Pages

Tuesday 22 September 2015

Alam Kubur

Alam kubur ini adalah merupakan satu alam peralihan dari dunia ke akhirat. Amalan utama yang perlu dilakukan khas untuk mendapat keselamatan di dalam kubur ialah ISTIGHFAR.

Suatu hari, ketika Sy. Aisyah membelek-belek rambut Nabi saw, dia melihat uban di rambut Nabi saw lalu berasa sedih dan menitiskan air mata. Air mata itu terjatuh kepada Rasulullah SAW yg tidur diribaannya. Nabi SAW pun terjaga dan bertanya, “Wahai Humairah, mengapa kau menangis?”. Sy. Aisyah menjawab, “Wahai Rasulullah, aku melihat uban di kepalamu, dan seolah-olah uban ini memberitahu yang tak lama lagi kita akan berpisah.”. Nabi pun berkata, “Tak perlu bersedih. Tahukah kamu apakah yang paling menyedihkan bangsa manusia?” Sy. Aisyah menjawab, “Apabila kita berpisah dengan orang yang kita sayangi”. Nabi SAW membalas, “Itu betul, tetapi ada lagi yang paling menyedihkan manusia.” Lalu Sy. Aisyah pun berkata, “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui”. Nabi SAW pun menjelaskan, “Sesungguhnya perkara yang amat menyedihkan manusia ialah apabila dia diiringi dosanya masuk sekali ke dalam kubur”.

Oleh sebab itulah, kita dianjurkan beristighfar sentiasa. Apa erti istighfar? Istighfar ialah PENYESALAN terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan. Hari ini, ramai antara kita yang beristighfar dengan melagukan kalimahnya, dan rasa seronok dengan lagunya itu. Istighfar sebegini, yang tidak disertakan perasaan penyesalan di dalam hati akan menjadi zikir semata-mata, tanpa berupaya menghapuskan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Untuk melupuskan dosa, istighfar yang dilafazkan mesti disertakan rasa penyesalan dan berazam meninggalkan dosa tersebut.
Kehidupan ini mempunyai pelbagai cabaran contohnya dalam hubungan suami-isteri, mertua dan menantu dan sebagainya. Ada satu kisah yang berlaku kepada sepasang suami-isteri. Suaminya sakit darah tinggi, dan isteri berjanji untuk mendapatkan ubatnya suaminya yang sudah habis. Namun, isterinya lalai dengan kesibukan sendiri dan terlupa tentang ubat itu. Ditakdirkan Allah, setelah seminggu tak makan ubat, suaminya kena strok dan meninggal terus pada malam yang sama. Walaupun sedar bahawa ajal suaminya sudah ditentukan Allah, namun si isteri ada rasa terkilan dan menyesal dengan kelalaiannya. Perasaaan penyesalan itulah yang boleh dinamakan istighfar dan taubat. Di samping itu, orang yang ingin bertaubat perlu mampu melihat keaiban dan kelemahan diri sendiri. Jangan pula ada sikap yang hanya menyalahkan orang lain sahaja. Bila ada rasa penyelasan, dan sedar kesilapan dan kelemahan diri, barulah istighfar yang disebut dibibir betul-betul datang dari hati yang bertaubat dan mengharapkan keampunan dari Allah. Jangan pula sekali-kali istighfar digunakan untuk marah orang, contohnya, “Astighfirullah! nak kena budak ni, nantilah..” Istighfar ini gunanya untuk koreksi diri sendiri, bukannya koreksi orang lain pula.

Untuk selamat di sini juga, seseorang perlu banyak menghadiri majlis ilmu, kerana setiap langkah yang diambil, sebelahnya akan diberi kebaikan dan darjat yang lebih tinggi, dan yang sebelah lagi diampunkan kesilapannya. Orang yang menghadiri majlis didoakan oleh semua makhluk, hatta ikan di laut pun mendoakan sekali. Begitu juga malaikat yang ramai yang berada sekali dalam majlis-majlis ilmu.

Nabi SAW juga menganjurkan kita membanyakkan membaca surah Al-Mulk, sebagai peneman di dalam kubur. Bacalah paling kurang seminggu sekali. Jika keperluannya ialah luasnya kubur, maka surah Al-Mulk akan membantu meluaskan kubur untuknya, jika keperluannya ialah cerahnya kubur, maka surah Al-Mulk akan membantu memberi cahaya di dalam kubur untuknya dan seumpamanya. Surah ini cuma 30 ayat, tak ambil masa yang lama pun untuk dibaca. Bawa surah ini kemana-mana dan isi masa yang terluang membacanya.

Wallahualam..

No comments:

Post a Comment