Pages

Wednesday 14 December 2011

TAQWA 4: Asas dan Ciri-Ciri Taqwa

1. Asas taqwa


Asas kepada sifat taqwa itu ialah rasa kehambaan yang sungguh mendalam. Rasa kehambaan yang serba serbi dhaif, lemah, hina, lalai dan leka di sisi Allah SWT. Seseorang yang dapat benar-benar merasai bahawa dirinya dimiliki Allah. Dia tidak punya apa-apa.

Dirinya sebagai hamba yang lemah itu sangat terdedah kepada berbagai kerosakan dan cacat cela. Tiada daya, tiada upaya, tidak mampu walaupun untuk menahan sehelai rambut dari beruban. Demikian juga peringkat usia dan kematian. Tidak mampu hendak berbuat menurut kehendak sendiri. Tidak mahu ditimpa sakit, ianya datang juga sekali-sekala. Inginkan kesembuhan segera, doktor juga tidak mampu berbuat demikian.

Inginkan kaya-raya dan hidup senang, sedikit saja orang yang berjaya memperolehinya. Bencikan musibah dan mala petaka, ianya datang juga tanpa diduga. Orang yang disayangi kadang-kadang hilang secara tiba-tiba. Harta-benda yang dikumpul musnah secara sekelip mata. Malah alam semesta ini pun dengan penuh sedar akan hancur lumat tanpa bersisa. Kita punya kehendak, Allah SWT pun punya kehendak. Kehendak Allah SWT juga yang pasti berlaku.

Menyedari hakikat inilah maka rasa kehambaan yang mendalam itu menjadikan hati penuh pasrah, merintih, mengharap dan mendambakan setiap sesuatu itu hanya dari Allah SWT. Andainya berlaku keberhasilan, maka itu juga sebenarnya atas kehendak Allah SWT jua. Jika dipuji, itu sebenarnya kerana Allah SWT gerakkan orang berbuat demikian. Bila dikeji juga adalah kerana Allah SWT gerakkan hati orang berbuat demikian yang dianggapnya sebagai kifarah.

Andainya Allah SWT pilih untuk ditinggikan kedudukan di dunia sebagai khalifah atau pemimpin, itu tidak menghilangkan rasa kehambaannya yang hanya terpaksa memikul tanggungiawab dan beban yang lebih banyak. Itu pun dia mengharapkan agar tanggungjawab atau jawatan itu menjadi saluran untuk berbakti kepada Allah SWT. Tidak lebih dari itu, dan tetap dirasai sama sahaja dirinya dengan petani dan nelayan yang menjadi saluran pahala bagi mereka.

2. Ciri-ciri ketaqwaan.

A.Ingat dua perkara.

Pertama: Kebaikan, jasa dan budi orang kepada kita perlu diingati selalu dan sekiranya berpeluang maka eloklah disebut-sebut dan dibalas walaupun tidak setimpal dengan apa yang kita perolehi. Lebih-lebih lagi perlu diingati, disyukuri, dihitung dan dibilang segala limpah kurnia Allah SWT, nikmat dari Allah SWT yang tidak terhingga. Firman Allah SWT:

"Dan andainya kamu hendak hitung nikmat Allah SWT nescaya tidak terhitung." (Surah Ibrahim:7)

"Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur)." (Adh-Dhuha: 11)

Bagaimana hati kecil kita rasai andainya ada orang yang selalu menolong, membantu, memberi, berbudi dan berjasa kepada kita. Tentulah hati merasa terhutang budi dan berterima kasih.  Begitulah fitrah kita merasakan memang wajar berterima kasih terhadap orang tersebut. Tentulah terhadap Allah SWT lebih-lebih lagi patut merasakan demikian kerana rahmat dan nikmat Allah SWT tidak terhingga. Memang patut mentaati Allah, bersyukur kepada Allah SWT melalui amal kebajikan. Biarpun segala amalan itu tidak mungkin setimpal dengan kurnia Allah SWT.

Sebagai menzahirkan tanda kehambaan serta kesyukuran maka Rasulullah SAW bangun malam menunaikan sembahyang hingga bengkak kaki kerana lamanya berdiri. Sedangkan Rasulullah SAW adalah maksum dan dijamin syurga oleh Allah SWT. Bagi orang yang merasai dirinya hamba dan mensyukuri Allah SWT, amal ibadat bukan soal syurga atau balasan pahala. Sedangkan nikmat sebelah mata pun tidak akan setimpal sekiranya seorang hamba itu hidup sejuta tahun dengan terus menerus beramal tanpa berhenti.

Cuba kita perhatikan secara lebih halus, teliti dan berseni, betapa tidak sedetik pun hidup ini tanpa nikmat Allah SWT, khususnya segala pemberian atau kurniaan Allah SWT yang tanpa diminta. Adanya kita tanpa diminta. Adanya hati, akal, nafsu dan perasaan tanpa diminta. Allah SWT sediakan pula Iman dan Islam tanpa kita minta. Allah SWT bentangkan seluruh alam semesta ini tanpa kita minta. Kelazatan bersuami isteri, lidah yang dapat merasai jutaan jenis rasa , keseronokan dan rasa indahnya kehidupan ini bukan kita yang menciptanya. Semua itu sangat besar nilainya.

Ditambah lagi dengan berbagai nikmat yang kita diizinkan mencarinya. Nilainya terlalu kecil, kadang-kadang dapat dan kadang-kadang gagal. Namun itu semua adalah anugerah Allah SWT juga. Orang bertaqwa tidak risau dan tidak memburu berhabis waktu terhadap nikmat yang diminta dan dicari kerana nilainya terlalu kecil. Andainya tidak memilikinya tidak sampai kecewa, putus asa dan melupai atau derhaka kepada Allah SWT.

Kedua: Kesalahan kita kepada orang lain hendaklah sentiasa diingati dan memohon maaf kepada orang tersebut. Mengingati selalu tentang kesalahan diri itu agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Rasa bersalah itu sangat penting kerana itulah yang mendorong seseorang meminta maaf. Secara semulajadinya manusia ini, andainya kesalahan yang dilakukan, tidak memohon maaf maka dia sebenarnya sedang menghimpun seribu penderitaan dijiwanya. Apabila memohon maaf dan dimaafkan maka terasa tenang seolah-olah duri yang tercabut dari daging.

Dosa-dosa dan kederhakaan kepada Allah SWT lebih-lebih lagi perlu diingati dan dihitung selalu.  Mengiringi ingatan kepada dosa itulah yang mendorong kepada bertaubat. Andaikan setiap hari kita berbuat sepuluh dosa, setahun ertinya berjumlah 3600 dosa. Bagaimana kalau dosa itu dikira dari usia 15 tahun dan hidup pada usia 65 tahun. Ini bererti dosa kita berjumlah 180,000.

Pernahkah kita menghitung dosa? Hampir tiada umat Islam yang mahu menghitung dosa harian. Kalaupun tidak sampai ke peringkat menghitung satu persatu, alangkah hebatnya umat Islam kalau mampu menghitung dosa secara rangkuman. Iaitu dia merasakan dosanya terlalu banyak seperti Imam Syafei yang merasakan dosanya banyak bagai butiran pasir yang tak terkira banyaknya. Inilah yang dikatakan hati orang bertaqwa.

B. Lupa dua perkara.

Pertama: Di antara sifat buruk manusia ialah suka membangga dan mengungkit budi dan jasa. Adakalanya sampai ke peringkat satu penghinaan dan merendahkan darjat manusia apabila penonjolan jasa dan kebaktian itu terlalu berlebihan. Begitu jadinya di zaman manusia tidak mementingkan maruah, penghormatan dan harga diri. Si miskin meminta-minta, pihak yang memberi pula berbangga.

Kembalikan segala kebaikan dan amalan kepada Allah SWT. Amalan yang sedikit ini sebenarnya terlalu banyak cacat-celanya. Amalan yang memang sedia jauh dari tahap kesempurnaan itu dipadamkan pula oleh niat yang tidak ikhlas serta ujub atau sum'ah. Oleh itu, lupakan saja sama ada kebaikan kepada manusia dan lebih-lebih lagi segala amal ibadah kepada Allah SWT. Rasakan seolah-olah tidak beramal. Andainya datang juga lintasan dan kecenderungan untuk mengingati amal kebaikan maka padamkan dengan rasa kesyukuran kerana Allah SWT masih memberi pimpinan dan kekuatan sehingga 'sudi memanggil' kita untuk mentaatiNya.  Ucapkan:
 "Laa haula walaa quwwata illaa billaah" bermaksud,  "Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah SWT."

Kedua: Di antara tanda kebaikan akhlak seseorang ialah tidak berdendam kepada sesiapa pun. Walaupun terhadap orang yang pernah melakukan kejahatan kepada dirinya. Untuk tidak berbunga sebarang dendam di hati ialah dengan cara melupakan terus segala perlakuan buruk orang lain itu. Anggaplah seolah-olah tiada siapa yang bersalah kepada kita. Melupakan kesalahan orang lain itu juga turut menghasilkan hubungan berkekalan dengan siapa pun.

Dalam hubungan antara manusia dengan Allah SWT, maka lebih-lebih lagilah patut kita melupai segala kesusahan, ujian, musibah atau malapetaka yang menimpa kita. Musibah dalam kehidupan manusia memang tidak dapat dihindari. Ada yang ditimpakan secara individu seperti sakit, kematian, kerugian, kemalangan, kegagalan dan sebagainya. Kedapatan pula musibah yang dirasai dan ditanggung bersama seperti banjir, kemarau, jerebu, ribut taufan, penyakit berjangkit, kemelesetan ekonomi dan seumpamanya.

Satu hakikat yang mesti kita akur dan akui bahawa musibah hanya datang sekali-sekala dan bersifat sementara. Tidak wajar kita selaku hamba terlalu keluh-kesah, mendongkol dan menyebut-nyebut kesusahan yang datang sekali-sekala itu. Sedangkan rahmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada makhluk-Nya sangat luas. Nikmat-Nya yang kita kecapi tidak terhingga dan tidak putus-putus. Alangkah tidak beradabnya kita apabila nikmat yang tidak putus-putus itu sering dilupai dan tidak disebut langsung. Manakala kesusahan yang bersifat sementara dan sekali-sekala itu yang terlalu sangat dipandang besar.

Kalau kita sendiri pun, tentu hati kecil kita merasa tidak senang sekiranya anak yang dijagai dan dibelai dengan penuh perhatian, tiba-tiba meradang kerana sedikit kesulitan yang dialaminya. Tambahan pula kesulitan yang menimpa hamba itu mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Kadangkala tidak terjangkau oleh akal kita menyelami yang tersirat di sebaliknya. Namun begitu, musibah yang Allah SWT datangkan ada dua maksud iaitu samada untuk penghapusan dosa atau kalau tidak berdosa untuk peningkatan darjat di sisi Allah SWT. Ini hanya tercapai dalam keadaan sabar dan redha menghadapinya serta dilupainya seolah-olah tiada sebarang kesusahan yang berlaku.

C. Menyukai apa yang disukai Allah SWT.

Memang menjadi pengalaman bersama iaitu kita akan berbuat apa yang kita sukai. Malah dalam keadaan tertentu kita sanggup tidak mempedulikan orang lain demi keasyikan memberi tumpuan kepada apa yang kita sukai. Seorang remaja yang menyukai seorang gadis sehingga boleh ke peringkat tidak mengendahkan perasaan orang lain termasuk ibubapanya. Seorang yang sangat mendalam minat dan kesukaannya bermain burung pula, sehingga kadangkala terabai anak isteri.

Bagi orang bertaqwa yang rasa kehambaannya sangat mendalam, kesukaannya selari dengan kesukaan Allah SWT dan Rasul-Nya. Orang yang tidak bertaqwa kesukaannya caca merba, haru-biru, bercelaru dalam kekeliruan sehingga tidak dapat dibezakan yang mana satu kesukaan nafsu taraf rendah dan yang mana satu kesukaan Allah SWT.

Untuk mencapai darjat taqwa, maka umat Islam patut meletakkan kesukaannya selaras dengan kesukaan Allah SWT. Semakin mendalam suka dan cintanya terhadap apa yang dicintai Allah SWT, maka semakin tinggi taqwa seseorang itu. Manifestasi dari kecintaan dan kesukaan itu, maka orang bertaqwa melakukan apa sahaja perbuatan dan amalan menurut apa yang disukai Allah SWT. la tidak mengira atau tidak mempersoalkan sama ada sesuatu amalan itu kecil atau besar. Baginya bukan soal kedudukan hukum wajib atau sunat. Bukan soal ranting yang dipandang remeh temeh oleh orang lain. Baginya itulah kesukaannya kerana semata-mata sesuatu amalan itu dicintai oleh Allah SWT.

Walaupun begitu, darjat taqwa itu disukat bukan pada amalan itu sahaja tetapi terletak pada sejauhmana mendalamnya rasa cinta kerana sesuatu dicintai Allah SWT. Ertinya, kalau dua orang memakai serban yang kedudukannya sunat, sama-sama berniat ikhlas tetapi nilai taqwa seorang di antaranya akan menjadi lebih tinggi kerana kecintaan yang amat sangat kepada sunnah Rasulullah SAW itu kerana Allah SWT mencintainya.

Contoh yang paling masyhur mengenai perbezaan kedudukan taqwa itu seperti pengorbanan Sayidina Abu Bakar yang berkuantiti sedikit tetapi berhabis-habisan hingga tiada lagi yang tinggal. Sedangkan Sayidina Umar kuantitinya lebih banyak tetapi hanya separuh daripada hartanya. Sedikit harta Sayidina Abu Bakar itu lebih tinggi nilainya selain dari beliau sendiri kehabisan harta, ditambah pula dengan mendalamnya kecintaan kepada pengorbanan itu kerana dicintai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya dengan mengikrarkan bahawa cukup baginya Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Zaman para sahabat yang mengiringi Rasulullah SAW masih merupakan zaman turunnya bantuan Allah. Allah SWT membela dan membantu umat Islam dalam segala aspek dan dalam berbagai bentuk.  Ketika itu  rata-rata para sahabat sangat mementingkan taqwa. Mereka sangat menyukai amalan taqwa itu. Bukannya soal mendapat pahala. Malah kalau menurut kajian ilmiah mengenai hukum-hakam, zaman para sahabat masih belum ada penyusunan kedudukan hukum-hakam itu secara tersusun. Sekalipun para sahabat tahu membezakan sesuatu amalan itu fardhu atau sunat, namun mereka mengamalkan keseluruhannya. Mereka tidak mementingkan kedudukan fardhu atau sunat. Mereka tidak mempersoalkan kategori fardhu atau sunat. Mereka merasakan, sebagai seorang hamba perlu meletakkan diri mereka selari dengan tuntutan dan kesukaan Allah SWT.

Memang jelas mengapa umat kini tidak dibela dan dibantu oleh Allah SWT kerana tidak layak dan tidak cukup syarat. Bukan sahaja amalan sunat yang memang dipandang remeh dan diperleceh begitu sahaja, malah amalan fardhu pun terlalu culas, cuai dan sambil lewa. Tidak langsung memperlihatkan sikap dan sifat kehambaan. Amalan sunat pula lebih cenderung berpegang kepada kedudukan "buat dapat pahala, tinggalkan tidak berdosa." Dalam soal sunat ini tidak ada pula sikap positif berbanding hal-hal berkaitan keuntungan duniawi yang seringkali memilih keuntungan walaupun sekiranya tidak dilakukan tidak rugi.

Misalnya mengapa memilih bersikat rambut sedangkan kalau dibiarkan tidak mengapa? Alasannya orang
pandang tidak elok. Mengapa memilih memakai alat solek bagi wanita sedangkan kalau tidak dipakai tidak mendatangkan apa-apa kerugian? Tidak memakai stokin dan tali leher pun tidak menjadi apa-apa kerugian. Namun rata-rata berbuat demikian untuk dipandang menarik. Mengapa perlu berperabut dalam rumah? Malah kadang-kadang padat memenuhi ruang rumah dengan berbagai perabut pilihan yang dipandang istimewa. Berbuat perkara sunat itulah yang menjadi sebab Allah SWT 'pandang' sebagai hamba yang dikasihi dan sudi untuk membela umat.

Apa kaitannya kemenangan dalam peperangan denqan sugi, saf sembahyang dan solat tahajjud. Namun inilah yang berlaku apabila Sayidina Umar mendapati keadaan tenteranya sesudah berminggu-minggu di medan perang tanpa keputusan. Sepatutnya mengikut kelaziman, tentulah kelengkapan perang, taktik dan kegigihan tentera yang perlu dikaji selidik. Tetapi itulah yang menjadi punca bantuan Allah SWT tidak datang lantaran sudah mula mengabaikan sunnah Rasulullah SAW.

Apalah yang diharapkan dari umat yang sudah terlalu melihat nilai material dan fizikal berbanding spiritual termasuk para pejuang Islam. Akhirnya, berjuanglah dengan sekuat tenaga tanpa bantuan dari Allah SWT. Dalam situasi demikian antara dua 'platform' ini, bertarung hanya bergantung kepada kekuatan lahiriah sememangnya dari dulu umat Islam tidak berupaya mengatasi musuh. Namun dalam keadaan serba-serbi kekurangan itu pula, Allah SWT menzahirkan kekuasaan-Nya yang tidak ada kuasa mampu melawan-Nya. Allah SWT memberi kemenangan untuk umat Islam.

D. Membenci apa yang dibenci Allah SWT.

Sifat semulajadi fitrah manusia ialah menyisihkan apa saja yang dibencinya. Samada bau, bunyi, rasa hatta orang sekalipun. Sebab itu berlaku suami menceraikan isteri, isteri lari meninggalkan suami dan anak-anak lari dari rumah. Biasanya perkara yang dibenci itu tentunya yang tidak menarik, buruk, busuk, tidak sedap atau mendatangkan mudarat. Inilah kebiasaan fitrah manusia. Namun realitinya banyak perkara yang sifatnya demikian itu masih tetap disanjung, dipuja dan dicari oleh manusia. Misalnya, rokok membahayakan kesihatan. Dadah mengsengsarakan mental dan fizikal. Pembaziran merosakkan kehidupan. Hiburan berlebihan melalaikan, membuang masa dan melenyapkan daya penumpuan. Apatah lagi dosa dan maksiat yang menjadikan seseorang itu mengalami tekanan jiwa kerana 'guilty conscious'.

Terjadi ini semua sangat bercanggah dengan fitrah. Pelakunya menentang fitrahnya sendiri kerana dikuasai kerakusan nafsu. Sememangnya fitrah secara bersendirian tidak sepenuhnya berkemampuan menolak keinginan nafsu. Ianya mesti disuburkan dengan rasa berTuhan yang kuat, serta rasa kehambaan yang mendalam. Seorang hamba kepada tuan tidak berbuat sesuatu yang ditegah dan dibenci oleh tuannya. Maka begitulah hamba yang ingin mencapai darjat taqwa yang tinggi sentiasa meletakkan kebenciannya selari dan selaras dengan apa yang dibenci Allah SWT.

Umat Islam terlalu berpegang kepada kategori hukum hingga menghilangkan ketaqwaan. Misalnya, menganggap remeh terhadap dosa kecil atas alasan Allah SWT gugurkan melalui titisan air wudhuk. Tetapi kita tahukah apakah dosa-dosa itu telah digugurkan. Sedangkan kuasa mutlak adalah milik Allah SWT. Ini yang dikatakan ketiadaan rasa kehambaan. Sedangkan Rasulullah SAW menegaskan melalui sabda baginda bermaksud: "Jangan pandang kecilnya dosa, tetapi pandanglah kepada siapa yang kamu derhakai." (Riwayat At Thausi).

Sayidina Umar Ibnu Khattab apabila melepaskan keberangkatan tenteranya beliau berpidato, "Bertaqwalah kepada Allah dan aku lebih takuti dosa kamu berbanding musuh. Allah menangkan kamu kerana musuh itu derhaka kepada Allah. Apabila kamu juga turut berdosa seperti mereka, maka Allah lepaskan kamu. Yang akan menang adalah siapa yang kuat di antara kamu."

Selagi umat Islam tidak berusaha keras bertaubat dan membersihkan diri dari dosa, maka selagi itulah jauh dari sifat taqwa dan Allah SWT tidak menurunkan bantuan kerana kederhakaan kepada Allah SWT. Allah SWT benci kepada umat yang terlalu banyak berbuat dosa termasuk perkara makruh. Kita semua tahu perbuatan makruh walaupun tidak berdosa, namun Allah SWT membencinya. Betapalah berleluasanya berbagai dosa dan maksiat di kalangan umat.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Tiada seorang hamba ditimpa musibah baik di atasnya maupun di bawahnya melainkan sebagai akibat dosanya." (Riwayat)

Allah SWT berfirman:
 "Musa berkata: Dan apakah (kamu akan melakukan itu) kendatipun aku tunjukkan kepadamu sesuatu (keterangan) yang nyata?" (Asy-Syu'araa: 30)

Mungkin sebahagian umat masih belum jelas bagaimana pengaruh dosa bernatijahkan tidak datangnya bantuan Allah SWT. Seringkali umat Islam bersandarkan kepada logik. Lantaran tidak dapat dibuktikan dengan logik, maka tidak diterimanya. Sedangkan bukan semua perkara logik itu benar dan bukan semua perkara benar itu logik. Sikap orang bertaqwa yang terbaik ialah menerima apa-apa yang datang dari Allah SWT dan Rasul-Nya sebagai kebenaran walaupun tidak dapat dilogikkan. Salah satu peringatan Rasulullah SAW mengenai bantuan Allah SWT ialah dalam sabda Baginda SAW:

Maksudnya: "Tiada suatu yang menolak takdir kecuali doa, dan tiada yang menambahkan umur kecuali  kebajikan. Sesungguhnya seseorang diharamkan rezeki baginya disebabkan dosa yang dilakukannya." (Riwayat Tirmizi dan Hakim)
Rezeki bukan hanya harta benda tetapi termasuk ilmu, kesejahteraan dan kedamaian. Dosa menjadi sebab terhalang dari turunnya rezeki daripada Allah SWT.

Bagaimana kuatnya pengaruh membenci apa yang dibenci Allah SWT, mari kita lihat sabda Rasulullah SAW yang meletakkan orang yang melihat maksiat dalam keadaan sangat benci kerana Allah SWT membenci maksiat itu, sehingga diletakkan setaraf orang yang tidak hadir dalam majlis maksiat. Manakala orang yang tidak melihat maksiat atau tidak berada dalam satu majlis maksiat tetapi dengan merelai, menyukainya atau merinduinya,  maka dia dikira seperti melihat maksiat atau menghadiri majlisnya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apabila sesuatu kesalahan diperbuat di muka bumi maka orang yang melihatnya dan membencinya seolah-olah tidak hadir di tempat itu, dan orang yang tidak melihat perbuatan tersebut tetapi merelainya seolah-olah dia melihatnya." (Riwayat Abu Daud)

Ketinggian taraf taqwa seseorang diukur pada sejauhmana mendalamnya rasa benci di hati terhadap setiap apa yang dibenci oleh Allah SWT. Malah Allah SWT mengampuni dosa hamba-Nya yang ada dalam hatinya rasa benci tersebut dan tidak diampuni kerana kelazatan, keangkuhan dan kebanggaan terhadap dosa walaupun dosa kecil.

No comments:

Post a Comment