Pages

Friday 16 October 2015

Pesan Rasulullah SAW

"Kaum Quraisy menggunakan kekuatan mereka untuk menyakiti umat Islam yang ingin beribadah. Kekuatan seperti ini yang mesti diperangi. Tetapi apabila kaum kafir tidak mengganggu kepada kaum muslimin, tiada keperluan untuk jihad memerangi mereka. Kita perlu memahami sejarah kaum Muslimin. Ketika dizalimi, ditekan, ditindas, ke mana kaum muslimin berhijrah?"

"Rasulullah ﷺ menyuruh kaum muslimin berhijrah ke Habsyah. Yang rajanya seorang Kristian iaitu Raja Najasyi kerana dia seorang pemimpin yang tidak menzalimi rakyatnya. Kalau jihad ialah membunuh semua pemimpin yang tidak beriman, mengapa Rasulullah ﷺ tidak memerangi Raja Najasyi?"

"Bahkan Nabi ﷺ memuji dengan mengatakan Raja Najasyi ialah raja yang adil. Kaum musyrikin dan Raja Najasyi dua-duanya punya kuasa, tapi yang diperangi cuma kaum Quraisy kerana mereka menghalang orang beriman untuk beribadah kepada Rasulullah ﷺ."

"Diriwayatkan kisah Abu Jandal bin Suhail bin Amr. Dia beriman ketika berlakunya perjanjian Hudaibiyah. Oleh sebab itu dia diseret ayahnya sendiri untuk balik ke Mekah. Rasulullah ﷺ berkata padanya; “Bersabarlah kamu, bersabarlah. Allah akan buka jalan keluar padamu.”

"Bagaimana dengan konsep jihad? Seorang Muslim diseret di hadapan Rasulullah ﷺ dan Rasulullah ﷺ suruh dia sabar, kenapa? Kerana jihad bukan panggilan emosi, atau fanatik atau perasaan marah. Jihad ada tatacaranya, ada hukum hakamnya. Rasulullah ﷺ tidak pernah khianat pada perjanjian walaupun dengan kaum kafir."

"Pada Perang Khaibar, yang berlaku pada tahun kelima atau enam Hijrah, di kawasan yang agak jauh dari Madinah. Ketika itu Nabi ﷺ membawa tentera kaum muslimim keluar dan dan pusingan pertama perang itu dimenangi kaum Muslimin. Lalu setelah itu, utusan kaum Yahudi dihantar untuk memohon perdamaian dan Rasulullah ﷺ terima."

"Kenapa? Kalau konsep jihad untuk bunuh semua kenapa Rasulullah ﷺ terima perdamaian, sedangkan baginda dan muslimin dalam keadaan menang. Tak cukup dengan itu, perdamaian itu datang dengan kondisi iaitu separuh hasil kurma di beri kepada muslimin, dan separuh kepada Yahudi."

"Bukankah sepatutnya kalau kaum muslimin menang, semua harta musuh menjadi milik kaum muslimin. Ya. Tapi Rasulullah ﷺ terima untuk berkongsi dengan mereka. Ini bukan untuk menunjukkan lemah, atau rendah tapi untuk menunjukkan toleransi dalam agama ini, dan menunjukkan bahawa agama ini berdamai dengan sesiapa saja yang menyokong perdamaian."

"Ini agama bukan agama yang kejam atau agama pertumpahan darah. Nabi ﷺ berdamai dan akur dengan permintaan mereka, walaupun mereka Yahudi. Kekufuran kaum musyrikin tak sama dengan kekufuran kaum Yahudi. Kaum Musyrikin, mereka tak tahu tentang agama Allah dan kenabian, tapi kaum Yahudi sudah menerima kitab sebelum itu dan tahu akan kedatangan Nabi yang terakhir."

"Tapi mereka tidak mahu beriman, bahkan memusuhi Nabi ﷺ jauh lebih ketat berbanding kaun Musyrikin. Tapi Nabi ﷺ masih mahu berdamai, untuk menunjukkan toleransi dalam agama ini dan mengharapkan ada di antara mereka yang mahu beriman."

"Jika mereka semua dibunuh dalam keadaan kufur, semuanya akan masuk neraka dan itu bukan yang Rasulullah ﷺ inginkan. Nabi ﷺ diutuskan untuk menyelamatkan orang dari neraka. Setiap tahun Abdullah ibnu Rawahah akan pergi untuk buat anggaran hasil kurma yang menjadi milik kaum Muslimin dan Yahudi."

"Nabi ﷺ sentiasa ada dalam mengagihkan bahagain kaum Yahudi dan kaum Muslimin. Suatu hari ketika Abdullah datang, salah seorang ketua Yahudi datang dan menyuruh Abdullah menipu kiraanya kepada Rasulullah ﷺ. Tapi kata Abdullah; “Saya datang daripada orang yang sangat aku sanjungi dan sayangi, kepada orang yang paling aku benci yakni Yahudi, tapi itu tidak mengganggu aku untuk berlaku zalim kepada kamu, dan juga tidak menjadikan aku untuk berlaku tidak adil kepada kamu.”

"Iman sahabat Rasulullah ﷺ tidak boleh dibeli dengan duit. Wallahi, aku ingin datang daripada orang yang paling aku sayangi Rasulullah ﷺ, kepada orang yang paling aku benci Yahudi, akan tetapi kedua-duanya tak mengganggu aku untuk tidak adil kepada mana-mana pihak."

"Dalam satu kisah, Sayyidina Ali diberi bendera untuk keluar berperang dan dipesan untuk berjalan dengan tidak menoleh ke belakang lagi. Ketika berjalan, Sayyidina Ali berhenti bertanya tanpa menoleh ke belakang; “Atas dasar apa saya perangi mereka?”

"Yakni matlamat jihad bukan untuk membunuh, sekadar melawan orang yang menghalang tersebarnya agama Allah سبحانه و تعالى. Jawab Rasulullah ﷺ; “Perangilah mereka sehingga mereka mengucapkan Lailahaillallah.” Pesan Rasulullah ﷺ lag, kepada Sayyidina Ali ketika memegang bendera."

"Pesan Rasulullah; “Dengan sebab engkau menjadi hidayah kepada walaupun satu orang, adalah lebih baik daripada engkau mendapatkan dunia dan seisinya." Yakni matlamat agama ini ialah memberi hidayah, dan bukannya membunuh kepada sesiapa saja. Ini pesanan terakhir Nabi ﷺ sebelum Sayyidina Ali keluar ke Perang Khaibar. Ini daripada perang yakni jihad yang diperintahkan Rasulullah ﷺ."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

No comments:

Post a Comment