Pages

Tuesday 22 September 2015

Ghibah

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bertanya, "Adakah kamu tahu apa itu ghibah?" Mereka berkata, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui."

Baginda s.a.w lalu bersabda, "Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya." Mereka bertanya pula, "Ya Rasullah, beritahukanlah kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang aku katakan?"

Baginda s.a.w bersabda, "Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu telah mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya."

Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Darimi, Ahmad dan Ibnu Hibban.

Allah berfirman dalam Al-Quran,

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."

Al-Hujuraat 49:12

Imam Ghazali rah.a (meninggal 510H) mengatakan ghibah itu bermaksud, "Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya hatta pakaiannya, rumahnya atau haiwannya."

Rujukan: Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah

Ghibah boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain. Maka dengan ini, setiap perkara yang tidak disukai oleh seseorang sekiranya disebut tanpa kehadirannya, walau sekecil mana pun perkara itu, adalah dikira sebagai ghibah atau mengumpat.
Oleh itu, berhati-hatilah! Dengan hanya satu kalimah atau satu isyarat sahaja kita boleh terjerumus dalam dosa mengumpat.

Hanya Allah Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment