Pages

Monday 5 December 2011

DETIK-DETIK KEWAFATAN RASULULLAH..( siri 5 )

SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM WAFAT

Surat Rasulullah SAW kepada Raja RomDi hari Sabtu atau Ahad Nabi SAW merasa dirinya ringan sedikit, justeru itu Baginda keluar dengan dibantu oleh dua orang untuk bersembahyang Zohor, sedang Abu Bakr mengimami orang ramai.

Sebaik sahaja Abu Bakr terlihat Baginda beliau pun berundur ke belakang, tetapi Rasulullah SAW memberi isyarat supaya jangan beliau berundur, Rasulullah menyuruh dua orang yang membantu Baginda supaya mendudukkan Baginda sebelah Abu Bakr, mereka berdua pun mendudukkan Rasulullah SAW di sebelah kiri Abu Bakr, dan Abu Bakr mengikuti (beriqtida') dengan Rasulullah di dalam sembahyangnya, di samping memperdengarkan takbir-takbir kepada sekalian jemaah.


SEHARI SEBELUM WAFAT

Pada hari Ahad iaitu sehari sebelum wafat, Rasulullah SAW memerdekakan kesemua hamba sahaya, bersedekah dengan tujuh dinar yang Baginda miliki pada ketika itu, semua senjata-senjatanya diberikan kepada kaum muslimin. Di malam berkenaan Aisyah meminjam minyak untuk menghidupkan lampu dari jirannya, baju besi Rasulullah tergadai pada seorang Yahudi dengan tiga puluh (30) cupak beras bali.



HARI TERAKHIR DALAM HAYAT BAGINDA

Anas bin Malik meriwayatkan katanya: Sekalian kaum muslimin yang sedang bersolat Subuh di belakang Abu Bakr di hari Isnin itu dikejut oleh kemunculan Rasulullah dari sebelah tabir bilik Aisyah sedang jemaah bersembahyang.

Baginda melihat dan memberi senyumannya, Abu Bakr pun berundur ke belakang untuk menyertai saf di belakang, kerana beliau menyangka Rasulullah hendak keluar bersembahyang.

Kata Anas lagi: Hampir-hampir sidang jemaah terpesona dengan solat mereka kerana gembira melihat Rasulullah SAW namun Baginda memberi isyarat kepada mereka supaya meneruskan sembahyang. Lepas itu Baginda melepaskan tabir dan masuk ke dalam. Selepas itu Rasulullah SAW tidak berkesempatan lagi untuk bersembahyang lima waktu yang lain.

Semasa siang semakin cerah Rasulullah SAW menjemput Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu, menyebabkan beliau menangis, lepas itu Baginda memanggil Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu menyebabkan Fatimah tersenyum, kemudian Aisyah berkata: Kami pun bertanya apa ceritanya?.

Jawab Fatimah: "Baginda membisik bahawa Allah akan menjemputnya melalui sakit yang Baginda alami ini, itulah yang membawa aku menangis, pada kali kedua Rasulullah SAW membisikkan bahawa daku ahli keluarganya yang diwafatkan Allah selepas Baginda, itulah yang menyebabkan daku tersenyum".

Selain dari itu Rasulullah SAW juga memberi khabar gembira (tabsyir) kepada Fatimah bahawa beliau adalah Syayyidah Nisa' al-'Alamin (Penghulu Wanita Dunia). Fatimah melihat beban kesakitan terlalu berat dialami oleh Rasulullah SAW. Beliau berkata: "Alangkah berat siksa bapa". Jawab Rasulullah SAW: "Tiada siksa lagi bagi bapamu selepas hari ini".

Di saat ini Rasulullah SAW memanggil al-Hasan dan al-Husain dan Baginda mencium kedua-duanya sambil berwasiat kepada mereka berdua dengan kebaikan, kemudian Rasulullah menjemput isteri-isterinya, menasihati dan memperingatkan mereka.

Kesakitan semakin bertambah, dan kesan racun yang Baginda termakan di hari Khaibar boleh dilihat, menyebabkan Rasulullah berkata: "Wahai Aisyah kini aku masih terasa sakit kesan makanan di hari Khaibar dahulu, inilah masanya aku mendapati nafas ku sesak terputus-putus kerana kesan racun itu". Rasulullah mewasiatkan orang ramai dengan sabdanya: "Solat, solat dan berbuat baiklah kepada hamba sahaya milik kamu". Baginda mengulangi ungkapan ini berkali-kali.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment