Pages

Monday 14 September 2015

Maksud Jihad.

"Bagaimana dengan konsep jihad? Makna jihad? Seorang Muslim diseret di hadapan Rasulullah ﷺ dan Rasulullah ﷺ suruh dia sabar, kenapa? Kerana jihad bukan panggilan emosi, atau fanatik atau perasaan marah. Jihad ada tatacaranya, ada hukum-hakamnya. Rasulullah ﷺ tidak pernah khianat pada perjanjian walaupun dengan kaum kafir."

"Pada Perang Khaibar, yang berlaku pada tahun kelima atau keenam Hijrah, di kawasan yang agak jauh dari Madinah. Ketika itu Nabi ﷺ membawa tentera kaum muslimim keluar dan dan pusingan pertama perang itu dimenangi kaum Muslimin."

"Lalu setelah itu, utusan kaum Yahudi dihantar untuk memohon perdamaian dan Rasulullah ﷺ terima. Kenapa? Kalau konsep jihad untuk bunuh semua kenapa Rasulullah ﷺ terima perdamaian, sedangkan baginda dan muslimin dalam keadaan menang. Tak cukup dengan itu, perdamaian itu datang dengan kondisi iaitu separuh hasil kurma di beri kepada muslimin, dan separuh kepada Yahudi. Bukankah sepatutnya kalau kaum muslimin menang, semua harta musuh menjadi milik kaum muslimin. Ya."

"Tapi Rasulullah ﷺ terima untuk berkongsi dengan mereka. Ini bukan untuk menunjukkan lemah, atau rendah tapi untuk menunjukkan toleransi dalam agama ini, dan menunjukkan bahawa agama ini berdamai dengan sesiapa saja yang menyokong perdamaian. Ini bukan agama yang kejam atau agama pertumpahan darah."

"Nabi ﷺ berdamai dan akur dengan permintaan mereka, walaupun mereka Yahudi. Kekufuran kaum musyrikin tak sama dengan kekufuran kaum Yahudi. Kaum Musyrikin mereka tak tahu tentang agama Allah dan kenabian, tapi kaum Yahudi sudah menerima kitab sebelum itu dan tahu akan kedatangan Nabi yang terakhir."

"Tapi mereka tidak mahu beriman, bahkan memusuhi Nabi ﷺ jauh lebih ketat berbanding kaun Musyrikin. Tapi Nabi ﷺ masih mahu berdamai, untuk menunjukkan toleransi dalam agama ini dan mengharapkan ada di antara mereka yang mahu beriman. Jika mereka semua dibunuh dalam keadaan kufur, semuanya akan masuk neraka dan itu bukan yang Rasulullah ﷺ inginkan. Nabi ﷺ diutuskan untuk menyelamatkan orang dari neraka."

"Setiap tahun Abdullah ibnu Rawahah r.a akan pergi untuk buat anggaran hasil kurma yang menjadi milik kaum Muslimin dan Yahudi. Nabi ﷺ sentiasa ada dalam mengagihkan bahagain kaum Yahudi dan kaum Muslimin. Suatu hari ketika Abdullah datang, salah seorang ketua Yahudi datang dan menyuruh Abdullah menipu kiraanya kepada Rasulullah ﷺ."

"Tapi kata Abdullah; “Saya datang daripada orang yang sangat aku sanjungi dan sayangi, kepada orang yang paling aku benci Yahudi, tapi itu tidak mengganggu aku untuk berlaku zalim kepada kamu, dan juga tidak menjadikan aku untuk berlaku tidak adil kepada kamu.” Iman sahabat Rasulullah ﷺ tidak boleh dibeli dengan duit. Wallahi, aku ingin datang daripada orang yang paling aku sayangi Rasulullah ﷺ, kepada orang yang paling aku benci Yahudi, tapi kedua-duanya tak mengganggu aku untuk tidak adil kepada mana-mana pihak."

Dalam satu kisah, Sayyidina Ali diberi bendera untuk keluar berperang dan dipesan untuk berjalan dengan tidak menoleh ke belakang lagi. Ketika berjalan, Sayyidina Ali berhenti bertanya tanpa menoleh ke belakang; “Ya Rasulullah, Atas dasar apa saya perangi mereka?” Yakni matlamat jihad bukan untuk membunuh, sekadar melawan orang yang menghalang tersebarnya agama Allah سبحانه و تعالى. Jawab Rasulullah ﷺ; “Perangilah mereka sehingga mereka mengucapkan Lailahaillallah.”

"Diriwayatkan ketika berperang seorang musuh telah jatuh di hadapan Sayyidina Ali. Baginda pun ingin membunuhnya tetapi si kafir itu meludah mukanya. Sayyidina Ali lalu meninggalkan lelaki itu. Beliau sebenarnya takut niatnya membunuh kafir itu bukan lagi kerana Allah سبحانه و تعالى tapi mungkin kerana nafsu marahnya kerana diludahi. Beliau tidak mahu pedangnya digunakan kecuali untuk tujuan Allah سبحانه و تعالى."

"Bila ada dasar emosi dan nafsu bermain kepada nafsu orang yang berjihad, kena berhati-hati kerana jangan sampai mengorbankan nyawanya, tapi tiada nilai apa-apa di sisi Allah سبحانه و تعالى. Jihad adalah kerana Allah سبحانه و تعالى, dan tidak boleh dilakukan kerana mengikut emosi atau kerana semangaat Asobiyah."

"Pesan Rasulullah ﷺ lagi kepada Sayyidina Ali ketika memegang bendera; “Dengan sebab engkau menjadi hidayah kepada walaupun satu orang adalah lebih baik daripada engkau mendapatkan dunia dan seisinya. Matlamat agama ini ialah memberi hidayah, dan bukannya membunuh kepada sesiapa saja." Ini pesanan terakhir Nabi ﷺ sebelum Sayyidina Ali keluar ke Perang Khaibar. Ini daripada perang dan jihad yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

No comments:

Post a Comment