Pages

Friday 2 October 2015

KEPENTINGAN MENTADABBUR AL-QURAN


Berkata Imam Saidina Ali RA,.”Tiada kebaikan di dalam ibadah jika tiada memahami hukum feqah tentangnya dan tiada faedah daripada membaca al-Quran jika tiada tadabbur padanya.”
Berkata Abdullah bin Mas’ud RA, “Sesiapa yag ingin memiliki ilmu-ilmu orang yang terdahulu dan terkemudian, maka hendaklah ia mentadabburkan al-Quran.”

Abu Hamzah telah mengadu kepada Ibnu Abbas,“Sesungguhnya saya ini suka membaca al-Quran secara cepat. Dalam masa tiga hari, saya telah berjaya mengkhatamkannya.” Jawab Ibn Abbas, “Sesungguhnya membaca satu surah daripada al-Quran dalam masa satu malam lalu aku mentadabburnya dan aku membacanya secara tartil, lebih aku sukai daripada aku membaca seperti mana kamu membaca.”

Berkata Ibn al-Qayyim, “Membaca al-Quran dengan tafakkur dan tafahhum lebih baik daripada membaca ke akhirnya tanpa tadabbur dan tafakkur, kerana demikian lebih memberi manfaat bagi hati dan lebih cepat untuk menghasilkan iman dan rasa kemanisan al-Quran.” Sambungnya lagi, ”Sesungguhnya ilmu agama berada di bawah bayangan tadabbur. Hati yang hidup adalah hati yang mendapat kesan daripada tadabbur al-Quran.”

Syeikh Ibnu Taimiyyah, “Yang dituntut daripada membaca al-Quran adalah memahami maknanya dan beramal dengan isi kandungannya. Jika perkara ini tidak termasuk di dalam agendanya ketika membaca al-Quran, maka dia bukanlah daripada kalangan orang berilmu dan orang beragama.

Berkata Imam al-Suyuti, “Sifat seorang yang mentadabburkan al-Quran adalah dengan menyibukkan hatinya dengan berfikir makna yang dibaca sehingga dia mengingatinya. Setelah itu memerhatikan arahan atau larangan yang lahir dari ayat tersebut. Dia mesti beriktiqad (beriman dengan kebenarannya). Jika dia tidak mampu untuk melaksanakan kerana kecuaian atau ketidakmampuannya, dia beristighfar. Sekiranya dia melalui ayat yang berkaitan azab, dia mesti melahirkan perasan takut dan berlindung daripadanya. Jika dia melalui ayat yang menceritakan nikmat dan kesudahan yang baik, dia berdoa memohon supaya dimasukkan dalam golongan tersebut. Jika dia melalui ayat yang berkaitan keagungan Allah SWT, dia akan mensucikan Allah dari sebarang kekurangan dan meletakkan kebesaran dan keagungan Alla SWT di dala hatinya & berdoa sambil merendahkan dan menghinakan diri. “

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment