Pages

Thursday 7 September 2017

JOM KITA BERZIKIR SEBANYAK-BANYAKNYA DI WAKTU PAGI DAN PETANG SETIAP HARI

Kebanyakan orang Islam pada hari ini. Ramai orang menyangka bahawasanya perjalanan kita untuk menuju ke Syurga Allah itu sangatlah jauh dan susah. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku. Sesungguhnya sebenarnya perjalanan kita untuk menuju ke Syurga Allah itu sangatlah pendek dan mudah.

Macam mana itu? Kita hanya berhajat kepada amal yang sedikit sahaja tanpa kita menyekutukan Allah dengan segala apa-apa sesuatu pun. Bahkan kita hanya perlu melakukan segala perkara-perkara yang difardhukan oleh Allah سبحانه  وتعالى ke atas diri kita dan kita meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan serta kita tambahkannya dengan perkara-perkara sunat mengikut kemampuan kita dan akhir sekali kita ikhlaskan niat-niat kita nescaya Allah سبحانه  وتعالى memasukkan kita ke dalam Syurga-Nya.

Suatu hari telah datang seorang bertanya kepada Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Tunjukkan kepada aku satu amalan yang kalau aku buat akan menyampaikan aku untuk masuk Syurga." Maka Rasulullah ﷺ mengatakan "Sentiasalah kamu membasahkan lidahmu itu untuk berzikir menyebut nama Allah سبحانه  وتعالى."

Oleh kerana itu, marilah kita sama-sama memperbanyakan menyebut nama Allah, berzikir kepada Allah. Allah سبحانه  وتعالى tidak menyuruh kita untuk melakukan solat banyak-banyak, Allah سبحانه  وتعالى tidak menyuruh kita untuk berpuasa banyak-banyak, Allah سبحانه  وتعالى tidak menyuruh kita untuk membayar zakat banyak-banyak.

Akan tetapi, Allah سبحانه  وتعالى berfirman yang bermaksud "Wahai orang-orang beriman, berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang." [Al-Ahzab : 41-42]

Kenapa kita kena selalu menyebut dan bertasbih kepada Allah pada pagi dan petang? Kerana Allah سبحانه  وتعالى jualah yang menghidupkan kita. Allah سبحانه  وتعالى yang memberikan segala-galanya kepada diri kita baik itu harta kekayaan yang kita miliki hari ini, semuanya adalah hasil kurniaan, pemberian, izin daripada Allah سبحانه  وتعالى. Di samping, Allah سبحانه  وتعالى yang menyucikan kita dengan diturunkan rahmat-Nya kepada diri kita.

Di mana rahmat-rahmat yang diturunkan kepada kita tidak terhitung banyaknya di setiap nafas-nafas kita kerana kita menyebut, mengingati kepada Allah سبحانه  وتعالى. Orang yang sentiasa membasahkan lidahnya untuk berzikir menyebut nama Allah maka dia telah pun menyucikan hatinya.

Penyucian hatinya itu bertambah banyak kerana dia telah "bersama" Allah سبحانه  وتعالى maka kita mendapati orang-orang yang selalu berzikir ini hati mereka lembut dan bercahaya. Bahkan terpancar cahaya zikir itu kepada wajah orang yang melazimi zikirnya. Tidak yang terkesan pada hati seseorang itu melainkan Allah memakaikan "pakaian" kepada dirinya.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku. Sesungguhnya zikir itu adalah cahaya. Oleh kerana itu, kita mendapati orang-orang yang sentiasa berzikir membasahkan lidahnya hanya untuk mengingati kepada Allah dan Rasul-Nya, wajah mereka bercahaya. Apabila kita melihat diri mereka mendatangkan suatu ketenangan kepada hati-hati kita, mengingatkan kita kepada Allah.

Subhanallah!! Wajah mereka bercahaya dikeranakan hati mereka sentiasa bersama dengan Allah di mana-mana sahaja mereka berada baik itu ketika ianya berseorangan mahupun ketika duduk bersama dengan teman-temannya. Jasadnya bersama makhluk tetapi hatinya tidak pernah terputus daripada bersama dengan Allah, mengingati kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Aku (Syeikh Feras) ingin berpesan, mengajak kita semua untuk sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى. Bukannya kita cuba untuk selalu berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى tetapi kita mesti dan wajib selalu berzikir kepada Allah dikeranakan Allah سبحانه  وتعالى bukan untuk di cuba. Allah telah pun berfirman di dalam Al-Quran maka kita hendaklah beriman terus dengan apa yang diturunkan oleh Allah.

Jadi marilah kita sama-sama sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى setiap hari di waktu pagi dan petang hari. Kita beristighfar  memohon keampunan daripada Allah di atas segala dosa-dosa dan kesilapan yang pernah kita lakukan dahulu, sekarang dan yang akan datang sebanyak 100 kali.

Kemudian, kita berselawat ke atas Nabi ﷺ sebanyak 100 kali. Akhir sekali kita tutup zikir kita dengan kita mengucapkan kalimah "Laa Illaha Illallah" sebanyak 100 kali.

Masa yang kita ambil untuk berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى ini tidak lebih daripada 15 minit pun ataupun mungkin akan kurang daripada itu bergantung kepada keadaan diri seseorang itu.

Selepas kita dah membiasakan diri kita terus istiqamah melakukan zikir-zikir ini maka kita teruskan lagi dengan kita berzikir kepada Allah   سبحانه  وتعالى tanpa bilangan-bilangan tertentu. Teruskan kita berzikir kepada Allah, habiskan masa-masa kita dengan kita mengingati kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Jagalah lidah kita ini daripada bercakap ataupun melakukan perkara-perkara yang akan membinasakan diri kita serta mematikan hati kita. Sebaliknya kita peruntukan masa-masa kita setiap hari untuk kita menyebut nama Allah سبحانه  وتعالى Yang Maha Kekal.

Yang mana dengan kita sentiasa mengingati kepada Allah pasti akan menghidupkan hati kita dan memberikan ketenangan yang tidak boleh kita dapatkan di mana-mana pun. Yang mana setiap zikir kita itu akan mendatangkan cahaya kepada hati kita. Kita akan melihat keberkatan zikir tersebut di dalam kehidupan kita. Bahkan kita akan melihat nanti cahaya zikir itu ketika saat sakaratul maut.

Ketahuilah orang-orang yang hidupnya itu sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى menyebut "Laa Ilaha Illallah" nescaya Allah tidak akan lupa ketika di saat sakaratul maut kelak. Dengan kita berzikir Ini merupakan di antara salah jalan daripada jalan-jalan yang menyebabkan hati kita itu bersih dan suci.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

No comments:

Post a Comment