Pages

Monday 15 January 2018

Empat Ciri-ciri Untuk Mencapai Martabat Muqarrabin

Martabat Muqarrabin adalah martabat orang yang dekat dengan Allah SWT. Mereka adalah golongan mukmin yang hati dan perasaan hanya kepada Allah SWT. Setiap amalannya penuh khusyuk dan ikhlas kepada Allah SWT.    Mereka adalah golongan sangat dekat dengan Allah SWT. disebabkan pengorbanan mereka dalam menegakkan agama Allah SWT. Bahkan nyawapun sanggup mereka korbankan semata-mata untuk mempertahankan agama Allah SWT. Oleh sebab itu tidak hairan mengapa mereka mendapat kedudukan yang begitu tinggi di sisi Allah SWT.

Abul Aliah mengatakan, “Tidak akan dipisahkan nyawa seorang muqarrabin sebelum dihadirkan kepadanya satu dahan dari kenikmatan syurga, lalu rohnya itu disimpan di sana.” Di dalam sebuah hadis sahih dikemukakan bahawa Rasulullah SAW. dari Ibnu Abbas r.a. menjelaskan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda,"Allah telah menjadikan roh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang tergantung di bawah Arasy. Saat mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, 'Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat ini.(Hadis sahih riwayat Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)
    
Firman Allah SWT maksudnya: “Adapun jika dia (orang yang mati) termasuk orang-orang Muqarrabin (didekatkan kepada Allah), (88) maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta syurga kenikmatan.(89) (Surah al-Waqi'ah ayat 88-89)

Perkara yang lengkap dan boleh menyampaikan seseorang itu kepada tujuannya dalam mengikuti jalan Allah ialah dengan berpandukan ciri-ciri yang berikut:

1. Pertama : Bermuhasabah :

Orang berakal yang hendak menyelamatkan dirinya daripada semua kebinasaan, serta ingin pula ianya dimasukkan oleh Allah ke dalam golongan orang-orang yang muqarrabin dalam semua perjalan dan tindak-tanduknya, apabila ia berazam hendak melakukan sesuatu perkara, sama ada dengan cara perkataan ataupun perbuatan, ia terlebih dahulu hendaklah menyedari bahawa ia akan disoal oleh Allah, tentang perkara itu.

Ingatlah ketika Allah SWT. berfirman yang bermaksud:"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(Surah al-Hasyr ayat 18)

Oleh itu, ia hendaklah menyediakan jawapan bagi soalan-soalan Allah SWT itu sebelum ia memulakannya. Sekiranya ia rasa bahawa dia boleh memberi jawapan yang betul dan lurus serta diredhai oleh Allah, maka bolehlah ia memulakan perkara itu. Dengan cara demikian, ia akan memperolehi kepujian di dunia dan di akhirat. Sebaliknya kalau ia rasa bahawa jawapannya tidak memuaskan dan tidak akan diredhai oleh Allah SWT, maka ia hendaklah menjauhi diri dari perkara maksiat dan dosa kerana perkara itu akan membawa akibat buruk kepadanya kalau dilakukannya.

Dari Syadad bin Aus r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : " Orang yang pandai adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT.)
(Hadis Riwayat Tirmidzi , ia berkata, ‘Hadis ini adalah hadis hasan’)

Dasar ini adalah menjadi asas bagi semua perbuatan dan perkataan. Sesiapa yang berpegang teguh dengan dasar ini, maka semua akhlaknya berdasarkan kelurusan, baik pada zahir mahupun batin, dan tidak ada sebarang cacat .

Ingatlah pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

2. Kedua : Mengharap redha Allah SWT semata-mata.

Seseorang Muslim tidak patut melakukan sesuatu perbuatan atau melafazkan sesuatu perkataan melainkan kerana mencari keredhaan Allah SWT. Kalaulah seseorang itu bertujuan benar untuk mencari keredhaan Allah SWT dan di samping itu hatinya bersih dari segala tujuan yang lain, serta berpegang teguh dengan dasar ini, ia tetap tidak akan berkata atau melakukan sesuatu perbuatan melainkan setelah ia yakin dan berhemat-hemat. Semua amalannya akan tetap ikhlas.

Inilah maksud firman Allah SWT kepada RasulNya yang amat besar dan kekasihNya  yang amat mulia iaitu Nabi Muhammad SAW dalam surah Al-Kahf ayat 28: yang bermaksud, "Dan bersabarlah kamu hai Muhammad bersama-sama dengan orang-orang yang menyerukan Tuhan mereka di waktu pagi dan petang dengan mengharapkan keredhaan Allah."

Dan firman Allah SWT dalam surah Al-Lail ayat 9: yang bermaksud, "Pada hal tidak ada padanya budi seorang yang patut dibalas melainkan kerana hendak mencari keredhaan Tuhan yang maha Tinggi dan Tuhannya akan meredhainya."

3. Ketiga : Mengeratkan Silaturrahim.

Seseorang Muslim, hendaklah mempunyai penuh perasaan belas kasihan kepada semua saudara Muslim tanpa beza-membeza di antara kaya dan miskin, berpangkat atau tidak berpangkat. Ia hendaklah menyempurnakan segala hak mereka sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Islam seperti memulia, menghormati dan menolong mereka. Kalaulah ia berpegang teguh kepada dasar ini dengan tulus ikhlas nescaya Allah akan melimpahkan cahaya dan rahmatNya ke atas seluruh jasadnya, dan dianugerahkan pula rasa kemanisan rahmat itu. Orang seperti ini akan mendapat habuan yang banyak dari pesaka kenabian yang terkandung di dalam firman Allah SWT, Surah Al-Ambiyaa', ayat 107.yang bermaksud,  "Tidak kami utuskan engkau hai Muhammad melainkan kerana rahmat kepada sekalian alam."

Rasulullah SAW. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada Arsy, ia berkata: "Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya." (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Jubair bin Muth`im ra.:Dari Nabi SAW  bahwa beliau bersabda: "Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan."
(Hadis Shahih Riwayat Muslim )

Hadis riwayat Anas bin Malik ra., ia berkata:Aku pernah mendengar Rasulullah SAW. bersabda: "Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan kekeluargaan (silaturahmi)." (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

4. Keempat: Menyempurnakan Akhlak.

Terdapat sekian banyak dalil yang membuktikan bahawa akhlak yang mulia merupakan ciri-ciri seorang mukmin. Di antaranya adalah firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala berkenaan ciri-ciri akhlak Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam:

Firman Allah SWT maksudnya, "Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (Surah al-Qalam (68) ayat 04)

Seterusnya Allah menyuruh kita meneladani akhlak Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tersebut:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).(Surah al-Ahzab (33) ayat 21)

Antara tujuan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam diutuskan adalah menyempurnakan akhlak yang mulia dan sahih:

Sesungguhnya aku diutus tidak lain untuk menyempurnakan akhlak yang shalih.
[ Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad, hadis no: 273 (Bab akhlak yang baik).]

Akhlak yang mulia mencerminkan kesempurnaan iman:

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.[Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1162 (Kitab al-Radha’, Bab berkenaan hak wanita ke atas suaminya).]

Dasar ini merupakan pati dan intisari agama Islam. Maksudnya, seseorang hamba Allah hendaklah bersifat lemah lembut terhadap keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum Muslimin.

"Ahli syurga ialah tiap-tiap orang yang bersifat lemah lembut dan mudah kira bicara, sedangkan ahli neraka pula ialah tiap-tiap orang yang kasar dan keras." Lalu sahabat-sahabat bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan keras itu Hai Rasulullah? Baginda menjawab, ialah orang yang bersikap kasar terhadap keluarga, sahabat handai dan terhadap kaum kerabatnya sendiri.

Firman Allah SWT maksudnya, "... Dan katakanlah kepada manusia dengan perkataan yang baik ... " iaitu tidak mengatakan sesuatu yang keji. (Surah al-Baqarah ayat 83)

Ini bererti bahawa bukan sahaja dikehendaki mengatakan perkataan yang baik malah yang lebih baik daripada itu.

Pendeknya apa saja perkataan dan perbuatan baik yang kamu suka dikata atau dibuat orang kepada kamu, maka kata dan buatlah kepada makhluk-makhluk Allah SWT.  Sebaliknya apa yang kamu benci dari orang lain terhadap diri kamu, baik perkataan ataupun perbuatan yang keji, maka hendaklah kamu jauhinya kerana Allah SWT akan berbuat kepada hambaNya mengikut sifat dan perangai hamba itu terhadap makhlukNya. Balasan Allah terhadap sesuatu sifat hamba adalah dengan bentuk yang sesuai dan sewajar dengannya.

Oleh itu marilah kita berusaha menjadi mukmin yang muqarrabin dan di kasihi oleh Allah SWT. Buangkan segala sifat sombong, ego, bangga diri dan sifat-sifat mazmumah dan hiasailah akhlak kita dengan sifat-sifat mahmudah.

4 comments:

  1. Terima kasih atas penerangannya

    ReplyDelete
  2. Subhanallah, mohon di kongsi untuk anak-anak didik. Syukran jaziilan kathiran

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah seronok tadabbur ayat 88 surah Al-Waqi'ah tentang orang-orang yang disebut Muqarrabin

    ReplyDelete