Pages

Sunday 11 October 2015

Nikmat Dan Azab

Rasulullah SAW bersabda dan maksudnya; “Barangsiapa yang Allah سبحانه وتعالى kehendaki kebaikan pada diri seseorang itu, pasti Allah menganugerahinya pemahaman dalam agama." Apabila Allah سبحانه وتعالى hendak memberikan kebaikan kepada seorang hamba-Nya, maka Dia akan memberi kefahaman untuk memahami agama Islam dan menghayatinya di dalam kehidupannya."

"Dan untuk mendapat kefahaman didalam agama kita memerlukan ilmu, kita menuntut ilmu. Ilmu pada asasnya terbahagi kepada dua iaitu, yang pertama. Ilmu yang berada di hati dan meresap ke jiwa. Hati adalah raja kepada seluruh anggota badan. Hati yang baik akan menatijahkan hasil yang baik dari mata, pertuturan, cara berfikir dan lintasan hatinya. Jika buruk hati maka buruklah seluruh anggota badannya."

"Yang kedua, adalah Ilmu yang hanya perbicaraan lisan, tidak meresap di hati manusia. Ilmu ini akan menjadi hujjah Allah سبحانه وتعالى untuk mengalahkannya di akhirat nanti. Dia mempunyai ilmu tetapi tidak memberi kesan kepada matanya, telinga, mulut, perut, hati dan kemaluannya. Bila ilmu memberi kesan impak kepada hati, maka seluruh anggota tubuh akan akur melakukan ketaatan."

"Sabda Rasulullah ﷺ; “Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah itu adalah hati." Didalam sebuah hadith, sekali-kali tidak akan berganjak kedua-dua telapak kaki seorang hamba manusia pada Hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang empat perkara."

"Empat perkara tersebut iaitu tentang umurnya ke mana dihabiskannya, tentang mudanya ke mana dipergunakannnya, tentang hartanya dari mana diperolehnya dan ke mana dibelanjakannya, tentang ilmunya apakah yang diamalkannya. Jika dengan ilmu, dia inginkan pujian dan kedudukan di mata manusia, maka dia hanya mendapat dunia bukan akhirat sekalipun dia menuntut ilmu akhirat. Dia adalah serugi-ruginya manusia."

"Seorang tabiin bila bertanya kepada sahabat tentang Sayidina Abu Bakar As-Siddiq. Lalu beliau menjawab Sayidina Abu Bakar seperti mayat berjalan di atas muka bumi ini. Hatinya sentiasa lunak dan menangis kerana takut kepada akhirat dan api neraka. Sayidina Abu Bakar r.a pernah berkata; "Alangkah baiknya aku menjadi burung yang berterbangan, bila waktu ajalnya tiba, maka tiada perhitungannya di akhirat."

"Rasulullah ﷺ bersabda; "Hendaknya engkau mencapai mati sebelum kematian tiba. Barang siapa yang ingin melihat mayat berjalan di atas muka bumi, hendaklah ia melihat kepada sahabat Abu Bakar." Saiditina Khatijah r.a menginfaqkan seluruh hartanya ke jalan Allah سبحانه وتعالى."

"Begitu mulianya hatinya, berjuang dan berkorban habis-habisan untuk Islam. Saiditina Khadijah ketika menjelang wafatnya, berkata "Wahai Rasulullah, jika saya mati dan tulang belulang saya boleh digunakan untuk perjuangan Islam maka gunakanlah." Sebaik sahaja manusia dibangkitkan di padang mahsyar, mereka akan dihalau ke sesuatu tempat yang dahsyat penuh kesesakan dan kegelapan yang menggerunkan."

"Setiap manusia mempunyai dimensi tempat dan tempoh masa yang tersendiri mengikut amalan masing-masing seperti didalam Al-Quran. Ada yang merasai tempoh satu hari akhirat bersamaan seribu tahun di dunia, ada pula merasainya seperti lima puluh ribu tahun di dunia, namun ada yang merasai sehari seumpama dua rakaat sahaja."

"Rabiyatul adawiyah r.a berkata; “Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu."

Seseorang bertanya kepadanya; "Wahai Rabiah, adakah kamu tidak mahu syurga dan tidak berlindung dari neraka?". Jawab Rabiah "Wahai saudara, jangan salah faham, aku juga memohon syurga dan mohon perlindungan dari neraka seperti Rasulullah mohonkan, namun jika syurga dan neraka itu tidak diciptakan, bukankah Allah سبحانه وتعالى itu masih berhak disembah. Bukankah kita sebagai hamba-Nya wajib menyembah-Nya semata-mata, walau disana tiada syurga dan neraka?"

"Bagaimanakah kita mendapatkan redha Allah سبحانه وتعالى? Yang pertama, adalah Jangan sampai gerak geri dari anggota badan kita mengundang kemurkaan Allah سبحانه وتعالى. Dan yang kedua, Jangan ada lintasan di hati yang tidak baik terhadap manusia lain, memandangkan orang lain dengan pandangan yang rendah. Sifat yang dibenci Allah, lintasan yang tidak beradab menyebabkan Allah سبحانه وتعالى murka. Sentiasa melihat manusia dengan pandangan yang positif."

"Dan yang ketiga, Jangan meletak diri kita lebih baik atau lebih mulia dari orang lain hatta anjing kurap sekali pun. Jika ada walaupun sedikit bermakna masih ada sifat takabbur dalam diri kita. Jika seseorang itu mengumpat atau bersangka buruk terhadap orang lain bermakna dia juga mengumpat perbuatan Allah dan dia juga tidak beradap dengan Allah سبحانه وتعالى."

"Dan kita patut mencontohi Sayidina Uwais Al-Qarni. Rasulullah ﷺ pernah berpesan kepada Sayyidina Umar r.a. dan Sayyidina Ali KaramAllahu wajhah; “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

"Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah ﷺ; “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais ya Rasulullah?” Rasulullah ﷺ menjawab; “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah سبحانه وتعالى ampunkan dosa-dosa kalian.”

"Memang benarlah kata-kata Rasulullah ﷺ Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Setelah puas menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya mereka bertemu juga dengan Uwais al-Qarni."

"Jika dilihat dari pandangan mata, Uwais al-Qarni tiada ciri-ciri istimewa kerana dari pandangan luaran beliau seperti orang yang tidak sempurna akal dan dianggap sebagai seorang yang kurang waras, tetapi beliau ada sesuatu yang kita tidak ketahui."

"Bagaimana amal kita di akhirat nanti? Dalam sebuah hadits, Mu’adz bin Jabal ra. mengisahkan daripada Rasulullah ﷺ. Pada setiap langit ada satu malaikat yang menjaga setiap pintu. Amal perbuatan seorang hamba yang telah ia lakukan akan dibawa oleh malaikat Al-Hafadzah ke setiap pintu langit. Setiap amalan yang tidak melepasi pintu-pintu tersebut akan dihumban ke pemiliknya.

"DiLangit yang pertama, Ketika mereka sampai di pintu Langit Pertama, berkatalah Malaikat penjaga pintu; “Pukulkanlah amal perbuatan ini ke wajah pemiliknya! Akulah yang mengawasi perbuatan cinta dunia, aku telah diperintah untuk tidak membiarkan amal ini melepasiku untuk menuju ke langit yang berikutnya!”

"Kemudian Langit kedua, Malaikat penjaga pintu yang mengawasi perbuatan riak berkata; “Pukulkanlah amal perbuatan ini ke wajah pemiliknya! aku telah diperintah untuk tidak membiarkan amal ini melepasiku untuk menuju ke langit yang berikutnya!”

"Dan diLangit ke tiga, "Malaikat penjaga pintu yang mengawasi perbuatan takabbur berkata “Pukulkanlah amal perbuatan ini ke wajah pemiliknya. Dan diLangit ke empat Malaikat penjaga pintu yang mengawasi sifat ujub berkata “Pukulkanlah amal perbuatan ini ke wajah pemiliknya!"

"Dan diLangit kelima, Malaikat penjaga pintu yang mengawasi perasaan hasad dengki. Kemudian Langit ke enam, Malaikat penjaga pintu yang mengawasi orang yang tiada sifat rahmat kasih sayang kepada ibubapa, orang miskin, anak yatim dan lainnya. Dan Langit ke tujuh, adalah Malaikat penjaga pintu yang mengawasi orang yang tidak ikhlas dalam amalannya. Makanya, ibadah yang dilakukan adalah dengan ikhlas."

Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari

No comments:

Post a Comment