Pages

Wednesday 6 September 2017

JAGALAH PERINTAH ALLAH NESCAYA DIA AKAN MEMELIHARA KAMU DISAAT SENANG MAHUPUN SUSAH

Di dalam sebuah hadis yang agak panjang yang diriwayatkan oleh Saidina Abdullah Ibnu Abbas Radhiyallahu'Anhu. Berkata Saidina Abdullah Ibnu Abbas Radhiyallahu'Anhu "Aku suatu hari berada di belakang Nabi ﷺ maka berkatalah Nabi ﷺ "Wahai anak kecil. Sesungguhnya aku akan mengajarkan kepada kamu beberapa kalimat.

Jagalah (perintah) Allah سبحانه  وتعالى nescaya Dia akan memelihara kamu.
Jagalah (kehormatan) Allah سبحانه  وتعالى nescaya engkau akan mendapati merasakan Allah سبحانه  وتعالى berada bersama-sama kamu. Jika engkau meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah سبحانه  وتعالى semata-mata. Jika engkau memohon sesuatu pertolongan maka pohonlah pertolongan itu daripada Allah سبحانه  وتعالى.

Dan ketahuilah bahawa jika semua ummat manusia berkumpul untuk membantu kamu dalam memberikan sesuatu manfaat kepada kamu maka mereka tidak akan dapat memberikan sesuatu manfaat kepada kamu kecualilah apa yang telah pun dituliskan oleh kamu oleh Allah سبحانه  وتعالى.

Begitu juga andaikata mereka berkumpul untuk memudaratkan ke atas kamu dengan sesuatu mudarat maka mereka tidak akan dapat memudaratkan sesuatu ke atas kamu kecualilah apa yang telah pun dituliskan ke atas kamu. Telah diangkatkan pena dan telah pun kering lembaran-lembaran." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dan sifat hadis ini adalah hasan lagi sahih.

Di dalam hadis yang sama riwayat selain Imam At-Tirmidzi. Nabi ﷺ mengatakan kepada Saidina Abdullah Ibnu Abbas Radhiyallahu'Anhu "Jagalah Allah سبحانه  وتعالى. Sesungguhnya engkau akan mendapati Allah itu di hadapan kamu. Hendaklah engkau sentiasa ingat kepada Allah سبحانه  وتعالى ketika kamu dalam keadaan senang nescaya Dia akan ingat kepada kamu disaat kamu susah.

Ketahuilah sesuatu yang melakukan kesalahan kepada kamu itu tidak akan dapat memberikan musibah kepada kamu. Dan sesuatu musibah yang berlaku kepada kamu itu tidak membetulkan ke atas jalan-Nya. Dan ketahuilah kemenangan itu datang dengan kesabaran dan jalan keluar itu setelah melalui kesusahan. Dan setelah kesusahan itu datang kemenangan." Ini adalah di antara hadis yang terpenting daripada Nabi ﷺ kerana ianya menyentuh beberapa kaedah utama dalam agama.

Imam Ibnul Jauzi Rahimahullah mengatakan "Aku bertadabbur terhadap hadis ini dan ianya memberikan kepada aku banyak maknanya. Dan seolah-olahnya ianya memenatkan fikiran aku kerana terlalu banyak pengajaran yang aku dapat daripadanya maka kecewalah sesiapa yang tidak tahu tentang hadis ini ataupun memahami hanya sedikit sekali daripada hadis ini."

Oleh kerana itu, kita tanyakan kepada diri kita masing-masing. Apakah pengajaran yang kita dapatkan setelah kita mengetahui tentang hadis ini? Kalau kita lihat situasi yang terjadi pada zaman kita sekarang ini baik itu dengan musibah, fitnah dan bala bencana yang menimpa kita semuanya adalah berpunca daripada lemahnya hubungan kita kepada Allah سبحانه  وتعالى, leka dan lalainya kita daripada mengingati Allah  سبحانه  وتعالى.

Ketahuilah segala musibah, bala bencana dan fitnah yang kita hadapi pada zaman sekarang ini adalah untuk mengingatkan kita kembali untuk menyedarkan kita kembali bahawa tiada yang lebih besar daripada Kekuasaanya Allah سبحانه  وتعالى.

Oleh kerana itu, marilah kita kembali kepada Allah kita menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita bertaubat dan beristighfar di atas segala dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada Allah سبحانه  وتعالى baik dosa-dosa yang sengaja dilakukan ataupun dosa yang tidak disengajakan yang kita tidak sedari.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

No comments:

Post a Comment