Pages

Monday 12 December 2011

TAQWA 1: ALLAH SWT Membela Orang Bertaqwa


 Muqadimah
Allah SWT, Zat Yang Maha Agung, Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Seluruh makhluk dalam genggaman-Nya. Dialah yang menentukan tiap-tiap sesuatu. Tidak bergerak dan diam sesuatu melainkan dengan kehendak dan izin-Nya.

Umat Islam perlu berusaha, berikhtiar bersungguh-sungguh sebagai menghadirkan sebab untuk Allah SWT mengurniakan kekuatan, kejayaan dan kemenangan. Untuk Allah SWT datangkan hasil itu pula mestilah bertepatan dengan sunnah-Nya atau ketentuan-Nya. Segala bentuk, cara dan kaedah sebagai sebab-musabab yang bertepatan itu pula, semuanya telah ditempuh dan dilalui oleh para Rasul khususnya Rasulullah SAW. Ertinya apabila umat memilih jalan lain, natijahnya juga akan menjadi lain. Oleh itu, umat Islam mesti menolaknya dan kembali mengikut jejak langkah umat terdahulu yang telah berjaya.

Faktor iman menentukan kejayaan yang bakal diperolehi. Iaitu sekurang kurangnya pada kategori iman 'ayan (peringkat iman yang selamat, dimana imannya telah bertunjang di hati). Iman itu ibarat enjin kereta. Kalau rendah kuasa kudanya, maka kuranglah lajunya, kurang kuat dan kurang gagah untuk membawa beban yang berat. Atau kurang lasak untuk berfungsi pada keadaan yang lebih banyak halangan. Enjin yang berkuasa kuda rendah ini lazimnya dipasang kepada kereta yang bersaiz kecil. Andainya enjin rosak, kereta itu langsung tidak boleh berjalan.

Iman 'Ayan mampu memacu umat ini menjadi umat yang gigih dalam memikul beban perintah Allah SWT yang berupa berbagai makrufat.  Iman 'Ayan juga merupakan benteng kukuh melindungi umat dari terjebak dan terjerumus kepada berbagai anasir negatif, kemungkaran dan kemaksiatan. Kesimpulan mudah ialah iman 'Ayan menjadikan seseorang itu positif dan terhakis segala yang negatif.

Kalau dalam soal iman itu ianya berkait langsung dengan sikap dan amalan manusia itu sendiri,  taqwa pula merupakan faktor yang lebih halus dan seni. Orang bertaqwa sudah pasti beriman. Namun orang beriman belum pasti memiliki sifat taqwa.

Faktor Taqwa

Taqwa adalah faktor paling utama dalam memperolehi bantuan Allah SWT. Bantuan Allah SWT kepada orang bertaqwa ini dalam berbagai bentuk yang tidak diketahui oleh manusia. Dan lazimnya bentuk bantuan yang Allah SWT datangkan itu mengikut keperluan semasa atau mengikut peranan seseorang. Ertinya bantuan Allah bagi orang yang bertaqwa itu berbeza menurut keperluan dan peranan semasa. Bagi pendakwah yang bertaqwa, bantuan yang Allah turunkan berbeza dengan pemimpin yang bertaqwa. Dan berbeza pula dengan seorang ahli perniagaan atau seorang pendidik.
Segala urusan orang yang bertaqwa ini Allah SWT permudahkan. Sedikit berbuat, membawa hasil yang segera dan berjaya. Apatah lagi kalau berusaha bersungguh-sungguh dan banyak berbuat. Oleh yang demikian sangat dituntut agar dalam berusaha dan berikhtiar itu mestilah turut disertai dengan ketaqwaan.

Misalnya, seorang peniaga yang hanya berusaha mungkin mendapat untung mengikut sifir perniagaan biasa. Manakala orang bertaqwa memperolehi keuntungan berlipat ganda. Keuntungan berlipat ganda itu bukan semestinya dalam bentuk duit. Boleh jadi keuntungan yang diperolehi sama saja dengan orang lain. Tetapi bezanya, wang itu terselamat kerana anaknya sentiasa sihat, wangnya tidak membazir, keretanya jarang rosak, simpanan tabungannya banyak, duitnya juga sering tersalur ke arah amal jariah atau kepada berbagai bentuk kebajikan.

Seorang pendakwah bertaqwa pula, ilhamnya atau ideanya mencurah-curah, penyampaiannya berhikmah dan menarik, pendengar mudah lembut hati mendengar syarahannya, mendatangkan keyakinan, hati pendengar mudah terdorong untuk beramal. Biar pun dalam keadaan penentangan yang banyak, namun orang ramai terus mahukannya.

Pendakwah yang tidak bertaqwa pula, dia sendiri memaksa diri memerah otak mencari dan mengumpulkan bahan dakwah. Dalam menjalankan kerja dakwah juga dia merasa jemu dan terasa sukar. Pendengar juga turut merasa jemu. Walaupun bahasan dan hujahnya menarik dan mampu mengumpul ramai pendengar, namun tidak punya dorongan untuk menginsafkan dan membawa perubahan kepada masyarakat. Memanglah semua orang tahu hakikatnya perubahan itu dari Allah SWT. Namun Allah SWT jika hendak datangkan perubahan juga mestilah bersebab.
Ketaqwaan para sahabat sehingga dijamin oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

"Jika ada duapuluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti." (Al Anfal: 65)

Peperangan Badar menyaksikan 313 para sahabat mengalahkan 1000 orang musuh. Inilah jaminan Allah dalam firman-Nya:
 "Allah menjadi pembela kepada orang yang bertaqwa." (Al-Jaatsiyah: 19)

Dan firmanNya lagi:
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka." (At-Talaq: 2-3)

Dengan ketaqwaan mereka itu, orang lain turut menerima habuan, percikan dan limpahan berkat.

"Wabihim yunsarun." Dengan sebab mereka itu maka diturunkan bantuan.

Firman Allah SWT:
 "Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT." (Saba': 15)

Berkat ketaqwaan Sayidina Umar Ibnu Aziz maka kambing dan serigala boleh bergaul bersama-sama di zamannya, seperti diceritakan oleh Malik bin Dinar, "Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah, para penggembala biri-biri dan kambing berkata, "Siapa orang soleh yang kini menjadi Khalifah umat ini? Keadilannya telah mencegah serigala memakan biri-biri kami."

Musa bin A'yun bercerita, "Kami pernah menggembalakan biri-biri kami di Karman pada masa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Saat itulah antara serigala dan biri-biri berada di satu tempat. Namun, pada suatu malam kami mendapatkan seekor serigala telah memangsa seekor biri-biri. Maka saya katakan, 'Pasti lelaki soleh itu kini telah meninggal. Lalu mereka mengaitkan kejadian itu dengan hari  wafatnya Umar bin Abdul Aziz yang ternyata dia memang meninggal di malam saat serigala mulai memakan biri-biri."

Begitulah taqwa...

bersambung...


sumber :

محمد فضلي بن يوسف
10 Disember 2010


No comments:

Post a Comment