Pages

Sunday 17 September 2017

MEMAAF DAN MINTA MAAF SIFAT AHLI SYURGA

Suatu hari Nabi ﷺ telah duduk bersama Para Sahabat Baginda ﷺ di dalam Masjid Nabawi. Tiba-tiba Nabi ﷺ bersabda "Akan masuk di tengah-tengah kalian seorang lelaki yang beliau merupakan Penghuni Syurga Allah." Dan tidak lama setelah itu sejurus kemudian masuk lelaki itu ke dalam majlis Rasulullah ﷺ.

Maka pada hari yang kedua, Nabi ﷺ juga bersabda yang sedemikian "Akan masuk di tengah-tengah kalian seorang lelaki yang beliau merupakan Penghuni Syurga Allah." Dan tidak lama kemudian setelah Nabi ﷺ menyebutkan maka masuk lelaki yang sama yang semalam masuk ke dalam majlis Rasulullah ﷺ.

Maka tiba hari yang ketiga, Nabi ﷺ juga bersabda "Akan masuk di tengah-tengah kalian seorang lelaki yang Allah سبحانه  وتعالى masukkan ke dalam Syurga." Lalu lelaki yang masuk ke dalam majlis Rasulullah ﷺ adalah lelaki yang sama yang masuk
pada hari pertama dan juga hari kedua.

Dan setelah mereka bersurai maka salah seorang daripada kalangan Para Sahabat Nabi    ﷺ yang bernama Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu mengekori lelaki tersebut ke rumahnya. Apabila sampai ke rumah lelaki tersebut, Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu meminta izin kepada beliau untuk tinggal, duduk di dalam rumahnya selama 3 hari kerana beliau ada masalah dengan keluarganya.

Maka beliau dizinkan dan masuk untuk tinggal di dalam rumah lelaki tersebut selama 3 hari untuk beliau memerhatikan apakah amalan yang istimewa daripada lelaki tersebut sehingga Nabi ﷺ mengumumkan kepada seluruh Para Sahabat Radhiyallahu'Anhum Ajmain bahawa dirinya adalah Penghuni Syurga.

Sehingga Para Sahabat berasa hairan dan takjub dengan pengumuman Nabi Muhammad ﷺ secara jelas dan juga terang bahawa lelaki itu adalah Penghuni Syurga maka sudah tentu ada amalan-amalan yang istimewa yang dilakukan oleh lelaki tersebut.

Maka selama 3 hari Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu tinggal di rumah lelaki tersebut maka beliau tidak dapat memerhatikan apakah amalan yang istimewa yang dimiliki oleh lelaki tersebut sehinggalah pada hari yang ketiga, beliau meminta izin kepada lelaki tersebut dan mengatakan "Sebenarnya aku tak ada masalah dengan keluarga aku. Hanyasanya aku telah diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ bahkan seluruh Para Sahabat telah diberitahu oleh Baginda ﷺ bahawa engkau adalah Penghuni Syurga.

Diberitahu kepada kami sebanyak 3 kali dan aku berasa hairan dan aku ingin sekali tahu apakah amalan yang istimewa yang dimiliki oleh kamu." Maka lelaki itu mengatakan "Saya punya ibadah dan amalan saya seperti yang kamu perhatikan. Biasa-biasa sahaja. Saya melakukan yang wajib dan tidak banyak melakukan amalan-amalan daripada ibadah sunnah."

Maka kemudian Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu mengatakan "Sudah tentu kamu ada amalan yang istimewa yang menyebabkan Rasulullah ﷺ mengumumkan nama kamu tersenarai di dalam senarai Penghuni Syurga."

Maka lelaki itu mengatakan "Saya tidak ada amalan seperti yang kamu perhatikan kecuali amal yang aku harapkan bahawa ianya menjadi suatu saranan untuk aku disenaraikan sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah ﷺ ialah setiap hari aku bersihkan hati aku daripada sebarang kekotoran ataupun sebarang gangguan kepada mana-mana orang mukmin.

Aku mengatakan "Ya Allah. Barangsiapa yang menzalimi aku, aku maafkan dia. Dan barangsiapa yang aku ada menyakiti dan menganggunya, aku yang akan berjumpa dengannya untuk meminta maaf." Maka aku tidak akan ada rasa dengki ataupun dendam kepada mana-mana mukmin."

Kemudian Saidina Abdullah Bin Amr Bin Ash Radhiyallahu'Anhu mengatakan "Aku telah memegang tangan lelaki tersebut dan membawa beliau ke dalam Masjid Nabawi untuk dipertemukan dengan Rasulullah ﷺ."

Maka Saidina Abdullah bertanya kepada Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Ini adalah lelaki yang kamu katakan sebanyak 3 kali tersenarai daripada kalangan Penghuni Syurga. Aku telah duduk bersamanya selama 3 hari dan tidak ada amalan istimewa daripadanya kecuali beliau mengatakan "Pada setiap malam, dia tidak tidur kecuali beliau memaafkan semua orang yang menyakitinya dan juga menganggunya.

Dan jika beliau ada mempunyai kesalahan dan kekasaran kepada orang lain maka beliaulah yang akan berjumpa dengannya untuk meminta maaf daripadanya." Maka Nabi ﷺ mengatakan "Wahai Abdullah. Sesungguhnya dia tersenarai daripada kalangan Ahli Syurga kerana sifat tersebut."

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

No comments:

Post a Comment