Pages

Friday, 2 October 2015

BAGAIMANA PARA ULAMA MENGHORMATI IBU MEREKA?

Al-Imam Muhammad bin Sirin, Imam besar dalam ilmu hadis, pernah meriwayatkan sebuah kisah: “Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, harga sebatang kurma pernah mencapai harga seribu dirham. Maka, seorang sahabat Nabi SAW, Usamah bin Zaid telah mengambil dan menebang sebatang pohon kurma dan mencabut umbutnya (yang lazat dan berlemak itu) lalu diberikan kepada ibunya sebagai makanan. Orang ramai bertanya, “Kenapa kamu buat melakukan hal seperti itu padahal harga pokok kurma ini mencapai seribu dirham?!” Usamah menjawab, “Jika ibuku mengkehendaki sesuatu yang aku mampu dapatkan, pasti aku akan dapatkan untuknya!”

• Saudara perempuan kepada al-Imam Muhammad bin Sirin, Hafsah bin Sirin pernah menceritakan bahawa, “Apabila Muhammad bertemu dengan ibunya, beliau tidak pernah berbicara dengan suara yang keras demi menghormati ibunya.”

• Ibnu `Aun juga pernah meriwayatkan bahawa ada tetamu yang datang menemui Muhammad bin Sirin di rumah ibunya. Muhammad berbicara dengan mereka dengan suara yang sangat perlahan, hampir tak terdengar. Para tetamu berasa hairan lalu bertanya kepada orang sekeliling, “Kenapa dengan Muhammad? Adakah dia sakit?”. Mereka menjawab, “Tidak. Tetapi demikianlah beliau ketika bersama dengan ibunya.”

• Ibnu `Aun menceritakan pada suatu hari ibu kepada Muhammad telah memanggilnya. Beliau lantas menyambutnya tetapi dengan suara yang lebih kuat berbanding ibunya. Lantas beliau segera membebaskan dua orang hamba (untuk menebus dosanya kerana menguatkan suara).”

• Al-Imam Abdullah bin Mubarak pernah menceritakan bakti seorang ulama tabiin bernama Muhammad bin al-Munkadir pernah berkata, “Suatu malam saudaraku Umar melakukan solat malam, sementara aku memicit-micit kaki ibuku. Aku tak suka kalau malamku dihabiskan seperti saudaraku.” Ertinya, pahala berbakti kepada ibu itu lebih besar daripada solat malam.

• Ketika ibu Iyas bin Mu’awiyyah meninggal, beliau menangis. Orang bertanya kepada beliau mungkin didorong rasa hairan melihat seorang yang ‘alim di antara mereka tak mampu menahan airmatanya, “Mengapa anda menangis?”. Maka Iyas bin Mu’awiyyah menjawab, ”Dahulu aku memiliki dua pintu yang terbuka untuk menuju syurga, namun kini salah satunya telah terkunci.”

• Sesungguhnya ibu dari al-Imam Abu Hanifah pernah bersumpah dengan satu sumpah, kemudian dia melanggarnya. Maka sang ibu pun meminta fatwa kepada anaknya, Abu Hanifah. Namun ternyata ibunya merasa tidak puas dengan fatwa yang diberikan anaknya. Ibunya berkata,”Aku tidak merasa reda, kecuali dengan mendengar fatwa dari Zur’ah Al-Qash!” Maka Abu Hanifah pun mengantar ibunya untuk meminta fatwa kepada Zur’ah. Namun Zur’ah Al-Qash mengatakan,”Wahai Ibu, engkau meminta fatwa kepadaku, sementara di depanku ada seorang yang paling alim di kota Kuffah?!” Abu Hanifah pun berkata dengan berbisik kepada Zur’ah, “Berilah fatwa kepadanya demikian dan demikian (yakni sebagaimana fatwa Abu Hanifah kepada ibunya)”, kemudian Zur’ahpun memberikan fatwa hingga ibu Abu Hanifah merasa reda.

• Abu Yusuf, teman rapat Abu Hanifah, menceritakan, “Aku menyaksikan Abu Hanifah rahimahullahu ta’ala menggendong ibunya naik ke atas keledai untuk menuju majlisnya Umar bin Dzar (kerana ibunya ingin bertanyakan sesuatu daripada Umar bin Dzar).” Ajaibnya rasa rendah diri Abu Hanifah kepada ibunya!

• Muhammad bin Bisyr Al-Aslami berkata,”Tidaklah didapati orang yang paling hebat berbakti kepada ibunya di kota Kuffah ini selain Manshur bin Al-Mu’tamar dan Abu Hanifah. Adapun Manshur sering mencari kutu di kepala ibunya, dan menjalin rambut ibunya.”

• Suatu hari Haiwah bin Syarih –beliau salah seorang imam dan ulama yang besar- duduk dalam majlis bagi mengajar ilmu kepada manusia. Lalu ibunya menjerit memanggil beliau, “Berdirilah wahai Haiwah, beri makan ayam-ayam itu!” Lalu beliaupun berdiri dan meninggalkan majlisnya untuk memberi makan ayam.

• Al-Imam Ibnu ‘Asakir pernah ditanya tentang sebab mengapa beliau terlambat dalam menuntut ilmu di Asbahan, maka beliau menjawab,”Ibuku tidak mengizinkanku.”

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk sentiasa berbakti kepada ibu bapa. Amin.

Rujukan:
1. Abdul Aziz Muhammad bin Abdillah As-Sadhan, Ma’allim Fith-Thariiq Thalabil ‘Ilm bab Thalibul ‘Ilm wa Birrul Walidain.
2. Ibn al-Jauzi, Sifat al-Sofwah.

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment