Pages

Thursday 22 December 2011

Imam Malik

Imam Malik Rahimahullah atau nama sebenar beliau Malik bin Anas bin Malik Amir Al-Harith dilahirkan di Kota Madinah pada 93 Hijrah bersamaan dengan tahun 713 Masihi, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik daripada kerajaan Bani Umaiyah. Beliau berasal dari keturunan Arab yang terhormat dan dimuliakan oleh masyarakat kerana datuknya Amir bin Al-Harith banyak berkorban bersama Nabi Muhammad s.a.w. dalam menegakkan agama Islam. Kehidupan keluarganya yang susah tidak memadamkan cita-citanya untuk menjadi orang yang berilmu. Berkat usahanya yang gigih dan bersungguh-sungguh, akhirnya beliau muncul sebagai seorang ulama, hartawan, dermawan, dan berjaya memegang jawatan Mufti Besar di Madinah. Beliau pernah menjadi guru sedari usia 17 tahun dan dapat mengajar dengan baik walaupun masih muda. Majlis pengajian beliau dilakukan di Masjid Nabawi. Beliau yang juga dikenali sebagai pengasas Mazhab Maliki telah meninggal dunia pada 10 Rabiulawal 179 Hijrah bersamaan 798 Masihi ketika berusia 86 tahun dengan meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri. Mazhab Maliki berkembang di beberapa tempat di dunia seperti Maghribi, Algeria, Libya, Iraq dan Palestin.


Sifat Peribadi

Sepanjang hidupnya, Imam Malik terkenal dengan kecerdasan akal fikirannya yang tinggi sehinggakan mampu menghafal al-Quran dalam usia yang masih muda. Beliau juga terkenal dengan sifat mulia, bersopan-santun, suka memakai pakaian yang bersih, kemas serta bau-bauan yang harum selaras dengan tuntutan agama supaya menjadi orang yang pembersih. Walau bagaimanapun, beliau yang terkenal dengan keramahan dan bergaul dengan semua lapisan masyarakat merupaka seorang yang pendiam dan hanya berkata-kata apabila perlu dan menganggap benda yang akan diucapkan adalah perkara-perkara yang berfaedah sahaja. Beliau juga seorang hartawan yang tidak lokek membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Sebagai contoh, beliau pernah membantu Imam as-Syafie sehingga berjaya menjadi ulama terkenal. Beliau seorang yang sangat menghormati hadis-hadis Rasulullah sendiri dan diri baginda sendiri walaupun baginda telah wafat. Beliau dikatakan tidak pernah menunggang sebarang jenis kenderaan di Madinah sebagai tanda menghormati jasad baginda yang tertanam di dalam kubur. Beliau pernah dirotan dengan cemeti sehingga patah tulang belakang kerana mengeluarkan fatwa yang tidak disukai oleh khalifah iaitu isteri yang ditalak secara paksa tidak jatuh talaknya. Ini menunjukkan betapa tabahnya beliau. Kerajinannya mengerjakan ibadat di malam hari pula menunjukkan kewarakan beliau terhadap Allah s.w.t. Prinsip hidup beliau mengenai ilmu ialah orang yang ingin belajar ilmu hendaklah berusaha mencarinya, bukan ilmu yang datang mencarinya. Beliau tidak pernah merungut apabila memberi pendidikan kepada anak-anak muridnya. Beliau akan bersusah-payah memberi kefahaman kepada anak-anak muridnya tentang sesuatu masalah ilmu.

Pendidikan

Sejak kecil lagi minatnya terhadap ilmu sudah disemai dalam jiwanya. Beliau telah menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis semenjak kecil dan mendapat pendidikan di Kota Madinah daripada beberapa orang ulama terkenal di sana. Guru pertama beliau adalah Abdul Rahman bin Harman iaitu seorang ulama besar Madinah yang telah memberi pendidikan kepada beliau selama lapan tahun. Akibat dari kecerdasan akalnya yang luar biasa, beliau pernah menghafal 29 buah hadis daripada 30 buah hadis yang dibacakan oleh gurunya dalam satu hari sahaja. Beliau pernah belajar daripada 900 orang guru dari kalangan tabiin dan tabi’ tabiin. Imam Malik banyak menimba ilmu pengetahuan di Kota Madinah yang pada masa itu menjadi pusat pengajian ilmu, khususnya ilmu agama.

Kitab Al-Muwattak

Al-Muwattak bererti ‘yang disepakati’ atau ‘tunjang’ atau ‘panduan’ tentang ilmu dan hukum-hukum agama. Kitab tersebut merupakan sebuah kitab yang mengandungi hadis-hadis hukum yang dikumpulkan oleh Imam Malik serta pendapat para sahabat dan ulama-ulama tabiin. Kitab ini lengkap dengan pelbagai masalah agama yang merangkumi ilmu hadis, ilmu fiqh dan sebagainya. Semua hadis di dalam kitab ini adalah sahih kerana Imam Malik terkenal dengan sifatnya yang tegas dalam penerimaan hadis tertentu. Beliau sangat berhati-hati ketika menapis, mengasingkan dan membahas serta menolak riwayat yang meragukan. Daripada 100,000 buah hadis yang dihafal beliau, hanya 10,000 sahaja diakui sah dan daripada 10,000 hadis itu, hanya 5,000 sahaja yang disahkan sahih oleh beliau setelah disiasat dan dipadankan dengan Al-Quran. Menurut satu riwayat, Imam Malik menghabiskan 40 tahun untuk mengumpul dan menapis hadis-hadis yang diterima daripada guru-gurunya. Imam Syafie pernah berkata, "Tiada sebuah kitab di muka bumi ini yang lebih banyak mengandungi kebenaran selain daripada kitab al-Muwattak karangan Imam Malik."

Imam Malik Diheret Dan Didera
Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Bagdad. Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjabat sebagai mufti di Madinah. Di saat timbulnya masalah penceraian atau talak, maka Imam Malik telah menyampaikan fatwanya, bahawa talak yang dipaksakan tidak sah, ertinya talak suami terhadap isteri tidak jatuh. Fatwa ini sungguh berlawanan dengan kehendak gabenor, kerana ia tidak mahu hadith yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut diketahui oleh masyarakat, sehingga akhirnya Imam Malik dipanggil untuk mengadap kepada gabenor.

Kemudian gabenor meminta agar fatwa tersebut dicabut kembali, dan jangan sampai orang ramai mengetahui akan hal itu. Walaupun demikian Imam Malik tidak mahu mencabutnya. Fatwa tersebut tetap disiarkan kepada orang ramai. Talak yang dipaksanya tidak sah. Bahkan Imam Malik sengaja menyiarkan fatwanya itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah agama, kerana fatwa tersebut berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang harus diketahui oleh umat manusia.

Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan, namun ia masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut dicabut dengan segera Kemudian Imam Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian Imam Malik dipaksa supaya menarik kembali fatwanya itu.

Mereka mengarak Imam Malik supaya Imam merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih tetap dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, dia dihukum dengan sebat sebanyak 70 kali, yang menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya:

“Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwa ku. Demikian Said Al-Musayyid, Muhamad Al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga.”

Bagi Imam Malik hukuman semacam itu, bukanlah mengurangi pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika itu, saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya ia berkata: “Aku mengharap semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga.” Insya Allah.

No comments:

Post a Comment