkan diri manusia itu cinta kepada agama yang dibawa oleh Rasulullah, akidah yang dibawa oleh Rasulullah, syariat dibawa oleh Rasulullah, kitab yang dibawa oleh Nabi ajarkan kepada anak anak kita."

"Yang kedua adalah ajarkan kepada anak anak kamu cinta kepada ahlul baitku. Cinta kepada keluargaku. Keturunanku. Kerana ini kunci kekuatan bagi setiap umat bagi setiap zaman. Rasulullah ﷺ meninggalkan keturunannya yang ramai. Mereka membawa genetik Rasulullah ﷺ. Mereka meneruskan misi Rasulullah ﷺ. terutama kepada keturunan ulama ahlulbait dan keturunan Rasulllah."

"Mereka adalah pejuang sunnah disetiap zaman. Mereka akan wujud sehingga hari kiamat. Cinta kepada keturunan Rasulullah ﷺ. Ajarkan kepada anak-anak kita. Kemudian yang ketiga adalah cinta kepada Al-Quran. Ajarkan kepada anak-anak kamu cinta kepada Al-Quran. Pautkan mereka dengan Al-Quran."

"Ketiga-tiga formula ini diberikan oleh Rasulullah ﷺ kita lepaskan anak kita kemana sahaja diluar negara mereka belajar luar negara mereka akan pegang dengan agama Allah سبحانه وتعالى. Dan mencintai Nabi. Bilamana formula ini diterapkan sejak daripada kanak kanak lagi. Mereka akan mencintai Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah ﷺ adalah superhero kita yang sebenar. Manusia yang luar biasa."

Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

MATI DALAM ISLAM

"Kematian ialah fakta, perkara yang nyata yang tak seorang pun akan terlepas daripadanya. Tak seorang pun daripada kita yang tak pernah melihat kematian baik pada haiwan atau manusia. Semua yakin bahawa kematian itu wujud. Namun sebahagian orang mengatakan kematian itu sebagai penghujung kehidupan khalas, tetapi bagi orang yang beriman, kematian merupakan satu permulaan kehidupan yang sebenar."

"Jadi, di dalam hidup ini ada pra-kematian iaitu di dunia, saat ketika kematian dan keadaan setelah kematian. Semua yang bernyawa akan mati, tetapi yang perlu kita ambil berat ialah keadaan bagaimana kita mati, dan apakah keadaan kehidupan kita setelah mati, dan ini semua bergantung kepada bagaimana kita telah hidup."

"Kehidupan jadi penentu kepada saat kematian, dan kehidupan selepas kematian. Sama ada kita hidup enam puluh tahun, atau tujuh puluh tahun, umur purata umat Nabi Muhammad ﷺ  ialah antara enam puluh atau tujuh puluh tahun. Masa yang pendek ini ialah modal yang Allah beri untuk kita petik buahnya dalam kehidupan yang tidak punya pengakhiran atau sempadan."

"Oleh kerana yang demikian, Nabi Muhammad ﷺ  menyuruh kita bijak berfikir dengan akal yang waras agar menghitung umurnya, dan beramal untuk hari akhirat. Ini barulah professional, pintar! Tetapi orang yang jahil ialah orang yang ikut hawa nafsunya, dan berharap dapat ganjaran besar dari Allah سبحانه و تعالى. Orang ini bermimpi di siang bolong hari! Tidak mahu beramal tapi mengharapkan pemberian dari Allah سبحانه و تعالى. Kehidupun ini realiti dan bukan khayalan."

"Pada Suatu hari Sayyidina Ali bin Abi Talib lalu bersama sahabatnya di kawasan kubur, dan berkata; "Wahai ahli kubur, sesungguhnya pasangan kamu telah berkahwin dengan orang lain. rumah kamu orang lain sudah duduk, harta kamu sudah diberi kepada orang lain. Ini berita kami dari dunia, tetapi apakah berita kamu dari alam sana?” Sayyidina Ali ketika bercakap begitu bukanlah untuk mendengarkan jawapan tetapi adalah untuk menyampaikan mesej."

"Sayyidina Ali ingin beri pelajaran kepada orang yang bersamanya agar mereka melihat kubur itu sebagai tempat mereka akan masuk ke dalamnya juga nanti. Maka, diingatkan tentang pasangan, harta sudah di ambil orang lain. Apa yang Sayyidina Ali ingin tahu? Apa yang diinginkan ahli kubur setelah umur harta tidak lagi pada mereka."

"Kalau diizinkan untuk ahli kubur menjawab, maka mereka akan mengatakan; “Sebaik-baik bekal ialah taqwa.” Yakni, wahai sahabatku, temanku, sebelum nasib untuk kita masuk dalam kubur itu datang, ketika harta dan keluarga kita pergi kepada orang lain, dan kita masuk kubur seorang diri, apakah yang akan menemani kita di barzakh nanti? Hanya taqwa dan amal yang soleh yang akan ikut. Tiga perkara akan ikut mayat - hartanya, keluarganya, amalnya, tetapi semuanya akan balik kecuali amalnya."

"Kematian ialah satu kenyataan, jadi yang perlu kita ingatkan diri kita ialah keadaan ketika meninggal dunia. Para Anbiya meminta mati dalam keadaan Islam musleh, dan minta dikumpulkan bersama orang soleh. Pesan Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub عليه السلام; "Jangan kamu mati kecuali dalam keadaan islam.” Bagaimana dipesan sebegini sedangkan mati bukan dalam tangan kita?"

"Makanya, ambillah asbab, yang dengan asbab itu seseroang boleh mati dalam keadaan Islam. Tiada asbab lain yang boleh membawa kepada mati dalam Islam kecuali amal ibadat kepada Allah سبحانه و تعالى, dan menghindari perkara yang dilarang Allah agar terhindar dari mati dalam suul khotimah, Wal iya zu billah."

"Apa hukum orang meminta mati? Kadang-kadang berlaku fenomena orang menghadapi masalah dalam hidup sehingga tidak mampu menghadapinya, dan mengambil keputusan yang tidak berdasarkan akal yang waras seperti bunuh diri, Wal iya zu billah. Dalam hal ini, Rasulullah ﷺ  bersabda; “Jangan sesekali kamu minta mati kepada Allah سبحانه و تعالى.”

"Sebab apa? Kalau dia orang baik, umur yang diberi Allah boleh menambah ganjaran untuk di sisi Allah سبحانه و تعالى. Kalau dia orang tidak baik, umur perlu digunakan untuk bertaubat kepada Allah, yang kalau dia tidak bertaubat, dia akan dihukum oleh Allah سبحانه و تعالى atas dosa-dosanya. Maka, tidak boleh meminta mati."

"Jadi, kalau perlu juga minta mati adalah dengan sebab yang munasabah seperti yang diajarkan Rasulullah ﷺ; “Ya Allah, aku mohon ilham untuk berbuat baik, meninggalkan perkara mungkar, suka kepada orang-orang yang miskin. Dan bilamana Engkau mentakdirkan fitnah (yang mencabar akidah) berlaku, cabutlah nyawa saya sebelum saya terkena fitnah itu.”

"Di sini, Rasulullah ﷺ  meminta doa mati dengan bersebab yang mencabar agamanya. Fitnah yang besar boleh menyebabkan seseorang mengorbankan agamanya dengan sehina-hina benda keduniaan. Semoga Allah lindungi kita, Insya Allah."

"Jika terpaksa juga meminta mati, berdoalah; “Ya Allah, matikan aku jika mati mendatangkan kebaikan padaku. Hidupkan aku jika hidup membawa kebaikan kepadaku.” Yakni, serahkan kepada Allah untuk menentukan apa yang terbaik. Allah سبحانه وتعالى yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

Sunday 15 October 2017

JADILAH ENGKAU ORANG YANG BIJAK

Ada orang yang sangat menginginkan dunia tapi akhirat dia tak nak. Ada orang pula yang sangat menginginkan dunia dan akhirat tapi panjang angan-angannya.

Maksudnya apa? Yang pertama, engkau sangat menghendaki dunia tapi akhirat engkau lupakan. Untuk dunia, Allah!!! Bertukus lumus sanggup engkau usahakan. Gigihnya usaha engkau buat. Nak itu, nak ini dan Alhamdullilah bila engkau dah berjaya dapatkan apa yang engkau nakkan sampai engkau lupa kepada akhirat engkau yang lebih utama.

Engkau abaikan seolah-olah engkau ini pasti akan hidup selama-lamanya di dunia ini. Engkau kejar dunia sampai akhirat engkau kehilangan. Engkau bekerja tapi dalam masa yang sama engkau suka tangguh-tangguhkan solat, tak nak solat. Engkau bekerja sampai engkau tak ada masa nak berzikir, tak ada masa nak datang masjid nak solat berjemaah, tak ada masa nak duduk dalam majlis ilmu.

Yang kedua, engkau nak dunia dan akhirat tapi panjangnya angan-angan engkau pasangkan. Kalau dunia itu tak apa, engkau tak dapat pun tak apa tapi kalau akhirat engkau tak dapat maka engkaulah orang yang serugi-ruginya yang akan menyesal nanti di akhirat. Bila kita cakap pasal akhirat maksudnya di sini adalah syurga.

Jadi dalam syurga tak cukup hanya engkau nak saja. Dunia kalau engkau nak saja, engkau ambillah dunia ini tapi itu pun engkau kena usaha juga tapi akhirat engkau nak maka engkau kena tempuh jalannya. Kena hadapi terik payahnya, kena sabar akan ujiannya. Nanti engkau dapat!!

Sebab hari ini ramainya orang yang cakap nakkan akhirat tapi dia tak nak usaha. Tak cukup dengan kemahuan yang membara sahaja namun perlulah disertai oleh keimanan dan amal soleh yang engkau lakukan.

Orang yang hendak akhirat mestilah dia hendak dan masuk jalannya. Tak cukup orang nak berpegang "Ohh!! Ana tahu di sana ada taman." Tak cukup hanya mengetahui di sana ada taman. "Ente nak masuk dalam taman tak?" Nak!!! Kalau engkau nak maka masuklah.

Masuklah nanti engkau sampai. Tak cukup hanya engkau nak, nak saja tapi engkau tak nak masuk, engkau tak nak tempuh jalannya. Orang cerita pasal taman. Orang cerita pasal keindahan taman tapi engkau tak nak masuk langsung nak menuju kepada taman. Engkau nak maka masuklah nanti engkau akan jumpa dan rasa keindahannya.

Tak cukup setakat engkau kata nak, nak, nak!!! tapi engkau tak nak masuk. Ada orang dia memang tak kisah langsung tapi ada orang dia kisah tapi dia hanya berangan-angan sahaja.

Sebut tentang wali, sebut tentang pahala, sebut tentang syurga tapi dia tak nak amal. Jangan!! Jangan!! Jangan!! Bermakna engkau tahu di sana ada taman tapi engkau masih lagi nak bersedap-sedap, nak bersenang-lenang tak nak beramal tapi panjang angan-angan nanti di sana akan merugikan engkau nanti.

Sebab itulah minta maaf (cakap) kalau engkau ambil akhirat pasti dunia engkau akan berkurangan. Pasti!! Pasti!!! Kalau engkau nakkan dunia, akhirat pasti akan terkorban. Mana yang lebih penting? Maka jadilah engkau orang yang bijak, orang yang bijak!!!!

SYEIKH ABU ZAKI BIN YUSUF AS-SANGGAFURI HAFIDZOHULLAH

PILIHLAH KAMU JALAN YANG BETUL

Allah سبحانه  وتعالى menciptakan neraka dan sudah menyediakan ahli-ahli untuknya dan Allah سبحانه  وتعالى menjadikan syurga dan menyediakan juga ahli-ahli untuknya. Bagi ahli-ahli neraka,  Allah سبحانه  وتعالى permudahkan mereka jalan untuk menuju neraka. Begitu juga ahli-ahli syurga.

Ada ahli-ahli neraka yang Allah سبحانه  وتعالى nak sampaikan destinasi mereka dengan pelbagai-bagai cara. Ada di antaranya mereka itu miskin di dunia. Dengan kemiskinan ini dia menjadi rakus. Dengan kemiskinan dia menipu. Dengan kemiskinan ini dia jadi tamak. Dengan kemiskinan ini dia jadi dengki. Dengan kemiskinan ini sudahlah dia rugi dunia dan akhirat juga.

Ada juga di antara mereka yang disampaikan ke destinasi yang tidak baik itu yakni neraka itu dengan kekayaan. Dengan kekayaan dia menghambakan wangnya. Dengan kekayaan dia membazir, dia berfoya-foya, dia bermaksiat yang tak dapat dilakukan oleh orang miskin. Dengan kekayaan yang seperti ini akan menyampaikan dia ke destinasinya yakni neraka.

Begitu juga ahli syurga. Ada di antara ahli-ahli syurga yang Allah سبحانه  وتعالى nak sampaikan dia ke syurga Allah dengan kemiskinan. Dia miskin tapi dia sabar. Dia miskin tapi dia redha. Dia miskin tapi dia tetap bersyukur. Dia miskin tapi dia tak rakus dengan harta dunia maka dia miskin di dunia tapi dia mendapatkan kemuliaan di sisi Allah سبحانه  وتعالى.

Dan ada pula orang yang nak disampaikan ke jannah dengan diberikan wang dan harta kekayaan yang banyak. Dengan wang yang banyak dengan harta yang melimpah dengan kemewahan yang diberikan oleh Allah سبحانه  وتعالى itu dia beli kunci-kunci ke jannah. Dia berikan derma, bersedekah. Dia bantu anak-anak yatim. Dengan hartanya itu akan menyampaikan dia ke jannah.

Apabila kita meninggal dunia nanti yang akan kita tinggalkan nanti ada tiga iaitu:

1)Harta benda kita.

2)Isteri dan anak-anak kita.

3)Amal soleh kita.

Harta benda, isteri dan anak-anak kita tak akan ikut kita masuk ke kubur tapi segala amalan kita yang akan ikut kita. Subhanallah!! Apabila terputus nyawa kita maka sudah terhenti segala amalan. Tak boleh nak baca maulid lagi, tak boleh nak baca Al-Quran lagi, tak boleh nak sembahyang lagi, tak boleh nak puasa lagi.

Mana yang kita nak dapatkan pahala? Bagaimana kita nak survive dalam keadaan yang kita tak boleh nak beramal lagi? Sebagai bekalan pencen kita yang akan terus dan terus sampai yang Nabi ﷺ sebutkan "Apabila meninggal anak Adam putus segala amalannya kecuali tiga perkara:

1)Sedekah jariah.

2)Ilmu yang bermanfaat.

3)Doa anak yang soleh yang mendoakan orang tuanya.

Kita lihat setiap orang berbeza-beza jalannya. Allah سبحانه  وتعالى bukakan kita jalan, Allah سبحانه  وتعالى tunjukkan kita jalan tapi jalan yang mana satukah yang kita nak pilih untuk sampaikan kita ke destinasi yang kita nak tuju. Adakah jalan yang kita pilih itu akan menyampaikan kita ke syurga ataupun sebaliknya semuanya bergantung kepada diri kita.

SYEIKH ABU ZAKI BIN YUSUF  AS-SANGGAFURI HAFIDZOHULLAH

MARI KITA BERHIJRAH MENINGGALKAN APA-APA YANG DILARANG OLEH ALLAH

Agama itu simple, mudah. Ulama mengatakan " agama itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

1)Meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah سبحانه  وتعالى (Meninggalkan maksiat).

2)Mengerjakan apa-apa yang diperintahkan oleh Allah سبحانه  وتعالى (Melakukan ketaatan).

Akan tetapi, Ulama mengatakan "Bahagian yang pertama itu adalah lebih berat, lebih sulit, lebih susah daripada mengerjakan apa-apa yang diperintahkan oleh Allah سبحانه  وتعالى." Ada orang ibadah mungkin setiap tahun umrah, ada orang ibadah mungkin setiap hari dia bersedekah, ada orang mungkin setiap hari dia berpuasa tetapi belum tentu setiap orang dapat dan mampu menahan dirinya meninggalkan syahwat (maksiat) yang dilarang oleh Allah  سبحانه  وتعالى.

Oleh kerana itu, Al-Imam Al-Haddad Rahimahullah ketika ditanya oleh seseorang " Wahai Imam!! Orang mana daripada dua macam orang ini yang paling afdal? Satu orang yang banyak melakukan daripada amalan-amalan yang soleh tetapi juga dia melakukan apa-apa yang dilarang oleh Allah سبحانه  وتعالى? Satu lagi orang yang dia tak melakukan banyak amalan soleh tetapi dia tidak juga bermaksiat kepada Allah سبحانه  وتعالى?"

Imam Al-Haddad mengatakan "Yang paling afdal itu adalah orang yang tidak banyak melakukan amal ketaatan dan amal soleh tetapi dalam masa yang sama dia tidak juga tidak banyak melakukan kemaksiatan bahkan tidak melakukan apa yang dilarang oleh Allah سبحانه  وتعالى."

Ulama mengatakan "Melarang diri kita, menahan diri kita daripada apa yang dilarang oleh agama, apa yang dilarang oleh Allah سبحانه  وتعالى tidak mampu dilakukan kecuali hanya sedikit sahaja iaitu orang-orang yang jujur terhadap dirinya, orang-orang yang betul-betul nakkan redha Allah سبحانه  وتعالى, nakkan redha Rasulullah ﷺ yakni golongan Para Siddiqin ( Orang-orang yang benar)."

Oleh kerana itu, orang yang mungkin banyak berpuasa belum tentu boleh dia menahan nafsunya daripada melakukan perkara-perkara yang bermaksiat, ada orang yang mungkin setiap tahun dia mengerjakan umrah tapi belum tentu dia bisa mengamankan, menjaga lidahnya daripada menyakiti hati saudara muslimnya yang lain. Begitu juga ibadah-ibadah yang lainnya.

Oleh kerana itu, Rasulullah ﷺ mengatakan " Orang yang berhijrah itu bukanlah hanya semata-mata orang yang berhijrah berpindah daripada satu tempat ke tempat yang lain tetapi orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan (meninggalkan kejahatan). Dan begitu juga mujahid itu bukanlah orang yang mengangkat senjata yang berjihad di medan perang tetapi mujahid yang sebenarnya ialah orang
yang memerangi hawa nafsunya."

HABIB MUHAMMAD HAYKAL

PERLUNYA KITA BERTAUBAT SETIAP HARI

Kita diwajibkan untuk kita selalu bertaubat kepada Allah سبحانه  وتعالى. Kita sebagai seorang manusia sebagai ummat Rasulullah  ﷺ. Kenapa kita perlu bertaubat kepada Allah سبحانه  وتعالى? Kenapa kita perlu kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى? Kenapa kita selalu dituntut untuk istighfar kepada Allah سبحانه  وتعالى? Ini merupakan adab seorang hamba kepada Tuhannya.

Dan tanda seorang itu betul-betul digolongkan dalam kalangan orang-orang yang tawadhu itu adalah dia selalu beristighfar kepada Allah  سبحانه  وتعالى, selalu kembali dijalannya Allah سبحانه  وتعالى dengan istighfar dan taubat kepada Allahسبحانه  وتعالى. Kenapa kita perlu bertaubat? Pertama, Ulama mengatakan "Manfaat daripada taubat adalah agar diterima amal ibadah kita dan kita mendapatkan taufik dari Allah سبحانه  وتعالى."

Perlunya kita taubat kepada Allah perlunya kita kembali kepada Allah  سبحانه  وتعالى kerana orang yang selalu melakukan maksiat kepada Allah سبحانه  وتعالى tidak akan tenang hatinya tidak akan pernah merasakan kelazatan ibadah kepada Allah  سبحانه  وتعالى tidak akan pernah merasakan kelazatan munajat kepada Allah سبحانه  وتعالى. Oleh itu, kita sebagai seorang manusia seharusnya kembali kepada Allah  سبحانه  وتعالى.

Jadi kita tengok diri kita dalam seharian berapa kali kita taubat kepada Allah سبحانه  وتعالى, beristighfar kepada Allah سبحانه  وتعالى? Oleh kerana itu, kita disunnahkan setiap pagi sebelum kita memulakan aktiviti seharian kita maka kita solat istikarah dan solat taubat. Begitu juga di malam hari kita bertaubat kepada Allah kita solat sunat taubat minta pengampunan dari Allah سبحانه  وتعالى.
  
Yang kedua, kata Ulama kenapa kita perlu taubat? Kerana taubat itu di dalam semua ibadah kita adalah yang wajib sedangkan amal-amal yang lain daripada kewajiban, sunnah dan selainnya itu merupakan hal yang bukan dihitung dari asasnya. Di dalam kitab Minhajul Abidin, Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah mengatakan "Perumpamaan orang yang taubat kepada Allah سبحانه  وتعالى dan dia mengamalkan amalan-amalan soleh seperti seorang yang menghadiahkan kepada Raja hadiah berupa wanita yang cantik lagi hidup.

Manakala orang yang di dalam sehariannya tidak pernah taubat kepada Allah سبحانه  وتعالى ataupun juga dia beramal soleh tapi dia melakukan maksiat maka ini seperti orang yang menghadiahkan Raja hadiah berupa wanita yang cantik tapi wanitanya mati menjadi mayat."

Jadi taubat itu seperti asas. Bagaimana kita beribadah kepada Allah سبحانه  وتعالى tetapi setiap hari kita bermaksiat kepada Allah سبحانه  وتعالى. Jadi tidak mungkin daripada adab  sebagai seorang yang menuntut ilmu yang mana dia ingin mendapatkan ilmu yang bermanfaat yang barokah yang diberkati yang akan menghasilkan rasa takut dia kepada Allah سبحانه  وتعالى yang akan mendekatkan dirinya kepada Allah سبحانه  وتعالى kalau dirinya tidak bertaubat kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Keutamaan taubat adalah supaya amal kita diterima dan di dalam kita bertaubat kita mendapat taufik dari Allah سبحانه  وتعالى untuk kita melakukan amal kebaikan dan terus mendekatkan diri kepada-Nya dan kita tergolong dalam golongan orang-orang yang dicintai oleh Allah   سبحانه  وتعالى. Oleh kerana itu, kita setiap hari kena taubat kepada Allah.

Pagi kita solat sunat taubat, malam kita solat sunat taubat supaya kita selalu mendapatkan taufik dari Allah سبحانه  وتعالى .Orang yang sudah jarang taubat yang jarang istighfar itu biasanya orang yang sombong. Kenapa? Kerana jarang kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى. Kata Rasulullah ﷺ "Menangislah kalian. Kalau kalian tidak mampu menangis itu kerana kerasnya hati maka berusahalah paksalah kalian untuk menangis."

Kalau kita tidak mampu menangis itu bermakna hati kita keras. Jadi di dalam taubat kepada Allah kita kena paksa diri kita buat diri kita untuk menangis dengan kita ingat dosa dan kesalahan yang kita dah lakukan, kita ingat kekurangan kita, kita ingat keburukan kita, kita ingat nanti di Yaumul Qiyamah kita berada di golongan yang mana? Adakah kita bersama orang-orang yang diberikan nikmat ataupun sebaliknya?

Itu semua mengingatkan akan lemahnya kita sebagai hamba dan InshaAllah dengan kita selalu muhasabah diri kita InshaAllah akan membuatkan hati kita lembut dan sering-sering membaca Al-Quran, sering-sering membaca selawat kepada Rasulullah ﷺ kerana orang yang sering membaca selawat kepada Baginda Nabi ﷺ akan mendapatkan rahmat daripada Allah hatinya akan lembut. Kalau hatinya lembut maka dia akan mudah untuk kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى.

HABIB MUHAMMAD HAYKAL AL-KHANEMAN HAFIDZOHULLAH

TANDA KASIH SAYANG ALLAH

Bala dan ujian ini terkadang-kadang terjadi pada seseorang itu kerana untuk mengangkat darjat seseorang.  Di dalam hadis Nabi Muhammad‌ ﷺ "Bila Allah cintakan salah seorang hamba-Nya maka Allah akan menguji hamba-Nya."

Sehinggakan berkata sebahagian Para Solihin. Mereka sangat takut sekiranya mereka tidak sakit selama sebulan, dua (dalam 40 hari mesti kena sekali sakit, ujian, bala). Mereka risau mereka hidup, duduk dalam kehancuran sekiranya langsung tidak sakit sebab mereka merasakan itu satu istidraj daripada Allah ‌‌‌ سبحانه  وتعالى.

Di sana ada ujian untuk mengangkat darjat seseorang. Oleh kerana itu, orang mukmin, dia merasa perit apabila menghadapi sakaratul maut. Kerana apa? Disebutkan di dalam hadis Nabi ﷺ "Bila Allah sayangkan hamba-Nya maka Allah akan peritkan, berikan kesakitan ketika menghadapi sakaratul maut."

Apakah sebabnya? Kerana supaya apabila seseorang mukmin itu meninggal dunia maka dia akan mati dalam keadaan suci, bersih daripada dosa-dosanya sepertimana keadaan ketika dia dilahirkan. Tak ada dosa.

Sebahagian ujian, bala ataupun musibah diberikan oleh Allah‌ سبحانه  وتعالى untuk menguji keimanan hamba-Nya. Sepertimana yang sedang terjadi kepada saudara kita orang Islam ASWJ di pelbagai tempat baik itu di Syria, Palestin, Yemen, Burma dan sebagainya.

Allah ‌ سبحانه  وتعالى menguji untuk melihat adakah kita ini merupakan seorang yang bersyukur ataupun kufur. Ada manusia bilamana datang ujian menimpanya maka dia akan menjadi kufur. Jadi ujian, musibah ataupun bala yang menimpa itu adalah cara untuk Allah membezakan, mengasingkan hamba-Nya yang buruk dan baik.

Dan ada juga ujian, bala dan musibah yang diberikan oleh Allah untuk menghapuskan dosa seseorang supaya hamba-Nya sentiasa kembali kepada Allah. Apabila dia diberikan ujian maka dia terus kembali kepada Allah, dia terus bertaubat kepada Allah‌ سبحانه  وتعالى. Kerana ada sebahagian orang tidak faham kecuali apabila dah kena rotan. Apabila dah kena rotan, kena denda maka baru dia akan faham dan sedar diri.

Dan ada juga orang yang melakukan maksiat, dosa tetapi dia masih tidak mahu bertaubat maka Allah akan mengujinya, memberikan hadiah berupa musibah, ujian ataupun bala untuk menghapuskan dosa orang tersebut. Ini semua adalah tanda kasih sayang Allah‌ سبحانه  وتعالى kepada hamba-Nya.

SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH

RAHSIA BISMILLAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi  Maha Penyayang.

Di sini Allah sebut dengan nama Nya, yang mana Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 2 sifat ini adalah sifat Allah yang termasuk dalam Asmaul Husna, yang 99.

Ertinya sifat-sifat Allah yang disebut dalam Asmaul Husna, yang ada dalam Quran dan Hadis, itu semua merupakan 1 pakej yang memperlihatkan kebesaran, keagungan dan kehebatan Allah.

Daripada keseluruhan itu, yang merupakan 1 pakej, yang Allah tidak sebut sebenarnya lebih banyak tidak terhingga. Ertiya kebesaran dan keagungan Allah tidak ada kesudahan tetapi Allah hanya sebutkan 99.

Daripada 99 sifat Allah itu, Allah sangat menonjolkan sifat rahman dan rahim Nya. Sebab itu Hadis ada menyebut,

"Setiap perkara-perkara yang baik, kalau tidak dimulakan dengan Bismillah maka terputuslah berkatnya."

Mengapa Allah tonjolkan 2 sifat ini dan tidak yang lain?

Kalau kita kaji setidak-tidaknya ada beberapa maksud atau  faedahnya iaitu:

1) Kalau kita prihatin, memang 2 sifat inilah yang tertonjol.

Buktinya, ia berlaku dari kita bangun tidur sejak pagi. Sedar-sedar sahaja kita boleh bernafas. Hidup lagi aku. Sayangnya Allah dengan aku. Dengan nafas itulah aku boleh hidup. Hidup itu sendiri adalah rahman dan rahim Allah. Bila kita pergi bilik air, itu rahman dan rahim Allah.  Boleh melangkah lagi aku. Allah sayang lagi dengan aku. Masuk bilik air, ada air lagi untuk mandi. Kita rasa segar. Tenaga kita yang tidak aktif semalaman itu, bila dapat air, terasa segar. Itulah kasih sayang Allah. Baru sampai bilik air sahaja, berapa ribu rahman dan rahim Allah. Mandi, bernafas dalam bilik air.

Lepas itu kita boleh sembahyang dengan rahman dan rahim Allah juga. Seterusnya kita keluar pergi  kerja dengan nafas yang turun naik, itu juga rahman dan rahim Allah yang berlaku setiap detik.

Kita melangkah kaki, memijak di bumi Allah. Kalaulah Allah jerluskan, kan dahsyat. Boleh berpijak dengan baik di bumi Allah. Boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah,  Rupaya mata aku tidak buta. Ini rahman dan rahim Allah. Dengan rahman dan rahim Allah itu, kita seperti di lambak-lambak dengan nikmat Allah.

Jadi itu hikmah yang pertama mengapa Allah menonjolkan diri Nya dengan  2 sifat ini. Kalau orang prihatin dalam kehidupannya, mata, akal dan rohnya prihatin, memang sifat rahman dan rahim Allah sangat menonjol. Sifat rahman dan rahim Allah yang mencurah-curah itu ibarat seorang di padang pasir, didatangkan salji yang tidak berhenti-henti.

Jadi  munasabahlah Allah suruh menyebut nama ini pada setiap perbuatan yang baik. Memang sifat inilah yang tertonjol.

2)  Supaya berkat setiap kebaikan yang kita buat samada yang bersifat maddi atau maknawi, rohaniah,  jangan lupa bacalah Bismillah

Supaya lahir cinta terhadap Allah. Apa rahsianya? Kita cinta atau tidak cnta Allah, itu tidak jadi masalah bagi Allah. Keagungan Allah tetap. Dia tidak berubah samada kita cinta atau bencikan Nya. Allah seolah-olah mengajar kita, apabila kita membaca Bismillah, kita tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin dengan banyaknya nikmat Allah.  Supaya kita cintakan  Allah. Agar kita jatuh hati dengan  Allah. Faedahnya bukan untuk Allah.

Kalau orang cintakan Allah, automatik dia akan cinta sesama manusia. Untungnya sesama manusia. Bila cinta sesama manusia, tiada pergaduhan, ada tolak ansur, berkerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada peperangan. Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk  Allah.  Di sini ada rahsia dalam rahsia. Dalam rahman dan rahim Allah itu, bila kita kaji hikmahnya,  dalamnya itu ada rahman dan rahim. Hikmahnya itu juga adalah rahman dan rahim Allah. Dalam rahman ada rahman. Dalam rahim ada rahim. Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan.

3) Allah suruh setiap kebajikan itu dimulakan dengan Bismillah

Ertiya dalam satu hari, berapa ratus kali kita baca Bismillah. Hendak makan, minum, pakai pakaian, hendak berjalan, kita baca Bismillah. Apa maksudnya yang lain?

Supaya kita ada rasa kehambaan. Rupanya kita tidak boleh hidup tanpa Allah. Rasa kehambaan itu sifat tawaduk yang wajib. Allah suka sangat hamba itu rasa hamba. Jadi bagi orang yang prihatin, dengan sendiri dia jadi tawaduk, rasa perlu dengan Allah, dia rasa kalau tidak kerana Allah, dia tidak boleh hidup. Lahir rasa bertuhan. Tidak besar ke? Akhirnya hati kita sentiasa berhubung dengan Allah.


4) Hikmah lain yang tersirat, kalau kita tidak baca Bismillah dalam berpakaian, makan minum ertinya apa yang kita buat tidak berkat

Kalau tidak berkat, Allah tidak bersama kita. Bila Allah tidak bersama, itu yang jadi masalah. Bila makan minum, penyakit pun banyak. Bila kita berpakaian, hati jadi lalai, rasa diri cantik dan hebat. Lalai itu adalah satu bala dari Allah. Buat apa pun kalau tidak baca Bismillah, walau pun berjaya Allah beri secara istidraj. Maju di satu  sudut tetapi negatif di sudut lain. Meniaga maju tetapi orang benci, anak isteri tidak harmoni. Oleh kerana Allah marah, diberi secara istidraj, untung di satu sudut, di lain sudut Allah tarik kasih sayang, makan banyak datang penyakit dan lain-lain lagi.

5) Kalau kita kaji lagi dalam Bismillahi rahmanir rahim, terutama bila baca surah al-Fatihah sampai habis, kemudian sebelum baca ayat lain, baca Bismillah, selain hendak pertahankan berkat, kedudukannya sunat sahaja

Tetapi bagi Al Fatehah diwajibkan kerana ia satu ayat daripada surah itu. Kalau  solat tidak baca Bismillah, batal Fatehah, batal solat. Apa maksudnya?

Sebenarnya kita baca Bismilah ini kasih sayang Allah. Bagi kita Al Quran yang isinya ada dalam Al Fatehah itu, kalau kita ada ilmunya, boleh fahami, hayati dan apply-kan nya dalam kehidupan kita,  itu rahmat dan nikmat Allah yang paling besar,  yang mana kita akan selamat di dunia dan Akhirat. Begitu kasih sayang Allah.

Patutlah Allah suruh baca Bismillah di awal Al Fatehah sebab Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Patutlah wajib baca Bismillah pada Al Fatehah, tidak seperti surah-surah lain.

Inilah yang sebenarnya kemuncak hikmah rahman dan rahim Allah. Apa yang dicerita tadi, termasuk dalam isi Fatehah. Didahulukan ia supaya kita nampak sebab nikmat yang lahir, mudah untuk kita faham dan cepat terasa.  Nikmat yang bersifat rohaniah perlu dikaji dan dibahaskan baru terasa. Begitu juga rahmat dan nikmat Allah yang bersifat akliah lebih mudah kita rasa daripada yang bersifat  ruhiyyah atau maknawiyah. Sebab nikmat Allah ada 3 iaitu yang bersifat mata, bersifat akal dan bersifat roh.  Mata cepat nampak nikmat  tetapi itu pun payah untuk terasa.  Yang bersifat akliah, mungkin lambat sedikit untuk terasa manakala yang bersifat ruhiyyah itu lagilah lambat. Perlu dikaji, dicungkil dan diulaskan baru terasa.

Setakat itu pun kita sudah terasa hebatnya Bismillah itu. Terima kasih ya Allah....

Monday 9 October 2017

BERSYUKURLAH KAMU APABILA DIPILIH OLEH ALLAH

Di dalam hadis Rasulullah ﷺ dikatakan "Waktu yang paling baik, menghidupkan waktu yang paling bagus yang paling baik itu adalah antara maghrib dengan isyak." Oleh kerana itu, Auliya Allah dan Ulama mereka selalu berpesan dengan mengatakan "Waktu antara maghrib dan isyak itu merupakan harta terpendam, harta yang melimpah yang akan menjadi modal kita nanti di akhirat dan selama kita menunggu masuknya waktu solat kita dihitung daripada orang-orang yang mengerjakan solat."

Itu merupakan suatu keberuntungan yang besar. Jadi kalau ada orang di luar sana yang mengisi waktunya dengan kesibukkan duniawi dan mungkin juga nauzubillah daripada maksiat kepada Allah سبحانه  وتعالى membuat sesuatu perkara sesuatu amalan yang Allah tak redha.

Alhamdullilah bersyukurlah kita apabila Allah memilih diri kita untuk duduk di masjid-Nya Allah, taman syurga-Nya Allah, mengkaji ilmunya Rasulullah ﷺ , meraih daripada warisan Nabi Besar Muhammad ﷺ , duduk bersama Para Ulama dan Solihin.

Di dalam hadis Rasulullah ﷺ dikatakan "Kalau bukan kerana orang tua dan bukan kerana anak kecil dan juga kerana orang-orang miskin nescaya Allah akan timpakan bencana kepada kita." Kalau adanya orang tua sahaja jadi penolong untuk kita semua. Bagaimana seorang yang alim?

Oleh kerana itu, bersyukurlah kita kepada Allah apabila kita dapat hadir ke masjid, menghadiri majlis talim, berkumpul duduk bersama Auliya Allah, Ulama dan Solihin. Orang yang Allah nak berikan kebaikan kepada dirinya maka Allah akan selalu berikan kepadanya kefahaman di dalam agama. Faham macam mana? Kefahaman akan pengertian apa yang dia simpan di dalam akalnya ataupun kefahaman berupa amal.

Orang kalau faham pasti dia akan beramal. Kalau orang tahu bahayanya daripada neraka jahanam maka pasti dia akan menghindarinya dengan dia tak akan berani bermaksiat kepada Allah pasti dia akan terus meningkatkan amalan-amalan solehnya.

Sesuatu amalan yang kita lakukan pasti perlu didasari dengan ilmu. Ilmu yang kita pelajari tujuannya untuk apa? Untuk diamalkan bukan untuk berjidal bukan untuk berdebat bukan untuk mendapatkan kedudukan di antara manusia bukan tujuannya untuk mendapatkan dunia tetapi ilmu dipelajari untuk diamalkan.Diamalkan tujuannya untuk ikhlas kepada Allah سبحانه  وتعالى tujuannya untuk mendapatkan redha Allah سبحانه  وتعالى.

Oleh kerana itu, pentingnya untuk kita selalu menuntut ilmu untuk menambahkan kefahaman agama kita untuk kita memperbaiki dan meningkatkan amal kita, hubungan kita dengan Allah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah سبحانه  وتعالى.

HABIB MUHAMMAD HAYKAL AL-KHANEMAN HAFIDZOHULLAH

Thursday 5 October 2017

RAHSIA BERKAT

" Saidina Imam Ahmad Bin Hanbal رضي اللَّه عنه وأرضاه berkata, Inilah kelebihan dan Kemuliaan Umat Nabi Muhammad صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم, dengan perkara yang biasa, dengan perbuatan yang kecil, mereka boleh mencapai Barakah Darjat yang tertinggi disisi Allah سبحانه وتعالى.  Berniatlah niat yang baik, walaupun  kamu berada di dalam Majlis, pejabat, sedang menjalankan kerja atau mencari nafakah duniawi dan sebagainya.

Sebab dengan niat ini kita boleh memelihara waktu waktu kita, dengan niat itu kita boleh memotong waktu kita (Berkat Masa), kita tidak akan biarkan waktu itu yang memotong kita (membuang masa), kerana sesungguhhya kamu tidak akan terlepas dari kebaikan selama niat kamu itu baik,yakni Sentiasa berada di dalam kebaikan dengan niat yang baik. Maknanya sentiasa berada di dalam Rahmat Allah سبحانه وتعالى dan sentiasa beribadah kepada Allah سبحانه وتعالى. Mudah mudahan InshaAllah kita mendapat Berkat waktu.

Inilah Rahsia Berkat. Perkara inilah yang susah untuk kita semua capai. Sebenarnya setiap sesuatu di dalamnya mempunyai rahsia. Apakah rahsia itu? Rahsia itu adalah Barakah. Jika ada berkat di dalamnya, maknanya ada rahsia. Rahsianya ialah Berkatnya. Contohnya di dalam majlis Ilmu, berkatnya majlis ilmu itu apabila kita beramal dengan apa yang kita dengar. Maknanya ada berkat. Macam mana nak tahu ada berkat ke tidak? apa yang kita rasa semasa kita berada di dalam majlis ilmu, apa yang kita nak buat setelah keluar daripada majlis ilmu.

Ada seorang bertanya kepada Saidina Ibrahim Bin Adham. Beliau salah seorang ahli sufi yang luar biasa hebatnya, seorang yang terkenal dengan penjagaan setiap saat waktu dan ibadahnya, bahkan kalau beliau dalam tempat kerja, beliau tidak akan buat satu sesuatu selain kerjanya. Beliau di tanya, Wahai Ibrahim aku yakin tidak ada satu istilah yang namanya Berkat, Apakah berkat itu? bukankah semua sama sahaja ,nampak biasa je?

Saidina Ibrahim jawap, Mana yang lagi banyak bilangannya di atas muka bumi dunia ini, bilangan kambing atau anjing? mengikut kajian pakar, seekor anjing boleh melahirkan sekurang kurangnya 7 ekor sekali gus, manakala kambing paling banyak 3 ekor sahaja. sudah tentu anjing yang banyak bilangannya.

Yang kedua, mana diantara dua ekor itu yang selalu kita makan? sudah tentu kita makan kambing. Maknanya hari hari kambing berkurangan. sebab hari hari kita makan kambing. Tapi kenapa kita lihat kambing tak pernah habis sedangkan kita hari hari makannya. Inilah Tandanya Berkat. Anjing tidak ada berkat dengannya. kenapa? apakah rahsia kambing? Kerana kambing ini pada waktu malam tidurnya awal dan bangkit sebelum subuh. Berkatnya. manakala anjing disebaliknya, tidur lambat bising bising,kemudian bangun lepas subuh. Sebab itu bilangan anjing lebih sedikit daripada kambing.

Saidina Imam Ash Sya'rawi رحمه اللَّه تعالى berkata, Barakah itu salah satu tentera daripada tentera tentera Allah سبحانه وتعالى. Ia tidak akan masuk ke dalam sesuatu yang sedikit melainkan ia menjadikannya banyak, dan yang kecil jadi besar. Sebab itu kita disarankan oleh Ulama, sentiasa memohon kepada Allah سبحانه وتعالى, Barakatul Umur, Barakatul Rizqi, Barakatul Sihat, Barakatul Afiah. Kita taknak sihat tanpa ada Barakah. Bila ada keberkatan di dalam kesihatan kita, maka kita boleh melakukan Ibadah dan Ketaatan kepada Allah سبحانه وتعالى. Rezeki yang berkat, apabila kita gunakan rezeki itu untuk Infaq, sedekah, tolong dakwah ulama dan perkara perkara lain yang dicintai dan diridhai oleh Allah سبحانه وتعالى. Inilah Rahsia Berkat.

Berkat itu menjaga dan mengawal seseorang daripada melakukan perkara yang haram. Sama juga jika kita ada kereta, rumah dan harta. Minta lah berkatnya.

Hadith daripada Saidina Muaz meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم bersabda, Wahai Muaz aku mencintai kamu, aku mewasiatkan kepada kamu, setiap kali selepas selesai solat Fardhu, jangan sekali kali kamu terlepas ucap,

اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك
( YaAllah bantulah aku untuk sentiasa berzikir kepada kamu, bersyukur kepada kamu, dan melakukan ibadah yang terbaik kepada kamu)

Kita tak mampu nak melakukan apa apa daripada perkara yang baik dan perkara yang dicintai Allah سبحانه وتعالى melainkan dengan bantuan daripada Allah سبحانه وتعالى. Solat sunat atau puasa sunat lebih berat daripada yang wajib. Takda sapa yang mampu mengerjakan Ibadah sunat itu melainkan orang yang dicintai Allah سبحانه وتعالى. Sebab itu, disunnahkan kita sentiasa berdoa dengan doa yang diajarkan kepada Saidina Muaz tadi.

Maka selalulah kita rujuk dan berharap kepada Allah. Mudah mudahan InshaAllah, semoga Allah سبحانه وتعالى memberikan kepada kita kekuatan zahir dan batin, Rohani dan jusmani ,dunia dan Akhirah. amiin"

Sheikh Abdullah Bin Muhammad Bin Salim Al Jahaf حفظه اللَّه تعالى

HAKIKAT HIJRAH YANG SEBENAR

Rasulullah ﷺ memberitahu kepada kita definisi hijrah itu adalah orang Islam adalah orang Islam lain selamat daripada mulut dan juga tangannya. Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah سبحانه وتعالى.

Hakikat hijrah yang sebenar adalah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah سبحانه وتعالى. Sudah seseorang itu sudah dianggap membuat taat dengan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah سبحانه وتعالى. Apatah lagi kalau dia menghiasi umurnya yang merupakan modal utama yang diberikan oleh Allah yang dia dan setiap orang pun akan dipersoalkan umur itu dimakmurkan dengan ibadah kepada Allah سبحانه وتعالى.

Rasulullah ﷺ memberitahu "Barangsiapa orang yang menjadikan hari ini sama dengan semalam, dia merupakan orang yang rugi. Dan barangsiapa orang menjadikan hari ini lebih teruk daripada semalam, dia adalah orang yang jauh daripada rahmat Allah. Dan barangsiapa yang menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam maka dia adalah orang yang beruntung."

Diceritakan oleh Allah سبحانه وتعالى di dalam Al-Quran. Yang mana perkara itu akan terjadi nanti di hari Akhirat. Kata Allah ketika ditanya oleh beberapa orang yang menyesal kerana hidup di dunia tidak memanfaatkan umurnya. Mereka meminta kepada Allah untuk dikembalikan ke muka bumi ini untuk beramal dengan amal yang soleh.

Allah سبحانه وتعالى menjawab "Bukankah Kami Allah sudah beri kepada kamu umur yang sepatutnya kamu sedar dengan umur itu dan datang kepada kamu peringatan daripada Kami(Allah)." Diberikan dua perkara oleh Allah supaya manusia sedar akan umur yang diberikan oleh Allah سبحانه وتعالى iaitu pemberian umur dan peringatan yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Dan juga ditafsirkan peringatan itu adalah rambut putih yang bilamana sudah muncul di kepala kita merupakan petanda umur kita terhakis sedikit demi sedikit dan kita menghampiri satu rumah yang setiap orang yang pasti akan berada di rumah itu.

Saiznya 3x6 kaki sahaja dan itu adalah rumah kita semua di alam barzakh. Apakah yang menyebabkan rumah itu yang 3x6 boleh menjadi luas? Ianya adalah amal taat kita di dunia. Meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah akan menyebabkan kubur yang hanya 3x6 nampaknya kecil dan gelap kalau tertutup akan diterangi dengan cahaya amal taat ketika berada di dunia.

Akan tersinari dengan perbuatan meninggalkan perbuatan yang dilarang oleh Allah سبحانه وتعالى
ketika berada di dunia. Itu sahaja yang akan menemani dan mengiringi kita di dalam kubur nanti.

Kata Nabi Muhammad ﷺ "Hanya tiga perkara yang akan ikut kepada jenazah ketika mana dibawa ke kubur iaitu harta, keluarga dan amal. Akan kembali dua perkara iaitu hartanya dan keluarganya dan hanya amal sahaja yang akan kekal menemani jenazah(si mati) di dalam kubur."

Daripada mana kita dapat mencari bekalan amal itu kalau bukan daripada umur yang diberikan kepada Allah سبحانه وتعالى kepada kita ketika berada di dunia ini.

[HABIB ALI ZAENAL ABIDIN BIN ABU BAKAR AL-HAMID HAFIDZOHULLAH]

SEBAIK-BAIK BEKAL ADALAH TAQWA

Saidina Ali Bin Abi Thalib Radhiyallahu'Anhu  ketika melintasi kepada suatu perkuburan dengan Para Sahabat, teman-teman beliau.

Beliau mengatakan kepada mereka "Wahai ahli kubur. Harta-harta kamu sudah dibahagi-bahagikan kepada ahli warisnya. Isteri, anak-anak, keluarga kamu sudah berpasangan dengan orang lain. Rumah kamu sudah orang lain yang duduk. Ini berita kami di dunia. Apa berita kamu di alam barzakh sana?"

Saidina Ali Radhiyallahu'Anhu bukan ingin menyampaikan mesej itu kepada mereka yang berada di alam barzakh. Akan tetapi, kepada yang hidup supaya berfikir dengan umur yang diberikan oleh Allah سبحانه وتعال. Yang mana tak lama lagi yang ada di muka bumi ini akan masuk juga ke dalam perut bumi yakni alam barzakh.

Beliau mengatakan "Demi Allah. Kalau diizinkan Allah mereka menjawab soalan aku maka mereka akan menjawab sebaik-baik bekal itu adalah taqwa kepada Allah."

Apakah itu taqwa? Kalau bukan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah سبحانه وتعالى.

[HABIB ALI ZAENAL ABIDIN BIN ABU BAKAR AL-HAMID HAFIDZOHULLAH]

SIFAT ORANG-ORANG BERTAQWA

Sifat orang-orang bertaqwa itu adalah:

1)Orang yang takut pada Allah  سبحانه وتعالى. Orang yang takut itu akan taat dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

2)Beramal dengan apa yang diturunkan oleh Allah  سبحانه وتعالى yakni Al-Quran Dan apa yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ.

3)Berasa qanaah dengan apa yang diberikan oleh Allah سبحانه وتعالى. Berasa cukup dengan apa yang dimilikinya.

4)Menyediakan bekal untuk hari akhirat.

Atau maksud taqwa itu adalah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan melakukan apa yang disukai oleh Allah سبحانه وتعالى.

Kita sekarang lebih suka melihat orang lain daripada melihat diri kamu sendiri. Hisab diri kamu sebelum kamu dihisab. Yang paling utama adalah lihatlah diri kamu sendiri sebelum kamu melihat orang lain.

Apabila kita sentiasa melihat sifat diri orang lain takabbur, hasad, sangka buruk dan lain-lain maka kita tidak akan dapat melihat keburukan diri kita sendiri.

Akan tetapi, jikalau kita melihat diri kita sendiri maka sifat-sifat ini takabbur, hasad, sangka buruk dan lain-lain akan mati dalam diri kita.

Rasulullah ﷺ mengatakan "Orang yang paling baik akhlaknya akan memberatkan timbangannya."

Jadi bekalan utama kita untuk menghadap Allah سبحانه وتعالى adalah taqwa dan iman.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

PAKAIAN TAQWA SEBAIK-BAIK PAKAIAN

Allah سبحانه  وتعالى menyatakan kepada orang-orang beriman "Bertaqwalah kamu kepada Allah." Walaupun ianya nampak khusus akan tetapi ia merupakan suatu seruan yang penting baik ianya itu adalah perintah kepada suatu perintah yang besar ataupun larangan-larangan yang besar.

Yang ianya hanya disanggupi untuk dilaksanakan oleh orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah سبحانه  وتعالى. Oleh yang demikian, setiap daripada perintah yang didahulukan dengan perintah taqwa kepada Allah itu juga adalah merupakan daripada perintah yang ianya adalah perintah yang sentiasa diserukan oleh Allah untuk bertaqwa.

Sebab taqwa itu adalah asas. Mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah سبحانه  وتعالى dan ianya adalah merupakan bekal dan pakaian. Pakaian taqwa itu adalah sebaik-baik pakaian dan sebaik-baik bekal kamu adalah taqwa.

Nanti nak balik bertemu dengan Allah bekal apa yang kita nak bawa? Yang kita nak bawa itu adalah taqwa. Pertama perintah untuk bertaqwa kepada Allah adalah untuk supaya orang yang bertaqwa ini mendapatkan perintah yang jelas. Apa dia? Berimanlah kamu dengan Rasul-Nya yakni Baginda Rasulullah ﷺ.

Kalau kamu beriman kepada Nabi ﷺ apa yang akan kamu dapat? Kamu akan diberikan oleh Allah سبحانه  وتعالى dua bahagian daripada rahmat-Nya. Disebutkan ini adalah pergandaan diberikan gandaan daripada rahmat Allah سبحانه  وتعالى.

Orang-orang yang bertaqwa kepada Allah dan beriman kepada Baginda Rasulullah ianya akan mendapatkan dua daripada kurniaan atau bahagian daripada rahmat-Nya dan menjadikan kepada kamu cahaya. Untuk apa? Untuk kamu berjalan dengannya. Walaupun dalam tafsir mengatakan ianya adalah menunjukkan cahaya utama.

Bila? Di Yaumul Qiyamah sebab nanti di Yaumul Qiyamah ketika mana setiap daripada orang beriman itu diberikan cahaya untuk menyuluh jalan mereka terutama ketika nak melintasi sirat yang begitu gelap.

Disebutkan di antara mereka cahayanya ada sebesar Gunung Uhud. Di antara mereka cahayanya ada yang sebesar diri mereka atau sebesar pokok kurma dan ada di antara mereka yang ianya ada cahaya dihujung jari mereka menyuluh dan ada di antara mereka (orang munafik) yang ketika di pertengahan terpadam cahaya itu dan akhirnya mereka jatuh ke dalam api neraka.

Sedang orang-orang munafik pada dasarnya seolah-olah mereka beriman dan mereka diberikan cahaya juga tapi mereka itu menipu kepada Allah ketika di dunia ini konon-kononnya beriman zahirnya tapi mereka itu kafir di dalam diri mereka. Yang sebenarnya mereka menipu itu adalah kepada diri mereka sendiri maka pada Yaumul Qiyamah ketika mereka nak mengambil cahaya ini.

Tiba-tiba sampai dekat dengan sirat mati cahaya mereka terpadam. Mereka mengatakan "Gelap macam mana ini?" Maka Malaikat mengatakan "Balik kembali ke tempat kamu yakni tempat untuk mendapatkan cahaya." Mereka pun patah balik ramai-ramai maka setelah itu dibina di antara mereka dengan orang-orang yang beriman dinding yang mana mereka berada di sebelah azab ataupun di neraka.

Orang-orang beriman pada ketika itu berasa bimbang dan mereka berdoa kepada Allah "Ya Allah sempurnakan cahaya kami" takut-takut cahaya mereka juga terpadam. Walaupun yang dimaksudkan cahaya ini nanti di Yaumul Qiyamah kelak tetapi sebenarnya ianya juga termasuk bagi mereka orang-orang beriman kepada Nabi ﷺ diberikan cahaya di dunia.

Yang dimaksudkan cahaya itu adalah penyuluh kepada jalan kehidupan mereka supaya mereka dapat mengetahui yang mana itu haq yang benar dan yang mana itu yang batil yang tidak benar.Itu adalah melalui cahaya ilmu dan juga cahaya panduan yang telah diajarkan oleh Baginda Rasulullah ﷺ.

Dan keduanya mendapatkan maghfirah, pengampunan. Kamu mendapatkan keampunan. Ini merupakan suatu kurniaan yang besar daripada Allah سبحانه  وتعالى. Setiap daripada amal kebaikan yang dilakukan itu sentiasa Allah menjanjikan bukan hanya ganjaran bahkan Allah menjanjikan pengampunan.

Contohnya, berjalannya kamu daripada rumah ke masjid. Setiap langkah kamu Nabi ﷺ mengatakan "Satu ganjaran dan digugurkan satu dosa."

Setiap amal kebaikan itu akan diiringi dengan maghfirah. Sebab apa? Sebab pengampunan itu adalah tanda kasih sayang dan kurniaan Allah nak berikan kebaikan-kebaikan dengan diampunkan dosa supaya kamu tak ada sebab nak diazab dan tak ada sebab kamu nak dimurkai oleh Allah.

Itu merupakan suatu kurniaan yang besar.Sebab itu Baginda Nabi ﷺ yang telah pun diberikan keampunan oleh Allah pun sentiasa istighfar kerana yang namanya maghfirah pengampunan itu merupakan kurniaan yang besar daripada Allah سبحانه  وتعالى dan Allah سبحانه  وتعالى itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Betapa Allah سبحانه  وتعالى memberikan kurnia-Nya dengan kasih sayang dan Allah سبحانه  وتعالى dahulukan daripada kasih sayang-Nya dengan pengampunan.

HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED

TANDA-TANDA ORANG MUNAFIK

Nabi ﷺ bersabda "Tanda-tanda munafik itu tiga:

1)Apabila bercerita ia nescaya ia berdusta.

2)Dan apabila menjanjikan ia akan kebaikan nescaya menyalahi ia akan janjinya.

3)Dan apabila dipercayai akan dia nescaya khianat ia. Ertinya tiada menunaikan ia akan barang yang dipercayai ia padanya itu.

Ini antara alamat-alamat (tanda-tanda) munafik. Sebenarnya banyak lagi alamat-alamat munafik. Tanda-tanda munafik :

1)Tanda munafik tak suka minum air zamzam. Orang munafik tak suka minum air zamzam.

2)Tanda munafik yang ini kalau kita ada kita kena jaga-jaga ia iaitu susah sembahyang isyak berjemaah dan sembahyang subuh berjemaah.

3)Tanda munafik lagi sembahyang asar lewat dah nak masuk maghrib baru dia sembahyang asar.

4)Tanda munafik orang yang laju sembahyangnya yang suka nak "shortcut-shortcut" kerana mencuri dalam sembahyang.

Ingat orang munafiq ini tempatnya di bawah kerak api neraka. Jadi begitu di antara tanda-tanda munafik. Itu tanda-tandanya sahaja dan kalau kesan sifat munafik ini akan menyebabkan macam-macam dosa yang besar-besar yang lain. Jadi sekarang kalau kita tak tahu kita ada munafiq ataupun tidak maka engkau boleh installkan, downloadkan anti-virus munafik punya program dalam diri engkau.

Iaitu apa? Engkau selawat setiap hari 100 kali. Siapa yang selawat 100 kali kepada Nabi Muhammad ﷺ setiap hari nescaya Allah سبحانه  وتعالى  peliharakannya daripada api neraka dan peliharakannya daripada sifat munafik. Jadi setiap hari engkau download. Jadi setiap hari engkau baca "Allahumma Solli Ala' Sayyidina Muhammad Wa'ala alihi Sayyidina Muhammad"

Ia jadi anti-virus dalam diri engkau. Kalau handphone, komputer engkau ada anti-virus maka ini engkau bacakan selawat 100 kali setiap hari jadi ia akan menjadi anti-virus munafik dalam diri engkau.

[SYEIKH ABU ZAKI BIN YUSUF AS-SANGGAFURI HAFIDZOHULLAH]

TANDA KESEMPURNAAN ISLAM SESEORANG

Di antara tanda-tanda kesempurnaan islam seseorang itu adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengan dia. Jadi perkara yang tidak ada kena mengena ialah apabila bercakap orang itu tak dapat apa-apa manfaat, faedah langsung. Tak dapat faedah baik kepada yang bercakap dan yang mendengar. Itu perkara yang tak ada faedah, tak ada kena mengena.

Sebab itu Ulama bilang "Lebih baik engkau duduk bersendirian daripada engkau duduk, bercampur dan bergaul dengan ramai orang dikeranakan duduk bersendirian itu dapat menyelamatkan dirimu daripada bercakap sesuatu yang tidak berfaedah dan ianya juga tidak memberikan mudarat kepada orang lain berbanding sekiranya engkau duduk, bercampur dengan ramai orang tetapi apa yang engkau cakapkan itu semuanya tak mendatangkan faedah, pahala kepada diri engkau dan kepada orang lain bahkan banyak mendatangkan dosa."

Sebab itu kita lihat Para Auliya dan orang-orang soleh ini. Mereka ini lebih suka untuk bersendirian "berkhalwat" dengan Tuhannya berbanding nak habiskan masanya duduk borak-borak macam kita ini sebab setiap masa mereka itu akan dimanfaatkan sepenuhnya dipenuhi, diisi dengan ingatannya kepada Allah سبحانه  وتعالى berzikir kepada Allah, mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Sekiranya kita jumpa, tengok orang yang macam ini dalam majlis yang dia itu banyak diam, tak banyak cakap, tak tegur kita sangat. Jangan kita cakap dia sombong pula. Itu bukan sombong namanya kecuali sekiranya memang dia tengok kita dan dia tarik muka dengan kita, dia tak nak salam dengan kita. Itu barulah sombong tapi sekiranya dia senyum dekat kita cuma dia jarang nak cakap dengan kita itu bukan sombong namanya.

[SYEIKH ABU ZAKI BIN YUSUF AS-SANGGAFURI HAFIDZOHULLAH]

DUA CARA NAK TIMBULKAN HENDAK KEPADA AKHIRAT

Macam mana kita hendak akhirat? Sebelum kita bilang "Aku nak sembahyang". Sebelum kita bilang "Aku nak puasa, aku nak haji." Engkau punya hendak itu sahaja merupakan hidayat daripada Allah سبحانه  وتعالى. Engkau punya hendak itu sahaja itu merupakan anugerah dari Allah سبحانه  وتعالى sebesar-besar anugerah.

Tanpa Allah سبحانه  وتعالى berikan engkau hendak itu sahaja. Engkau tak boleh mari ke akhirat. Engkau seperti orang lain yang nakkan dunia, nakkan harta, nakkan kemewahan, nakkan seronok dan nakkan segala perkara yang melalaikan. Engkau punya hendakkan akhirat itu. Itu sendiri merupakan anugerah dan kurniaan dari Allah سبحانه  وتعالى yang sangat besar.

Macam mana aku nak timbulkan hendak ini? Nak timbulkan hendak ini ada beberapa cara. Sepertimana yang disebutkan oleh Al-Imam Habib Abdullah Al-Haddad Rahimahullah di dalam kitab adab sulukil murid iaitu:

1)Tak boleh kita nak ingat akhirat, nak ingat Allah سبحانه  وتعالى kecuali selama ada majlis-majlis seperti ini (majlis ilmu). Di mana kita mengenang akan keagungan Allah سبحانه  وتعالى, kebesaran Allah سبحانه  وتعالى, janji-janji anugerah Allah سبحانه  وتعالى, ancaman-ancaman Allah سبحانه  وتعالى. Itu semua cerita apa itu?
Cerita akhirat. Jadi apabila kita sentiasa terdedah dengan cerita-cerita akhirat maka hati kita akan mula terbuka dan ingat akhirat.

Itu antara salah satu caranya. Salah satu cara lagi yang kita rasa aneh sedikit untuk menimbulkan hendak ini. Disebutkan oleh Al-Imam Habib Abdullah Al-Haddad Rahimahullah di dalam kitab adab sulukil murid itu adalah:

2)Hendaklah engkau selalu duduk dengan Para Auliya dan Para Solihin. Duduk bersama Para Wali Allah, duduk bersama orang-orang soleh. Nanti suatu hari engkau punya hendak pun akan diberikan hendak ketika itu juga. Tatap wajah orang-orang soleh, tatap wajah Wali Allah akan mengubahkan hati kita kepada hendak dunia kepada hendak akhirat.

Kenapa? Sebab memang Wali-Wali Allah ini, Allah سبحانه  وتعالى pasangkan pada diri mereka. Kita pandang mereka sahaja maka kita akan ingat Allah سبحانه  وتعالى. Di antara tanda-tanda seorang Wali Allah, engkau  tengok dia sahaja engkau akan ingat Allah سبحانه  وتعالى. Walaupun kita jarang nampak dia sekalipun. Bila kita teringat pada dia sahaja. Alamak!! Kita yang nak pergi tempat yang tak baik pun tak jadi. Malu rasanya.

Itu Wali Allah. Wali Allah ini engkau pandang dia sahaja maka Allah سبحانه  وتعالى titipkan ke dalam hati engkau ingat kepada Allah  سبحانه  وتعالى. Kerana apa? Kerana bila kita mengadap dengan Seorang Wali Allah itu bukan wajah kita yang mengadap kepada tubuh badan dia tapi hati kita mengadap kepada hati dia.

Apa yang ada pada hati dia akan terpancar kepada hati kita. Itulah yang terjadi kalau kita tatap wajah Para Wali Allah. Dan lebih efektif, berkesan lagi kalau engkau dipandang oleh Wali Allah. Kalau kita dipandang oleh Wali Allah terus imej kita ini dihantar kepada Allah سبحانه  وتعالى. Di masukkan dalam rayunya kepada Allah. Di masukkan di dalam hatinya kepada Allah سبحانه  وتعالى.  

Dan segala bicaranya kepada Allah سبحانه  وتعالى sangat-sangat disukai oleh Allah سبحانه  وتعالى. Oleh kerana itu, kalau engkau dipandang oleh Wali Allah maka engkau akan mendapatkan nazrah (penglihatan) daripada mereka sangat-sangat mengubahkan. Begitu Allah سبحانه  وتعالى tumpahkan ke dalam hatinya.

Kita ini bila kita jumpa Wali Allah, kita pandang Wali Allah ini timbul rasa gusar, timbul rasa nak ingat kepada Allah سبحانه  وتعالى di dalam hati kita.

Jadi dua perkara ini adalah anugerah dari Allah  سبحانه  وتعالى yang mesti kita selalu rebut dan dapatkan supaya kita ini hendak kepada akhirat, ingat kepada Allah سبحانه  وتعالى.

[SYEIKH ABU ZAKI BIN YUSUF AS-SANGGAFURI HAFIDZOHULLAH]

TIGA PERKARA KALAU ALLAH MURKA PADA SESEORANG BERDASARKAN NIATNYA

Habib Ahmad Bin Hasan Al-Attas menyebutkan bahawa "Kalau Allah murka kepada seseorang maka Allah akan berikan kepadanya tiga perkara tapi dalam waktu yang sama Allah سبحانه  وتعالى akan menahan tiga perkara daripadanya berdasarkan niatnya"

Seram!! Jangan katakan nak bersama dengan sesuatu golongan itu ketika di dunia ini lagi. Apatah lagi nanti nak bersama dengan golongan yang diberikan nikmat oleh Allah سبحانه  وتعالى di Mahsyar nanti semuanya itu adalah bergantung kepada niat dan keikhlasan kita ini.

Kalau Allah سبحانه  وتعالى murka kepada seseorang itu maka:

1)Allah سبحانه  وتعالى akan benarkan dia, berikan dia, izinkan dia untuk bercampur-gaul dengan Alim Ulama tetapi Allah سبحانه  وتعالى  halang dia daripada dia menjadi salah seorang daripada Alim Ulama. Katakan dia seorang Ustaz lah. Katakan dia seorang Syeikh lah. Katakan dia seorang Guru lah. Ataupun dia selalu bersama dengan Alim Ulama. Dia mengatakan "Habib Fulan, Syeikh Fulan, Maulana Fulan itu sama-sama duduk dengan ana, sama-sama belajar dengan ana."

Macam sama kan? Sama satu majlis, sama dengan rupa, sama dengan pakaiannya, duduk satu majlis, duduk sama-sama satu sama lain tetapi Allah سبحانه  وتعالى halang engkau daripada jadi salah seorang daripada mereka. Kenapa? Kerana niat engkau tak macam niat mereka. Ikhlas engkau tak macam ikhlas mereka. Engkau sangka engkau dah macam mereka tapi sebenarnya Allah سبحانه  وتعالى halang engkau daripada jadi macam mereka. Nauzubillah min zalik!!!

2)Allah سبحانه  وتعالى berikan dia, izinkan dia untuk melakukan amal banyak. Kita ini kadang-kadang nak buat pun payah tapi dia Allah berikan kemudahan sembahyang rajin, qiamuallai rajin, baca Al-Quran rajin. MashaAllah tetapi Allah cabut ikhlas dari hatinya. Lepas dia buat saja dia ujub, lepas dia buat sesuatu amalan sahaja dia ujub. Allah!!Semua amalannya rosak.

Dia sangka "Aku dah witir tiap-tiap malam tak tinggal, aku dah sedekah hari-hari ini, aku dah banyak buat baik ini dan sebagainya." Sehingga akhirnya nanti dia akan hampar kosong semuanya berterbangan. Kenapa? Kerana niat engkau tak sama dengan niat mereka yang betul-betul niatnya kerana Allah dalam mengerjakan amal.

3)Allah!!! Yang ketiga ini kita takut. Allah سبحانه  وتعالى berikan dia hikmah. Hikmah itu apa? Hikmah itu bijak cakap. Kalau dia bercakap dengan orang punyalah halus, punyalah lembut, punyalah ada sirr yang dia cakap itu tetapi Allah سبحانه  وتعالى halang dia mendapatkan fadhilat daripada hikmah yang ada dalam diri dia itu.

Orang kalau dengar cakap dia boleh jadi baik tetapi dia tak boleh jadi baik. Orang dengar cakap dia boleh tersentuh hatinya, boleh sampai menitiskan airmatanya tetapi dia sendiri tak tersentuh hatinya, tak menitis pun airmatanya. Nauzubillah min zalik!!!

Ini kerana apa? Kerana niatnya tak bersih. Dia cuba nak tipu Allah maka Allah tipu dia. Ini sebabnya niat ini sangat-sangat penting.

SYEIKH ABU ZAKI BIN YUSUF AS-SANGGAFURI

TERUSKAN AMALMU, PERBAIKI NIATMU LAGI

Disebutkan Allah  سبحانه  وتعالى sangat suka kepada seseorang itu bila nak buat amal baik. Dia stop dulu. Dia periksa dulu. Kalau ada mendatangkan manfaat baru dia buat tetapi kalau tak ada memberikan manfaat kepada dirinya dan kepada orang lain maka dia tak akan buat.

Takutkan bila kita dengar? Macam-macam syaratnya kan? Jangan kita berhenti buat amal pula. Bukan!!! Bukan!! Apa yang kita buat sekarang teruskan sahaja. Engkau dermalah, bagus dermamu itu. Engkau buat baktilah, bagus baktimu itu. Cuma kita kena betulkan dan bersihkan niat kita sahaja. Kerja engkau bagus, kerja engkau ini baik orang dapat bermacam-macam manfaat daripada bakti engkau tahu tak? Kerja ini bagus, memang bagus cuma engkau betulkan niat sahaja. Tak payah engkau hairan pasal manusia, tak payah pun engkau sebut pasal dunia, tak payah pun engkau sebut pasal apa kecuali pasal Allah Ta'ala sahaja.

Itu sahaja. Selamatlah amal engkau. Tak payah fikir macam-macam apa orang fikir pasal engkau, tak payah engkau kisah pasal makhluk. Apa yang engkau kisah cumalah apa yang Allah Ta'ala akan fikir pasal engkau. Itu sahaja. Teruskan sahaja segala kebaikan yang engkau kerjakan sekarang ini.

Cuma engkau perbaiki, betulkan dan bersihkan niat-niat engkau sahaja. Tiada niat apa-apa pun kecuali semata-mata kerana Allah Ta'ala. Engkau datang masjid, datang majlis ilmu, belajar, mengajar, bantu orang susah, buat perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada ummat. Semuanya buat kerana Allah Ta'ala.

Sabar ini bila buat sesuatu amalan. Sabar before, during dan after. Sabar sebelum amal adalah engkau kena mujahadah lawan dengan engkau punya malas ini, hawa nafsu engkau ini. Engkau kena sabar nak lawannya. Sabar ketika beramal ini adalah bila engkau melakukan sesuatu amalan maka engkau buatlah sempurna-sempurnanya. Umpamanya engkau sembahyang. Bacalah surah betul-betul, jaga bacaan, jaga tamakninah betul-betul. Dan sabar selepasnya. Jangan engkau riak dan ujub dengan amalan engkau itu.

Engkau belajarlah cuba untuk ikhlaskan semua amalan engkau itu. Jangan engkau berhenti beramal pula sebab engkau rasakan bila engkau buat bakti, buat baik ini engkau takut nanti engkau tak ikhlas pula. Tidak!!! Tidak!!! Bukan macam itu. Engkau nak dapatkan ikhlas ini engkau kena buat amal terus, buat secara istiqamah.

Jangan engkau beramal bila engkau hendak saja, bila engkau tengah semangat nak beramal sahaja tetapi bila engkau mula datang malas terus engkau stop, terus engkau tak nak beramal.

Engkau kena teruskan amal engkau itu sampailah nanti Allah Ta'ala sendiri yang akan datangkan keikhlasan dalam amalan engkau itu sehingga engkau dah tak hairan dah dengan pujian makhluk ke ataupun apa sahaja tetapi yang menjadi keutamaan engkau pada ketika itu hanyalah Allah semata-mata.

SYEIKH ABU ZAKI

JADILAH ENGKAU ORANG YANG BIJAK

Ada orang yang sangat menginginkan dunia tapi akhirat dia tak nak. Ada orang pula yang sangat menginginkan dunia dan akhirat tapi panjang angan-angannya.

Maksudnya apa? Yang pertama, engkau sangat menghendaki dunia tapi akhirat engkau lupakan. Untuk dunia, Allah!!! Bertukus lumus sanggup engkau usahakan. Gigihnya usaha engkau buat. Nak itu, nak ini dan Alhamdullilah bila engkau dah berjaya dapatkan apa yang engkau nakkan sampai engkau lupa kepada akhirat engkau yang lebih utama.

Engkau abaikan seolah-olah engkau ini pasti akan hidup selama-lamanya di dunia ini. Engkau kejar dunia sampai akhirat engkau kehilangan. Engkau bekerja tapi dalam masa yang sama engkau suka tangguh-tangguhkan solat, tak nak solat. Engkau bekerja sampai engkau tak ada masa nak berzikir, tak ada masa nak datang masjid nak solat berjemaah, tak ada masa nak duduk dalam majlis ilmu.

Yang kedua, engkau nak dunia dan akhirat tapi panjangnya angan-angan engkau pasangkan. Kalau dunia itu tak apa, engkau tak dapat pun tak apa tapi kalau akhirat engkau tak dapat maka engkaulah orang yang serugi-ruginya yang akan menyesal nanti di akhirat. Bila kita cakap pasal akhirat maksudnya di sini adalah syurga.

Jadi dalam syurga tak cukup hanya engkau nak saja. Dunia kalau engkau nak saja, engkau ambillah dunia ini tapi itu pun engkau kena usaha juga tapi akhirat engkau nak maka engkau kena tempuh jalannya. Kena hadapi terik payahnya, kena sabar akan ujiannya. Nanti engkau dapat!!

Sebab hari ini ramainya orang yang cakap nakkan akhirat tapi dia tak nak usaha. Tak cukup dengan kemahuan yang membara sahaja namun perlulah disertai oleh keimanan dan amal soleh yang engkau lakukan.

Orang yang hendak akhirat mestilah dia hendak dan masuk jalannya. Tak cukup orang nak berpegang "Ohh!! Ana tahu di sana ada taman." Tak cukup hanya mengetahui di sana ada taman. "Ente nak masuk dalam taman tak?" Nak!!! Kalau engkau nak maka masuklah.

Masuklah nanti engkau sampai. Tak cukup hanya engkau nak, nak saja tapi engkau tak nak masuk, engkau tak nak tempuh jalannya. Orang cerita pasal taman. Orang cerita pasal keindahan taman tapi engkau tak nak masuk langsung nak menuju kepada taman. Engkau nak maka masuklah nanti engkau akan jumpa dan rasa keindahannya.

Tak cukup setakat engkau kata nak, nak, nak!!! tapi engkau tak nak masuk. Ada orang dia memang tak kisah langsung tapi ada orang dia kisah tapi dia hanya berangan-angan sahaja.

Sebut tentang wali, sebut tentang pahala, sebut tentang syurga tapi dia tak nak amal. Jangan!! Jangan!! Jangan!! Bermakna engkau tahu di sana ada taman tapi engkau masih lagi nak bersedap-sedap, nak bersenang-lenang tak nak beramal tapi panjang angan-angan nanti di sana akan merugikan engkau nanti.

Sebab itulah minta maaf (cakap) kalau engkau ambil akhirat pasti dunia engkau akan berkurangan. Pasti!! Pasti!!! Kalau engkau nakkan dunia, akhirat pasti akan terkorban. Mana yang lebih penting? Maka jadilah engkau orang yang bijak, orang yang bijak!!!!

[SYEIKH ABU ZAKI BIN YUSUF AS-SANGGAFURI HAFIDZOHULLAH]

PILIHLAH KAMU JALAN YANG BETUL

Allah سبحانه  وتعالى menciptakan neraka dan sudah menyediakan ahli-ahli untuknya dan Allah سبحانه  وتعالى menjadikan syurga dan menyediakan juga ahli-ahli untuknya. Bagi ahli-ahli neraka,  Allah سبحانه  وتعالى permudahkan mereka jalan untuk menuju neraka. Begitu juga ahli-ahli syurga.

Ada ahli-ahli neraka yang Allah سبحانه  وتعالى nak sampaikan destinasi mereka dengan pelbagai-bagai cara. Ada di antaranya mereka itu miskin di dunia. Dengan kemiskinan ini dia menjadi rakus. Dengan kemiskinan dia menipu. Dengan kemiskinan ini dia jadi tamak. Dengan kemiskinan ini dia jadi dengki. Dengan kemiskinan ini sudahlah dia rugi dunia dan akhirat juga.

Ada juga di antara mereka yang disampaikan ke destinasi yang tidak baik itu yakni neraka itu dengan kekayaan. Dengan kekayaan dia menghambakan wangnya. Dengan kekayaan dia membazir, dia berfoya-foya, dia bermaksiat yang tak dapat dilakukan oleh orang miskin. Dengan kekayaan yang seperti ini akan menyampaikan dia ke destinasinya yakni neraka.

Begitu juga ahli syurga. Ada di antara ahli-ahli syurga yang Allah سبحانه  وتعالى nak sampaikan dia ke syurga Allah dengan kemiskinan. Dia miskin tapi dia sabar. Dia miskin tapi dia redha. Dia miskin tapi dia tetap bersyukur. Dia miskin tapi dia tak rakus dengan harta dunia maka dia miskin di dunia tapi dia mendapatkan kemuliaan di sisi Allah سبحانه  وتعالى.

Dan ada pula orang yang nak disampaikan ke jannah dengan diberikan wang dan harta kekayaan yang banyak. Dengan wang yang banyak dengan harta yang melimpah dengan kemewahan yang diberikan oleh Allah سبحانه  وتعالى itu dia beli kunci-kunci ke jannah. Dia berikan derma, bersedekah. Dia bantu anak-anak yatim. Dengan hartanya itu akan menyampaikan dia ke jannah.

Apabila kita meninggal dunia nanti yang akan kita tinggalkan nanti ada tiga iaitu:

1)Harta benda kita.

2)Isteri dan anak-anak kita.

3)Amal soleh kita.

Harta benda, isteri dan anak-anak kita tak akan ikut kita masuk ke kubur tapi segala amalan kita yang akan ikut kita. Subhanallah!! Apabila terputus nyawa kita maka sudah terhenti segala amalan. Tak boleh nak baca maulid lagi, tak boleh nak baca Al-Quran lagi, tak boleh nak sembahyang lagi, tak boleh nak puasa lagi.

Mana yang kita nak dapatkan pahala? Bagaimana kita nak survive dalam keadaan yang kita tak boleh nak beramal lagi? Sebagai bekalan pencen kita yang akan terus dan terus sampai yang Nabi ﷺ sebutkan "Apabila meninggal anak Adam putus segala amalannya kecuali tiga perkara:

1)Sedekah jariah.

2)Ilmu yang bermanfaat.

3)Doa anak yang soleh yang mendoakan orang tuanya.

Kita lihat setiap orang berbeza-beza jalannya. Allah سبحانه  وتعالى bukakan kita jalan, Allah سبحانه  وتعالى tunjukkan kita jalan tapi jalan yang mana satukah yang kita nak pilih untuk sampaikan kita ke destinasi yang kita nak tuju. Adakah jalan yang kita pilih itu akan menyampaikan kita ke syurga ataupun sebaliknya semuanya bergantung kepada diri kita.

[SYEIKH ABU ZAKI BIN YUSUF  AS-SANGGAFURI HAFIDZOHULLAH]

JAGALAH 4 PERKARA INI AGAR DAPAT BERMIMPI BERJUMPA RASULULLAH ﷺ

Barangsiapa yang ingin untuk bermimpi Rasulullah ﷺ maka banyakkanlah berselawat ke atas Baginda Nabi ﷺ.

Berselawat dengan penuh rasa rindu dan khusyuk untuk bertemu Baginda Rasulullah ﷺ. Dan sentiasalah untuk menyebut nama Rasulullah ﷺ diwaktu senang dan sibuk.

Empat perkara yang perlu kita jaga iaitu:

1)Kita menjaga mata kita daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti melihat aurat orang lain dengan sengaja dan melihat perkara-perkara yang tidak baik.

2)Jaga telinga kita daripada mendengar perkara-perkara seperti bergossip, mendengar sesuatu berita yang tidak sahih, mendengar perkara-perkara yang boleh membuatkan kita menjadi lalai dan sebagainya.

3)Jaga lidah kita daripada berkata sesuatu yang tidak bermanfaat, mengumpat, mencaci, membuka aib orang lain dan sebagainya.

4)Jaga hati kita. Penuhkan di dalam hati kita dengan perasaan kerinduan kepada Rasulullah ﷺ. Sentiasa mengingati Rasulullah ﷺ dalam segala hal yang kita lakukan.

InshaAllah kalau semua perkara ini dapat kita jaga dengan izin Allah kita akan dapat bermimpi berjumpa Rasulullah ﷺ.

HABIB MAHDI BIN ABU BAKAR AL-HAMID HAFIDZOHULLAH

MINYAK ZAITUN DAN SUNNAH RASULULLAH S.A.W

Nabi ﷺ sangat menjaga rambut. Jika anda rasa anda dah terlalu menjaga rambut, percayalah bahawa Rasullullah ﷺ melakukan lebih daripada anda.

Nabi ﷺ sentiasa membawa sikat bersama kemana-mana sahaja. Nabi ﷺ sering menyapu minyak di rambut.

Antara sunnah Nabi ﷺ ialah menyapu minyak di rambut. Hari ini terdapat ratusan jenis minyak rambut di pasaran. Kita menyapu minyak di rambut kerana ia tuntutan sunnah Nabi ﷺ.

Tetapi minyak zaitun mengandungi keberkatan selain ia minyak yang digunakan oleh Nabi ﷺ. Nabi ﷺ suka meminyakkan rambut dengan minyak zaitun.

Sabda baginda,"Makanlah zaitun dan sapulah minyak zaitun, Sesungguhnya ia daripada pohon yang diberkati." Allah ﷻ menyatakan bahawa terdapat keberkatan pada pokok zaitun.

Bagaimanakah cara Nabi ﷺ menyapu minyak zaitun?
Rasullullah ﷺ memiliki cara yang bagus ketika menyapu minyak zaitun. Semua pergerakan baginda ﷺ bertujuan untuk kecantikan. Pada setiap perbuatan tersirat hikmah tertentu.

Permulaan, baginda ﷺ meletakkan minyak zaitun di jari telunjuk kemudian menyapukannya di bulu kening kanan dan kiri. Kemudian baginda ﷺ menyapu di bahagian bawah bibir.

Seterusnya baginda ﷺ menyapu minyak zaitun di kedua kelopak mata dan janggut. Akhir sekali, baginda akan sapukan minyak di rambut dan di anggota badan yang lain.

Begitulah cara baginda ﷺ menyapu minyak zaitun. Jika kita ikuti cara baginda ﷺ menyapu minyak zaitun, percayalah bahawa kita akan merasa dekat dengan Nabi ﷺ .

Habib Muhammad AsSeggaf, Fattabiouni.

ZIKIR FIDA' ( PEMBEBASAN API NERAKA )

Dalam kitab Kifayatul Muhtaj bagi Syeikh Daud al Fatoni Rodiyallahu Anhu disebut sebuah hadith yang berbunyi, ertinya "Barangsiapa mengucap Lailaha illallah 70,000 kali maka sesungguhnya dia telah menebuskan dirinya dari Allah Ta'ala (dijamin syurga).

Sayyid Abu Bakar bin Ahmad bin Abdillah yang hidup di permulaan abad ke 13 dari Tarim,Yaman yang terkenal sangat istiqamah dalam memegang Rasulullah Sollallahu Alaihi Wa Sallam dan para Salafussoleh, biasa mengamalkan bacaan Zikir Fida' (pembebas api neraka) dengan cara mengumpulkan orang untuk membaca tasbih 1000 kali dan Tahlil 70,000 kali yang dihadiahkan untuk orang yang telah meninggal dunia.

Rasulullah Sollallahu Alaihi Wa Sallam bersabda:Barangsiapa membaca Kalimah Lailaha illallah sebanyak 71,000 kali maka bererti dia telah bererti dia telah membeli dirinya sendiri dari Allah.

(Riwayat Abu Sa'id dan Aisyah Rodiyallahu Anhum, rujukan Khazinatul Asrar karya As Sayyid Muhammad Haqqi an Nazili)

Begitu juga kalau dia melakukan untuk orang lain. Hadith ini adalah sebagai sandaran dasar para Ulama' Sufi untuk menamakan zikir dengan kalimah Tauhid dengan jumlah hitungan tersebut (71,000 kali) dengan nama 'Ataqah Jalaliyyah'. Cerita tentang kebenaran zikir ini sudah sangat masyhur di antaranya dituturkan oleh asy Syeikh al Akbar dari Imam Abi Abbas al Quthbi al Qasthalani dari Syeikh Abi Rabi' al Maliki untuk menunjukkan kebenaran hadith ini dengan cara mukasyafah.

Irsyad al 'Ibad halaman 4, karya Syeikh Zainuddin Abdul Aziz al Malibari Rodiyallahu Anhu: Dikisahkan dari Syeikh Abi Yazid al Qurtubi: Saya mendengar dari sebahagian Athar(perkataan Sahabat Rasulullah Sollallahu Alaihi Wa Sallam): "Barangsiapa mengucapkan kalimah Lailaha illallah sebanyak 70,000 kali maka kalimah tersebut menjadi tebusan baginya dari api neraka."

Kisah Kasyfu Syubuhat karangan Ulama' Besar Al Azhar Asy Syarif, Mesir yang merupakan Pakar Hadith,Syeikh Mahmud Hasan Rabi'(wafat tahun 931 Hijrah) telah memetik kata-kata Al Najm Al Ghaiti (halaman 344 dan 345) bahawa; tetapi sayugia bagi seseorang beramal akan amalan tersebut (Tahlil 70,000 kali) kerana mencontohi dengan Tuan-Tuan Yang Mulia dan mengikuti perkataan mereka yang mewasiatkannya serta mengambil berkat dengan perkataan mereka. Berkata Ahmad Hasyad al Maliki; bermula Tahlil itu (70,000 kali) sayugia diamalkannya sebagaimana yang telah disebutkan oleh Syeikh Sanusi di akhir Syarah as Sughra.

Dan adalah Imam Yafi' dan Sayyidi Muhammad al Turjuman dan Para Wali mengamalkannya bagi mayat. Berkata Ibn al 'Arabi:Aku mewasiatkan bahawa engkau membeli diri engkau daripada Allah Ta'ala dengan memerdekakan diri engkau dari api neraka dan memerdekakan mereka yang engkau baca daripadanya (seperti ibu bapa kita) dengan cara engkau mengucap tahlil 70,000 kali.

KISAH ABU YAZID AL QURTUBI RODIYALLAHU ANHU DAN AMALAN ZIKIRNYA 70,000 KALI LAILAHA ILLALLAH

Ini adalah kisah pengalaman Abu Yazid Al-Qurtubi dalam buku untaian kisah para wali Allah. Ada hadis yang menerangkan bahawa barangsiapa yang menbaca La-ilaha illallah sebanyak 70,000 kali, akan menjadi tebusan baginya dari api neraka. Abu Yazid Al-Qurtubi telah mendengar akan hadis itu, maka beliaupun menyakini dan dan beramal dengannya. Beliau telah membaca La-ilaha illallah 70,000 kali untuk dirinya, 70,000 kali untuk ibunya, 70,000 kali untuk ayahnya dan lain-lain keluarganya juga dibacakannya masing-masing 70,000 kali. Disamping itu beliau juga telah mengerjakan amal-amal soleh yang lain sama ada yang sunat apalagi yang wajib sebagai pelaburan untuk akhirat.

Dikampung Abu Yazid ada seorang pemuda soleh yang kata orang dia ahli kasyaf dapat mengetahui perkara-perkara batin dalam waktu-waktu tertentu. Bahkan adakalanya dia menerangkan perkara-perkara batin dalam waktu-waktu tertentu. Bahkan adakalanya dia menerangkan perkara-perkara yang berkenaan dengan syurga dan neraka. Orang ramai mengakui kekeramatan dan kelebihan pemuda itu walaupun dia masih muda kerana sudah banyak terbukti kebenarannya. Abu Yazid juga mengakui akan keistemewaannya. Pada suatu hari dikampung itu ada seorang yang mempunyai hajat. Dia telah menjemput orang ramai agar datang kerumahnya untuk membaca doa selamat dan jamuan makan minum bersama. Maka ramailah yang datang termasuk Abu Yazid Al-Qurtubi dan pemuda kasy-syaf itu juga hadir sama. Apabila bacaan doa telah selesai, jemaah dijemput makan, maka mulailah mereka makan sambil berbual perkara-perkara agama. Tiba-tiba pemuda kasyaf itu berteriak kuat, sehingga menyebabkan semua orang yang hadir berhenti makan dan melihat kedanya. 'Wahai Pakcik! Wahai Pakcik......' kata pemuda itu. 'Ada apa, ada apa?' kata orang ramai. 'Ini dia ibuku.' katanya sambil menunjuk dengan tangannya dan menangis. 'Mana..mana?' 'Didalam neraka.' katanya lagi, lalu menangis kuat-kuat. Orang yang hadir kasihan mendengar tangisnya, namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana dia adalah perkara ghaib.

Abu Yazid Al-Qurtubi sangat kasihan melihat pemuda itu. Dia teringat akan bunyi hadis tentang la-ilaha ilallah 70,000 kali. Sekarang dia ingin membuktikan kebenaran hadis itu. Allah mengilhamkan kepadanya agar dia membaca kalimah Tauhid itu sebanyak 70,000 kali dan menghadiahkannya kepada si ibu pemuda yang katanya ada didalam neraka. Maka dengan senyap-senyap dia mengerakkan bibirnya membaca la-ilahaillallah sehinga tujuh puluh ribu kali. Tak ada seorang pun yang menyedari apa yang dilakukan oleh beliau, kecuali Allah saja yang tahu. Setelah selesai dia berkata dalam hatinya : 'Hadis adalah benar dan orang-orang yang meriwayatkannya adalah benar belaka' Kemudian dia berdoa :'Ya Allah sesungguhnya bacaanku tujuh puluh ribu la-ilaha illallah ini aku hadiahkan kepada ibu pemuda ini sebagai penebusnya dari neraka.' Belum habis dia membaca doa , tiba-tiba sipemuda telah tersenyum gembira sambil berkata : 'Wahai Pakcik, ibu ku telah keluar dari neraka. Alhamdulilahi rabbilalamin'.

Abu Yazid sangat kagum akan kemujaraban kalimah tauhid itu. Sekarang dia bertambah yakin akan kebenaran hadis yang diamalkannya, dan beliau tidak bosan-bosan membaca la-ilaha illallah sebanyak-banyaknya kerana telah menyaksikan sendiri akan hasilnya. Dia juga menyuruh orang lain agar mengamalkan apa yang beliau amalkan. Dia bersyukur kepada Allah kerana telah mengilhamkannya agar membaca la-ilaha illallah ketika si pemuda kasyaf menjerit itu. Radiallahuanhum.