Pages

Monday 29 January 2018

NABI TIDAK BUAT MAKA TIDAK BOLEH DIBUAT, BENARKAH?

SOALAN : Segelintir golongan yang ekstrimis mengatakan bahawa orang Islam banyak melakukan perbuatan yang tidak harus dilakukan dengan hujjah bahawa Nabi saw tidak melakukannya dan begitu juga para sahabat. Adakah perkara ini, iaitu perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabat menandakan ianya tidak harus dilakukan?

JAWAPAN : Berhubung dengan tajuk persoalan ini, al-Syeikh al-Sayyid Abdullah bin al-Sidq al-Ghumari telah mengarang risalah bertajuk (   حسن التفهم والدرك لمسألة الترك   ) dan beliau menukilkan bait syair yang sangat indah. Katanya:

الترك ليس بحجة فى شرعنا   /  لا يقتضي منعا ولا إيجابا

فمن ابتغى حظرا بترك نبينا   /   ورآه حكما صادقا وصوابا

قد ضل عن نهج الأدلة كلها / بل أخطاء الحكم الصحيح وخابا

لا حظر يمكن إلا إن نهي أتى  /  متوعدا لمخالفيه عذابا

أو ذم فعل مؤذن بعقوبة    /   أو لفظ تحريم يواكب عابا

Yang bermaksud,

Perkara yang tidak dilakukan (oleh Nabi) tidaklah boleh dijadikan hujjah (kaedah) dalam syariat kita,

Kerana ianya tidak bermaksud dilarang atau tidak bermaksud ianya wajib,

Barang siapa beranggapan  perkara yang tidak dilakukan (oleh Nabi) adalah haram,

Dan berpandangan ianya adalah hukum yang benar dan betul,

Maka  dia telah sesat dalam manhaj (pengambilan) dalil,

Bahkan salah pada meletakkan hukum yang sahih dan melakukan kesalahan,

Tidaklah boleh dikatakan haram kecuali didatangkan (nas) larangan,

Yang menjanjikan orang yang melanggarnya dengan azab,

Atau pun ada celaan ke atas  orang yang merestu sesuatu perbuatan dengan balasan,

Atau ada lafaz pengharaman yang membawa keaiban.

Ulama’ Islam sama ada salaf dan khalaf, di timur dan barat telah bersepakat bahawa alasan Nabi tidak melakukannya bukanlah satu kaedah untuk menjadi dalil sekiranya ianya bersendirian (tiada nas larangan). Kaedah yang digunakan oleh mereka dalam menetapkan hukum syarak sama ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram adalah seperti berikut:

1.      Nas daripada al-Quran

2.      Nas daripada al-Sunnah

3.      Ijmak ulama’ pada hukum

4.      Qias

Dan beberapa kaedah yang menjadi perselisihan pendapat antara mereka dalam menetapkan hukum yang lain iaitu:

5.      Kata-kata sahabat

6.      Saddu al-Zari‘ah (  سد الذريعة  )

7.      Perbuatan ahli Madinah

8.      Hadith Mursal

9.      al-Istihsan

10.  Hadith Dhoif

Dan tidak terdapat daripada kaedah itu bahawa Nabi tidak melakukannya sebagai dalil dan alasan .

Perkara yang Nabi tidak dilakukan tidak boleh dijadikan hukum syarak sekiranya ianya bersendirian (tiada nas larangan) dan perkara ini disepakati oleh para ulama’. Terdapat bukti-bukti dan athar tentang kefahaman sahabat ra bahawa perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi ianya bukanlah bermaksud diharamkan mahupun makruh maka inilah juga yang difahami oleh para fuqaha’. Ibnu Hazm telah menolak hujjah al-Malikiyyah dan al-Hanafiyyah berhubung makruh solat sunat sebelum Maghrib dengan alasan Abu Bakar, Umar dan Uthman tidak melakukannya. Ibnu Hazm berkata: Perkara ini tidak benar. Ini kerana hadith  berkenaan adalah hadith (  منقطع  ), Ibrahim (perawi) tidak dikenali dikalangan kami dan dia dilahirkan bertahun-tahun selepas pembunuhan Uthman ra. Dan sekiranya hadith ini sah, ianya masih tidak boleh dijadikan hujjah kerana tiada tegahan daripada para sahabat yang lain dan mereka juga tidak memakruhkannya. Justeru kami tidak bertentangan dengan mereka iaitu perkara sunat yang tidak dilakukan oleh Nabi adalah boleh buat[1].

Maka inilah pendirian Ibnu Hazm kepada ibadah yang tidak dilakukan oleh sahabat ra, dan begitu juga pendiriannya kepada perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi tentang ibadah yang asal sesuatu itu adalah disyariatkan. Beliau berkata tentang solat sunat selepas Asar: Adapun hadith Ali bin Abi Talib tidak boleh dijadikan hujjah. Ini kerana ianya adalah pengkhabarannya tentang apa yang dia ketahui. Dia tidak melihat Rasulullah saw menunaikan solat sunat selepas Asar dan dia benar tentang apa yang dia kata tetapi tiada larangan dan makruh bagi solat sunat itu. Begitu juga Rasulullah saw tidak berpuasa sebulan kecuali bulan Ramadhan. Ini bukanlah menunjukkan tegahan untuk berpuasa sunat sebulan penuh pada bulan-bulan yang lain[2]. Maka kefahaman mereka Nabi tidak berpuasa penuh pada bulan-bulan yang lain selain Ramadhan bukanlah menunjukkan haram atau makruh sekiranya seseorang itu berpuasa panuh sebulan pada bulan-bulan yang lain sekalipun baginda tidak melakukannya.

Dithabitkan bahawa Nabi saw berkhutbah di atas batang pokok kurma dan bukan di atas mimbar. Para sahabat berpendapat berkhutbah di atas mimbar bukanlah bid’ah dan haram. Maka mereka membina mimbar bagi Rasulullah berkhutbah di atasnya[3]. Oleh itu, perbuatan mereka tidak mendahului perkara yang diharamkan oleh baginda kerana apa yang tidak dilakukan oleh nabi bukan bermaksud bid’ah atau haram.

Nabi saw juga tidak melakukan di dalam solat selepas rukuk membaca (ربنا ولك الحمد حمدا كثيرا ). Para sahabat memahami doa yang tidak dibaca oleh baginda dalam solat bukan bermaksud perbuatan itu haram, dan seandai sebaliknya maka tidak perlulah mereka membuatnya kerana telah diyakini haram dan Nabi saw juga tidak menegur amalan yang dilakukan itu seraya bersabda: Bagus! Tetapi amalan itu tidak dikira, atau baginda menegahnya sebab mengada-adakan doa yang asing dalam solat, maka di sini tahulah kita bahawa peristiwa yang berlaku dahulu tidak boleh kita tetapkan hukumnya pada hari ini

Hadith yang diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ al-Zarqi berkata: Suatu hari kami bersolat di belakang Nabi saw dan apabila bangkit daripada rukuk baginda berkata: (  سمع الله لمن حمده  ). Kemudia dijawab oleh seorang sahabat: (ربنا ولك الحمد حمدا كثيرا طيبا مباركا فيه  ). Selesai daripada menunaikan solat baginda bertanya: Siapa yang berkata tadi. Sahabat menjawab: Saya. Baginda bersabda: Sesungguhnya aku melihat tiga puluh lebih malaikat berebut-rebut, siapakah yang pertama di kalangan mereka yang dapat mencatat amalan tersebut[4]. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengulas hadith ini: Hadith ini menunjukkan bahawa harus berzikir dalam solat dengan doa yang tidak ma’thur selagi tidak bertentangan dengan yang ma’thur[5]. Jika dibenarkan mengada-adakan doa yang tidak ma’thur dalam solat, maka ianya di luar solat adalah aula.

Saidina Bilal ra turut memahami bahawa solat sunat wudhu’ yang tidak dilakukan oleh Nabi saw bukanlah bermaksud tidak harus dilakukan. Beliau tidak memberitahu baginda sehinggalah Nabi saw bertanya: Wahai Bilal, beritahu kepada aku, amalan yang paling baik yang engkau lakukan dalam Islam. Sungguhnya aku mendengar tapak kaki kamu di hadapan syurga. Bilal menjawab: Tiada amalan yang terbaik ku lakukan kecuali ketika aku dalam keadaan bersih (berwudhu’) pada saat siang atau malam, aku bersolat sunat dengan sebab keadaan bersih (berwudhu’) itu yang ianya bukanlah wajib untuk aku bersolat.

Sebagaimana yang diketahui, solat sunat selepas berwadhu’ dilakukan selama setahun sebalum diikrarkan oleh baginda saw. Justeru, inilah bukti kepada kita bahawa kefahaman para sahabat ra  harus mengada-adakan doa atau solat sunat pada waktu tertentu yang mana Nabi saw tidak melakukannya. Ini kerana baginda tidak mengingkari perbuatan para sahabat dan tidak menegahnya selepas baginda mengetahuinya.

Dari penjelasan tadi, dapat kita ketahui bahawa secala mutlaq perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi saw, para sahabat dan sehingga kurun ke 3, tidak ia bermaksud apa-apa, bukanlah ianya diharamkan, makruh dan selain daripada itu. Inilah kefahaman para sahabat Nabi saw sepanjang hidup baginda dan Nabi tidak mengingkari kefahaman mereka itu. Seterusnya perkara ini diteruskan oleh ulama’ dan marilah kita memohon kepada Allah untuk memahamkan kita tentang agama kita Islam.

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين، والله تعالى أعلى أعلم

[1] Al-Mahalliy bil Athar, Ibnu Hazam, Jld 2 hlmn 22.

[2] Sda, Jld 2 hlmn 36.

[3] Al-Bukhari pada dua tempat,  jld 2 hlmn 908 dan Jld 3 hlmn 1314.

[4] Di keluarkan oleh Iman Ahmad dalam Musnadnya, Jld 4 hlmn 340, al-Bukhary dalah Sohihnya, Jld 1 hlmn  275, Abu Daud dalam Sunannya, Jld 1 hlmn 204, al-Nisa’ie dalam Sunannya, Jld 1 hlmn 222, Malik dalam al-Muatta’, Jld 1 hlmn 211 dan al-Baihaqi dalam al-Kabir, Jld 2 hlmn 95.

[5] Fath al-Bari, Ibnu Hajar, Jld 2 hlmn 287.

Sumber : Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=996876247126595&id=286184454862448

No comments:

Post a Comment