Pages

Wednesday 14 December 2011

TAQWA 5: Tempuhi jalannya

JALAN TAQWA.


Untuk mencapai tahap ketinggian taqwa perlu menempuh jalannya yang tepat. Mesti diusahakan bersungguh-sungguh kerana memang sudah menjadi sunnatullah, sesuatu yang bernilai tinggi sukar diperolehi. Namun begitu lumrahnya manusia mengidamkan sesuatu yang mahal dan bernilai tinggi. Sudah semestilah terpaksa melipat-gandakan usaha untuk memperolehinya. Batu sungai yang tidak bernilai itu pun tidak bergolek sendiri ke pangkuan tanpa usaha ikhtiar. Apatah lagi untuk memperolehi intan berlian.

1. Mendapat petunjuk dari Allah SWT.

Allah SWT berfirman:
"Barangsiapa yang Allah kehendaki untuk diberi petunjuk, dilapangkan hatinya menerima Islam." (Al-An'am: 125)
Ini sebagai ketukan pintu hati dari Allah SWT iaitu dia merasa seronok, minat, sayang, suka dan terhibur dengan Islam. Kalau awal-awal lagi sudah merasakan berat hati untuk menerima Islam, itu tandanya jauh dari petunjuk Allah SWT. Terbuka hati dan merasa suka dengan ajaran Islam itu menjadi pendorong awal untuk memahami ajaran Islam.

2. Faham tentang Islam.
Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan ke atasnya, maka dia akan diberi faham tentang Islam."

Tahu dan faham adalah dua keadaan yang berbeza. Tahu tentang berbagai ilmu Islam ibarat orang yang memiliki emas seguni yang tersimpan berketul. Faham tentang Islam pula ialah ibarat emas seguni itu diproses bertukar menjadi berbagai jenis dan bentuk barang perhiasan. Barang perhiasan itu menjadi cantik, menarik, indah dan harganya pula menjadi lebih mahal. Orang memandangnya lebih bernilai dan sering menjadi idaman untuk memilikinya. Terpukau orang melihatnya dan sanggup bersusah-payah untuk memilikinya.

Faham tentang Islam itu merangkumi, semua aspek. Faham zahir batinnya, rohnya, yang tersurat dan tersirat. Faham pula bagaimana hendak memperjuangkannya. Amalan orang yang faham Islam ini biasanya akan berbuah iaitu akhlak. Buah itulah natijah akhir dari susah-payah menanam pokok. Akhlak itu pula  merangkumi akhlak terhadap Allah SWT dan akhlak kepada sesama manusia.

3. Yakin.

Setelah seronok menerima Islam diiringi pula dengan faham, maka mestilah pula diyakini sungguh-sungguh. Keyakinan ini yang mendorong umat Islam berpegang teguh dan diperjuangkan. Umat yang teguh keyakinannya akan terus dengan keazaman yang kuat, cita-cita yang tinggi serta berkorban habis-habisan demi kemuliaan Islam. Lantaran lemahnya keyakinan, maka jihad hampir mati. Kerana berjuang ertinya berkorban. Berkorban ertinya ada sesuatu yang terkorban dalam hidup.

Misalnya, kalau tidak berjuang mungkin seseorang itu mampu memiliki rumah atau kereta atau saham atau tanah atau perniagaan atau 'privacy' hidup atau 'leisure time' yang banyak. Semua itu terpinggir dari kehidupan kerana terkorban demi perjuangan. Kalau tidak yakin dengan janji Allah SWT bakal memperolehi kemenangan atau balasan syurga, sanggupkah umat Islam berbuat demikian? Realiti membuktikan tidak sanggup kerana sedikit sangat yang berjuang hingga ke peringkat demikian. Kadang-kadang berlaku sebaliknya. Semakin terlibat dengan apa yang didakwa kononnya perjuangan, bermula dari rumah murah akhirnya ke rumah banglo dengan kereta mewah dua tiga buah.

Perjuangan dan pengorbanan lazim melazimi. Kalau berjuang tetapi tiada sesuatu yang terkorban, maka bukan perjuangan namanya. Ini yang sering ditakuti. Umat Islam takut kepada kemiskinan kerana perjuangan sehingga pihak yang berbuat demikian dianggap melampau atau ekstremis. Akhirnya, jadilah Islam ini yatim piatu tanpa pembela. Islam tersisih di mana-mana. Ini juga satu petanda lemahnya keyakinan. Apakah kita sangka buruk dengan Allah SWT bahawa siapa yang berjuang akan papa kedana. Sedangkan terbukti dalam sejarah umat Islam melalui saat gemilang adalah hasil dari titik peluh dan tumpahan darah pengorbanan para sahabat. Lagi pun, di sudut lain andainya benarlah kerana agama Allah SWT maka terpaksa papa kedana apa salahnya. Bukankah itu yang pernah ditempuh oleh para sahabat?  Mereka yang telah merelakan diri mereka susah, sengsara, menderita dan terkorban, maka Islam berkembang hingga sampai kepada kita.

Sikap terbaik bagi umat Islam ialah memperteguhkan keyakinan termasuk bersangka baik terhadap Allah SWT yang Maha Suci dari segala cacat-cela. Tiap-tiap sesuatu kejadian semuanya mengandungi hikmah dan pengajaran. Teguh keyakinan menjadikan umat Islam seronok dan terhibur dengan perjuangan dan bukan sebaliknya iaitu berjuang mencari seronok dan hiburan. Orang yang seronok dan terhibur dengan perjuangan biar bagaimana keadaan, dia menghadapinya seperti Hari Raya. Manakala orang yang berjuang mencari seronok dan hiburan akan terseksa dan putus asa apabila ditimpa ujiian. Laluan sukar akan sedaya-upaya dihindari. Kalau bertembung juga dengan kesukaran cepat-cepat dia mundur dan menyerah kalah. Atau dianggapnya kesulitan perjuangan sebagai bala bencana.

Lemah keyakinan ini yang membuatkan umat Islam lupa bahawa mereka yang paling berat ditimpa sengsara perjuangan ialah Rasulullah SAW sendiri. Sedangkan Baginda adalah kekasih Allah SWT dan pembawa sinar kebenaran dan rahmat untuk sekelian alam. Cuba kembali menyingkap satu persatu sejarah para Rasul.  Semuanya dimusuhi, diburu, dipulau, dihalau, menjadi pelarian, dibakar, dibunuh dan diperangi. Orang yang memilih jalan selamat atau hanya 'play-safe' dalam menempuh perjuangan memang tidak wajar turut serta membangun umat. Namun demikian kalau semua orang memilih jalan ini, sampai bila pun umat Islam tidak akan berjaya.

4. Melaksanakan.

Hindarilah agar jangan jadikan ilmu dan kefahaman Islam sebagai 'mental exercise'. Umat Islam sudah terlalu banyak berteori, berslogan, bercakap, berforum dan berseminar. Banyak masa telah terbuang kepada berbagai perkara yang tidak praktikal. Pada umumnya umat Islam memang telah terlalu banyak membuang masa dengan sia-sia seperti lepak, berfoya-foya, rendah penghasilan kerja, tidak produktif, banyak berseronok dan berhibur. Jangan ditambah lagi oleh kelompok pejuang yang turut membuang masa tanpa perlaksanaan. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Tanda kebaikan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara sia-sia."

Ambil satu contoh, ramai sudah para ulama dan intelek Islam mengadakan perbahasan dan dialog dengan pihak agama lain. Hasil bahasan itu, semuanya memihak kepada Islam. Jelas bahawa Islam itulah agama yang benar. Ditambah pula dengan pidato konkrit yang turut juga memperjelaskan kebenaran Islam. Namun bertali arus juga dari kalangan umat Islam yang murtad kerana keluar atau bertukar kepada agama lain. Mengapa terjadi demikian?

Mereka walaupun kalah hujah, tewas berbahas, namun mereka terus aktif membangun rumah kebajikan, membantu masyarakat pedalaman, menghulurkan bantuan perubatan, membasmi buta huruf. Mereka tinggal bersama-sama dengan masyarakat, sedia mendengar rintihan dan keluhan masyarakat dan seterusnya menolong menyelesaikan masalah bagi yang menghadapinya. Mereka tidak bercakap atau mempromosikan ajaran agama mereka melalui retorika yang muluk muluk. Di atas khidmat masyarakat itu maka ramai yang tertarik.

Sepatutnya umat Islam ini berbuat apa yang termampu lebih dahulu. Mulakan perubahan dari diri, keluarga, anak-isteri dan terus berkembang ke dalam masyarakat. Bermulalah, biarpun kemampuan hanya pada peringkat ritual.  Namun jangan terbantut sekadar itu saja kerana Islam itu syumul merangkumi segala aspek kehidupan.

5. Bermujahadah

Hidup ini satu perjuangan. Terutamanya dalam usaha menegakkan kebenaran. Pertarungan ini sengaja Allah SWT jadikan untuk menguji manusia. Firman Allah SWT:

"Aku jadikan mati dan hidup untuk melihat siapa yang lebih baik amalannya." (Al Mulk: 2)

Tiada suatu apa pun di dunia itu 'survival'nya tanpa cabaran. Pokok di rimba sekalipun terpaksa bersaing untuk melepaskan pucuk masing-masing. Buah yang elok pun terpaksa terlebih dahulu berdepan dengan serangga, ulat dan perubahan cuaca. Apatah lagi manusia yang perlu menghadapi cabaran dalam mencapai kejayaan. Namun Allah SWT Maha Adil. Bagi yang berjaya disediakan pula syurga yang penuh nikmat.

Umat Islam perlu memahami hakikat ini. Lebih-lebih lagi perlu menyedari bahawa musuh paling utama dalam pertarungan ini bukannya Amerika atau Yahudi atau musuh lahiriah lain. Musuh lahiriah ini hanya mengancam sekali-sekala dan boleh dilihat dengan nyata. Itupun seringkali terjadi gagalnya menghadapi musuh lahir dan putar-belit serta umpanan mereka berpunca dari umat Islam yang tewas kepada nafsu sendiri terlebih dahulu.

Mengapa salahkan musuh yang memang itulah kerja mereka? Menyalahkan musuh tidak membawa umat Islam ke mana-mana. Menyalahkan musuh tidak mendatangkan sebarang kesan kepada mereka. Mengapa tidak salahkan diri kerana gagal membina benteng keimanan yang teguh yang mampu menundukkan nafsu  dan syaitan. Agar dengan itu menjadi orang bertaqwa yang dibela oleh Allah SWT.

Apabila kita mula melangkah menuju kebaikan, di situ baru kita tahu betapa sukar dan susahnya berhadapan dengan berbagai halangan dan rintangan yang datangnya dari syaitan dan nafsu sendiri. Mari kita bertanya secara jujur, dewasa ini masih ramai umat Islam yang tidak sembahyang, tidak menutup aurat, bergelumang dengan riba, terlibat dengan gejala negatif, dadah, arak, judi, buang bayi, bermusuhan, tindas menindas. Angkara Amerikakah semua itu? Yahudikah yang menyekat kita untuk bersembahyang? Amerikakah yang menyogok remaja kita dengan dadah? Yahudikah yang memaksa para wanita membuka aurat? Amerikakah yang menganjurkan agar para remaja berpusu-pusu ke pesta dan konsert?

Amerika dan Yahudi itu sekadar bertindak umpama burung gagak. Di mana ada bangkai, di situlah gagak berkerumun. Atau seperti burung engriang, di mana ada haiwan yang hampir mati engriang akan tolong percepatkan kematian dengan beramai-ramai mematuk haiwan itu. Selagi belum menjadi bangkai, gagak tidak berani hampiri. Selagi segar-bugar, hidup dengan tangkas dan gagah, engriang tidak berani hendak mematuk.

Untuk menuju ketaqwaan yang tinggi perlu umat Islam bermujahadah melawan nafsu. Melawan nafsu ini tiada garisan penamat kecuali mati kerana tingkat-tingkat ketaqwaan itu juga bersifat infiniti. Lazimkan dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan tuntutan hidup selari dengan kehendak Allah SWT dan menolak kejahatan yang dimurkai Allah SWT. Pada peringkat awal memanglah terasa berat dan menyakitkan. Namun apabila terus-menerus dikekang kemahuan nafsu, dikeraskan keazaman, dikuatkan cita-cita, dilawan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT, akhirnya akan menjadi terbiasa, ringan dan menyeronokkan.

Tiada suatu yang mudah kecuali yang Allah SWT permudahkan. Apabila kita berusaha bersungguh-sungguh nescaya Allah SWT membuka jalan dan ruang ke arah mencapai kejayaan.

Firman Allah SWT:

"Mereka yang berjuang kerana menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuki jalan Kami." (Al-Ankabut: 69)

6. Istiqamah beramal.

Rasulullah SAW bersabda:

"Amalan yang disukai Allah SWT ialah yang berkekalan meskipun sedikit." (Riwayat Bukhari)

Melaksanakan ajaran Islam ini tidak boleh bermusim dan juga jangan turun naik atau didorong oleh semangat semata. Amalan yang istiqamah walaupun sedikit atau amalan yang kecil saja akan memberi kesan kepada roh seseorang. Ibarat titisan air yang lembut, batu yang keras pun menjadi lekuk. Sebaliknya banjir yang datang sekali-sekala tidak dapat melekukkan batu.

7. Ada pemimpin.

Pemimpin adalah orang yang mencorak, membentuk dan mendidik hati dan pemikiran manusia. Hati dan pemikiran yang dicorak dan dibentuk oleh pemimpin itulah tercetusnya sikap dan tindak-tanduk.. Pemimpin komunis membentuk hati dan pemikiran rakyatnya. Maka tercetuslah sikap dan tindak-tanduk dan pembawaan rakyatnya sebagai komunis. Perompak mencorak dan membentuk hati dan pemikiran pengikutnya hingga lahirlah pasukan perompak.

Untuk membawa umat Islam ini menjadi orang yang bertaqwa yang mereka itu benar-benar mengamalkan Islam, maka perlu pemimpin yang mampu mencorakkan hati umat agar beriman dan pemikiran umat agar murni dan dapat mencetuskan idea untuk membangunkan umat Islam. Tercorak dan terbentuk hati dengan iman, pemikiran pula dipenuhi ilmu wahyu maka terbinalah keperibadian mukmin yang sebenarnya. Keperibadian mukmin akan jelas tertonjol dari dirinya, rumahtangga, masyarakat dan diiringi pula bakal lahir tamaddun Islam.

Di sinilah perlunya kehadiran pemimpin yang mampu membawa umat ini ke arah ketaqwaan dan mampu mendidik nafsu umat agar tunduk denqan kehendak Allah SWT.

8. Selalu berdoa.

Selalulah merintih, mengharap dan memohon pimpinan Allah SWT. Sesungguhnya usaha ikhtiar kita semua tidak memberi bekas. Memohonlah kepada Allah SWT dengan sepenuh hati. Merintihlah kepada Allah SWT yang Maha Mendengar bisikan hati hamba-Nya dan Allah SWT yang berjanji pasti menunaikan permintaan hamba-Nya. Mengharaplah kepada Allah SWT dalam keadaan diri merasai sebagai hamba yang serba dhaif yang tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya.

Apalah yang ada pada kita. Andainya Allah SWT cabut hidayah, hilanglah segala-galanya. Dan tiada siapa yang dapat memberi atau mengembalikan hidayah itu. Tiada seorang pun hatta para Nabi dan Rasul termasuk Rasulullah SAW sendiri tidak berupaya sehingga bapa saudaranya sendiri Abu Talib mati dalam kekafiran. Di sinilah sepatutnya menjadi iktibar penting umat Islam. Demikianlah juga dalam usaha untuk mencapai darjat taqwa yang tinggi, sangat perlu bergantung hati kepada Allah SWT, mengharap dan memohon petunjuk dari pimpinan-Nya. Tiada suatu yang mudah kecuali yang dipermudahkan oleh Allah SWT. Beruntunglah bagi siapa yang Allah SWT permudahkan.

sumber : 
http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150146827411719

No comments:

Post a Comment