Pages

Wednesday 6 September 2017

TAUBAT KUNCI MERAIH CINTA ILAHI

Janganlah kita sesekali berhenti dan berasa penat untuk bertaubat kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى walaupun kita masih lagi bermaksiat kepada Allah kerana Allah  سبحانه  وتعالى amat mencintai hamba-Nya yang bertaubat dan pasti dan pasti Allah  سبحانه  وتعالى akan menerima taubat kita dan mengampunkan dosa-dosa kita.

Allah سبحانه  وتعالى berfirman di dalam Al-Quran yang maksudnya "Sesungguhnya Allah cinta kepada orang-orang yang bertaubat dan mensucikan diri." Orang-orang yang selalu bertaubat dan selalu menyucikan dirinya daripada melakukan dosa-dosa dan beristighfar memohon keampunan Allah   سبحانه  وتعالى maka dia akan memperoleh cinta Allah سبحانه  وتعالى. Bahkan darjatnya, kedudukannya di sisi Allah akan diangkat sehingga dia menjadi Kekasih Allah.

Berapa banyak kisah Para Salafusoleh yang diceritakan kepada kita. Yang mana ada di kalangan mereka itu yang asalnya merupakan seorang perompak, samseng, kaki botol dan sebagainya. Orang yang bergelumang dengan dosa dan kemaksiatan. Jauh daripada ajaran Islam. Akan tetapi, bilamana mereka berjaya mendapatkan cahaya Allah, hidayah daripada Allah maka mereka bersungguh-sungguh di dalam bertaubat, menyesali akan dosa dan kemaksiatan yang pernah dilakukan, meninggalkan kemaksiatannya.

Sehingga Allah سبحانه  وتعالى mengangkat kedudukan mereka, darjat mereka menjadi sebagai Wali-Nya. Inilah di antara sifatnya Para Auliya' Allah iaitu mereka adalah orang-orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah.

Oleh kerana itu, syaitan akan cuba menipu kita, menghalang kita daripada bertaubat kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى agar kita tetap dalam keadaan bermaksiat. Barangsiapa yang tertipu dengan bisikan was-was maka dia akan rugi di dunia dan juga akhirat.

Imam Al-Junaid Rahimahullah mengatakan " Antara tanda-tanda orang-orang yang diterima taubatnya oleh Allah سبحانه  وتعالى adalah dia akan tetap mengingati akan dosa-dosa dan kemaksiatan yang pernah dia lakukan dahulu. Walaupun dia telah bertaubat dan meninggalkannya tetapi dia tetap akan terus berisitghfar memohon keampunan kepada Allah  سبحانه  وتعالى tanda dia menyesali kesilapannya dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada dirinya."

Itulah tanda-tanda orang yang benar-benar bertaubat yang menyesali dengan perbuatan dosanya. Berbeza dengan keadaan kita sekarang ini yang mana kadang-kadang kita tidak ingat langsung dengan dosa-dosa dan kemaksiatan yang kita lakukan dahulu tetapi yang kita hanya dan selalu ingat adalah apakah kebaikan yang pernah kita lakukan.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

No comments:

Post a Comment