Pages

Thursday 28 December 2017

Kelebihan Hari Juma'at ٤

Terjemahan kepada bahasa melayu rumi

Dan adapun pada kaki, maka dimulai daripada kelingking kaki kanan dan disudahi kepada jari kelingking kaki kiri atas tertib aturan segala jarinya. Dan kaifiyat ini dinyatakan oleh Ibnu Ar Rifa'ah. Dan pada satu kaifiyat, dimulai pada kerat kuku dua tangan dengan telunjuk tangan kanan, kemudian jari tengah, kemudian jari manusia (jari manis), kemudian kelingking, kemudian ibu tangan, kemudian kelingking kiri, kemudian jari manusia (jari manis), kemudian jari tengah, kemudian jari telunjuk, kemudian ibu jari tangan. Kata Syeikh Bajuri رحمه الله kaifiyat ini muktamad.

Dan sabda Nabi صلى الله عليه وسلم, "Barangsiapa kerat kuku pada hari Sabtu dan hari Juma'at dan menggunting misainya, diafiatkan (disembuhkan) dia daripada sakit gigi dan sakit mata".

Kata Ja'afar رضى الله عنه, "Barangsiapa kerat kuku dan gunting misainya tiap-tiap hari Juma'at dan berkata pada ketika mengerat dan menggunting itu بسم الله وبالله وعلى سنة محمد وآل محمد, tiada gugur yg dikerat itu melainkan ditulis Allah Taala dengan dia pahala merdeka seorang hamba sahaya dan tiada sakit melainkan sakit mati".

Kata Ja'afar رضى الله عنه, "Barangsiapa kerat kuku pada hari Rabu, maka dimulai pada kelingking tangan kanan dan disudahi dengan kelingking tangan kiri, nescaya aman (selamat) dia daripada sakit mata".

Dan daripada Musa Bin Bakir katanya bagi Abil Hassan رضى الله عنه berkata, "Sahabat kami menggunting misai dan mengerat kuku pada hari Juma'at. Maka berkata Ia سبحان الله وتعالى ; Ambil olehmu akan dia jika engkau kehendak pada hari Juma'at dan pada segala hari".

Dan sabda Nabi صلى الله عليه وسلم, "Jangan memanjang oleh seorang akan misainya, maka bahawasanya syaitan berbuat sarang padanya berselindung ia dengannya".

Dan daripada Umar رضى الله عنه daripada Nabi صلى الله عليه وسلم sabdanya, "خالفو المشركين ووفروا اللحى وحفوا الشوارب yg ertinya Menyalahi olehmu akan Musyrikin dan sempurnakan olehmu akan janggut iaini tinggalkan dia dengan sempurna dan ambil olehmu akan misai hingga nyata tepi bibir mulut".

Kitab Jauharul Mauhub 55
As Syeikh Ali Bin Abdul Rahman Al Kalantani

Kelebihan Hari Juma'at

Terjemahan kepada bahasa melayu rumi

Riwayat daripada Sulaiman رضى الله عنه katanya, Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda "Adakah kamu ketahui kenapa dinamakan dengan Hari Juma'at?" Jawabku "Tiadaku tahu". Sabdanya صلى الله عليه وسلم "Kerana dihimpunkan padanya bapa kamu iaitu Nabi Adam".

Kata setengah ulama iaitu berhimpunan jasad Nabi Adam dengan rohnya setelah 40 tahun. Kata qil, kerana berjumpa Nabi Adam dengan Siti Hawa setelah berpisah dalam waktu yg panjang.

Kata qil, kerana berhimpun ahli negeri dan ahli dusun (Mujahirin dan Ansar) padanya. Kata qil, kerana terjadinya hari kiamat padanya iaitu يوم الجمع. Firman Allah Taala ertinya "Pada hari menghimpunkan Ia akan kamu bagi hari menghimpunkan" menyebutkan dia oleh Syeikh Abdul Qadir Al Jailani.

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "Sesungguhnya aku menyukakan kamu dengan 3 kesukaan yg telah mengkhabarkan aku oleh Jibril padaku". Sembah sahabat "Khabarkan olehmu akan kami". Sabdanya "Telah menyukakan aku oleh Jibril dengan 70000 hamba dimerdekakan oleh Allah Taala daripada api neraka pada tiap-tiap malam Juma'at. Dan menyukakan aku dengan 99 tilik yg menilik Allah Taala dengannya kepada umatku pada tiap-tiap malam Juma'at, barangsiapa menilik akan dia oleh Allah Taala nescaya tiada diseksakan dia dan tiap-tiap amal yg dikerjakan oleh manusia pada hari Juma'at, dituliskan baginya 70 kebajikan".

Kata Syeikh Abdul Qadir As Sakilani didalam Kitab Ghoniyyah, telah merojihkan oleh jemaah daripada ulama akan kelebihan malam Juma'at atas malam Lailatul Qadr kerana ia berulang-ulang. Maka pahalanya amat banyak, demikian yg diriwayatkan daripada Imam Ahmad.

Kata Saiyyidina Umar رضى الله عنه bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم "Wahai Umar, lazimkan olehmu dengan solat Juma'at. Maka bahawasanya ia merubahkan segala dosanya seperti merubahkan seseorang akan tanah daripada rumahnya. Wahai Umar, tiada daripada hamba lelaki yg mandi pada hari Juma'at untuk Solat Juma'at melainkan keluar daripadanya dosa seperti hari yg diberanakkan oleh ibunya".

"Wahai Umar, tiada daripada seorang hamba yg keluar daripada rumahnya untuk Solat Juma'at melainkan naik saksi tiap-tiap batu dan tanah dan bumi yg dia berjalan atasnya dengan mengucap istighfar baginya. Wahai Umar, tiada daripada seorang lelaki yg memakai kain dan keluar dia untuk Solat Juma'at melainkan Allah melihat kepadanya dengan pandangan Rahmat dan ditunaikan baginya tiap-tiap hajat yg dia berkehendak akannya daripada pekerjaan dunia dan akhiratnya.

Wahai Umar, bahawasanya Allah Taala menurunkan MalaikatNya pada Hari Juma'at ke dunia, maka berjalan mereka itu pada suatu negeri dunia hingga dikumandangkan azan oleh muazzin, maka apabila dikumandangkan azan, bersegeralah Malaikat kepada masjid. Maka masuk mereka itu daripada beberapa pintu masjid dan menunggu mereka itu akan orang yg masuk padanya sebelum azan.

Maka apabila Malaikat melihat akan orang yg rukuk atau sujud, berkata mereka itu اللهم اعف عنهو تقبل منه yg beerti Hai Tuhanku, maafkan olehMu daripadanya dan terimalah darinya. Lalu berhenti mereka itu pada pintu masjid dan mengira mereka itu akan orang yg masuk dan berjabat tangan mereka itu akannya dan mengucap istighfar mereka itu baginya.

Maka apabila berdiri khatib atas mimbar, duduk mereka itu antara beberapa saf, maka melihat kepada muka segala makhluk dan mengucap istighfar bagi sekaliannya. Maka apabila masuk makhluk kepada Solat Juma'at, lalu masuk mereka itu sertanya sampai dapat mereka itu berkat Juma'at.

Maka apabila imam memberi salam dan berdoa, maka mengucap آمين mereka itu didalam jumlah perhimpunan orang yg banyak. Maka diampuni bagi mereka itu dengan berkat Malaikat. Maka apabila berpaling mereka itu daripada tempat solat, dilipat oleh segala Malaikat akan suratan catatan amal daripada pahala Solat Juma'at mereka dan tasbih dan istighfarnya.

Kemudian naik segala Malaikat dengan catatan amal ke langit hingga berhenti mereka dibawah Arasy, maka berkata mereka itu "Wahai Tuhanku, inilah Solat Juma'at pada negeri itu. Maka firman Allah Taala, pergi oleh kamu dengan Solat itu kepada Jibril dan kata olehmu baginya, Allah سبحانه وتعالى menyuruh aku bahawa engkau pergi dengan Solat ini kepada khazanah itu yg ada padanya demikian jemaah itu.

Maka dibawa pergi dengannya oleh Jibril kepada khazanah itu pada hal ia didalam materinya hingga hari kiamat".

والله اعلم

كتاب جوهر الموهوب ومنبهة القلوب ٤٩
الشيخ على بن عبدالرحمن الكلنتانى

Kelebihan Zikir Selepas Solat Juma'at

Terjemahan kepada bahasa melayu rumi

(Rujuk kurungan bewarna merah)

Faedah yg diriwayatkan daripada Saiyyidina Anas رضى الله عنه daripada Nabi صلى الله عليه وسلم :
"Barangsiapa membaca Surah Al Fatihah 7 kali dan Surah Al Ikhlas (قل هوالله أحد) 7 kali dan Surah Al Falaq (قل أعوذبر الفلق) 7 kali dan Surah An Nas (قل أعوذبر الناس) 7 kali selepas memberi salam Solat Juma'at sebelum mengubahkan kedudukan kaki iaitu kedudukan kaki seperti duduk tahiyyat akhir dan sebelum berkata-kata nescaya diampunkan Allah Taala baginya akan dosa yg terdahulu dan dosa yg kemudian serta dikurniakan pahala sebanyak orang yg beriman dengan Allah dan dengan hari akhirat".

Dan pada satu riwayat yg lain iaitu "Dipeliharakan dia oleh Allah Taala akan agamanya dan dunianya dan keluarganya dan anaknya".

Kata Ibn Mas'ud رضى الله عنه :
"Barangsiapa membaca doa ini setelah membaca Surah Fatihah dan Al Ikhlas dan Al Falaq dan An Nas sebanyak 7 kali setiap satunya, nescaya dimuliakan Allah Taala akan dia dan direzekikan daripada sebanyak yg tidak dapat dikirakan. اللهم إنى أسألك يا غنى يا حميد يا مبدى يا معيد يا رحيم يا ودود أغننى بفضلك عمن سواك وبحلالك عن حرامك".

Kata Abu Thalib Al Muski :
"Sunat dibaca doa ini setelah Solat Juma'at sebanyak 4 kali iaitu
يا غنى يا حميد يا مبدى يا معيد يا رحيم ياودود أغننى بحلالك عن حرامك وبطاعتك عن معصيتك وبفضلك عمن سواك".
Kata Syeikh Syarqawi, telah menyebut akan demikian itu oleh Ibn Hajar dan Khatib Syeikh Hafni bahawa doa ini datang pada hadith yg sahih daripada Nabi صلى الله عليه وسلم.

Dan daripada Saiyyidina Anas رضى الله عنه :
"Barangsiapa membaca pada hari Juma'at 70 kali akan doa ini nescaya dikayakan Allah Taala atasnya iaitu اللهم اغننى بفضلك عمن سواك وبحلالك عن حرامك".

Dan daripada Abdul Wahab Al Asy'ari نفعنا الله به :
"Barangsiapa mengekalkan atas membaca 2 bait ini pada tiap-tiap hari Juma'at, nescaya mati ia atas Islam daripada ketiadaan syak.
♡ إلهى لست للفردوس أهلا
ولا أقوى على نار الجحيم
♡ فهب لى توبة واغفر ذنوبى
فانك غافر الذنب العظيم
Dan kata setengah mereka itu dibacakan 5 kali selepas Solat Juma'at". انتهى

كتاب جوهر الموهوب ومنبهة القلوب ٥٣-٥٤
الشيخ على بن عبدالرحمن الكلنتانى

Siri sebelumnya :  Kelebihan Jumaat Dan Malamnya

Kelebihan Jumaat Dan Malamnya

Terjemahan kepada bahasa melayu rumi

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "Barangsiapa mati pada hari Jumaat atau pada malamnya diangkatkan daripada dia akan seksa kuburnya".

Kata Imam Al Ghazali didalam Ihya', sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "Barangsiapa mati pada hari Jumaat atau pada malamnya, dituliskan Allah Taala atasnya pahala syahid dan dipelihara akan dia daripada fitnah kubur iaitu soal Munkar dan Nakir dan lainnya".

Diambil daripada Kitab Durus Tsamin (Syeikh Daud Al Fathoni) makna malam Jumaat itu daripada gelincir matahari pada hari Khamis dan habis hari Jumaat dengan masuk matahari hari itu dan jika ditamamkan pada malam Sabtu sekalipun. انتهى

Adapun himpit kubur iaitu tiada lepas seorang daripadanya dan jikalau mayyit itu soleh sekalipun.

Daripada RasuluLlah صلى الله عليه وسلم sabdanya "Ini mayyit yg bergerak arasy baginya dan dibukakan baginya beberapa pintu langit iaitu Sayyidina Sa'ad Bin Muaz bergerak arasy sebab suka dengan rohnya dan telah hadir 70000 malaikat sesungguhnya dipelukkan dia oleh kubur kemudian dibukakan dia daripadanya" Riwayat daripada Saiyyidatina A'esyah.

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "Bagi kubur itu ada himpitnya dan jikalau ada seorang yg selamat darinya, nescaya selamatlah Sa'ad anak Muaz".

Demikian juga kanak kanak tidak lepas daripada himpit kubur. Riwayat dari At Thobari, daripada Abi Ayyub bahawasanya kanak kanak yg ditanamkan maka sabda RasuluLlah صلى الله عليه وسلم "Jikalau lepas seorang daripada himpit kubur nescaya lepas kanak kanak ini daripadanya tetapi himpit kubur bagi kanak kanak itu seperti peluk ibu akan anaknya yg dikasihi. Adapun yg lain daripadanya iaitu ahli maksiat, dihimpit akannya hingga berselisih tulang rusuknya".

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "Barangsiapa membaca Surah Al Ikhlas semasa sakit hendak mati 100 kali, nescaya selamat dia dari fitnah kubur dan daripada himpit kubur dan dan ditanggung akan dia oleh malaikat pada hari kiamat dengan tangannya hingga lalu dia atas Sirot menuju Syurga".

كتاب جوهرة الموهون ومنبهة القلوب
الشيخ على بن عبدالرحمن الكلنتانى

Sunday 24 December 2017

Makna Bidaah

Soalan : Apakah yang dikatakan bidaah?

Jawapan TGSN : Bidaah adalah suatu perkara baru. Bidaah bukanlah suatu hukum. Sebagaimana kita maklum hukum ada lima iaitu Wajib, haram, sunat, harus dan makruh. Kerana itu, suatu perkara baru hendaklah ditimbang pd neraca hukum yg lima ini. Adakah ia wajib atau sunat atau haram atau makruh atau harus. Dari situ juga, lahirnya istilah bidaah hasanah dan bidaah qabihah (buruk/keji). Bidaah hasanah ialah yg selari dgn pedoman hukum. Sementara bidaah qabihah adalah yg bercanggah dgn garis panduan agama.
Dua istilah ini timbul krn ada perkara baru yg dilakukan oleh para sahabat r. Anhum. Apabila perkara ini dirujuk kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم baginda tidak melarang malah memujinya. Contohnya ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengimami Solat maghrib dan membaca سَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَه ketika iktidal, para sahabat membaca doa yg tidak pernah diajar oleh Rasulullah iaitu : رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ : maksudnya, Wahai Tuhan kami, segala puji bagi MU, dengan pujian yang melimpah ruah, agung dan penuh keberkatan padanya. Kemudian Rasulullah bertanya : "Siapakah yang telah membaca pujian tersebut? Lalu Baginda bersabda :" Sesungguhnya aku telah melihat 30 lebih malaikat datang berebut rebut antara mereka, siapakah yang paling awal mencatat pahala pujian tersebut. "

Ada juga perkara baru yang Nabi larang. Contohnya ada sahabat yg tidak mahu berkahwin, ada yg mahu berpuasa dan tidak berbuka dan ada yg berkata akan bertahajud sepanjang masa. Segala amalan ini tidak disuruh oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Contoh lain, seorang sahabat yg setiap kali solat dia akan baca surah al ikhlas. Apabila ditanya oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم, beliau menjawab surah al ikhlas ini menerangkan sifat Ar Rahman. Dia amat suka membacanya. Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : "Kesukaanmu kepada surah itu akan memasukkan kamu ke dalam syurga."

Berdasarkan dalil dalil inilah para Ulama termasuk Sulthon al-Ulama, Imam 'Izzuddin Ibnu Abdissalam membahagikan bidaah kepada lima bahagian iaitu bidaah wajib, bidaah sunat, bidaah haram, bidaah makruh dan bidaah harus.
Adakah Imam Izzuddin, Imam An Nawawi, Imam Ibn Hajar Al-Asqalani dan beribu ribu Ulama daripada salaf dan khalaf tidak faham tentang bidaah ini?
Adakah zaman moden ini orang mula faham tentang bidaah? Untuk diberi gelaran Muhaddith pun belum layak lagi. Hal ini kerana saya (Tuan Guru) membaca kitab Mustholah al-Hadis. Jika seseorang belum membaca, mempelajari dan menulis 20ribu (20,000) buah hadith dengan sanad dan matannya, belum layak digelar Ulama Hadith.
Jika dibicarakan tentang kewarakan, khasyyah, tasawuf dan ibadah seseorang Ulama, pasti kita jauh ketinggalan.
Ada ulama Salaf yang beribadah sepanjang malam. Ada yang menangis setiap malam sehingga timbul dua garisan di bawah mata (seperti laluan air mata). Ada pula yang mengkhatamkan Al Quran setiap hari.

Petikan : Q & A bersama Syeikh Nuruddin Marbu ALBanjari ALMakki
Susunan Al Fadhil Ustaz Muhadir Hj Joll

Tuesday 12 December 2017

HUKUM BERZIKIR DENGAN ISIM MUFRAD (ALLAH - الله -)

1. Berzikir menggunakan Isim Mufrad (الله) adalah harus, berdalilkan firman Allah Ta'ala:
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا
Maksudnya : "Sebutlah nama Tuhanmu dan beribadahlah kepadaNya dengan ketekunan" (Surah Al-Muzammil:8)

Firman Allah Ta'ala :
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: "Dan sebutlah/berzikirlah dengan nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang." (Surah Ad-Dahr: 25)

Firman Allah Ta'ala :
قُلِ اللَّهُ ۖ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ
Maksudnya: "Katakanlah: Allah, kemudian biarkanlah mereka bermain." (Surah Al-An'am: 91)

Telah warid daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Saiyidina Anas Bin Malik radhiyallahu 'anhu:
عن أنس بن مالك رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم: لا تقوم الساعة حتي لا يقال في الأرض : الله الله.
عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله: لا تقوم الساعة على أحد يقول: الله الله.

"Tidak berlaku kiamat sehingga tiada lagi yang berkata :
Allah.. Allah.. "

(Dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab Al-Iman. Imam Tirmizi dalam Kitab Al-Fitan, Kata beliau Hadis Hasan. Juga dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Al-Allamah Ali Al-Qari rahimahullah dalam menghuraikan hadis ini berkata : "Maksudnya ialah tidak disebut Allah, maka tiada lagi hikmah untuk mengekalkan manusia di atas muka bumi ini. Difahami bahawa alam ini kekal kerana berkat para ulama' para amilin, abid solehin dan mukminin umumnya. Inilah yang dikehendaki dengan kata-kata At-Toyyibi radhiyallahu 'anhu : "Sehingga tidak disebut الله الله bermaksud sehingga tidak disebut nama Allah dan tidak disembah".

(Mirqatul Mafatih Syarah Misykatil Masabih, Karangan Mulla Ali Al-Qari: Jilid 5 m/s :226)

2. Tegasnya Ayat-ayat Al-Quran dan Hadits-hadits Asy-Syarif yang menggalakkan berzikir telah datang secara umum dan mutlak tanpa dikhususkan dengan zikir-zikir tertentu.

Tambahan pula tidak ada nas syar'ie yang mengharamkan zikir dengan Isim Mufrad (الله)

Dari sini telah nyata kesalahan sesetengah pihak yang terlalu cepat menentang zikir dengan kalimah الله .

3. Sesetengan yang lain pula menolak dengan alasan ianya tidak tergolong dalam ayat yang sempurna yang memberi maksud sebagaimana yang kita ucapkan : الله أكبر "Allah Maha Agung".

Jawapan kepada persoalan di atas :

Orang yang berzikir dengan Isim Mufrad (الله) tersebut tidak bercakap dengan makhluk, maka ayat tersebut tidak disyaratkan menjadi ayat yang sempurna dan memberi maksud atau makna yang lengkap.

Ini kerana dia berzikir 'mengingati' Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat diri dan hati orang yang berzikir.

Secara tegasnya jumhur ulamak telah menaskan/menyatakan secara teks dalam kitab-kitab mereka bahawa 'HARUS' berzikir dengan kalimah Allah (الله) .

4. Berkata Ibnu Abidin rahimahullah dalam Hasyiahnya yang masyhur ketika menghuraikan Basmalah dan perbincangan mengenai lafaz 'Allah' : Diriwayatkan oleh Hisyam daripada Muhammad daripada Abu Huzaifah bahawa ia - yakni lafaz Allah merupakan Ismul Al- 'Azam.

Begitu pula dikatakan oleh At-Tohthowi rahimahullah : "Dan ramai dari kalangan ulamak dan kebanyakan arifin -berzikir dengannya (kalimah Allah) sehingga di sisi mereka, tiada lagi zikir untuk orang yang telah mempunyai maqam (yang tinggi) melebihi zikir dengan Isim Mufrad". Sebagaimana dalam Syarah Tahrir karangan Amir Hajj.

(Hasyiah Ibnu Abidin, Jilid 1 m/s: 5)

5. Kesimpulan daripada perbahasan-perbahasan yang disebut dalam kitab-kitab para alim ulamak berkaitan dengan zikir dengan kalimah Allah atau juga disebut zikir dengan Isim Mufrad adalah jumhur ulamak mengharuskan berzikir dengan Isim Mufrad ALLAH.. ALLAH.. الله الله .

Wallahu ta'ala a'lam.

Disari daripada kitab:
Haqaiq 'Anit Tasawuf karangan Al-Arifbillah Syeikh Abdul Qadir Isa rahimahullahu ta'ala.

Semoga bermanfaat.

Wednesday 1 November 2017

HATI

Mengenali hati, cara menjaga dan merawatnya
Kenapa hati?

Hati adalah juzuk terpenting dalam diri manusia. Ia ibarat raja atau penguasa dalam diri. Hatilah yang menentukan arah-tuju hidup, adapun anggota-anggota yang lain hanya mengikut sahaja. Hakikat ini telah diperingatkan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;

ألا وَإنَّ في الجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ ألاَ وَهِيَ القَلْبُ
“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Dari hadis ini kita dapat faham bahawa perjalanan diri manusia bergantung kepada hatinya. Jika hatinya bersih, elok dan soleh, maka segala tindakan dan perlakuan yang lahir dari anggota-anggota jasadnya akan turut bersih, elok dan soleh; tangan akan hanya mengambil yang bersih dan elok, mata akan melihat kepada yang elok-elok, telinga juga akan mendengar hanya bunyi yang elok, kaki akan pergi ke tempat-tempat yang elok dan begitu lah seterusnya. Namun jika hati kotor, jahat dan fasiq, maka anggota-angota badan juga akan turut menjadi sepertinya.

Kerana itu, amat penting kita mempelajari tentang hati, memberi perhatian kepadanya dan memantau keadaan hati kita dari masa ke semasa. Perubahan dalam hidup kita bermula dari hati. Hati yang perlu diislahkan terlebih dahulu sebelum kita mengislahkan jasad kerana jasad hanya akan mengekori hati kita. Perubahan yang bermula dari zahir tanpa bermula dari batin (yakni hati), perubahan itu tidak akan kekal lama. Namun jika bermula dari hati, Insya Allah ia akan ia akan kekal buat selamanya selagi hati tidak berubah.

Jenis-jenis hati manusia

Hati yang kita maksudkan bukanlah hati zahir yang dapat dilihat oleh mata kasar apabila kita membedah dada manusia. Hati yang kita maksudkan ialah hati batin yang kewujudannya dapat dirasai oleh perasaan dalaman kita, iaitu hati yang darinya lahir iman atau kufur, ikhlas atau riyak, redha atau kecewa, tenang atau resah dan sebagainya lagi dari perasaan-perasaan dalaman.

Para ulamak Islam –hasil renungan mereka terhadap al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.-, mereka membahagikan hati manusia kepada tiga jenis;

Pertama; Hati yang bersih dan selamat (qalbun salim); iaitu hati orang mukmin yang taat kepada Allah dan RasulNya, benar-benar mengasihi keduaNya, mengutamakan Allah dan Rasul dari segala yang lain dan cita-citanya tidak lain hanya untuk mencapai keredhaan Allah. Hati jenis ini bersih sepenuhnya dari kufur dan syirik dan segala jenis penyakit hati sama ada penyakit syak (ragu-ragu), riyak, ‘ujub, sum’ah, hubbud-dunya (cintakan dunia), hubbun-nafs (cintakan diri), hasad dan sebagainya. Hati inilah yang dikehendaki oleh Allah di mana di akhirat Dia tidak akan menerima melainkan hambanya yang mengadapNya dengan membawa hati jenis ini. Firman Allah;

“(Hari kebangkitan itu) ialah hari yang tidak akan memberi manfaat harta benda dan anak pinak, melainkan orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang salim (bersih dan selamat)”. (asy-Syu’arak: 88)

Berkata Imam Hasan al-Basri; “Ubatilah hati kamu kerana Allah hanya mengingini dari hamba-hambaNya hati yang baik dan soleh”. (al-Wafi, Dr. Wahbah az-Zuhaili, hlm. 40).

Kedua; Hati yang mati; iaitulah hati orang kafir dan munafik. Hati ini tidak mengenal Allah, tidak beriman kepadaNya dan tidak menyembahNya. Hati inilah yang paling keji di sisi Allah. Firman Allah;

“Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk pada pandangan Allah ialah orang-orang kafir, kerana mereka tidak beriman”. (al-Anfal: 55)

Ketiga; Hati yang sakit; iaitu hati orang beriman yang fasiq. Hati ini bebas dari kufur, tetapi masih terbelenggu dengan penyakit-penyakit hati (atau sebahagiannya) seperti riyak, ‘ujub, sum’ah, hubbud-dunya (cintakan dunia), lupakan akhirat, sombong, takabbur dan sebagainya. Hati ini adalah hati yang dimiliki oleh kebanyakan orang beriman hari ini. Di dalam hati mereka ada perasaan cinta kepada Allah dan RasulNya, namun pada masa yang sama perasaan cintakan dunia dan hawa nafsu pun ada juga, menyebabkan hati mereka terumbang-ambing. Adakalanya, perasaan cintakan Allah dan RasulNya lebih kuat, maka ketika itu mereka mengutamakan akhirat ke atas dunia. Namun ada ketikanya, perasaan cintakan dunia dan hawa nafsu lebih kuat, maka ketika itu mereka mengutamakan dunia dan hawa nafsu. Hati jenis ini walaupun lebih baik jika dibandingkan dengan hati orang kafir (yakni hati yang yang mati tadi), namun ia tidak selamat kerana ia masih terbelenggu dengan penyakit-penyakit hati.

Dari ketiga-tiga jenis hati di atas, sudah tentu hati yang ingin kita miliki ialah hati yang pertama kerana hati itulah yang dikehendaki Allah dari kita.

Jenis penyakit hati

Penyakit hati ada dua jenis, iaitu;

1. Penyakit syubhah (syak dan ragu); terkandung di dalamnya penyakit kejahilan, ragu-ragu antara hak dan batil, antara hidayah dan kesesatan, antara jalan yang lurus dan jalan yang bengkok. Antara ayat Allah yang menyentuh tentang penyakit syubhah dalam hati manusia ialah firmanNya tentang orang munafik;

“Dalam hati mereka (orang-orang munafik) terdapat penyakit (syak dan ragu), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka”. (al-Baqarah: 10)

2. Penyakit syahwat; iaitu penyakit-penyakit yang lahir dalam hati kerana kecintaan kepada diri sendiri, dunia, harta dan wanita seperti penyakit riyak, ‘ujub, sombong, takabbur, gilakan pangkat dan kemasyhuran, bakhil, lupakan akhirat, hasad dan sebagainya. Antara ayat Allah yang menjelaskan tentang penyakit syahwat di dalam hati ialah;

“Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)”. (al-Ahzab: 32)

Penyakit hati di dalam ayat di atas menurut ulamak ialah penyakit syahwat khususnya nafsu kepada wanita.

Ubat bagi penyakit syubhah ialah ilmu. Sementara bagi penyakit syahwah pula ubatnya ialah taat. Apabila seseorang berilmu, akan hilang lah dari hatinya keraguan dan kejahilan terhadap Allah dan ajaranNya. Dan apabila dalam hidupnya ia mengutamakan ketaatan kepada Allah, akan hilang lah pula penyakit syahwat dari hatinya.

Al-Quran adalah penawar bagi penyakit hati

Kedua-dua penyakit di atas, penawar dan penyembuhnya ialah al-Quran. Al-Quran menjelaskan kepada manusia mana yang hak dan mana yang batil, mana jalan hidayah dan mana jalan kesesatan, maka dengan itu akan hilanglah penyakit syubhah (syak dan ragu) dari hati manusia. Begitu juga, al-Quran mendidik manusia agar mencintai Allah dan RasulNya, mengutamakan Allah dan Rasul dari keinginan duniawi dan mengutamakan akhirat yang kekal abadi dan dunia yang fana ini, di mana dengan itu akan hilang lah penyakit syahwat dari bersarang di dalam hati manusia.

Peranan al-Quran dalam merawat dan menyembuhkan penyakit-penyakit hati dinyatakan sendiri oleh Allah dengan firmanNya;

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”. (Yunus: 57)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “al-Quran adalah penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada manusia yang terdiri dari penyakit kejahilan dan juga penyakit kesesatan. Penyakit kejahilan ubatnya ialah ilmu dan hidayah. Sementara penyakit kesesatan pula, ubatnya ialah tuntunan Ilahi (ar-Rusyd). Kedua-dua penyakit ini telah dibersihkan Allah dari hati Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana firmanNya;

“Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar) dan ia juga tidak sesat”. (an-Najm: 1-2)
(Ighasah al-Lahfan, halaman 28).

Tanda-tanda hati yang berpenyakit dan hati yang salim

Setelah mengetahui jenis-jenis penyakit hati, perlu pula kita mengetahui tanda-tanda hati yang berpenyakit dan tanda-tanda hati yang sihat (bersih dan selamat). Tujuannya ialah supaya kita dapat memastikan; di mana kedudukan hati kita? Jika hati kita tergolong dalam kelompok hati yang sakit, maka hendaklah bersegera kita mengubatinya sebelum kita mati dan mengadap Allah dengan hati yang sakit itu yang tentunya kita tidak akan diizinkan untuk memasuki syurgaNya. Jika kita mendapati hati kita salim (bersih dan selamat) –alhamdulillah-, maka hendaklah kita menjaganya agar terus selamat hinggalah kita mati. Namun jika kita dapat hati kita mati –wal’iyazu billah-, maka hendaklah kita meyakini bahawa Allah berkuasa menghidupkan makhluknya yang mati;

“Ketahuilah bahawa Allah menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya”. (al-Hadid: 17)

Tanda-tanda hati yang sakit

1. Hati yang sakit tidak membisikkan kepada tuannya untuk mencapai tujuan hidup iaitu untuk mengenali Allah, mencintaiNya, merindui untuk bertemu denganNya, kembali kepadaNya dan mengutamakanNya dari segala bentuk syahwat (yakni keinginan diri kepada dunia, keseronokan, harta dan wanita). Oleh itu, seorang hamba yang memiliki hati yang sakit, ia lebih mengutamakan kepentingan diri dan syahwatnya dari mentaati Allah dan menyintaiNya. Hidupnya adalah dengan bertuhankan hawa nafsunya sendiri sebagaimana firman Allah;

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Dapatkah engkau menjadi pelindungnya (dari kesesatan)?”. (al-Furqan; 43)

2. Orang yang mempunyai hati yang sakit, antara tandanya ialah ia tidak kisah dengan dosa dan maksiat. Apabila ia melakukan maksiat, ia tidak rasa berdosa, resah atau gelisah kerana melanggar perintah Allah. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih, hatinya akan berasa sakit dan pedih apabila tersilap atau tersengaja melakukan dosa, lalu ia segera kembali kepada Allah dan bertaubat kepadaNya. Firman Allah tentang sifat-sifat orang bertakwa;

“(Dan antara tanda orang bertakwa ialah) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali Imran: 135)

3. Orang yang mempunyai hati yang sakit, ia tidak kisah dengan kejahilan dirinya. Ia tidak berasa resah dan gelisah sekalipun menyedari diri jahil tentang kebenaran. Akibatnya, ia tidak berusaha mencari ilmu. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih. Ia tidak senang duduk apabila menyedari diri masih jahil. Ia akan berusaha menuntut ilmu bagi membuang kejahilannya. Berkata ulamak; “Tidak ada maksiat yang dilakukan oleh hamba yang lebih keji dari membiarkan diri dalam kejahilan”. Pernah ditanya kepada Imam Suhail; “Apakah perkara yang lebih buruk dari kejahilan?”. Ia menjawab; “Jahil tentang kejahilan diri sendiri”.

4. Antara tanda orang yang hatinya sakit ialah ia berpaling dari makanan-makanan yang memanfaatkan hatinya, sebaliknya ia cenderung kepada racun-racun yang merosakkan hatinya. Makanan-makanan hati ialah ilmu dan ibadah termasuklah solat, zikrullah, bacaan al-Quran dan sebagainya. Adapun racun bagi hati ialah dosa dan maksiat. Orang yang memiliki hati yang sakit, ia lebih suka mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan dari mendengar ayat-ayat al-Quran, majlis ilmu dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Baginya kelazatan melakukan maksiat lebih hebat dari kelazatan taqarrub kepada Allah. Padahal Nabi s.a.w. bersabda; “Akan merasai kelazatan iman sesiapa yang redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabinya”. (Riwayat Imam Muslim)

5. Orang yang hatinya sakit, ia menjadikan dunia sebagai watannya; ia redha dengan dunia dan berasa tenang dengan kehidupan di dunia, lalu ia tidak mengharapkan akhirat dan tidak melakukan persediaan untuk akhirat. Ia tidak mengambil sikap seperti yang dipesan oleh Nabi s.a.w.; “Hiduplah kamu di dunia ini seolah-olah kamu orang asing atau seorang pengembara”. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Tanda-tanda hati yang sihat

1. Hati yang sihat, tandanya yang pertama ialah cintakan Allah dan tanda kecintaannya kepada Allah ialah; tuannya banyak berzikir kepada Allah. Hati ibarat periuk dan lidah adalah senduknya. Senduk mengeluarkan apa yang di dalam periuk. Lidah pula mengeluarkan apa yang ada di dalam hati. Jika di dalam hati penuh dengan perasaan cintakan kepada Allah, maka akan lahirlah di lidah zikrullah. Namun jika di dalam hati penuh dengan kufur, fasiq dan maksiat, maka akan lahirlah di lidah umpatan, adu-domba, ucapan kotor dan mencarut.

2. Hati yang sihat sentiasa menyedarkan tuannya supaya kembali kepada Allah; bergantung harap pada Allah umpama seorang pencinta yang terdesak bergantung harap kepada orang yang dicintainya. Ia merasakan tidak ada kehidupan, tidak ada kejayaan, tidak ada kenikmatan dan tidak ada keseronokan kecuali dengan redha Allah dan hampirnya ia dengan Allah. Dengan Allah ia merasai tenang dan tenteram, kepada Allah ia berlindung dan bertawakkal, kepada Allah jua ia yakin dan percaya, menaruh harapan dan menyimpan rasa takut.

3. Di antara tanda hati yang sihat ialah jasad suka berbakti dan berkhidmat kepada Allah tanpa ada rasa jemu di hati. Rasulullah s.a.w. menunaikan solat hingga bengkak-bengkak kakinya. Apabila dipersoalkan kenapa beliau bersusah diri untuk beribadah hingga sedemikian rupa, beliau menjawab; “Aku ingin menjadi hamba yang bersyukur” (Riwayat Imam al-Bukhari). Yahya bin Mu’az pernah berkata; “Sesiapa merasa seronok berkhidmat kepada Allah, nescaya segala benda seronok berkhidmat kepadanya. Sesiapa yang senang matanya melihat perkara yang diredhai Allah, nescaya semua orang senang melihat kepadanya”.

4. Antara tanda hati yang sihat ialah seseorang itu amat menjaga waktu dan hartanya dari dibazirkan kepada perkara-perkara di luar dari ketataan kepada Allah. Ia menyedari bahawa waktu dan harta adalah modal yang dikurniakan Allah untuknya bagi dilaburkan untuk mendapat keuntungan di akhirat. Kerana itu, setiap saat dari waktunya dan setiap sen dari hartanya akan digunakan untuk mentaati Allah bagi mendapatkan pahala dan keredhaan dariNya.

5. Antara tanda sihat dan bersihnya hati seseorang ialah perhatiannya terhadap kesahihan dan penerimanaan Allah terhadap amalannya lebih diutamakan dari amalan itu sendiri. Yang di ambil kira bukan banyaknya amalan, tetapi keelokan amalan dan penjagaannya dari perkara-perkara yang merosakkannya. Kerana itu, orang yang bersih hatinya sentiasa menjaga keikhlasan dan ikutan kepada as-Sunnah dalam setiap amalannya kerana ia mengetahui bahawa tanpa keikhlasan dan tanpa mengikuti petunjuk Nabi s.a.w., amalan yang dilakukannya tidak akan diterima Allah.

6. Di antara tanda sihatnya hati seseorang ialah apabila ia tertinggal wiridnya atau sesuatu dari amalan taat, ia rasa kecewa dan rugi lebih dari perasaan rugi yang dirasai oleh orang yang kehilangan harta dan keluarga. Ia menyedari bahawa tertinggal wirid dan amalan ketaatan itu merupakan kerugian di akhirat. Tidak ada apa-apa pada kerugian duniawi jika dibandingkan dengan kerugiaan di akhirat. Harta benda dunia akan musnah, adapun kenikmatan di sisi Allah di akhirat tidak akan musnah selamanya.

“Apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal”. (an-Nahl: 96)

7. Seorang hamba yang hatinya sihat dan bersih, keinginannya hanya satu iaitu untuk mentaati Allah. Perasaan dalaman yang menggerakkannya ialah cintanya kepada Allah dan harapannya untuk merasai kelazatan melihat wajah Allah.

“Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa. Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya, sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun yang patut di balas, hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya yang maha tinggi”. (al-Lail: 17-20)

8. Seorang yang hatinya sihat dan bersih, kalam Allah adalah ucapan yang paling disukainya. Berkata Ibnu Mas’ud r.a.; “Sesiapa ingin mengetahui apakah ia kasih kepada Allah atau tidak, hadapkan dirinya kepada al-Quran. Jika ia kasih kepada al-Quran, itu maknanya ia kasih kepada Allah kerana al-Quran adalah Kalam Allah”. Diceritakan bahawa beliau (yakni Ibnu Mas’ud) mencium mushaf al-Quran dan berkata; “Kalam Tuhanku! Kalam TuhanKu”.

9. Antara tanda hati yang salim ialah mengutamakan akhirat dari dunia. Berkata Imam Ibnu al-Qayyim; “Selagi hati selamat dari penyakitnya, ia akan berjalan menuju akhirat dan menghampirinya hingga menjadilah ia ahlul-akhirah (golongan yang beramal untuk akhirat). Namun apabila hati sakit, ia akan melebihkan dunia dan menjadikan dunia watannya hingga menjadilah ia alul-dunya (golongan yang beramal semata-mata untuk kepentingan duniawi”. (Ighasah al-Lahfan, halaman 94-95).

Punca hati menjadi sakit?

Hati manusia menjadi sakit berpunca dari dosa. Dosa menjauhkan hati dari Allah. Apabila hati jauh dari Allah, mudahlah ia ditimpa dengan bermacam-macam penyakit. Sabda Nabi s.a.w.; “Seorang hamba jika ia melakukan suatu dosa, akan muncul lah satu titik hitam di dalam hatinya. Jika ia meninggalkan dosa itu, kemudian ia beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya meliputi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran yang disebut Allah dalam firmanNya;

“Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan”. (al-Mutoffifin; 14)
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.)

Imam Abdullah bin al-Mubarak bermadah;

رَأيْتُ الذُنُوبَ تُمِيتُ الْقُلُوْبَ
وَقَدْ يُوْرِثُ الذُّلَّ إِدْمَانُهَا
وَتَرْكُ الذُّنُوْبِ حَيَاةُ الْقُلُوْبِ
وَخَيْرٌ لِنَفْسِكَ عِصْيَانُهَا
Aku lihat dosa-dosa itu mematikan hati,
Berterusan melakukannya mengakibatkan kehinaan,
Meninggalkan dosa pula menghidupkan hati,
Mengingkarinya membawa kebaikan kepada diri.

Empat punca dosa

Dosa-dosa dan maksiat ke semuanya adalah racun bagi hati. Kesan racun itu adakalanya menyebabkan hati sakit dan adakalanya sampai mematikannya. Punca dosa pula paling utama ada empat perkara;

1. Terlebih bercakap

Terlebih bercakap bermakna terlalu banyak bercakap (yang lain dari Zikrullah) sehingga terbit dari lidah ucapan-ucapan yang dimurkai Allah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. berkata; “Tidak akan lurus iman seseorang sehingga hatinya lurus dan tidak akan lurus hatinya sehingga lidahnya lurus” (Riwayat Imam Ahmad dari Anas r.a.). Saidina ‘Umar r.a. berpesan; “Sesiapa banyak cakapnya akan banyaklah tergelincirnya, sesiapa yang banyak tergelincirnya akan banyaklah dosa-dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya maka api neraka paling utama baginya”.

“Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah ia bercakap yang baik-baik atau hendaklah ia senyap sahaja”. (Hadis Nabi s.a.w., riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

“Semua ucapan anak Adam akan menjadi bebanan ke atasnya bukan menjadi keuntungan baginya kecuali;
a. Menyeru kepada makruf
b. Mencegah dari munkar
c. Berzikir kepada Allah.
(Hadis Nabi s.a.w., riwayat Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Ummu Habibah r.a.)

2. Terlebih melihat

Terlebih melihat juga akan merosakkan hati. Maksud terlebih melihat ialah kita tidak menjaga pandangan kita dari melihat perkara-perkara haram yang boleh membangkitkan nafsu seperti memerhati wanita dengan tujuan berseronok, melihat aurat orang yang bukan mahram kita atau kita memerhati dan mengintai kekurangan orang lain untuk mendedahkan keaibannya. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang beriman agar menjaga pandangan mereka; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)….”. (an-Nur; 30) “…dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)…”. (an-Nur: 31)

Kesan pandangan kepada hati dijelaskan oleh Nabi dalam sabdanya;

اَلنَّظْرَةُ سَهْمٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيْس، مَنْ تَرَكَهَا مِنْ مَخَافَةِ اللهِ أَعْطَاهُ اللهُ إِيْمَانًا يَجِدُ حَلاَوَتَهُ فِي قَلْبِهِ.
“Pandangan adalah satu panahan dari panahan-panahan beracun Iblis. Sesiapa meninggalkan pandangannya (dari melihat kepada yang haram) kerana takutkan Allah, nescaya Allah akan kurniakan kepadanya iman yang ia rasainya kemanisannya di dalam hatinya”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Huzaifah r.a.)

Imam Ahmad meriwayat dari Abu Umamah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda;

مَاْ مِنْ مُسْلِمٍ يَنْظُرُ إِلَى مَحَاسِنِ امْرَأَةٍ ثُمَّ يَغُضُّ بَصَرَهُ إَلاَّ أَخْلَفَ اللّهُ لَهُ عِبَادَةَ يَجِدُ حَلاَوَتَهَا
“Tidak ada seorang muslim yang melihat kepada keelokan-keelokan seorang wanita, lalu ia menahan pandangannya (yakni ia berpaling dari melihatnya) kerana takutkan Allah, melainkan Allah akan menggantikan untuknya ibadah yang ia rasai kemanisannya”. (Lihat hadis ini dalam Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nur, ayat 30).

3. Terlebih makan

Makanan yang kita makan akan memberi kesan kepada hati kita. Elakkan dari makanan-makanan yang haram atau yang diperolehi dari jalan-jalan yang haram kerana ia boleh mematikan hati atau sekurang-kurangnya merosakkannya. Nabi Muhammad s.a.w. pernah meninggalkan pesan kepada sahabatnya bernama Sa’ad r.a.; “Wahai Saad! Perelokkanlah makanan kamu, nescaya kamu akan dimustajabkan doa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seorang itu apabila telah menyuapkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya, nescaya tidak akan diterima doanya (oleh Allah) selama 40 hari. Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya”. (Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari ‘Atak dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Selain itu, makanlah dengan kadar yang sederhana. Janganlah berlebih-lebihan kerana Allah memerintahkan;

“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan (membazir)”. (al-A’raf: 31)

Mengikut sunnah Nabi s.a.w., kadar paling banyak kita makan ialah sekadar memenuhi 1/3 sahaja dari perut kita. Sabda Nabi s.a.w.; “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah seseorang anak Adam itu makan dengan kadar beberapa suapan sahaja untuk menegakkan tulang sulbinya. Jika tidak mampu, jadikanlah 1/3 dari bahagian perutnya untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 lagi untuk pernafasan”. (Riwayat Imam an-Nasai, Ibnu Majah dan at-Tirmizi dari al-Miqdam bin Ma’diyakrib r.a.)

Ibrahim bin Adham pernah berkata; “Sesiapa dapat menjaga perutnya, nescaya ia akan dapat menjaga agamanya. Sesiapa mampu berlapar, nescaya ia memiliki akhlak-akhlak yang soleh. Sesungguhnya maksiat jauh dari orang yang lapar dan hampir dengan orang yang kenyang”. Seorang ahli soleh pernah berkata; “Janganlah kamu makan banyak kerana nanti kamu akan minum banyak, lalu tidur kamu pun banyak dan akhirnya kerugian kamu pun banyak juga”.

4. Terlebih berkawan

Kawan juga mempunyai pengaruh terhadap hati kita. Jika kita berkawan dengan orang yang bersih hatinya, hati kita juga Insya-Allah akan turut bersih. Jika kita berkawan dengan orang-orang yang hatinya kotor, akhirnya hati kita juga akan turut menjadi kotor. Kerana itu Nabi s.a.w. berpesan; “Seseorang itu berada di atas agama temannya. Maka hendaklah setiap orang dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.).

Para ulamak membahagikan jenis kawan kepada tiga;

a) Kawan yang diibaratkan seperti makanan; iaitu perlu selalu bergaul dan bersamanya sama seperti kita perlu mengambil makanan setiap hari untuk tubuh kita. Kawan seumpama ini ialah dari kalangan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh. Semakin banyak kita berkawan dengan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh, maka baik untuk hati kita.

b) Kawan yang diibaratkan seperti ubat; iaitu kita bergaul dengannya ketika perlu sahaja sama seperti kita mengambil ubat ketika kita sakit sahaja. Kawan jenis ini ialah dari kalangan orang-orang yang kita memerlukan mereka untuk urusan duniawi sahaja iaitu urusan kehidupan seperti jual-beli, perniagaan dan sebagainya. Kita tidak perlu terlalu rapat dan terlalu kerap bergaul dengan mereka kerana ia tidak memberi manfaat kepada kebaikan agama dan hati kita. Cukup kita bergaul dengan mereka dengan kadar yang dapat menyempurnakan urusan kita sahaja. Kecualilah jika mereka tergolong dalam kelompok orang berilmu dan soleh seperti di atas, maka haruslah kita bergaul rapat dengan mereka kerana di samping memenuhi tuntutan duniawi, dapat juga kita mengambil manfaat dari keilmuan dan kesolehan mereka.

c) Kawan yang diibaratkan seperti penyakit; iaitu kita perlu menjauhi mereka sejauh-jauhnya sama seperti kita menjauhi penyakit kerana takut menjangkiti kita. Kawan jenis ini dari kalangan orang-orang fasik, kaki maksiat dan ahli Bid’ah. Orang-orang dari jenis ini sekali-kali jangan kita berkawan dengan mereka kerana nanti sikap dan perilaku mereka akan merosakkan hati kita.

Bagaimana menghidupkan hati?

Hati menjadi hidup dengan iman. Iman bermaksud meyakini sepenuhnya dengan hati akan segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dari wahyu Allah yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Asas-asas iman iman keyakinan kepada rukun-rukun iman yang enam. Penyempurnaan bagi iman ialah dengan menyahut seruan Allah dan RasulNya iaitu dengan mentaati segala perintah keduanya. Apabila seseorang itu yakin kepada Allah dan RasulNya dan diikuti pula dengan ia menyahut seruan keduanya iaitu mentaati mereka, maka ketika itu barulah hatinya akan hidup sebagaimana yang dapat kita fahami dari seruan Allah;

“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menghidupkan kamu. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”. (al-Anfal; 24)

Kalimah yang mengungkapkan iman ialah “Lailaha Illallah”. Kalimah ini digelar juga dengan kalimah Syahadah, kalimah at-Taqwa dan kalimah al-Ikhlas. Kalimah ini akan menghidupkan hati apabila diucapkan dengan ikhlas dan benar. Dengan mengulang-ulangkan kalimah ini, iman di dalam hati kita akan sentiasa baru dan segar. Di dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. berpesan kepada sahabat-sahabatnya; “Hendaklah kamu sekelian memperbaharui iman-iman kamu”. Mereka bertanya beliau; “Ya Rasulullah! Bagaimana caranya kami hendak memperbaharui iman kami?”. Baginda menjawab; “Banyaklah menyebut Lailaha Illallah” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.).

Antara Tahlil yang banyak fadhilatnya

Tahlil bermaksud kita berzikir dengan menyebutkan Lailaha Illallah. Selain dari lafaz yang pendek itu, ada lagi lafaz tahlil yang panjang yang banyak kelebihannya, iaitu;

لا إلهَ إلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلى كُلّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tidak ada Tuhan melainkan Allah satu-satunya. Tiada sekutu bagiNya. Miliknya kerajaan dan milikNya jua segala pujian. Dial ah yang maha berkuasa ke atas segala perkara”.

Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa berzikir dengan kalimat-kalimat di atas pada setiap hari sebanyak 100 kali maka ia menyamai dengan membebaskan sepuluh orang hamba, akan ditulis untuknya 100 kebaikan, akan dihapuskan darinya 100 dosa/kejahatan dan kalimat-kalimat itu akan menjadi benteng untuknya dari godaan syaitan pada hari tersebut hingga ke petangnya. Tidak ada seorang pun melakukan amalan lebih baik darinya kecuali orang yang berzikir dengan kalimat-kalimat itu lebih banyak darinya”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Bagaimana membersihkan hati?

Faktor hati kita menjadi kotor dan berpenyakit ialah kerana dosa dan maksiat yang kita lakukan kepada Allah. Untuk membersihkan kembali hati kita yang kotor itu, tidak ada jalan lain melainkan dengan bertaubat kepada Allah.

“Wahai orang-orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”. (at-Tahrim: 8)

Taubat bermaksud kita kembali ke pangkuan Allah dengan menyesali ketelanjuran kita dan memohon dari Allah agar Ia mengampunkan kita serta menerima semula kita sebagai hambaNya. Taubat tidak sempurna kecuali dengan menyempurnakan syarat-syaratnya, iaitu;
a) Meninggalkan maksiat dan dosa yang dilakukan
b) Menyesali ketelanjuran melakukan dosa dan maksiat tersebut
c) Berazam dengan sepenuh hati tidak akan kembali semula kepada maksiat dan dosa tersebut.
d) Jika dosa dan maksiat itu ada hubungan dengan manusia, hendaklah disusuli dengan memohon maaf dan memulangkan barang yang diambil atau minta halal dari tuannya.

Setelah bertaubat, kita hendaklah banyak beristighfar kepada Allah. Marilah kita mencontohi Nabi kita Muhammad s.a.w. di mana walaupun baginda bersih dari dosa, namun baginda lah yang paling banyak beristighfar kepada Allah. Baginda pernah berkata; “Demi Allah! Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadaNya pada setiap hari lebih dari 70 kali” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.). Di dalam riwayat yang lain, baginda berkata; “Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah pada setiap hari lebih dari 100 kali” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Berkata Imam Hasan al-Basri; “Banyaklah beristighfar sama ada di rumah kamu, ketika kamu mengadap hidangan, ketika di jalan, ketika di pasar, ketika kamu berada di dalam majlis atau di mana saja kamu berada kerana kamu tahu bila akan turunnya keampunan Allah”.

Istighfar Nabi s.a.w.

Antara ucapan Istighfar yang pernah dibaca oleh Nabi s.a.w. ialah;

ربّ اغْفِرْ لي وَتُبْ عَلَيَّ إنَّكَ أنْتَ التَّوَّابُ الرَّحيمُ
“Tuhanku! Kurniakan lah keampunan untukku dan berilah taufik kepadaku untuk bertaubat. Sesungguhnya Engkau lah Tuhan pengampun dan penyayang”.

Menurut Ibnu ‘Umar r.a.; “Nabi s.a.w. pernah membaca istighfar di atas sebanyak 100 kali di dalam satu majlis”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)

Istighfar Nabi Adam a.s.

Di antara ucapan istighfar yang amat baik untuk kita amalkan ialah istighfar Adam dan Hawa, iaitu;

“Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampunkan kami dan mengasihi kami, pasti lah kami tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah al-A’raf, ayat 23).

Ucapan istighfar di atas adalah kalimah-kalimah untuk memohon ampun yang dipelajari Nabi Adam dari Allah setelah Ia dan isterinya Hawa melakukan kesalahan memakan buah dari pohon larangan. Apabila mereka berdua mengucapkan kalimah di atas, Allah lalu mengampunkan doa keduanya. Ini sebagaimana diceritakan Allah dalam firmanNya (yang bermaksud); “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (yakni kalimah taubat), lalu Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah, Dia lah yang maha pengampun (penerima taubat), lagi maha mengasihani” (al-Baqarah, ayat 37).

Moga-moga dengan mengucapkan istighfar di atas, dosa-dosa kita juga akan diampunkan Allah sebagaimana Dia mengampunkan dosa bapa kita Adam a.s..

Penghulu Istighfar

Lafaz istighfar yang paling baik ialah;

اللَّهُمَّ أنْتَ رَبّي لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وأنا عَبْدُكَ، وأنا على عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرّ مَا صَنَعْتُ، أبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عليَّ وأبُوءُ بِذَنْبي، فاغْفِرْ لي فإنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أنْتَ
“Ya Allah! Engkau lah Tuhanku. Tiada Tuhan kecuali Engkau. Engkau telah menjadikanku dan aku adalah hambaMu. Aku akan mengotakan taat-setia dan janjiku padaMu selama aku mampu. Aku berlindung denganMu dari akibat buruk dari perbuatan yang aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat yang Engkau curahkan kepadaku dan aku mengakui juga dosa-dosa yang aku lakukan. Oleh itu, kurniakan lah keampunan untukku. Sesungguhnya tidak ada yang boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau sahaja”.

Sabda Nabi s.a.w.; “Penghulu istighfar ialah; ….(kalimah di atas)…. Sesiapa membacanya di siang hari dengan penuh yakin, lalu ia mati pada hari itu sebelum tiba petangnya, maka ia tergolong dari ahli syurga. Sesiapa membacanya di malam hari dengan yakin, lalu ia mati di malamnya sebelum tiba paginya, maka ia tergolong dari ahli syurga”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Syaddad bin Aus r.a.)

Bagaimana menjaga hati?

Hati hendaklah sentiasa dijaga agar jangan mati atau ditimpa penyakit yang merosakkannya. Bagaimana caranya untuk kita menjaga hati? Menjaga hati tidak ada jalan lain melainkan dengan mendampingi Allah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. pernah berpesan; “Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Maksud menjaga Allah ialah menjaga hubungan dengan Allah. Apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan menjaga dan memelihara kita termasuk lah menjaga dan memelihara hati kita.

Bagaimana caranya untuk kita mendampingi Allah? Jawapannya ialah dengan kita melazimi dua perkara;

a) Zikrullah; iaitu sentiasa mengingati Allah

b) Menjauhi segala yang mendatangkan kemurkaan Allah iaitu dosa dan maksiat.

Apa maksud Zikrullah?

Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya. Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala. Termasuk di dalam Zikrullah;
1. Menuntut ilmu; untuk mendalami al-Quran dan as-Sunnah, mengetahui perintah Allah, halal dan haram dan segala ilmu-ilmu lain yang berkait dengan agama.
2. Solat
3. Puasa
4. Zakat
5. Haji
6. Bersedekah dan Infak Fi Sabilillah
8. Membaca al-Quran
9. Berdakwah; mengajak orang lain kepada Islam
10. Menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar
11. Menyampaikan ilmu
12. Berjihad
13. Berdoa
14. Berzikir
15. Berselawat
16. Mengambil wudhuk, mandi dan bersuci
17. Menghidupkan sunnah Nabi dalam kehidupan; makan dan minum, berpakaian, bergaul, tidur dan sebagainya.

Kesimpulannya, Zikrullah ialah kita berada di dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. Hakikat Zikrullah secara luas dan sempurna hanya dapat kita capai dengan kita berusaha mentaati Allah pada setiap masa kerana seseorang itu apabila ia taat kepada Allah itu bermakna ia ingat kepada Allah.

Faedah Zikrullah (mengingati Allah)

Orang yang sentiasa ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepadanya dan menjaganya termasuk hatinya. Firman Allah;

“Maka ingatlah kepadaKu nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. (al-Baqarah: 152)

Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. berpesan;

احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
“Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Zikrullah menguatkan hati dan menjadikan hati sentiasa tenang dan tenteram. Firman Allah;

“Ketahuilah bahawa dengan "zikrullah" itu, akan tenang tenteramlah hati-hati manusia”. (ar-Ra’du: 28)

Orang yang enggan berzikir (mengingati Allah) umpama orang yang mati. Sekalipun jasadnya hidup tetapi hati dan rohaninya telah mati. Sabda Rasulullah s.a.w.;

مَثَلُ الَّذي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذي لا يَذْكُرُهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan seorang yang berzikir mengingati Tuhannya dan orang yang tidak berzikir sama seperti orang hidup dan orang mati”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari r.a.)

Kerana pentingnya mengingati Allah, maka al-Quran memperingatkan orang-orang beriman agar janganlah kesibukan menguruskan urusan-urusan duniawi melalaikan mereka dari Zikrullah. Firman Allah;

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi”. (al-Munafiqun: 9)

Kesan zikrullah terhadap hati

Berkata Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyyah; “Peranan Zikrullah bagi hati sama seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan jika ia dikeluarkan dari air?”. Maksud beliau ialah; ikan akan mati jika dikeluarkan dari air, maka begitu juga dengan hati; hati akan mati jika ia tidak berada dalam zikrullah. Di dalam ungkapannya yang lain, beliau berkata; “Hati amat memerlukan kepada Allah dari dua aspek; (Pertama) dari aspek ibadah. (Kedua) dari aspek meminta pertolongan dan bertawakkal… (Dari aspek ibadah), hati manusia tidak akan menjadi baik, tidak akan berjaya, tidak akan merasai nikmat dan ketenangan melainkan dengan beribadah kepada Tuhannya, mengasihiNya dan dengan kembali ke pangkuanNya…”. (Risalah al-‘Ubudiyyah Fil-Islam)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah; “Hati hanya akan menjadi baik dan elok apabila ia mengenali Tuhan dan PenciptaNya (yakni Allah), mengetahui nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya dan mengetahui hukum-hakam Allah. Begitu juga dengan ia mengutamakan keredhaan Allah dan kecintaan kepadaNya serta menjauhi segala larangan dan kemurkaanNya. Hati selamnya tidak akan sihat dan tidak akan hidup melainkan dengan cara sedemikian..”. (Zadul-Ma’ad, 4/7).

Dosa

Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada mengabaikan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya” (Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4, hlm. 16). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu mengabaikannya (yakni meninggalkannya). Dan Ia telah menetapkan beberapa hudud (batasan), maka janganlah kamu melampauinya. Dan Ia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarinya. Dan Ia juga telah diam dari beberapa perkara sebagai kelonggaran bagi kamu bukan kerana lupa, maka janganlah kamu cuba menyelidikinya”. (Riwayat Imam Daruqutni dan lain-lainnya dari Abi Tha’labah Jurthum bin Nasyir al-Khusyani r.a.. Riyadhus Salihin, Imam an-Nawawi, bab al-Manthuraat Wa al-Mulah)

Dosa yang dilakukan manusia terbahagi kepada dua bentuk;

Pertama; Dosa dengan Allah; iaitu dosa antara hamba dengan Allah. Dosa ini ada dua jenis pula;
a) Dosa kerana meninggalkan kewajipan-kewajipan yang diwajibkan Allah ke atas kita seperti dosa meninggalkan solat, puasa, zakat dan sebagainya.
b) Dosa kerana mengerjakan perkara yang dilarang atau ditegah Allah seperti dosa minum arak, makan riba dan sebagainya.

Kedua; Dosa dengan makhluk; iaitu yang bersangkutan dengan hak-hak hamba Allah. Dosa dari kategori ini ada beberapa jenis pula;
a) Yang berkait dengan jiwa seperti dosa membunuh, mencederakan dan sebagainya.
b) Yang berkait dengan harta seperti dosa mencuri, merompak, merampas dan sebagai.
c) Yang berkait dengan kehormatan/harga diri seperti dosa mencerca, mengumpat, menuduh dengan tuduhan palsu dan sebagainya.
d) Yang berkait dengan agama seperti dosa mengkafirkan seseorang, membid’ahkannya, menyesatkannya dan sebagainya.
(Ihya’ Ulumiddin, jil. 4, hlm. 16 dan Minhajul ‘Abidin, Imam al-Ghazali, hlm. 11)

Kesan dosa kepada hati

Dosa akan memudaratkan hati. Bermula dengan merosakkan hati hingga lah kemuncaknya iaitu mematikan hati. Ini dapat kita fahami dari hadis yang telah kita kemukakan tadi dan kita ulangi semula di sini, iaitu sabda Nabi s.a.w.; “Seorang hamba jika melakukan suatu dosa, akan muncullah satu titik hitam dalam hatinya. Jika ia menanggalkan dosa itu, kemudian beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya melitupi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran (الران) yang disebut Allah dalam firmanNya;

“Sebenarnya (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya), bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dengan sebab (perbuatan kufur dan dosa) yang mereka lakukan”. (al-Muthaffifin: 14)
(Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)

Akibat dosa kepada kehidupan

Selain merosakkan hati, dosa juga akan memberi kesan kepada kehidupan secara keseluruhannya. Menurut Imam Ibnul-Qayyim; “Perbuatan dosa dan maksiat akan melahirkan beberapa kesan kepada diri dan kehidupan manusia iaitu;
1. Kurang mendapat taufiq (petunjuk) dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran
3. Terhijabnya diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di sisi manusia
6. Waktu dalam kehidupan mereka akan terbuang sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah akan renggang
9. Doa akan terhijab (yakni tidak akan dimakbulkan Allah)
10. Hati akan menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur.
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina atau diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa merasa sempit dan resah (yakni tidak ada ketenangan dan ketenteraman dalam hidup)
16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan.
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram
(Al-Fawaid, al-‘Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziah, hlm. 67.)

Melihat kepada kesan-kesan dosa di atas, marilah kita berazam untuk menjauhi dosa supaya hati kita sentiasa bersih dan hidup kita sentiasa selamat.

Hati mudah berbolak-balik

Hati amat mudah berubah dan berbolak-balik. Hari ini kita taat kepada Allah. Tidak mustahil esok kita engkar kepadaNya jika kita tidak menjaga hati kita. Rasulullah s.a.w. bersabda;

إِنَّمَا سُمِّيَ الْقَلْبُ مِنْ تَقَلُّبِهِ إِنَّمَا مَثَلُ الْقَلْبِ مِثْلُ رِيْشَةٍ بِالْفَلاَةِ تَعَلَّقَتْ فِي أَصْلِ شَجَرَةٍ يُقَلِّبُهَا الرِّيْحُ ظَهْرًا لِبَطْنٍ
“Sesungguhnya dinamakan (hati) dengan al-qalb kerana mudahnya ia berbolak-balik. Hati dapat diumpamakan seperti sebatang bulu (ayam/burung) di tengah padang yang tersangkut di pokok, lalu dibolak-balikkan oleh angin ke atas dan ke bawah”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abu Musa r.a.)

Oleh itu, hati mesti ditanamkan di dalamnya sifat Istiqamah. Istiqamah hati bermaksud keazamannya untuk terus kekal di atas jalan Allah iaitu jalan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w., tanpa berpaling darinya kepada kekufuran, dosa atau maksiat. Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.;

قُلْ آمَنْتُ باللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’.
(Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Doa agar diteguhkan hati oleh Allah

Selain menanamkan sifat istiqamah, kita juga perlu senantiasa memohon dari Allah agar Ia meneguhkan hati kita di atas jalanNya. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa hati-hati manusia keseluruhannya berada di antara dua jari dari jari-jari Tuhan yang maha rahman seumpama hati yang satu di mana Dia berkuasa mengubahnya ke mana yang Ia kehendaki. Kemudian Nabi berdoa;

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ، صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَىَ طَاعَتِكَ
“Ya Allah! Tuhan yang berkuasa memalingkan hati-hati. Palingkanlah hati-hati kami (dari kekufuran, dosa dan maksiat agar ia berada di atas) ketaatan kepadaMu”.
(Riwayat Imam Muslim dari ‘Amru bin al-‘As r.a.)

Nabi juga pernah berdoa;

يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ وَالأَبْصَارِ ثَبِّتْ قُلُوبَنا على دِينِكَ
“Wahai Tuhan yang berkuasa mengubah hati-hati dan pandangan-pandangan, teguhkanlah hati kami di atas agamaMu”. (Riwayat Imam Ibnu as-Sunni dari Ummu Salamah r.a.)

Baginda juga pernah berdoa;

يَاْ مُثَبِّتَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِيْنِكَ
“Wahai Tuhan yang meneguhkan hati-hati, teguhkan lah hati-hati kami di atas agamaMu”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari an-Nawwas bin Sam’an r.a.)

Amat baik sekali salah satu dari doa Nabi di atas kita jadikan amalan tetap kita pada setiap hari.

***والله أعلم بالصواب***

Selesai ditulis pada Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan September 2008. Semoga Alah memberkati tulisan ini dan mengurniakan keampunan untuk penulisnya. Amin, ya Rabbal-Alamin.
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Wednesday 18 October 2017

KEHIDUPAN BERUMAHTANGGA

"Ketaatan seorang suami itu, adalah kepada ibunya. Manakala, ketaatan seorang isteri itu, adalah kepada suaminya. Dan di dalam perkahwinan, didalam alam rumah-tangga kadang kala ujian datang melanda sebagainya, dan berlaku perselisihan, Salah seorang daripada kalian hendaklah menjadi air. Jangan kedua-duanya menjadi api kerana akan mengakibatkan rumah menjadi panas dan terbakar."

"Api bersama api akan menyebabkan terbakar, Rasulullah ﷺ mengatakan perpisahan boleh berlaku. Maka kita ingin elakkan, perpisahan hendaklah diletakkan paling jauh dan di tepi. Jika salah seorang menjadi api, kemarahan, panas barannya, dan sebagainya maka salah seorang mesti menjadi air yang menyejukkan."

"Apabila seorang isteri meninggal dunia, dan kematiannya itu mendapat keredhaan daripada suaminya, maka Allah سبحانه وتعالى akan tempatkan si isteri itu ke dalam Syurga. Segala amal soleh yang dilakukan oleh suaminya, yang masih hidup itu, akan dibalas sama kepada isterinya. Hendaklah  seorang isteri itu memiliki sifat-sifat yang baik layanannya kepada suaminya, tutur kata yang baik, dan tidak merungut ketika memperoleh nafkah daripada suaminya."

"Sekiranya seorang isteri itu bersikap buruk kepada suaminya, maka akan datang murka Allah سبحانه وتعالى kepada si isteri. Didalam riwayat mengatakan; Rasulullah ‎ﷺ pernah ditanya; "Ya Rasulullah, mengapakah penghuni Neraka itu ramainya kaum wanita?" Maka dijawab oleh Rasulullah‎ﷺ; "Salah satu diantaranya adalah mereka itu ramai yang tidak menghargai akan suami mereka."

"Makanya, jangan sampai salah seorang panas baran, dia juga panas baran. Maka bagaimana akan menjadi rumah tangga yang harmoni. Maka bertolak ansur lah, berkasih sayang lah, mawaddah dan letakkan fokus di alam rumah tangga ini; "Ya Allah, aku ingin keredhaan-Mu wahai Allah."

"Ya Allah, sepanjang hidupku ya Allah bersama pasanganku ini Ya Allah, aku ingin sedaya upaya menunaikan hak nya, Wahai Allah, Aku menunaikan hak nya YaAllah sebab mahukan keredhaan-Mu Wahai Allah." Jika pasanganku ini, belum menunaikan hak nya terhadap aku, makanya, aku akan menunaikan hak nya terlebih dahulu."

"Ini yang di ajarkan dalam agama kita bagaimana dapat menunaikan hak orang lain. Tetapi sesuatu yang diajarkan oleh orang barat kepada kita ini untuk kita tuntut hak. Maka manusia akan hanya menuntut hak nya maka akan datang perselisihan dan perbalahan yang tidak akan kunjung tiba ke mana perdamaian dan juga kesatuannya. "

"Dan apabila setiap pasangan yang suami berfikir bagaimana aku dapat menunaikan hak isteri aku, dan isteri pun memikirkan bagaimana aku dapat menunaikan hak suamiku, maka dengan demikian ia akan melahirkan rumah tangga yang harmoni."

Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

SEBENAR BENAR TAUBAT

"Selepas solat hendaklah kita berdoa. Amalkan doa. Ini lepas solat angkat kaki cabut. Selepas solat nabi biasa mengamalkan doa; "Allahumma ajni minan nar." Ya Allah lindungkan aku dan selamatkanlah aku dari api neraka. Nabi Muhammad ﷺ mengamalkan tujuh kali selepas solat. Nabi kita menyeru setiap orang mengungkapkan untuk berlindung dr api neraka. "Ajni" yakni selamatkan diri sendiri dulu."

"Allahuma solli ala saidina Muhammad. Dan sebab apa doa makan kita dianjurkan dengan berlindung dengan api neraka? Sebab makan ni paling dekat dengan api neraka. Apa yang masuk kot mulut ni. Makan yang haram akan menubuhkan unsur haram dalam darah daging kita. Dan golongan salaful soleh sangat mengambil berat bab mkn nih."

""Allahuma solli ala saidina Muhammad. Berhati-hati lah, dengan dosa-dosa, ketika masa muda. Kerana, Ianya akan mempengaruhi zuriatmu. Contoh isteri para salaful soleh selalu berpesan kepada suaminya, apabila nak keluar rumah pegi mencari rezeki. Contoh isteri solehah. "Tolonglah abang, carikan kami rezeki yang halal untuk isteri dan anak-anak abang ni. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Kalau Orang yang tak solat ni, atas dunia lagi orang dah tak suka. Bahkan dalam kubur pon, jiran tak nak berjiran dengan dia. Sebab solat adalah hal dengan Allah سبحانه وتعال yang wajib ditunaikan. Allah murka perkara pertama ialah perkara solat. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Para alim ulama dia sangat warak. Kenapa tok guru selalu datang awal kenduri kahwin? sebab takut termakan bekas orang yang tak solat. Sangatlah warak. Takut hilang keberkatan. Begitu juga bekas tangan orang yang tak solat. Yang buat kuih masak nasik. Sangat amik berat bab mkn ni. Sebab jadi darah daging. Kita tak ada semua masuk je, air tangan orang kafir masak pon kita apa pedulinya."

"Kelompok yang pertama masuk neraka antaranya, orang yang amalannya sudah habis sebab mengumpat, maki, cela org lain. Orang yang dimaki itu semua nak tuntut pahala balik kepada orang ni. Dia ni dikatakan orang yang muflis diakhirat. Tapi ada satu cara, satu pengecualian iaitu bagi orang-orang yang bertaubat."

"Kita selalu sebut. Taubat taubat. Apa makna taubat? Taubat ialah kita ingat dan berasa kesedihan diatas perbuatan dosa kita yang telah kita lakukan. Kesan dosa umpama baju akan mereput apabila kita pakai. Macam tu lah badan kita ni apabila berbuat dosa. Dan syarat taubat nasuha suci ni, berhenti daripada melakukan lagi, menyesal didlm hati, dan berazam tak nak buat dah. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Dan Orang yang bertaubat dari dosa adalah, seperti orang yang tak berdosa. Sekalipun dosa itu beribu-ribu kali dia telah buat. Tapi dengan tiga syarat taubat diatas. Kalau tak cukup syarat pon wajib jugak kita bertaubat. Contoh dh bertaubat tp buat lg. Maka kena taubat lagi. Kalau mati sbelum taubat maka panjang cerita sebab nanti kena bukak kes depan Allah سبحانه وتعالى."

""Allahuma solli ala saidina Muhammad. Dan Sebelum tidur wajib kita beristighfar, bagi setiap ape dosa kite buat dlm sehari tuh. Kita ingat satu dosa kite buat wajib taubat utk satu dosa itu. Kalau boleh apa yang kita ingat setiap dosa itu maka perlulah setiap itu istighfar dilafazkan."

"Allah ini Huwattawwabur rahim. Allah maha penerima taubat dan maha pengasih. Sebab Allah سبحانه وتعالى tak mahu kita ni masuk neraka. Bahkan Allah lagi suka sapa yang bertaubat dan suka pada orang yang suka menyucikan dirinya. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Antara dosa anggota. Dosa mata paling senang dilakukan. Sebab apa Allah uji mcm tu? Hikmahnya sebab kalau ada istighfar dan menyesal. Allah سبحانه وتعالى suka ungkapan itu. Ada prosedur dia untuk sebut istighfar ini iaitu kena menyesal dulu. Kalau tak menyesal bermakna kite bermain-main dengan Allah. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Orang yang berdosa dia orang kenal diri dia siapa. Dimana dia pergi dia rasa die tak elok, dia rasa tak baik smpai menjejakkan kaki ke syurga pon akan rasa. Ya Allah, aku dosa banyak. Tapi Allah bagi aku masuk syurga. Allah bagi hadir majlis ilmu. Rasa rendah hina diri. orang macam ni Allah سبحانه وتعالى. paling suka. Ada juga banyak dosa, tapi bangga diri jugak."

"Macam mana nak didik anak dizaman mencabar ni? Macam mana, kita nak didik anak kita seperti mak ayah kita dulu, didik kita. Kita mintak doalah. "Ya Allah, Ya tuhanku, engkau selamatkanlah anak-anak keturunan kami dizaman mereka. Ya Allah. Engkau kurniakan iman kepada anak-anak kami dizaman mereka. Ya Allah. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

"Jadi ibubapa doalah setiap masa kat anak-anak. Kalau anak degil jangan putus asa dengan anak kita. Jangan putus doa sebab hidayah berada digenggaman Allah سبحانه وتعالى. Paling dekat dengan Allah ialah doa ibubapa. Mustajab. Tanamkan dalam hati berkhidmat kepad ibubapa kita sampai akhir hayat mereka."

"Kita mintak doa, "Ya Allah, aku sebenarnya mmg nak berkhidmat kepada ibubapa aku tapi aku bekerja. Maka Allah, akan permudahkan satu per satu. Mintak doalah banyak-banyak utk ibubapa kita. Semoga Allah سبحانه وتعالى merahmati kedua ibu-bapa kita sama ada yang masih hidup, ataupon yang telah pergi meninggalkan kita. Allahuma solli ala saidina Muhammad."

Daripada TG Sheikh Zainul Asri Haji Romli.

MENDIDIK ANAK - ANAK

"Ibu adalah madrasah pertama seorang anak. Pendidikan didalam islam itu bermula sebelum bayi itu lahir, yakni sejak belum berkahwin lagi. Kerana khawatir menanam benih yang tidak baik pada tanah yang tidak baik maka lahirlah generasi yang tidak baik. Kerana didalam Al-Quran ada menyebut
Lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita yang tidak baik. Lelaki yang baik untuk Wanita yang baik."

"Jadi jika kamu inginkan wanita yang solehah, sebelum itu kamu kena solehkan diri kamu dahulu. Insya Allah, Allah سبحانه وتعالى akan menghantarkan wanita yang solehah untuk kamu. Madrasah pertama bagi seorang anak adalah bermula sebelum ibu dan ayahnya berkahwin lagi, kerana ia dididik melalui apa yang dilakukan oleh bakal ibu dan ayahnya."

"Dan Wanita yang sarat mengandung cubalah untuk hadir ke majlis majlis ilmu, majlis majlis cinta rasul, majlis-majlis zikir ia memberi kesan kepada anak didalam rahim tersebut. Memberi cahaya kepada anak tersebut. Amalkan membaca Surah Maryam, Surah Yusuf dan Surah Lukman kepada anak didalam kandungan ibu."

"Perlu dididik diri sendiri supaya zuriat yang dilahirkan juga zuriat yang telah terdidik. Jika ibu dan ayahnya seorang yang baik maka insya Allah anaknya akan jadi seorang yang baik. Sifat ibu bapa akan diwarisi oleh anak anak samada perkara yang baik ataupun tidak baik ia akan diwarisi terus tanpa perlu diajar."

"Keruntuhan adab menjadi punca utama kerosakan pendidikan.
Kerana didalam Al-Quran ada menyebut. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Jika madrasah pertama sudah terdidik dengan baik maka generasi yang akan dilahirkan juga generasi yang terdidik."

"Apa itu adab? Adab adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Pendidikan paling asas ialah pendidikan dari rumah. Jika tiada individu, yang membentuk didalam pendidikan maka rosaklah masyarakat itu. Ibu bapa memainkan peranan yang penting kepada anak anak. Jangan mengharapkan para guru disekolah untuk membentuk anak-anak, kerana anak itu adalah anak kita, darah daging kita tanggungjawab kita."

"Dan setiap ibu bapa akan ditanya oleh Allah سبحانه وتعالى tentang pendidikan agama anak-nya. Maka Rasulullah ﷺ telah memberi formula mendidik anak kita. Rasulullah berpesan kepada kita tiga perkara. Tiga perkara yang Nabi Muhammad ﷺ katakan kepada kita iaitu; "Kamu ajarkan kepada anak anak kamu yang pertama sekali adalah cinta kepada Rasulullah ﷺ." Kerana seseorang yang cinta kepada Rasulullah ﷺ akan membawa kepada cinta kepada Allah سبحانه وتعالى."

"Dan kamu gunakanlah apa sahaja medium, apa sahaja perantaraan yang boleh kita sampaikan kepada anak anak kita, anak anak muda kita, diri kita kepada cinta kepada Rasulullah ﷺ. Lakukan kerana itu adalah kunci kekuatan kita, cinta kepada Rasulullah ﷺ akan menumbuhkan diri manusia itu cinta kepada agama yang dibawa oleh Rasulullah, akidah yang dibawa oleh Rasulullah, syariat dibawa oleh Rasulullah, kitab yang dibawa oleh Nabi ajarkan kepada anak anak kita."

"Yang kedua adalah ajarkan kepada anak anak kamu cinta kepada ahlul baitku. Cinta kepada keluargaku. Keturunanku. Kerana ini kunci kekuatan bagi setiap umat bagi setiap zaman. Rasulullah ﷺ meninggalkan keturunannya yang ramai. Mereka membawa genetik Rasulullah ﷺ. Mereka meneruskan misi Rasulullah ﷺ. terutama kepada keturunan ulama ahlulbait dan keturunan Rasulllah."

"Mereka adalah pejuang sunnah disetiap zaman. Mereka akan wujud sehingga hari kiamat. Cinta kepada keturunan Rasulullah ﷺ. Ajarkan kepada anak-anak kita. Kemudian yang ketiga adalah cinta kepada Al-Quran. Ajarkan kepada anak-anak kamu cinta kepada Al-Quran. Pautkan mereka dengan Al-Quran."

"Ketiga-tiga formula ini diberikan oleh Rasulullah ﷺ kita lepaskan anak kita kemana sahaja diluar negara mereka belajar luar negara mereka akan pegang dengan agama Allah سبحانه وتعالى. Dan mencintai Nabi. Bilamana formula ini diterapkan sejak daripada kanak kanak lagi. Mereka akan mencintai Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah ﷺ adalah superhero kita yang sebenar. Manusia yang luar biasa."

Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.