Pages

Wednesday 23 August 2017

ORANG YANG PALING MULIA DI SISI ALLAH ADALAH ORANG YANG PALING BERTAQWA

Rasulullah ﷺ bersabda "Bertaqwalah kepada Allah." Ini adalah perintah dan seruan yang mana perintah ini dari awal lagi bermula di zaman Baginda ﷺ. Kemudiannya di zaman Sahabat sehinggalah di zaman kita sekarang sampai hari kiamat.

Rasulullah ﷺ menyuruh kita untuk bertaqwalah kepada Allah سبحانه  وتعالى di mana sahaja kamu berada. Apakah itu taqwa? Berkata Al-Imam Abdullah Alwi Al-Haddad Rahimahullah "Makna taqwa iaitu kita mengikuti setiap perintah yang Allah   سبحانه  وتعالى perintahkan dan kita jauhi daripada apa yang Allah سبحانه  وتعالى tegah kepada kita."

Makna taqwa ini adalah besar iaitu kita mengikuti, kita mentaati semua keseluruhan yang diperintahkan oleh Allah سبحانه  وتعالى kepada kita dan kita jauhi segala setiap apa yang ditegahkan yang dilarang oleh Allah   سبحانه  وتعالى. Inilah makna taqwa.

Jadi manusia yang mengikuti setiap apa yang diperintahkan oleh Allah maka mereka ini akan menjadi orang yang dekat dan hampir dengan Allah سبحانه  وتعالى. Dan Allah سبحانه  وتعالى berfirman di dalam Al-Quran "Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaqwa." Disertakan cinta Allah kepada orang-orang yang bertaqwa.

Kemudian Allah سبحانه  وتعالى berfirman lagi "Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang bertaqwa." Dan di dalam firman Allah yang lainnya "Sesungguhnya Allah menerima amalan-amalan daripada orang-orang yang bertaqwa."

Ini menunjukkan betapa kuatnya dekatnya hubungan orang yang bertaqwa di sisi Allah سبحانه  وتعالى kerana amalan yang diterima oleh Allah adalah daripada golongan mereka yang bertaqwa kepada Allahسبحانه  وتعالى. Jadi keseluruhannya manusia ini tidak mampu untuk mencapai kepada martabat taqwa yang hakiki.

Akan tetapi, adakah mereka itu hanya melepaskan sahaja dan mengatakan "Aku tidak mampu untuk menjadi orang yang bertaqwa." Tidak!! Bahkan mereka itu perlu bersungguh-sungguh untuk berusaha mencapai kepada taqwa.

Allah سبحانه  وتعالى berfirman "Bertaqwalah kepada Allah mengikut kemampuan kamu." Selagi mana kita masih lagi mampu bertaqwa kepada Allah سبحانه  وتعالى maka selagi itulah kita perlu bertaqwa kepada Allah maka bersungguh-sungguhlah kita untuk bertaqwa kepada Allah سبحانه  وتعالى. InshaAllah kita mampu untuk mencapai ketaqwaan kepada Allah dan kita akan termasuk dalam lingkungan golongan orang-orang yang beruntung yang mana mereka ini bertaqwa kepada Allah.

Rasulullah ﷺ memerintahkan kepada kita untuk bertaqwa kepada Allah سبحانه  وتعالى. Tidak cukup sekadar itu bahkan Rasulullah ﷺ sertakan sekali dengan "Di mana sahaja kamu berada." Kerana apa?

Kerana mungkin ada sebahagian daripada manusia itu yang mana mereka itu bertaqwa kepada Allah di depan ibu bapanya, di depan ahli keluarganya, di depan saudara maranya dan di depan kawan-kawannya tetapi bagaimanakah ketika dia bersendirian?

Maka Rasulullah ﷺ menyebutkan "Di mana sahaja kamu berada bertaqwalah kepada Allah." Baik itu sama ada ketika kamu berada di dalam bilik tidur kamu, sama ada ketika kamu sedang bermain facebook, whatsapp, instagram dan sebagainya. Sama ada ketika kamu sedang menonton televisyen, sama ada ketika kamu berada di pasar, di surau, di masjid. Tidak kira di mana-mana sahaja kamu berada kamu perlu bertaqwa kepada Allah.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah ﷺ bersabda "Taqwa itu di sini!! Taqwa itu di sini!! Taqwa itu di sini!!" Rasulullah ﷺ menunjukkan kepada dadanya. Ini menunjukkan bahawasanya taqwa itu bukanlah diukur dengan kamu melihat zahir seseorang dan taqwa itu bukanlah kepada pakaian tetapi taqwa itu berada di dalam diri manusia di dalam hati manusia.

Maka orang-orang yang sampai kepada tahap ini maka merekalah yang disebutkan orang-orang yang beruntung orang-orang yang bertaqwa kepada Allah سبحانه  وتعالى

Saidina Ali Bin Abi Thalib Radhiyallahu'Anhu menyebutkan 3 ciri orang yang bertaqwa itu antaranya adalah:

1)Orang yang beramal dengan apa yang diturunkan oleh Allah سبحانه  وتعالى
  
2)Orang yang takut kepada Allah سبحانه  وتعالى
  
3)Orang yang membuat persiapan untuk pergi bertemu dengan Allah سبحانه  وتعالى

[HABIB MAHDI BIN ABU BAKAR AL-HAMID HAFIDZOHULLAH]

No comments:

Post a Comment