Pages

Sunday 15 October 2017

TANDA KASIH SAYANG ALLAH

Bala dan ujian ini terkadang-kadang terjadi pada seseorang itu kerana untuk mengangkat darjat seseorang.  Di dalam hadis Nabi Muhammad‌ ﷺ "Bila Allah cintakan salah seorang hamba-Nya maka Allah akan menguji hamba-Nya."

Sehinggakan berkata sebahagian Para Solihin. Mereka sangat takut sekiranya mereka tidak sakit selama sebulan, dua (dalam 40 hari mesti kena sekali sakit, ujian, bala). Mereka risau mereka hidup, duduk dalam kehancuran sekiranya langsung tidak sakit sebab mereka merasakan itu satu istidraj daripada Allah ‌‌‌ سبحانه  وتعالى.

Di sana ada ujian untuk mengangkat darjat seseorang. Oleh kerana itu, orang mukmin, dia merasa perit apabila menghadapi sakaratul maut. Kerana apa? Disebutkan di dalam hadis Nabi ﷺ "Bila Allah sayangkan hamba-Nya maka Allah akan peritkan, berikan kesakitan ketika menghadapi sakaratul maut."

Apakah sebabnya? Kerana supaya apabila seseorang mukmin itu meninggal dunia maka dia akan mati dalam keadaan suci, bersih daripada dosa-dosanya sepertimana keadaan ketika dia dilahirkan. Tak ada dosa.

Sebahagian ujian, bala ataupun musibah diberikan oleh Allah‌ سبحانه  وتعالى untuk menguji keimanan hamba-Nya. Sepertimana yang sedang terjadi kepada saudara kita orang Islam ASWJ di pelbagai tempat baik itu di Syria, Palestin, Yemen, Burma dan sebagainya.

Allah ‌ سبحانه  وتعالى menguji untuk melihat adakah kita ini merupakan seorang yang bersyukur ataupun kufur. Ada manusia bilamana datang ujian menimpanya maka dia akan menjadi kufur. Jadi ujian, musibah ataupun bala yang menimpa itu adalah cara untuk Allah membezakan, mengasingkan hamba-Nya yang buruk dan baik.

Dan ada juga ujian, bala dan musibah yang diberikan oleh Allah untuk menghapuskan dosa seseorang supaya hamba-Nya sentiasa kembali kepada Allah. Apabila dia diberikan ujian maka dia terus kembali kepada Allah, dia terus bertaubat kepada Allah‌ سبحانه  وتعالى. Kerana ada sebahagian orang tidak faham kecuali apabila dah kena rotan. Apabila dah kena rotan, kena denda maka baru dia akan faham dan sedar diri.

Dan ada juga orang yang melakukan maksiat, dosa tetapi dia masih tidak mahu bertaubat maka Allah akan mengujinya, memberikan hadiah berupa musibah, ujian ataupun bala untuk menghapuskan dosa orang tersebut. Ini semua adalah tanda kasih sayang Allah‌ سبحانه  وتعالى kepada hamba-Nya.

SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH

No comments:

Post a Comment