Pages

Tuesday 15 September 2015

Hidayah Milik Allah

"Ini sebuah kisah Ulama besar islam, yakni bernama Syeikh Abdullah bin Maslamah rah. Beliau adalah guru kepada Al-Imam Al-Bukhari rah. Guru ini diawal permulaan hidupnya adalah seorang yang suka berpoya-poya, melakukan maksiat, peminum arak.

Suatu hari beliau ke pasar, dan ada seorang Syeikh yang memberikan dakwah dengan menyampaikan hadis."
"Anak muridnya mendengar penuh kusyuk di tepi jalan. Dia yang sedang mabuk ketika itu duduk bersama kerana melihat ada majlis di situ. Bila orang melihat dia, orang memberi laluan sehingga dia duduk betul-betul di hadapan Syeikh tersebut. Setelah itu, dia meminta agar Syeikh itu menyampaikan hadis kepadanya."
"Syeikh yang dapat menghidu bau arak padanya berkata; “Wahai Pemuda, Bagaimana aku boleh menyampaikan hadis Nabi ﷺ yang suci murni kepada kamu? Sedangkan kamu dalam keadaan mabuk, dan arak masih terhidu daripada kamu.”

"Dia mendesak lagi dengan berkata; “Dimanakah keadilan kamu? Kamu menyampaikan hadis kepada begitu ramai orang. Akan tetapi kenapa kamu tidak mahu menyampaikan hadis kepada aku seorang?” Syeikh pun berkata; "Dan mereka itu dalam keadaan suci, meninggalkan maksiat, jadi kamu pun perlu begitu untuk mendengar hadis Rasulullah ﷺ."

"Oleh kerana dia mabuk, dia menghunuskan pisau dan mengugut untuk membunuh Syeikh itu sekiranya tidak menyampaikan hadis kepadanya. Syeikh pun menyampaikan padanya; “Baiklah, aku akan menyampaikan kepada kamu. Daripada syeikh kami, guru mulia kamu. Dan aku telah mendengar daripada syeikh aku, dan syeikh aku telah mendengar daripada syeikhnya, dan seterusnya dan seterusnya sehingga kepada Rasulullah ﷺ, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda; “Apabila seeorang itu tiada rasa malu, maka dia akan melakukan mengikut kehendak hatinya.”
"Kemudian dia bertanya; “Adakah hadis yang sedemikian daripada Rasulullah ﷺ?” Kata Syeikh itu, “Ya.” Dia pon meminta untuk diulang. Kemudian Syeikh itu mengulang sekali lagi hadis itu. Maka, setelah itu, mengalirlah air matanya. Dan beliau pun menggugurkan pisau di tangannya dan tersungkur di hadapan lututnya dengan lutut Syeikh itu. Dengan mengalir air mata."

"Katanya; “Sebenarnya yang dimaksudkan dalam hadis itu sayalah! Sayalah yang tiada segan dan malu. Sayalah yang ditujukan Rasulullah ﷺ hadis tersebut. Sayalah. Sayalah yang tidak malu, sayalah yang bermaksiat. Sayalah pendosa.” Maka, beliau terus menangis sehingga air matanya membasahi bajunya. Kemudian dia bertaubat dan beristighfar di hadapan Syeikh itu."

"Kemudian dia meminta nasihat daripada Syeikh itu. Kata Syeikh; “Tiada sesuatu yang lebih mulia melainkan ilmu. Maka, keluarlah kamu wahai pemuda untuk mencari ilmu.” Lelaki itu pun mengikuti nasihat Syeikh itu, dan dia keluar mencari masyaikh-masyaikh untuk menuntut ilmu dan telah beliau telah duduk di Madinah Al-Munawwarah."
"Sehingga beliau menjadi ulama besar disana dan namanya syeikh abdul hamid masyur disana. Sehingga pada beberapa tahun setelah itu, Al-Imam Al-Bukhari telah datang kepadanya di Madinah dan meriwayatkan hadis daripada As-Syeikh dan beliau ialah salah seorang daripada masyaikh kepada Imam Bukhari. Setelah cukup kehebatan dan kekuatan ilmunya, dia boleh meriwayatkan hadis sahih kepada Imam Bukhari."

"Dan daripada biografi guru-guru yang telah dicatatkan oleh Imam Bukhari, salah satu daripada gurunya yang agung dan mulia ialah Syeikh Abdulah bin Maslamah yang pernah menjadi peminum arak, dan pelaku maksiat."
"Hatta dizaman Imam Malik rah, beliau sempat bertemu dengan Imam Malik. Syeikh Abdullah bin Maslamah juga pernah pada zaman Imam Malik meminta izin untuk membaca kitab Muwatta’ oleh Imam Malik. Kata Imam Malik; “Untuk kamu seorang Imam yang agung , memerlukan kitab yang lain.” Orang ramai juga meminta dia berdoa, dan doanya mustajab ketika itu juga. Beliau dikenali sebagai wali Allah سبحانه وتعالى. Syeikh Abdullah bin Maslamah bila masuk ke dalam majlis Imam Malik, maka Imam Malik akan menyuruh anak muridnya semua bangun sebagai tanda penghormatan kepadanya."

"Oleh sebab itu Imam Ghazali rah mengatakan dengan penuh rendah hatiya sudah cukup dengan satu hadis dan tak perlu kepada nasihat tambahan lain lagi. Tapi bila melihat anak-anak muridnya yang bersungguh-sungguh inginkan nasihat, Imam Ghazali rah pun memberikannya."

"Syeikh Abdullah bin Maslamah rah yang pernah bermaksiat, mendapat kesan yang kuat daripada satu hadis sehingga berubah menjadi ulama yang besar. Allah mencampakkan Hidayah didalam hatinya. Maka kita hendaklah bersangka baik dengan sesiapa saja di hadapan kita dan kita mesti bersangka baik, walau dalam keadaan apa pun seseorang itu. Mungkin nanti dia terbaca satu ayat atau hadis, terus berubah kehidupannya menjadi seorang yang lebih baik. Hidayah adalah milik Allah سبحانه وتعالى."

Daripada Al-Habib Kadzim Bin Ja’afar As-seggaf.

No comments:

Post a Comment