Pages

Sunday 18 October 2015

Asal usul wali 9 V

Al kisah maka tersebutlah perkataan ada seorang2 anak raja Madura bernama raden Sudarma anak kemanakan kepada pengiran Cekara Ningrat. Adapun yang jadi raja di dalam negeri Madura tatkala itu ialah bapa raden Tuarna Jaya maka tatkala ayahnya raden Tuarna Jaya itu kembali ke rahmat Allaha Taa’alaya maka saudaranyalah yang menjadi kerajaan kerana sebab raden Tuarna Jaya itu lagi kecil. Maka kepada tiap2 raja Madura yang bernama pengiran Cekara Ningrat itu masuk mengadap ke Mataram kepada sunan kemudian maka sunan pun bertanyakan raden Tuarna Jawa.

Maka kata pengiran Cekara Ningrat kepada sunan “Tuanku adapun akan anak patik itu lagi kecil tuanku” kemudian maka sunan pun diamlah. Maka pengiran Cekara Ningrat pun fikirlah di dalam hatinya “Jikalau ada lagi hidup Si Tuarna Jaya ini nescaya ialah kerajaan di dalam negeri Madura ini. Jikalau demikian baiklah aku bunuh Si Tuarna Jaya ini”. Setelah sudah ia berfikir demikian itu maka pengiran Cekara Ningrat pun menyuruh seorang menterinya yang terbilang itu pergi pulang ke Sempang membunuh raden Tuarna Jaya maka menteri itupun kembalilah dari Mataram lalu pulang ke Sempang. Setelah sampailah ia ke sempang maka kepada waktu Isyak maka menteri itupun masuk mengadap raden Tuarna Jaya.

Setelah sampailah ia kepada raden Tuarna Jaya lalu ia menangis maka raden Tuarna Jaya pun terkejut seraya bertanya kepada menteri itu katanya “Mengapa paman menteri menangis dan bilamanakah paman ini datang dari Mataram”. Maka sembah menteri itu “Ya tuanku baharu juga semalam hamba tuanku ini datang dari Mataram. Adapun maka sebabnya maka hamba tuanku menangis kerana kenanglah hamba tuanku paduka ayahanda dan bonda kerana hamba tuanku ini di suruh oleh ayahanda pengiran Cekara Ningrat membunuh tuanku kerana tuanku itu tiap2 ayahanda mengadap sunan maka sunan pun bertanyakan tuanku maka sebab itulah ayahanda terlalu amat dukacita hatinya kepada tuanku itu. Maka sekarang ini betapakah fikir tuanku akan pekerjaan hamba tuanku ini”.

Maka kata raden Tuarna Jaya kepada menteri itu “Hai paman tiadalah beta mempunyai bicara melainkan paman yang mempunyai bicara kerana anak ini lagi muda dan jikalau ada lagi hayatnya si rama melainkan jahat baik pun atasnya. Maka sekarang si rama itu telah kembalilah ke rahmat Allaha Taa’alaya melainkan paman menterilah yang akan gantinya”. Maka menteri itupun terlalu amat belas hatinya mendengar kata raden Tuarna Jaya itu maka kata menteri itu kepada raden Tuarna Jaya “Jikalau sungguh yang kata tuanku itu mahulah hamba tuanku memberi suatu bicara tetapi bahawa jangan sekali2 tuanku katakan kepada seorang”.

Maka kata raden Tuarna Jaya kepada menteri itu “Mengapa maka paman berkata demikian itu” kemudian maka kata menteri itu kepada raden Tuarna Jaya “Tuanku jikalau sungguh tuanku hendak perhambakan patik ini maka hendaklah tuanku lari dari negeri Sempang ini kepada malam ini juga” maka raden Tuarna Jaya pun berlengkaplah. Setelah sudah maka raden Tuarna Jaya pun turunlah ke perahunya dengan anak isterinya serta dengan pengkawannya maka lalulah ia berlayar menuju tanah Penarukan.

Kemudian kepada siang harinya maka orang Sempang pun gemparlah mencari raden Tuarna Jaya kepada segenap hutan dan dusun maka tiadalah ia bertemu dengan raden Tuarna Jaya. Maka sekelian yang pergi mencari itupun datanglah kepada menteri itu memberi tahu lamun raden Tuarna Jaya tiadalah dapat. Kemudian maka menteri itupun pergilah ia masuk ke Mataram setengah bulan lamanya ia di jalan itu maka iapun sampailah ke Mataram lalu ia mengadap pengiran Cekara Ningrat mempersembahkan raden Tuarna Jaya itu telah larilah ia. Maka pengiran Cekara Ningrat pun diamlah tetapi di dalam hatinya terlalu amat masygul kerana tiada ketahuan perginya kala2 ia masuk ke Mataram kepada sunan.

Adapun akan raden Tuarna Jaya itu berlayarlah ia ke Penarukan. Setelah sampailah ke Penarukan di sanalah ia bertemu dengan raja Kalisang maka raden Tuarna Jaya pun minta tolong kepada raja Kalisang demikian kata “Hai raja Kalisang tolonglah hamba ini mengalahkan tanah Madura kerana hamba ini orang yang teraniaya tetapi jikalau boleh raja menolong hamba ini Ana Shaa Allaha Taa’alaya anak hamba yang perempuan yang bernama raden Suratan itulah hamba dudukkan dengan tuan hamba”. Setelah raden Tuarna Jaya sudah berkata demikian itu maka raden Kalisang pun berkata kepada raden Tuarna Jaya katanya “Janganlah tuan hamba berkata demikian itu Ana Shaa Allaha Taa’alaya hambalah yang menolong tuan hamba itu”.

Setelah sudah raja Kalishang muafakat dengan raden Tuarna Jaya maka raden Tuarna Jaya pun berlayarlah ia pulang ke Sempang bersama2 dengan raja Kalisang. Setelah sampailah ia ke Sempang maka raden Tuarna Jaya pun naiklah ke Sempang lalu ia menaklukkan tanah Madura sekelian. Setelah sudah takluk maka raden Tuarna Jaya pun menjadi raja di dalam tanah Madura berapa bulan lamanya maka raden Tuarna Jaya pun pergilah ke Surabaya serta dengan menteri rakyat sekelian. Adapun raja Kalisang setelah sudah negeri Madura itu takluklah semuanya kepada raden Tuarna Jaya maka raja Kalisang pun nikahlah dengan raden Suratan.

Setelah raja Kalisang itu sudah di nikahkan oleh raden Tuarna Jaya dengan raden Suratan maka raja Kalisang pun kembalilah ia ke Penarukan serta dengan sekelian rakyat Mangkasar sekelian. Setelah sudahlah ia sampai ke Penarukan serta dengan sekelian rakyat maka raja Kalisang pun diamlah ia di sana berapa bulan lamanya kemudian maka raja Kalisang pun menyuruh membeli padi ke Pesuruhan. Adapun yang di suruhnya itu Karayang Penakan namanya adapun akan Karayang Penakan itu ialah raja Bima kerana ia mengikut kepada raja Kalisang ke tanah Jawa.

Setelah itu maka Karayang Penakan pun berlayarlah ke Pesuruhan setelah sampailah ia ke Pesuruhan maka Kerayang Penakan pun memberi riyal seratus kepada yang empunya padi maka ia meminta padi. Kemudian maka kata raja Pesuruhan kepada Kerayang Penakan “Hai anak adapun akan anak menghendaki padi itu mudahlah ia kepada bapa ini tetapi perahu anak itu hendaklah anak layarkan dahulu di muaralah kelak perahu anak itu maka ia menyuruh mengantarkan padi kerana jikalau perahu anak itu lagi di dalam maka anak muati padi nescaya tiadalah boleh keluar”.

Setelah Kerayang Penakan itu mendengar kata raja Pesuruhan demikian itu maka Kerayang Penakan pun bermohonlah ia kepada raja Pesuruhan lalu ia naik ke perunya lalu ia menyuruh mengilirkan perahunya ke muara di sanalah ia berhenti. Kemudian maka raja Penakan menyuruh kepada temannya pergi ke darat kepada raja Pesuruhan meminta kemudian maka suruhan Kerayang pun berjalanlah baharu seketika itu berjalan. Maka iapun bertemulah dengan orang terlalu amat banyak membawa padi seorang memikul padi dan dua orang yang membawa tembak maka berapa ratuslah yang membawa tembak dan semuanya habis bersembunyi.

Adapun akan menterinya yang menjadi kepala segala rakyat itu empat orang maka keempatnya itu semuanya berkuda maka suruhan Kerayang Penakan pun bertemulah dengan menteri yang empat orang itu. Maka katanya menteri yang empat kepada suruhan Kerayang Penakan “Hendak kemanakah tuan hamba ini” maka kata suruhan itu “Adapun hamba ini di suruh oleh Kerayang pergi ke Pesuruhan kepada Kiyahi meminta padi”. Maka kata menteri itu kepada suruhan itu “Janganlah anak pergi ke Pesuruhan lagi kerana padi Kerayang itu adalah sudah hamba bawa ini” maka suruhan itu pun melihat orang memikul padi terlalu amat banyak tetapi tiada padi itu di pikulnya dengan pikulan buluh.

Adapun yang di perbuatnya pikulan itu tembak dan yang mengiringkan orang yang membawa padi itupun ada dua orang membawa tembak maka berapa puluh yang membawa padi demikianlah pula yang membawa tembak. Setelah suruhan itu melihat hal yang demikian itu maka iapun kembalilah ke perahunya serta datang lalu ia mengadap kepada Kerayang Penakan. Setelah Kerayang Penakan melihat Kari Si Jarah itu datang maka kata Kerayang Penakan kepadaa Kari Si Jarah “Banyaknya engkau datang ini”.

Maka kata Kari Si Jarah “Tuanku ada pun akan patik ini tuanku titahkan pergi ke Pesuruhan itu sudahlah hamba tuanku berjalan tadi. Maka kepada sama pertengahan jalan itu maka patik pun bertemulah dengan menteri Pesuruhan orang sama naik kkuda semuanya maka di belakangnya menteri yang empat orang itu beratus2 orang yang memikul padi. Adapun yang di perbuatnya memikul padi itu tumbuk dan dalam yang seorang memikul padi itu maka dua orang pula orang yang membawa tumbuk mengiringkan dia dari belakang demikianlah halnya ya tuanku tetapi kepada fikiran hamba tuanku yang bodoh ini semata2 hendak mendayakan kita”.

Setelah seketika Kerayang Penakan itu berkata2 dengan Kari Si Jarah maka menteri yang empat orang itupun datanglah ketepi sungai hampir kepada perahunya Kerayang Penakan serta ia berseru2 katanya “Inilah padi Kerayang segeralah Kerayang turun menerima dia dan lagi pun Kerayang di silakan oleh ayahanda itu adalah ia sudah menantikan Kerayang di desa yang hampir itu”. Setelah Kerayang Penakan mendengar kata menteri yang empat orang itu maka Kerayang Penakan pun turunlah ke darat. Setelah sampailah ia ke darat maka Kerayang Penakan pun melihat orang terlalu amat banyak membawa padi tetapi pikulan padi itu tembak yang di perbuat pikulan dan yang di belakang orang membawa padi itu dua orang yang membawa tembak.

Setelah Kerayang Pinakan melihat hal yang demikian itu maka Kerayang Pinakan pun tahulah lamun akan kelakuan yang demikian itu. Maka Kerayang Pinakan pun menyuruh kepada Kari Si Jarah katanya “Pergilah engkau katakan kepada menteri datang membawa padi itu jikalau ia hendak bertemu dengan aku janganlah datang membawa orang banyak dan jikalau ia datang membawa orang banyak nescaya kita sekelian takutlah akan dia” kemudian maka Kari Jarah pun pergilah kepada menteri itu. Setelah ia sampai kepada menteri itu maka sekelian pesan Kerayang pun semuanya di sampaikannya oleh Kari Jarah kepada menteri itu maka kata menteri itu kepada Kari Si Jarah “Jikalau tiada mahu Kerayang itu bertemu dengan raja kami kerana raja kami itu menanti di anak negeri yang hampir ini tiadalah kami berani mengantar padi ini kepada Kerayang”.

Setelah Kari Si Jarah itu mendengar kata menteri yang empat orang itu maka iapun segera kembali memberi tahu kepada Kerayang daripada hal kelakuan orang itu sekelian dan di sampaikannya segala kata menteri yang keempat orang itu. Setelah Kerayang Penakan mendengar kata Kari Si Jarah demikian itu maka kata Kerayang Penakan kepada Kari Si Jarah “Jikalau demikian itu marilah kita naik ke perahu lalu kita pulang ke Penarukan memberi tahu kepada raja Kalisang”. Setelah sudah Kerayang berkata2 demikian itu maka Kerayang pun naiklah ke perahunya lalu ia berlayar pulang ke Penarukan maka lalu ia masuk mengadap baginda raja Kalisang serta menyampaikan segala hal ehwalnya tatkala ia hendak di perdayakan oleh raja Persuruhan dan perinya ia memberi riyal seratus.

Setelah raja Kalisang mendengar sembah Kerayang Penakan demikian itu maka raja Kalisang pun terlalu amat marah kepada raja Pesuruhan seraya katanya “Jikalau demikian baiklah kita langgar negerinya”. Setelah raja Kalisang sudah ia berkata demikian itu maka Kerayang pun menoleh kepada Batang Benuh dan Tukamang katanya “Hai bapa kedua beritahukan kepada sekelian rakyat kepada tujuh hari bulan timbul ini maka aku pergi perang ke Pesuruhan”. Setelah sudah Kalisang memberi titah demikian itu maka Kalisang pun masuklah ke dalam puri. Adapun segala yang mengadap itupun kembalilah masing2 pulang ke rumahnya.

Setelah sampailah kepada tujuh hari bulan timbul maka raja Kalisang pun pergilah perang ke Pesuruhan dengan segala menteri dan hulubalangnya sekelian. Setelah sampailah ia ke Pesuruhan maka Kalisang pun peranglah dengan raja Pesuruhan maka tiadalah lagi kamu panjangkan bicaranya. Maka berapa hari lamanya raja Kalisang itu perang dengan raja Pesuruhan maka Pesuruhan pun alahlah olehnya maka banyaklah orang Mangkasar yang boleh rampasan maka berapa lamanya maka raja Kalisang pun pergi perang ke Surabaya.

Adapun yang jadi raja di Surabaya ketika itu Kiyahi Nilat Seria namanya kemudian maka rakyat Mangkasar pun peranglah dengan orang Jawa Surabaya. Kemudian maka Batang Benuh pun banyaklah dari Pekanciran ada ia membawa rakyat ada dua ratus maka Batang Benuh pun berjalan darat dari Pekanciran lalu ia membakar anak negeri Surabaya. Setelah sekelian orang Surabaya melihat anak negeri Surabaya yang di belakang itu sudah terbakar maka sekelian orang Surabaya pun larilah. Adapun akan rajanya yang bernama Nilat Seria itupun matilah di bunuh oleh orang Mangkasar.

Setelah sudah alah negeri Surabaya maka raja Kalisang pun mengalahkan negeri Grisek kemudian pula maka orang kaya Encik Amar dengan segala orang Melayu itupun mengalahkan negeri Sidayu. Setelah sudah Sidayu alah maka orang kaya Encik Amar pun memberi tahu kepada raja Kalisang lamun Sidayu itu sudah alah. Kemudian berapa lamanya maka segala orang Melayu itu pun berhimpunlah bersama2 dengan orang Mangkasar maka berapa antanya raja Kalisang itu diam di Surabaya maka raja Kalisang pun kembalilah ke Penarukan dengan segala rakyatnya.

Maka berapa bulan lamanya raja Kalisang diam di Penarukan maka raja Kalisang pun pindahlah ke negeri Kapar namanya dengan segala rakyat sekelian istimewa orang kaya Encik Amar dan segala anak Melayu dan Kerayang Bantu Maranu dan Kerayang Mempang dan orang Cayu dan dayang Mengali saudara kepada Kalisang dan tuan haji Bulu2 dan nakhoda Jinal semuanya itu pindah ke negeri di sanalah ia membuat negeri terlalu amat indah2 rupanya. Maka diamlah raja Kalisang di dalam negeri Kapar serta dengan bersuka2an kepada tiap2 hari tiada kholi lagi sekelian anak raja2 Mangkasar itu masing2 dengan kesukaannya kepada malam dan siang itu.

Al kisah maka tersebutlah perkataan raden Tuarna Jaya diam di dalam negeri Madura yang bernama Sempang makan minum dengan segala hulubalang dan rakyat sekelian. Maka kepada suatu malam raden Tuarna Jaya tidur berbaring2 maka ia fikir di dalam hatinya “Aku ini diam di dalam pulau dan jikalau datang suatu hal kemana aku membawa diriku dan seperkara lagi akan anakku raja Kalisang pun ia berperang dengan sunan dan jikalau sekiranya ia alah oleh sunan nescaya kebinasaan itu datanglah kepada aku”.

Setelah sudah raden Tuarna Jaya itu berfikir demikian itu maka iapun tidurlah setelah hari siang maka raden Tuarna Jaya pun keluar ke paseban agung di hadap oleh segala menteri dan hulubalang sekelian. Maka raden Tuarna Jaya bertitah kepada sekelian menteri dan hulubalang sekelian katanya “Hai kamu sekelian berlengkaplah kau sekelian kepada lima belas hari bulan timbul ini aku pergi ke Surabaya”. Setelah segala menteri mendengar titah raden Tuarna Jaya demikian itu maka sekeliannya pun tahulah akan kehendak hati raden Tuarna Jaya itu maka sekelian menteri pun menyuruh berlengkaplah. Setelah sudah maka raden Tuarna Jaya pun masuklah kedalam puri maka sekelian yang mengadap itupun pulanglah masing2 ke rumahnya.

Setelah sampailah kepada lima belas hari bulan timbul maka raden Tuarna Jaya pun turunlah ke perahunya dengan sekelian anak isterinya istimewa segala dayang2 sekelian. Maka segala menteri dan hulubalang sekelian pun turunlah masing2 ke perahunya membawa anak isterinya kemudian maka segala rakyat pun turunlah masing2 pula ke perahunya membawa anak isterinya. Setelah sudah mustaib maka raden Tuarna Jaya pun berlayarlah ke Surabaya sehari semalam lamanya ia di jalan itu. Maka raden Tuarna Jaya pun naiklah ke darat serta dengan segala rakyat sekelian maka raden Tuarna Jaya pun diamlah di Surabaya berapa bulan lamanya maka suruhan sunan serta dengan Walanda pun datanglah ke Surabaya.

Setelah datang maka Walanda pun menaikkan meriam ke masjid Ampel maka lalu menembakkan meriam kepada raden Tuarna Jaya. Berapa hari lamanya ia menembakkan meriam itu maka tiadalah tertahan lagi oleh raden Tuarna Jaya itu maka banyaklah rakyat yang mati dan yang luka. Maka raden Tuarna Jaya pun undurlah ia lalu mudik ke Kediri di sanalah ia diam serta dengan segala rakyat sekelian. Maka berapa bulan antaranya maka raden Tuarna Jaya pun menyuruh mengalahkan Mataram kepada sekelian menteri Madura maka sekelian menteri Madura pun bercakaplah ia kepada raden Tuarna Jaya. Maka sekelian menteri dan hulubalang pun berjalanlah maka berapa lamanya ia di jalan maka segala menteri dan hulubalang pun sampailah ia ke Mataram.

Setelah sampai ke Mataram maka sekelian rakyat Madura pun masing2 membakar dusun Mataram maka sekelian orang dusun pun larilah masuk ke dalam kota mempersembahkan kepada sunan lamun rakyat Madura itu datang mengalahkan Mataram. Maka sunan pun terlalu amat marah serta menyuruhkan segala menteri dan hulubalang Mataram itu pergi memapak musuh Madura itu maka segala menteri dan hulubalang pun pergilah memapak musuh Madura itu. Setelah sudah bertemu kedua pihak rakyat itu maka iapun peranglah daripada waktu pagi2 hari sampai kepada waktu Asar ia berperang itu. Maka rakyat Mataram pun larilah cerai berai maka segala menteri dan hulubalang Madura pun berjalanlah masuk ke negeri Mataram.

Setelah sunan mendengar khabar lamun segala rakyat Madura itu berjalan ia masuk ke Mataram maka sunan pun keluarlah ia dari negeri Mataram. Adapun akan maksud sunan itu hendak turun ke Semarang maka dengan takdir Allaha Taa’alaya maka sunan pun sakitlah. Maka berapa hari lamanya ia sakit itu maka sunan pun kembalilah ke rahmat Allaha Taa’alaya maka anaknya yang laki2 bernama pengiran Adipati itulah yang menggantikan dia kerajaan. Kemudian maka sunan pun di kuburkan oranglah di Tegalungi nama tempatnya kemudian maka anaknya pengiran Adipati pun bernama sunan Mangkurat namanya di sebut orang. Kemudian maka sunan Mangkurat pun turunlah ia ke Semarang di iringkan oleh segala menteri dan hulubalang sekelian.

Setelah sampailah sunan Mangkurat itu ke Semarang maka ia pun diamlah di Semarang tujuh hari lamanya ia diam di Semarang maka iapun pergilah ke Demak. Di sanalah ia diam sepuluh hari lamanya ia di sana maka sunan Mangkurat pun berbicaralah dengan segala menteri dan hulubalang sekelian akan melawan raden Tuarna Jaya berperang itu. Maka sembah segala menteri sekelian sembahnya “Tuanku bolehlah raden Tuarna Jaya itu kita lawan berperang akan menantunya raden Tuarna Jaya yang bernama Kerayang Kalisang itu betapalah hal kita melawan dia kerana segala rakyat kita itupun banyaklah mengikut dia” demikianlah sembah segala menteri2 itu kepada sunan.

Maka titah sunan kepada segala menteri “Dan jikalau demikian itu betapalah bicaramu sekelian” maka sembah segala menteri “Tuanku jikalau patut kepada tuanku itu baiklah tuanku menyuruh ke Betawi minta bantu kepada kompeni”. Kemudian maka sunan Mangkurat pun menyuruh empat buah perahu pergi ke Jekatera minta bantu kepada kompeni. Setelah sampailah ia ke Jekatera maka lalu ia masuk mengadap Jenderal serta ia mengunjukkan surat sunan. Setelah Jenderal sudah membaca surat sunan itu maka Jenderal pun berbicaralah dengan kepala bicara yang dua belas itu. Setelah sudah Jenderal memberi perintah maka menyuruh Sipulman dan kapitan Jangkur pergi ke tanah Jawa itu perang.

Setelah sudah Jenderal memberi perintah maka menyuruh Sipulman dan komandur Kupar dan kapitan Jangkur dan kapitan Pemalat dan raja Pelaka semuanya pun turunlah kapal dengan segala kompeni Walanda dan Bugis dan Bali masing2 turunlah ke perahunya lalu ia berlayarlah ke tanah Jawa. Setelah sampailah segala kompeni itu ke Semarang maka Amiral Sipulman pun naiklah ke darat mendapatkan sunan Mangkurat. Setelah sudah ia bertemu dan memutuskan bicara maka Amiral Sipulman dan raja Pelaka dan Komandur Kupar dan Kapitan Jangkar dan kapitan Pemalat pun turunlah ke perahunya masing2 lalu ia berlayar ke Surabaya.

Adapun akan sunan Mangkurat itu setelah sudah Amiral Sipulman itu berlayar maka sunan Mangkurat pun berjalanlah ke Surabaya di iringkan oleh segala menteri dan rakyat sekelian. Maka berapa hari lamanya ia di jalan itu maka Amiral Sipulman dan sunan Mangkurat dan raja Pelaka dan Kemandur Kupar dan kapitan Jangkar dan kapitan Pemalat pun sampailah ia ke Surabaya. Di sanalah ia berhimpun serta ia berbicara akan pekerjaan berperang itu tengah dua bulan lamanya kompeni dan sunan itu diam di Surabaya. Maka lalu ia berjalan ke Kapar pertama2 yang menjadi kapal perang kepada kompeni itu kapitan Jangkar dan kapitan Kemalat dan yang menjadi bendaharanya itu kemandur bendaharanya itu kemandur Kupar ddan yang menjadi penghulunya di dalam rakyat kompeni itu ialah Amiral Sipulman.

Adapun akan sunan Mangkurat itu bendaharanya bernama Sendurja itulah yang memerintah rakyat Mataram. Maka kepada waktu pagi2 hari maka segala kompeni dan sunan itupun berjalanlah ke Kapar. Maka berapa hari lamanya ia di jalan maka Amiral Sipulman dan sunan pun sampailah ia ke Kapar lalu ia berperang dengan raja Kalisang tiga bulan lamanya ia berperang itu maka raja Kalisang pun alahlah. Adapun akan saudara raja Kalisang yang bernama Dayang Mengali membalik kepada kompeni maka raja Kalisang pun larilah ia ke gunung yang bernama Rata di sanalah ia mati meracun dirinya tiada ia mahu bertemu dengan kompeni. Adapun akan raden Tuarna Jaya itu pun menamai dirinya Penambahan Madu Ratna.

Setelah Penambahan Madu Ratna itu mendengar khabar lamun anak raja Kalisang itu sudah alah maka Penambahan Madu Ratna pun larilah ia ke gunung Kalut di sanalah ia di dapat oleh sunan Mangkurat maka lalu di bawanya ke Karta Sura di sanalah ia di bunuhnya. Adapun akan raden Suratan anak Penambahan Madu Ratna isterinya raja Kalisang itu maka tatkala lagi ia lagi berpatutan dengan Penambahan Madu Ratna maka raden Suratan itupun di perceraikannya dengan raja Kalisang. Maka sebab itulah raja Kalisang itu berperang dengan Penambahan Madu Ratna kemudian maka raden Suratan pun matilah ia di dalam percintaannya akan suaminya demikianlah halnya.

Setelah sudah raja Kalisang itu mati dan Penambahan Madu Ratna itu sudah tertangkap maka kompeni dan sunan pun berbicaralah akan pekerjaan kembali ke Surabaya. Adapun akan dayang Mengali dan rakyat sekelian itupun takluklah kepada kompeni dan sunan. Setelah sudah sunan dan kompeni itu mengalahkan negeri Kapar maka sunan dan Amiral Sipulman dan kemandur Kupar dan raja Pelaka dan kapitan Jangkar dan kapitan Pemalat semuanya itupun turunlah ia ke Surabaya di sanalah ia berhenti.

Adapun akan Bantu Meranu itu telah kembalilah ia ke rahmat Allaha Taa’alaya maka di kuburkan oranglah ia di Keliayar nama negerinya. Adapun akan anak raja Uhuk yang bernama Arung Ciang dan tuan haji bulu2 dan orang kaya Encik Amar sekeliannya itu habis takluk kepada kompeni dan sunan. Adapun akan haji bulu2 dan Arung Ciang dan setengah daripada rakyat Mangkasar itu sekeliannya kembalilah ia ke Mangkasar. Adapun akan orang kaya Encik Amar itu setelah ia datang ke Surabaya lalu ia berlayar ke Kemboja di sanalah ia di langgar perahunya oleh orang Kuci kemudian maka Encik Amar pun matilah ia di dalam perahunya. Adapun akan Amiral Sipulman dan sunan Mangkurat itu dan raja Pelaka dan kemandur Kupar dan kapitan Jangkar dan kapitan Pemalat semuanya itu diam di Surabaya.

Adapun akan sunan Mangkurat itupun menyuruh memanggil pengiran Giri maka pengiran Giri pun tiadalah ia mahu datang. Kemudian maka sunan pun menyuruh memanggil juga dua tiga kali maka pengiran Giri itu pun tiada mahu juga ia datang. Kemudian maka sunan pun memanggil Kiyai Bengas maka Kiyai Bengas pun datanglah mengadap sunan kemudian maka titah sunan kepada Kiyai Bengas katanya “Hai Kiyai pergilah engkau kepada pengiran Giri panggil olehmu ke mari. Jangan sekali2 ia takut akan aku bunuh akan dia sekali2 tiada yang demikian kepadaku dan sampaikan salamku kepadanya” kemudian maka Kiyai Bengas pun kembalilah ia ke Grisek lalu ia naik ke Giri.

Setelah sampailah ia ke Giri maka lalu ia masuk mengadap pengiran Giri maka sekelian pesan sunan Mangkurat pun semuanya sudahlah di sampaikannya oleh Kiyai Bengas kepada pengiran Giri. Maka pengiran pun tiada juga ia mahu bertemu dengan sunan Mangkurat katanya pengiran Giri kepada Kiyai Bengas “Hai anak Bengas bahawa sekali2 tiadalah aku mahu bertemu dengan sunan Mangkurat kerana aku hendak syahid di dalam negeriku”. Setelah Kiyai Bengas mendengar kata pengiran Giri demikian itu maka ia pun bermohonlah kepada pengiran Giri lalu ia berlayarlah ke Surabaya.

Setelah sampai ke Surabaya maka Kiyai Bengas pun masuklah mengadap sunan Mangkurat menyampaikan segala kata pengiran Giri. Setelah sunan Mangkurat mendengar sembah Kiyai Bengas itu maka iapun terlalu amat marah serta menyuruh mengimpunkan segala rakyat. Setelah sudah berhimpun maka sunan dan kompeni pun berjalanlah ke Giri. Setelah sudah sampai ke Giri maka sunan pun berperanglah dengan pengiran dan kompeni pun turunlah ia berperang dengan pengiran Giri daripada waktu pagi2 hari sampai asar maka raden Singasari pun matilah ia dan pengiran Giri pun lukalah ia kena bedil maka negeri Giri itupun alahlah ia.

Adapun akan pengiran Giri itu di suruh bunuh oleh sunan adapun yang menikamnya itu raja Semenep yang bernama Macan Ulang. Setelah pengiran Giri itu sudah mati maka sunan Mangkurat dan kompeni pun turunlah ke Grisek dengan segala rakyat sekelian lalu ia kembali ke Surabaya. Maka antara setengah bulan lamanya sunan Mangkurat di Surabaya dengan kompeni maka sunan Mangkurat dan kompeni pun berbicaralah akan kembali ke Mataram. Maka kemandur Kupar pun meminta negeri Japar dan negeri Surabaya akan tempat kompeni membuat loji maka oleh sunan Mangkurat sekelian permintaan kemandur Kupar pun sekeliannya habis di berinya kemudian maka sunan Mangkurat pun kembalilah ke Karta Sura.

Adapun akan kemandur Kupar kembalilah ia ke Betawi serta membawa anak raja Mangkasar yang bernama Dayang Mengali saudara raja Kalisang. Setelah sampailah ia ke Betawi maka sekelian hal ehwal tanah Jawa pun sekeliannya habis di ceterakannya oleh kemandur Kupar kepada Jenderal. Adapun akan raja Besi setelah sudah ia mengalahkan Cirebon maka iapun kembalilah ke Betawi berapa lamanya ia diam di Betawi maka raja Besi pun matilah ia. Adapun sakitnya raja Besi itu muntah2 darah dan nanah kemudian maka kompeni pun menyuruh membuat loji di Surabaya dan Japar dan Semarang.

Tatkala adapun akan raja Pelaka itupun datanglah ke Betawi setelah sampailah ia ke Betawi maka raja Pelaka pun masuk mengadap Jenderal serta ia meminta pulang ke Mangkasar meminta jadi raja di Buni kepada kompeni. Maka oleh kompeni sekelian permintaan raja Pelaka itupun sekeliannya habis di berinya oleh Jenderal. Kemudian maka raja Pelaka pun kembalilah ke Mangkasar menjadi raja di Buni memerintahkan yang enam orang Bugis maka raja Pelaka pun menamai dirinya tuan Sebaya.

Adapun akan Dayang Mengali itu berapa lamanya ia diam di dalam negeri Betawi maka Dayang Mengali pun sakit muntah2 darah kemudian berapa hari lamanya maka iapun matilah ia. Maka sentosalah kompeni daripada pekerjaan tanah Mangkasar dan tanah Jawi maka duduklah tetap di dalam pekerjaan negeri Betawi.

Sumber: Hikayat Tanah Jawa
Manuskrip British Library

No comments:

Post a Comment