Pages

Wednesday 30 August 2017

SIFAT ORANG YANG BERIMAN LAGI BERTAQWA

Di antara sifat mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah adalah mereka yang sentiasa mengingati Allah سبحانه  وتعالى dan bertaubat, beristighfar kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى apabila mereka melakukan dosa dan kemaksiatan.

Setiap daripada kita pasti akan melakukan dosa dan kemaksiatan tiada yang terkecuali kerana kita bukannya maksum. Sebanyak mana pun ibadah kita, setinggi mana pun amal yang telah kita lakukan pasti kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kemaksiatan.

Akan tetapi yang membezakan darjat seseorang itu di sisi Allah adalah sejauh mana ketaqwaannya di sisi Allah سبحانه  وتعالى. Bagi mereka yang beriman yang bertaqwa kepada Allah سبحانه  وتعالى apabila mereka tergelincir melakukan dosa dan kemaksiatan kepada Allah maka mereka akan dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah سبحانه  وتعالى untuk cepat-cepat beristighfar kembali bertaubat kepada Allah.

Begitulah sepatutnya yang perlu kita lakukan apabila kita melakukan dosa dan kemaksiatan kita cepat-cepat kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى beristighfar kepada Allah dan kita mengaku dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan dengan harapan Allah سبحانه  وتعالى akan memaafkan kita akan mengampunkan dosa-dosa kita.

Sebaliknya yang sering terjadi adalah apabila kita melakukan dosa dan maksiat kita suka untuk melewat-lewatkan, menangguh-nangguh untuk bertaubat bahkan mungkin kita tidak akan bertaubat. Berjaga-jagalah kita daripada lewat bertaubat kepada Allah سبحانه  وتعالى. Janganlah apabila kita melakukan dosa dan maksiat kita katakan "Tak apalah esok-esoklah aku bertaubat. Nanti-nantilah aku bertaubat."

Kerana apa kita perlu bersegera dalam bertaubat? Pertama kerana kita tak tahu bagaimanakah keadaan diri kita pada masa yang akan datang. Adakah kita ini sempat untuk bertaubat kepada Allah سبحانه  وتعالى  ataupun tidak. Takut-takut ajal kita datang menjemput kita sebelum kita sempat bertaubat.

Kedua, dengan kita melewat-lewatkan taubat maka di sini terdapatnya peluang bagi syaitan untuk memasuki kehidupan kita nak mendatangkan was-was menghasut diri kita. Kita sering perhatikan terdapatnya orang-orang yang apabila dia melakukan dosa kemudian dia bertaubat. Setelah itu dia kembali melakukan dosa dan bertaubat kembali. Perkara demikian berulang-ulang berlaku melakukan dosa dan bertaubat.

Di sini syaitan akan memainkan peranannya untuk mengoda manusia dan mendatangkan was-was kepada manusia dengan mengatakan "Kalau beginilah caranya kamu bertaubat kemudian kamu melakukan dosa kembali. Ini bukanlah caranya." Dan akhirnya syaitan akan menipu kita sehingga kita meninggalkan perbuatan taubat kita kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Memanglah perbuatan kita itu tidak beradab kepada Allah سبحانه  وتعالى yang mana kita melakukan dosa dan bertaubat tetapi setelah itu kita terus menerus melakukan perbuatan yang sama. Akan tetapi, Allah Maha Mengetahui yang kita akan melakukan dosa lagi dan kita akan kembali bertaubat kepada-Nya dan Allah سبحانه  وتعالى lebih tahu yang kita akan melakukan dosa bukan sekali tetapi puluhan kali, ratusan kali bahkan berjuta-juta kali. Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

#thecapal

No comments:

Post a Comment