Pages

Saturday 19 August 2017

TAK KENAL MAKA TAK CINTA.

SELAWAT DAN SALAMMU KEPADA NABI MUHAMMAD ﷺ ITU ADALAH TANDA CINTAMU KEPADA BAGINDA RASULULLAH ﷺ

Bagaimana untuk kita mencintai dan kasih kepada Nabi ﷺ? Kita berhajat kepada Allah سبحانه وتعالى untuk mengajar kita mencintai Nabi ﷺ.

Dan Allahسبحانه وتعالى menyebutkan orang-orang yang soleh, Para Auliya mereka yang dianggap Wali Allah. Mereka inilah yang sebenarnya yang boleh memberitahu kepada kita dan mengajar kita bagaimana nak mencintai Nabi ﷺ.

Kalaulah kita tak jumpa seorang Wali Allah ataupun orang-orang yang soleh yang boleh menunjukkan kepada kita bagaimanakah langkah-langkah untuk kita mencintai Nabi ﷺ maka cukuplah bagi kita untuk banyak menyebut selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ.

Para Ulama dan Para Solihin mengatakan "Kalau kita tak jumpa seorang guru, seorang pendidik yang boleh mendidik hati kita untuk mencintai Nabi ﷺ maka banyaklah kita untuk mengucapkan selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ kerana itulah sebenarnya guru dan pendidik kita.

Bagaimana banyaknya selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ dapat mendidik dan mengajar jiwa dan hati kita untuk mencintai Nabi ﷺ?

Cara pertama selawat dan salam ini boleh membantu kita untuk mencintai
kepada Nabi ﷺ kerana
selawat dan salam boleh menghapuskan dosa-dosa kita.

Disebutkan di dalam hadis yang sahih Nabi ﷺ bersabda "Barangsiapa yang berselawat keatas aku sekali maka Allahسبحانه وتعالى akan berselawat ke atasnya 10 kali. Dan barangsiapa yang berselawat 10 kali ke atas aku maka Allahسبحانه وتعالى akan berselawat ke atasnya 100 kali. Dan barangsiapa yang berselawat 100 kali ke atas aku maka Allahسبحانه وتعالى berselawat ke atasnya 1 000 kali. Dan barangsiapa yang berselawat ke atas aku 1 000 kali maka Allah سبحانه وتعالى akan mengharamkan jasadnya daripada disentuh api neraka."

Keduanya, di dalam hadis yang lain Nabi ﷺ menyebutkan "Tidaklah seorang daripada kamu bila mengucapkan selawat dan salam ke atas aku maka Allah akan sampaikan kepada aku dan roh aku akan menjawab salam dan selawat ke atasnya."

Bila kita sebut selawat dan salam kita kena betul-betul yakin Nabi  ﷺ bahawa Nabi ﷺ akan menjawab salam yang kita sampaikan.

Di dalam Al-Quran Allah menyebutkan maksudnya "Apabila kamu diberi salam ke atas kamu maka hendaklah kamu menjawab salam itu dengan lebih baik atau balaslah salam itu dengan yang serupa."

Maka Nabi ﷺ
mengimplikasi ayat ini dengan menjawab salam kita yang lebih baik. Bila kita menyebut salam dan selawat kepada Nabi ﷺ maka Nabi ﷺ akan menjawab, membalas salam kita dengan lebih baik dengan tambahan "Warahtullahi Wabarakatuh (Semoga Allah merahmati kamu dan memberkati kamu).

Seandainya kita menyampaikan salam ke atas Rasulullah ﷺ "Assalamualaika Ya Rasulullah." Maka jawapan Nabi ﷺ ke atas selawat kita adalah " Alaika salam warahmatullahi wabarakatuh Ya (nama kita) "

Inilah maknanya cara di mana selawat dan salam itu akan menambahkan kecintaan dan kasih kita kepada Nabi ﷺ. Kalau kita ini tak kasih kepada Nabi ﷺ maka sudah pasti Allah tak akan beri kita peluang untuk berbuat seperti itu.

Pesanan, nasihat guru kita Syeikh Feras Salou Ad-Dimasyqi Hafidzohullah supaya banyakkanlah kita menyebut selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ. Kita semua sedar bahawa kita akan dihisab dan semua amalan-amalan kita yang akan memberi nur (cahaya) di dalam kubur.

3 amalan kita yang akan beri nur (cahaya) di dalam kubur.

1)Membaca Al Quran.

2)Zikirullah.

3)Selawat.

Bukannya ilmu kerana ilmu itu kalau kita tak ikhlas dalam menyebarkan ilmu maka ianya akan menjadi hujah, kecelakaan kepada diri kita di akhirat kelak.

BERUNTUNGLAH ORANG YANG MEMPERBANYAKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS NABI MUHAMMAD ﷺ

Melalui Nabi Muhammad ﷺ segala kekufuran, kegelapan terpadam di seluruh Tanah Arab. Begitu jugalah kalau kita nak memadamkan kegelapan yang ada di dalam diri kita carilah Nabi Muhammad ﷺ.

Di antara nama Nabi Muhammad ﷺ yang disebutkan di dalam hadis. Salah satunya adalah Al-Mahi yang bermakna yang memadamkan, menghapuskan. Melalui Nabi ﷺ, Allah سبحانه وتعالى telah memadamkan, menghapuskan kekufuran di seluruh Tanah Arab.

Kalaulah melalui Nabi ﷺ, Allah سبحانه وتعالى memadamkan kekufuran. Begitu jugalah melalui Baginda Nabi, Allah Taala memadamkan perkara-perkara yang lebih rendah daripada kufur seperti perkara dosa yang lebih kecil, kejahilan, kegelapan dan sebagainya.

Sebab itu Para Ulama mengatakan "Kalau kita menghadapi sesuatu perkara yang membimbangkan kita, yang menakutkan kita, yang merisaukan kita ataupun bala musibah yang kita terima maka hendaklah kita banyak memuji kepada Nabi ﷺ dengan kita menyebut salam dan selawat ke atas Baginda Nabi ﷺ nescaya dengan banyaknya selawat itu Allah سبحانه  وتعالى akan memadamkan segala yang kita bimbang, yang kita risau, yang kita takut, segala bala musibah yang kita hadapi."

Ini disebutkan di dalam sebuah hadis yang sahih yang mana seorang Sahabat Nabi ﷺ yang agung iaitu Saidina Ubai Bin Ka'ab Radhiyallahu'Anhu mengatakan kepada Nabi ﷺ.

"Ya Rasulullah. Aku banyak membaca selawat kepada kamu sehingga 1/3 waktu aku digunakan untuk membaca selawat ke atas kamu." Nabi ﷺ mengatakan "Itu adalah baik sekali namun kalau kamu tambahkan ianya akan menjadi lebih baik."

Kemudian, beliau mengatakan lagi "Sesungguhnya aku akan jadikan 1/2 daripada masa aku untuk membaca selawat ke atas kamu." Nabi ﷺ mengatakan "Itu adalah amat baik sekali tetapi kalau kamu tambah itu lagi baik."

Kemudian Saidina Ubai Bin Ka'ab Radhiyallahu'Anhu mengatakan "Kalau begitu aku akan gunakan seluruh masa yang aku ada untuk berselawat ke atas kamu." Akhirnya Nabi ﷺ mengatakan "Dengan itu segala perkara yang kamu risaukan akan dihilangkan, dicukupkan segala bagi kamu dan segala dosa kamu dihilangkan."

Ini yang disebutkan memadamkan dengan cara kita memperbanyakan selawat ke atas Nabi Muhammad ﷺ. Menyebut nama Nabi Muhammad ﷺ dengan itu Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosa kita dan juga menghilangkan segala yang kita risaukan, bimbingkan serta cukupkan keperluan kita.

Dan ketahuilah segala selawat dan salam yang kita sampaikan itu sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Segala amal kebaikan dan keburukan kita akan dilaporkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Disebutkan di dalam sebuah hadis yang sahih. Kata Nabi ﷺ "Akan disembahkan kepada Baginda Nabi ﷺ segala amalan ummatnya pada setiap hari isnin dan khamis. Kalau aku dapati amalan ummat aku itu baik maka aku akan memuji kepada Allah سبحانه  وتعالى. Akan tetapi, kalau aku dapati amalan ummatku tidak baik, ada dosa dan kemaksiatan maka aku akan memohon keampunan kepada Allah, beristighfar kepada Allah سبحانه  وتعالى.

BILA MENDENGAR NAMA NABI MUHAMMAD ﷺ DISEBUTKAN MAKA BERSELAWATLAH

Suatu hari datang Malaikat Jibril عليه السلام kepada Nabi ﷺ ketika Baginda Rasulullah ﷺ sedang menaiki mimbar maka Nabi ﷺ mengucapkan "ameen". Kemudian Nabi ﷺ melangkah satu anak tangga lagi dan mengucapkan "ameen". Setelah itu Nabi ﷺ melangkah satu anak tangga lagi buat kali ketiga dan mengucapkan "ameen".

Maka Para Sahabat yang kehairanan melihat kelakuan Baginda Rasulullah ﷺ lantas bertanya. "Ya Rasulullah. Sungguh kami telah mendengar dari engkau pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelum ini."

Lalu Nabi ﷺ mengatakan "Telah datang Malaikat Jibril عليه السلام  ketikamana aku menaiki anak tangga mimbar yang pertama maka Jibril عليه السلام mengatakan kepada aku "Ya Muhammad. Celakalah dan amat rugilah orang-orang yang jauh daripada rahmat Allah yang apabila masuk bulan ramadhan tetapi dia tidak diampunkan oleh Allah." Maka aku mengucapkan "ameen".

Kemudian apabila aku menaiki anak tangga yang kedua Jibril عليه السلام mengatakan "Ya Muhammad. Celakalah dan amat-amat rugilah orang yang mendapati ibu bapanya yang telah tua atau salah satu daripada keduanya tetapi keduanya tidak menyebabkan orang itu masuk syurga." Maka aku pun mengucapkan "ameen".

Akhir sekali ketika aku menaiki anak tangga yang ketiga Jibril عليه السلام mengatakan "Ya Muhammad. Celakalah dan jauhlah daripada rahmat Allah orang-orang yang apabila namamu disebutkan, dia tidak berselawat ke atasmu." Maka aku mengucapkan "ameen".

Selawat itu mengundang rahmat Allah. Bagaimana kita ingin mendapatkan cinta Allah kalau sekiranya kita jauh dari rahmat Allah. Dengan rahmat Allah lah kita dapat mencintai. Ketahuilah sesungguhnya orang-orang yang mencintai itu pasti akan selalu menyebut-nyebut nama kekasihnya.

Maka begitulah kita ini sekiranya kita ini benar mencintai kepada Nabi ﷺ pasti kita akan selalu menyebut nama Nabi Muhammad ﷺ, kita akan selalu berselawat kepada Baginda ﷺ.

Kalau seandainya kita ini masih lagi kurang berselawat ke atas Nabi ﷺ pada setiap hari maka itu membuktikan cinta kita kepada Nabi ﷺ masih lagi kurang.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

JOM KITA MEMPERBANYAKAN SELAWAT. JANGAN KITA JADI ORANG YANG BAKHIL

Apakah bukti kecintaan seseorang itu kepada Nabi Muhammad ﷺ? Di antara tanda-tanda kecintaan seseorang itu kepada Baginda Rasulullah ﷺ adalah pertama, dirinya akan mencontohi kepada Baginda Rasulullah ﷺ dengan mengikuti adab dan akhlak yang dicontohkan oleh Baginda Rasulullah ﷺ.

Kedua, dirinya akan selalu menyebut-nyebut nama Nabi Muhammad ﷺ dengan membicarakan mengenai sirah Nabi Muhammad ﷺ dan selalu memperbanyakan selawat kepada Baginda Rasulullah ﷺ.

Ketahuilah dengan kita memperbanyakan selawat ianya akan memberikan kesan yang begitu besar kepada diri kita, hati kita kerana selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ akan dapat mendatangkan cahaya ke dalam hati kita, akan melembutkan hati kita dan menanamkan mahabbah, kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah ﷺ.

Saidatina Aisyah Radhiyallahu'Anha menceritakan di dalam riwayat " Suatu hari ketika mana beliau sedang menjahit maka terjatuh jarum yang digunakannya. Sedang beliau mencari-cari jarum tersebut dalam kegelapan malam lalu masuk Nabi Muhammad ﷺ ke dalam bilik sehinggakan beliau dapat melihat dengan jelas jarum yang dicarinya itu dan diambil oleh beliau sambil tersenyum kepada Baginda Rasulullah ﷺ.

Lalu beliau mengatakan " Alangkah indahnya wajahmu, alangkah  bercahaya wajahmu Ya Rasulullah." Kata Rasulullah ﷺ " Wahai Aisyah. Benar wajahku bercahaya dan indah. Kamu tahukah nanti pada hari kiamat. Ada di kalangan ummatku nanti ada yang tidak dapat melihat keindahan wajah ini."

Sehinggakan kehairanan Saidatina Aisyah Radhiyallahu'Anha apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Rasulullah ﷺ. Lalu ditanya oleh beliau " Ya Rasulullah. Siapakah yang tidak dapat melihat keindahan wajahmu." Maka Nabi Muhammad ﷺ  mengatakan " Ianya adalah  orang yang bakhil."

Maka Saidatina Aisyah Radhiyallahu'Anha bertanya lagi " Siapakah orang yang bakhil itu Ya Rasulullah" Lalu Baginda Rasulullah ﷺ menjawab " Ianya adalah orang yang apabila disebutkan namaku di hadapannya dia tidak berselawat ke atasku."

[SYEIKH AWN BIN MU'EEN AL-QODDOUMI HAFIDZOHULLAH]

The Capal

No comments:

Post a Comment