Pages

Monday 14 August 2017

MARI KENALI TUJUH TINGKATAN NAFSU MANUSIA

7 jenis tingkatan nafsu manusia:

1)Nafsu Ammarah (Jahat).

2)Nafsu Lawwamah (Mencela Diri Sendiri).

3)Nafsu Mulhamah (Ilham dari-Nya).

4)Nafsu Mutmainnah(Tenang).

5)Nafsu Radhiah (Redha).

6)Nafsu Mardhiah (Wali Allah).

7)Nafsu Kamilah (Sempurna).

Manusia biasanya bermula pada nafsu ammarah iaitu nafsu yang mengajak seseorang itu kepada kejahatan dan keburukan, membawanya kepada dosa dan maksiat. Apabila dia bermujahadah melawan dengan nafsunya maka nafsunya itu akan membawa kepada tingkatan nafsu lawwamah iaitu nafsu yang mencela, mengkritik dirinya sendiri. "Kenapa aku melakukan dosa? Kenapa aku melakukan kemaksiatan?"

Dia mencela dirinya sendiri. Dia melihat keaiban dirinya sendiri. Allah سبحانه  وتعالى mengurniakan manusia dua mata. Yang mana satu mata adalah untuk melihat kebaikan, kelebihan orang lain dan satu mata lagi untuk melihat keburukan dan keaiban dirinya sendiri.

Maka nafsu lawwamah ini dilawan akan naik kepada nafsu mulhamah. Nafsu yang dikurniakan oleh Allah untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik. Dan apabila bermujahadah lagi maka nafsunya itu akan naik kepada nafsu mutmainnah iaitu nafsu yang tenang.

Tenang dengan apa yang terjadi. Apabila diperangi, dilawan maka ia akan naik lagi kepada tingkatan nafsu radhiah iaitu nafsu yang redha. Redha akan takdir Allah Taala. Berasa gembira, seronok "happy". Apabila Allah timpakan musibah maka dia berasa "happy" kerana ianya daripada Allah. Disakiti oleh manusia maka dia redhai. Redha itu penting ke atas apa yang berlaku, takdir yang menimpa kepadanya dan ke atasnya.

Daripada nafsu radhiah dia bermujahadah lagi maka akan naik kepada nafsu mardhiah (Nafsu Para Wali). Pada peringkat ini nafsu dia bukan sahaja redha tetapi ianya diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى. Pada ketika ini segala perhubungannya, kelakuannya adalah kepada segala kebaikan dan ketaatan. Nafsunya itu menjadikan ia melakukan ketaatan. Tak terfikir pun untuk melakukan kejahatan.

Wali Allah bukan maksum dan ianya juga tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Kadang-kala dosa itu akan menaikkan lagi maqamnya kerana ianya menyesal kepada perkara dosa yang dilakukan tersebut. Dan ianya akan meningkatkan lagi ibadahnya. Contohnya, dia melakukan 1 malam bertahajjud menyesal ke atas dosanya. Memperbaiki diri lagi, muhasabah diri lagi untuk menjadi lebih baik.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. Rasulullah ﷺ bersabda "Apabila kamu sekalian melihat seseorang mukmin itu pendiam dan tenang maka dekatilah ia. Sesungguhnya dia akan mengajarkan kepada kamu hikmat."

Kemudian daripada nafsu mardhiah naik kepada tingkatan nafsu yang paling tinggi iaitu nafsu kamilah yang sempurna yang mana ianya hanya dicapai oleh Para Rasul, Para Nabi. Akan tetapi, manusia biasa juga boleh mencapai tingkatan itu dengan syarat ianya betul-betul bersungguh-sungguh bermujahadah melawan nafsunya seperti Para Wali dan Para Solihin.

Orang yang berada pada perinkat nafsu yang tertinggi ini yakni nafsu kamilah. Setiap perlakuannya benar-benar mengikut garis keredhaan Allah سبحانه  وتعالى dan tidak pernah terdorong oleh hasutan nafsu dan syaitan kepada kejahatan.

Cintanya tertumpa pada Allah سبحانه  وتعالى . Ingatannya pada Allah tidak pernah terputus. Allah سبحانه  وتعالى menyebutkan di dalam hadis qudsi mengatakan "Sesungguhnya telah lama orang yang baik-baik itu rindu untuk bertemu dengan Aku. Dan ketahuilah sebaliknya Aku lebih rindu untuk bertemu dengan mereka."

[USTAZ IQBAL ZAIN AL-JAUHARI HAFIDZOHULLAH]

#thecapal

No comments:

Post a Comment