Pages

Monday 5 December 2011

DETIK-DETIK KEWAFATAN RASULULLAH..( siri 7 )

KEPILUAN MENYELUBUNGI PARA SAHABAT

Rambut NabiKini berita kewafatan Rasulullah SAW yang memilukan itu tersebar luas, suasana muram menyelubungi persada Madinah dan cerok daerahnya, kata Anas: "Tidak pernah ku melihat satu hari lebih ceria dan bercahaya dari hari kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah dan tidak pernah pula ku lihat satu hari yang lebih buruk dan muram dari hari kewafatan Rasulullah SAW".

Selepas wafatnya Rasulullah SAW puteri Baginda, Fatimah (r.a) telah mengucapkan suatu ungkapan: "Duhai ayahku, kau menyahut seruan Tuhamu, duhai ayahku, syurga al-Firdaus kesudahanmu, duhai ayahku, kepada Jibril jua kami bertakziah mengenai kewafatanmu"

SIKAP UMAR

Di hari itu Umar telah berdiri di hadapan khalayak ramai dan mengikut riwayat menceritakan bahawa beliau telah terkeluar dari kewarasannya dengan berkata:

"Sebenarnya terdapat beberapa orang munafiqin telah menyebut bahawa Rasulullah telah wafat, sesungguhnya Rasulullah SAW tidak wafat, cuma beliau pergi menemui Tuhannya seperti Musa bin Amran pergi menemui Tuhannya, Musa menghilang diri untuk selama empat puloh malam, kemudian Baginda pulang semula setelah orang berkata, yang Musa telah mati. Demi Allah, Rasulullah SAW pasti akan pulang semula, sesiapa yang menyangka bahawa Rasulullah SAW telah wafat mesti dipotong tangan dan kaki-kaki mereka.


PENDIRIAN ABU BAKR

Abu Bakr memecut kudanya, berlari dari rumahnya di al-Sanh, sesampainya ke perkarangan masjid beliau terus masuk ke dalam masjid. Tanpa bercakap sepatah pun dengan orang ramai beliau memasuki bilik Aisyah menuju ke tempat Rasulullah yang sedang berbaring ditutupi dengan kain.

Beliau membuka tutupan muka Rasulullah SAW, terus memeluk dan mencium muka Rasulullah sambil menangis dan berkata: "Demi dikaulah ibu ayahku, Allah tidak akan mengenakan kau dua kematian, adapun kematian yang ditulis ke atas mu ini sudah kau hadapinya".

Setelah itu Abu Bakr dan Umar keluar menemui orang ramai, di mana Abu Bakr berkata: "Wahai Umar sila duduk" Namun Umar enggan untuk duduk. Orang ramai pun melingkungi Abu Bakr dan membiarkan Umar di situ. Abu Bakr berucap kepada sidang hadirin dengan katanya:

"Adapun selepas tahmid dan syukur maka ingin ku menyebut di sini, sesiapa di antara kamu yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati ".

Kemudian beliau membaca ayat Allah:

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (yakni murtad). Maka sesiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur". (ali-Imran : 144)

Kata Ibn Abas: Demi Allah, di masa itu manusia ramai bagaikan tidak mengetahui bahawa Allah telahpun menurunkan ayat ini kecuali setelah Abu Bakr membacanya, dengan itu orang ramai pun menerima dan membacanya.

Kata Ibn al-Musaiyab: Umar telah menyebut: "Demi Allah, sebaik sahaja aku terdengar apa yang diunggapkan oleh Abu Bakr itu aku terasa kakiku sudah tidak berdaya lagi untuk berdiri, memanglah aku terus terhumban ke tanah sebaik sahaja mendengar apa yang dibaca oleh Abu Bakr itu, kerana aku sudah dipastikan dengan kewafatan Rasulullah".

Bersambung...



No comments:

Post a Comment