Pages

Saturday, 17 October 2015

Perang Khaibar II dalam kitab Jawi

Sebermula akan nabi Allaha pun setelah baginda selesai daripada istirehat maka rasul Allaha pun bersabda kepada Amir Al Mukminin Ali Karoma Allaha Wajahaha seraya di unjukkan surat itu oleh rasul Allaha kepada baginda Ali Karoma Allaha Wajahaha. Maka sabda nabi Allaha “Ya Ali bawa olehmu suratku ini sampaikan pada raja Khaibar dan kuserahkan pada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya tuhan yang amat kuasa”. Maka surat itupun di unjukkan pada baginda Ali di sambut oleh baginda Ali dengan tawadhonya maka lalu berjalan ke tepi parit kota. Maka ia berkata kepada orang yang di atas kota itu maka ujarnya “Hai segala kaum Khaibar beri tahu raja kamu bahawa aku datang membawa surat daripada rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama”.

Setelah di dengar kafir di atas kota itu suara Ali itu maka itupun pergi memberi tahu raja Khaibar sembahnya “Ya tuhanku syah alam bahawa kaum Mahamada itu datang seorang dirinya di serunya hamba sekelian. Katanya ia membawa surat konon ada ia berdiri di tepi parit pada tempat peperangan itu”. Setelah di dengar A’ntar maka sembahnya “Hai raja yang datang itu Ali lah jikalau firman tuan hamba hambalah mengeluari membujuk dia kalau2 ia mahu datang menjadi hulubang kita” maka kata raja Khaibar “Pergilah engkau katakan pada Ali itu jikalau ia mahu menjadi hulubalang kita apa kehendaknya kuberikan akan dia” maka A’ntar pun menyembah lalu naiklah ke atas kudanya lalu serta di seberangnya titi itu dengan dua jarinya maka di kenakan pada parit lalu menyeberanglah ia mendapatkan baginda Ali.

Telah di lihat oleh baginda Ali Karoma Allaha Wajahaha seorang2 datang berketopong besi dan berbaju besi serta memakai alat peperangan dan besar bahana seperti bukit duduk di atas kudanya seperti sebuah pulau. Setelah hampirlah maka kata baginda Ali “Hai orang besar panjang hendak mengambil surat inikah atau hendak membawa aku masuk sekalikah membawa surat ini”. Maka kata A’ntar “Hai Ali adakah engkau mengenal daku” maka sahut baginda Ali “Tiadalah mengenal dikau siapakah namanya”. Maka kata A’ntar “Marilah engkau ke sisiku supaya aku bercetera akan dikau dan mengatakan nasihat kepadamu” maka baginda Ali pun mengampiri kudanya.

Maka di Qombarkan dengan kuda A’ntar serta membilang tasbihnya maka A’ntar pun berkata sambil melambung2 cokmarnya yang besar berat selaksa ribu min itu serta katanya “Hai Ali akulah yang bernama A’natar. Sedang tatkala dahulu bapamu Abi Tholib datang berniaga ke negeri Khaibar ini membawa daripada perniagaan yang ghorib2 bahawa engkau pun di bawanya tatkala engkau lagi kecil. Maka aku pun pergi kepada khemah bapamu Abi Tholib hendak melihat dagangannya itu. Syahdan aku pun sangat di permulianya dan di berinya hormat akan daku maka pada ketika itu engkau baharu tahu berlari2 di sisi bapamu.

Maka kulihat mukamu adalah engkau alamat orang besar bahagia maka kuambillah akan dikau karib dan aku cium. Maka engkau memegang janggutku dan tanganmu kanan kauhelakan janggutku dan tanganmu kiri kau masukkan ke dalam lubang hidungku maka kau tarik hidungku maka aku pun kesakitan berair mataku. Setelah bapamu melihat hal yang demikian itu maka bapamu amarah hendak di hempaskan dikau. Maka segera aku larang serta kupegang tangan bapamu dengan tanganku kanan dan tanganku kiri aku mendakap dikau. Maka bapamu pinta maaf kepada aku maka kata aku tiada mengapa kerana kanak2.

Pada masa itulah aku berkenal dengan dikau dan bapamu dan kasih hatiku datang sekaranglah maka berkehendaklah aku mengatakan kebajikan kepadamu kerana engkau duduk bersama2 dengan daku di perhamba kepada raja Khaibar dan raja Khaibar pun sangat berahi hendak di perhambakan dikau. Jika engkau mahu menjadi hulubalangnya kerana raja Khaibar raja besar lagi sangat mengasih hulubalang yang gagah2. Jika barang kehendaknya tiada di tahaninya”. Maka kata baginda Ali “Yang kehendakku hanya kepada Allaha dan kepada nabi Mahamaba rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama. Kepada makhluk yang lain tiada dapat seorang pun menyampaikan kehendakku tetapi kehendakku kepada raja Khaibar dan kepadamu ada sedikit”.

Maka kata A’ntar “Apa hajatmu itu kepada aku” maka kata baginda Ali “Katalah olehmu Laa Alaha Alaa Allaha Mahamada Rosawala Allaha”. Setelah A’ntar mendengar kata baginda Ali demikian itu maka iapun amarah katanya “Sayangnya sekali engkau kanak2 mengatakan kata yang tiada patut di katakan dan dengarkan itu. Jikalau orang lain dengan sekarang inilah kulenyapkan di dalam dunia ini”. Maka kata baginda Ali “Sangatlah kurang akalmu amarah kata yang sebenarnya itu. Jika engkau orang tuha berdiri ikutlah olehmu seperti kataku ini supaya kubawa engkau mengadap rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama. Jika tiada engkau mahu menurut kataku itupun sebaik2lah ambillah surat ini bawa kepada tuanmu itupun jika engkau tiada mahu nescaya kujurus engkau bawa kepada rasul Allaha”.

Maka A’ntar pun sangat amarahnya bertambah2 pula katanya “Hai Ali biadap sekali katamu. Bapa engkau permuliakan daku engkau juga yang nakal tiada mengapakan daku. Jikalau kuberikan dengan palu cokmarku barang sedikit jua pun pada masa itu baharulah engkau tahu akan dirimu” maka kata Amir Al Mukminin Ali “Berbahagialah aku merasai pengajarmu itu”. Setelah A’ntar melihat tiada apa bahana padanya maka A’ntar pun amarahlah tiada tertahan lagi maka kata A’ntar “Sangatlah bahana engkau hai Ali berahi akan cokmarku ini kau rasailah”. Maka di tumbukkan baginda Ali dengan hujung cokmarnya itu kepada baginda Ali maka di tangkiskan baginda Ali dengan Dzawa Al Faqoronya maka hujung cokmarnya pun putus kira2 sehasta terpelanting ke bumi.

Setelah di lihat A’ntar cokmarnya putus maka ia pun amarah seperti ular berbelit2. Syahdan wujudnya pun tergentar2 maka di kisar paling kudanya di hadapkan pada baginda Ali maka baginda pun memalingkan kudanya berbetulan dengan kuda A’ntar. Maka A’ntar pun mengisarkan cokmarnya serta di pusing2 ke atas kepalanya maka di palukan atas baginda Ali dengan habis kuasanya berkata “Kuratakan dengna bumi anak Arab seorang ini dengan sekali palu cokmarku ini”. Maka kata raja Khaibar kepada A’ntar “Sekali kau ratakanlah orang itu dengan bumi sekarang”. Maka segala sahabat rasul Allaha pun minta doa “Barang di lepaskan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya daripada bahaya A’ntar itu”.

Setelah gugurlah cokmar A’ntar itu hampir kepada Amir Al Mukminin Ali maka baginda Ali pun mengertakkan kudanya kekanan menyalahkan palu A’ntar itu. Maka cokmar A’ntar pun gugur ke bumi maka bumi pun berbahana seperti bumi bergerak dan air parit itupun berombak2 dan bumi itupun berlubang panjang cokmar A’ntar itu dan seolah akan masuk ke bumi. Setelah di lihat A’ntar baginda Ali menyalahkan palu itu maka bertambah2 amarahnya A’ntar dan peluhnya pun bercucuran maka di palunya kepada baginda Ali berturut2 tujuh kali itupun di salahkan oleh baginda Ali ketujuh kalinya gugur ke bumi seperti itu juga.

Maka tatkala akhir zaman sultan Khothob Syah khalifah di dalam negeri Khaibar itu tujuh tempat itu di jadikan suatu sungai di teruskan lalu ke sungai Nil datang sekarang ini di sebut orang sungai Cokmar. Setelah baginda Ali tiada dapat di palunya maka A’ntar pun lelahlah maka cokmarnya di tekannya di bumi seraya berkata “Hai kanak2 jikalau orang lain daripadamu nescaya sungguh2 singgahlah ke atas kepalamu”. Maka baginda Ali pun berkata “Membalasmu itu seharusnyalah aku membalaskan dikau” maka kata A’ntar “Aku terimalah haluanmu itu”. Maka Ali menggerakkan Dzawa Al Faqoro2 pun memanjangkan dirinya dan keluarlah daripada hujung cawangnya suatu asap dan suatu cawangnya keluarlah darah maka baginda Ali tahulah bahawa A’ntar itu mati kafir masuk neraka.

Maka Amir Al Mukminin Ali pun mengampirkan Dala2 kepada kuda A’ntar maka di perjatuhkan oleh baginda Ali kepada A’ntar2 pun menahankan dengan perisainya yang berat seribu min dan tebalnya dua kaza. Maka Dzawa Al Faqoro gugurlah ke atas perisai A’ntar itu maka A’ntar belah dua dengan perisainya lalu kepada ketopongnya itupun belah dua lalu kepada kepalanya belah dua jadi belah empat. Maka jatuh Dzawa Al Faqoro itu ke bumi tiada terpemanai lalunya maka dengan takdir Allaha firman pula di bawa oleh Jibril A’layaha Al Salama turun dengan sekejap mata juga mengangkatkan Dzawa Al Faqoro itu tiada terpemanai lakunya.

Maka kata Sheikh Sanabi rohamata Allaha a’layaha jikalau tiada di pegang oleh Jibril Dzawa Al Faqoro itu nescaya di makannya lalu ke belakang ikan Nun yang menanggung bumi itu. Maka dengan takdir Allaha Taa’alaya daripada tetak baginda Ali A’ntar pun terdiri juga dengan kudanya maka ia berkata “Bagimu dua kali lagi tetak daku” maka kata baginda Ali “Tetaklah aku dahulu supaya aku memberi balas akan dikau”. Maka A’ntar pun memegangkan kudanya dan parangnya pun hendak di hunus maka iapun rebah cerai berai penggal empat dengan kudanya.

Setelah di lihat oleh saudaranya yang bernama A’mbar tinggi delapan puluh kaza maka iapun segera keluar berkenderaan di atas kuda merah. Maka di kertaknya mendapatkan baginda Ali serta dengan amarahnya terlalu amat sangat. Setelah di lihat baginda Ali seorang laki2 besar panjang datang mendapatkan ia dengan memakai perkakas perang berbaju zirah yang keemasan dan ketopong besi yang bertatahkan ratna mutu manikam di kenakan atas kepalanya dan suatu tombak perbuatan orang benua Khaibar tombak pada tangannya kiri panjang tombak itu empat puluh kaza dan sebilah pedang pada tangannya kanan maka menyeberanglah ia pada titi parit itu.

Maka A’mbar pun berseru2 katanya “Hai Ali akulah yang bernama A’mbar. Jangan engkau sangkakan seperti A’ntar itu kau bunuh itu kerana aku terlebih ilmuku dan gagahku daripadanya. Jikalau engkau hendak mati marilah engkau hampirkan supaya kita bermain senjata”. Maka kata Amir Al Mukminin Ali “Hai A’mbar jikalau sungguh laki2 hendaklah engkau kerjakan seperti maksudkau ini” maka kata saidina Ali Karoma Allaha Wajahaha “Sampaikan olehmu suratku ini kepada raja Khaibar. Sudah itu engkau sampaikan pual kepada aku kata tuanmu itu supaya kusampaikan pada rasul Allaha. Maka kemudian dari itu barang kehendakmu aku hadirlah”.

Maka kata A’mbar “Marilah surat itu kepada aku tetapi engkau nantilah aku di sini. Jangan engkau lari sementara aku datang membawa sabda raja Khaibar”. Maka Amir Al Mukminin Ali pun mengampirkan kudanya mengunjukkan surat itu kepada A’mbar seraya katanya “Sabarlah engkau hai A’mbar sungguhlah engkau pahlawan yang ternama. Pergilah engkau sampaikan surat aku ini kepada tuanmu kafir itu. Bahawa aku pun tiada undur dari sini”. Maka surat pada tangan baginda Ali itupun di sambut A’mbar lalu ia memalingkan kudanya kembali ke kotanya serta pergi mengadap raja Khaibar. Maka Amir Al Mukminin Ali pun tinggallah pada tempat duduk itu maka iapun turun di atas kudanya dan sembahyanglah ia.

Syahdan A’mbar pun sampailah kepada raja Khaibar maka surat itupun di unjukkan pada raja Khaibar lalu di bacanya di dalam majlis itu. Setelah raja Khaibar mendengar bunyi dalam surat itu maka iapun bersabda pada menteri dan hulubalangnya sekelian “Apa bicara kamu akan ehwal surat” maka sembah hulubalangnya dan menterinya sekelian “Janganlah kita banyak bicara lagi melainkan kita lawan juga berperang”. Maka titah raja Khaibar “Benar seperti sembah perdana menteri itu” serta memandang kepada A’mbar pun naik ke atas kudanya lalu di kertaknya ke medan mendapatkan baginda Ali lagi sembahyang maka A’mbar pun sampailah kepada baginda Ali berdiri seketika.

Setelah sudah Amir Al Mukminin Ali sembahyang maka iapun naiklah ke atas kudanya maka kata baginda Ali “Hai A’mbar apatah kata raja Khaibar supaya aku dengar”. Maka A’mbar pun mengeluarkan tombaknya seraya di lambung2nya ujarnya “Inilah kata raja kami akan balas surat raja kamu” maka kata baginda Ali “Sabarlah engkau dahulu nantilah engkau di sini. Jangan kamu lari sementara aku pergi mengadap rasul Allaha dan memohonkan ijazat padanya”. Maka ia pun tertawa seraya katanya “Pergilah engkau kembali kepada raja kamu itu. Aku adalah menanti engkau di sini” maka Amir Al Mukminin Ali pun memalingkan kudanya berjalan mengadap rasul Allaha.

Perjalan pergi akan A’mbar peninggal baginda Ali kembali itu maka iapun turun dari atas kudanya maka di kisar2 bumi itu dengan tumitnya di jengkal tanah itu dengan hujung pedangnya. Maka di tulangkan pada dahinya dan menyembah sujudlah ia kepada matahari memohonkan kemenangan atas seterunya lalu ia bangkit. Kemudian daripada itu maka ia membawalah barang ada segala pengetahuannya maka di tiupkan pada tubuhnya maka di kisar tombaknya dan di lelakannya serta mengingatkan segala pengajar gurunya.

Sebermula Amir Al Mukminin Ali pun mengadap rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama maka segala kata raja Khaibar itu semuanya di persembahkannya kepada rasul Allaha. Maka rasul Allaha pun minta doakan baginda Ali supaya tolong Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya pada barang pekerjaannya maka Amir Al Mukminin Ali dan segala sahabat pun mengatakan Amayana. Setelah sudah maka sabda rasul Allaha “Hai Ali pergilah di beri mendapatkan A’mbar itu kerana ia menanti dikau” maka Ali pun memuji Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya serta memohonkan ijazat kepada rasul Allaha lalu ia pergi ke medan tempat A’mbar duduk itu.

Setelah hampirlah ia kepada A’mbar maka berkata A’mbar “Hai Ali akan sekarang apa pula kehendakmu” maka kata Ali “Barang kehendakmu itu adalah aku menerima dia”. Setelah di dengar kata baginda Ali itu maka kudanya pun di perbetulnya serta di halakannya tombaknya kepada dada baginda Ali. Maka di tangkap oleh Ali Karoma Allaha Wajahaha kedua pihak pahlawan itupun bertarik2an daripada kedua pahlawan itu batang tombak itupun patah menjadi cungkil gigi. Maka A’mbar pun mengunuskan pedangnya dan Amir Al Mukminin Ali pun mengunuskan Dzawa Al Faqoro maka bertetaklah kedua pihak itu serta tangkis menangkis terlalu ramai seperti pendekar yang amat pandai demikianlah keduanya beberapa tipu A’mbar hendak mengenai tiada dapat dan beberapa tipu baginda Ali hendak mengenai tiada dapat juga.

Berapa saat lamanya maka baginda Ali pun teringatlah akan isyarat yang di ajar Jibril A’layaha Al Salama maka baginda Ali pun turun dari atas kudanya. Arakian maka baginda Ali pun menanamkan hujung Dzawa Al Faqoro nya ke bumi maka ia bertelut merendahkan. Setelah A’mbar melihat kelakuan baginda Ali itu maka ia pun segera melompat datang ke sisi Amir Al Mukminin Ali maka di parangnya ke atas Ali Marotadhoya bersungguh2. Maka Ali pun segera mengangkatkan Dzawa Al Faqoro nya di perjunjungnya ke atas kepalanya menyambut tetak A’mbar a’layaha laa’nata maka mata pedang A’mbar celaka pun jatuh ke atas Dzawa Al Faqoro.

Maka baginda Ali pun berkisar menarik tangannya lalu ke belakang A’mbar sekali langkah itu juga sampailah baginda Ali ke belakang A’mbar. Maka A’mbar pun berkisar hendak berlepas dirinya di perturut oleh baginda Ali dan berapa daya A’mbar hendak berlepaskan dirinya tiada dapat maka Dzawa Al Faqoro pun di tarik baginda Ali dengan tarik isyarat daripada mata pedang A’mbar. Setelah dapat maka Dzawa Al Faqoro pun bergugurlah ke atas batang leher A’mbar maka kepala A’mbar pun bercerailah daripada badannya maka di salahkan oleh Amir Al Mukminin Ali pada pendahannya di hunjamkan di tengah medan.

Setelah kafir itu melihat kelakuan yang demikian itu maka Bahsad pun berdatang sembah pada raja Khaibar katanya “Hai raja kami jikalau raja mahu mendengar sembah hamba jika kita berlawan Ali demikian seorang2 berperang dengan dia nescaya tiadalah nama kita kemenangan daripadanya. Baik kita suruh tempuh kepada laskar kita yang tiada terpemanai itu atas Ali itu”. Maka kata raja Khaibar “Benarlah katamu itu dan engkaulah panglimanya membinasakan Ali itu. Bawalah laskar kita sembilan puluh laksa itu olehmu segeralah bunuh Ali itu”.

Maka Bahsad pun bermohonlah kepada raja Khaibar lalu ia naik ke atas gajah menta bergading empat terlalu besar dan hebat dan seribu gajah menta di kiri dan seribu gajah menta di kanan sekelian berbaju merah besi kersani dan empat orang pahlawan di atas memegang senjata dan selaksa hamba tebusan berbaju besi membawa lembing pada tangannya. Dari belakang Bahsad ada tiga laksa hulubalang memakai yang keemasan dan di hadapan berbagai jenis senjata dan segala rakyatnya yang banyak itupun berjalan dahulu daripada Bahsad dan terkembang payung dan tanggal maka berbunyilah segala bunyi bunyian peperangan maka Bahsad di dalam kota.

Setelah rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama dan segala sahabat sekelian melihat kafir celaka terlalu banyak datang mengepung baginda Ali itu. Maka rasul Allaha Khoatama Al Nabaya dengan suaranya yang maha nyaring maka gemuruhlah bunyinya seperti tagar di pulau di tengah laut serta berlari2 datang menolong baginda Ali. Maka baginda Ali pun menyebut nama Allaha Taa’alaya maka demikian katanya Allaha Akabaro Allaha Akabaro Allaha Akabaro Laa Alaha Alaa Allaha Allaha Akabaro Wa Al Hamada Allaha. Sekelian menyerbukan dirinya ke dalam tentera kafir yang tiada terpemanai banyaknya itu serta menetak dan menyincang membunuh segala kafir laknat Allaha akan perang pada sekali itu terlalu amat besarnya.

Maka segala kafir celaka itupun tiadalah terpemanai banyaknya mati daripada dhorab gempur baginda Ali2 pun menyebut nama Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya maka demikian katanya Allaha Akabaro Allaha Akabaro Allaha Akabaro Laa Alaha Alaa Allaha Allaha Akabaro Wa Al Hamada Allaha. Sekelian menyerbukan dirinya ke dalam tentera kafir yang tiada terpemanai banyaknya serta menetak menyincang membunuh segala kafir laknat Allaha akan perang segala kafir itu tiada terbunuh di medan itu di perdangkap oleh segala kaum Asalama berolak2 berbalik2 pula.

Maka bertemulah Omar Maa’da Karoba dengan Bahsad maka di perdangkap oleh Omar Maa’da Karoba dengan kudanya maka Bahsad pun melarikan gajahnya kembali ke kotanya. Setelah hampirlah Omar Maa’da Karoba sudah tuha pun salah maka dapat ia kerana kakinya terhulur itu sudah di jawat oleh Omar Maa’da Karoba. Setelah dapat Omar Maa’da Karoba naik ke atas baluhnya itu maka kedua pahlawan itupun bertumbuk tumbuk maka keduanya sama gugur ke bumi tetapi Omar Maa’da Karoba duduk ke atas dadanya. Maka di rampas oleh Omar Maa’da Karoba segala senjata Bahsad hendak di ikatnya.

Maka tatkala itu Omar Maa’da Karoba teralpa sedikit maka segera Bahsad pun berbangkit maka Omar Maa’da Karoba pun merasai di naik Bahsad itu. Maka lalu di pegangnya janggut Bahsad dengan tangan kiri maka tangan kanan mengisar pedang oleh Bahsad hulubalang gagah maka ia berbangkit akan pedang Omar Maa’da Karoba itu. Maka iapun lari menuju ke dalam tenteranya janggutnya di tinggal terjabat pada tangan Omar Maa’da Karoba serta berkata Bahsad “Kenakan titi”. Maka bertemu pula dengan Ibrahim A’star di pintasi akan dia tiada dapat kerana Bahsad pantas ia menyeberang titi itu maka oleh Ibrahim A’star di busarnya dengan panah.

Maka Bahsad pun kena pipinya terus ke sebelah sana maka anak panah itupun tergalang pada pipinya lalu di sungguhnya lari itu. Setelah Bahsad sampai ke dalam kotanya pun di tutuplah oranglah. Syahdan titi itupun di bawa masuk dan seorang pun tiada tinggal di luar kota Khaibar itu maka segala kaum Asalama pun tiadalah berdaya lagi mendakap segala kafir itu sebab tiada dapat menyeberang parit itu kerana parit itu terlalu luas sehingga dapat bahtera berlayar di dalamnya dan terlalu terbuka tebingnya dan airnya pun terlalu deras syahdan banyak buaya.

Maka Amir Al Mukminin Ali pun terlari2 di tepi parit itu sesaat di pacunya ke hulu sesaat di pacunya ke hilir mencari tempat yang tinggi hendak ia melompatkan Dala2 itu ke seberang parit itu. Setelah di lihat oleh kafir celaka di atas kotanya maka ia berseru ujarnya “Hai Ali hendak kau lompatkah parit itu” maka kata baginda Ali “Jika dengan takdir Allaha Taa’alaya nescaya kulompatilah parit ini sekarang”. Setelah tiada dapat baginda Ali mencari tempat yang tinggi itu maka iapun turunlah dari atas kudanya maka di berikan Qombar kudanya itu.

Maka Amir Al Mukminin Ali pun berdiri di tepi parit itu serta ia menyebut nama Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya dengan hujung lidahnya maka lalu di lompatinya oleh baginda Ali parit itu dengan anugerah Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya sampailah ia seberang parit itu. Maka ajaiblah segala manusia melihat dia gagah perkasa baginda Ali itu maka sekelian kafir itupun melontar dan memanah di atas kotanya suatu pun tiada mengenai baginda Ali kerana memeliharakan baginda Ali itu tuhan yang melepaskan nabi Allaha Ibrahim A’layaha Al Salama daripada Namrud yang memeliharakan baginda Ali itu.

Di dalam tikam dan panah segala kafir itu seperti hujan yang lebat maka Amir Al Mukminin Ali pun serta membaca Basama Allaha tetapi muslihat baginda Ali hendak mengampiri kota Khaibar itu besar bahana senjata kafir datang kepada baginda Ali itu. Adapun Asalama terdiri di seberang parit itu tiada dapat menyeberang parit itu daripada melihat hal baginda Ali itu di dalam senjata yang banyak itu. Maka sekelian mereka itupun mengangkat tangan minta doa kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya katanya “Yaa Roba Yaa Sayadaya Yaa Mawalaya barang kau peliharakan kiranya Ali itu daripada bahaya senjata kafir itu dan kau berikan kiranya barang kami dapat menyeberang parit ini”.

Kata Shohaba Al Hikayat akan raja Khaibar tatkala di lihatnya Bahsad pecah perangnya dan di lihatnya peri perkasa baginda Ali melompat parit itu maka iapun memakai alat senjata perang. Pertama mengenakan mawaza kulit burung yang bernama Jukhon yang beremas pandahnya mawaza itu memeliharakan daripada hangat supaya sejuk tubuhnya. Kemudian mengenakan baju zirah yang berantai di kenakan baju manikam yang merah di karang empat puluh hasta panjangnya di ikatkan pada pinggangnya dan sebuah manikam di kepalanya bercawang sekelian permatanya dan empat puluh bagai senjata di pakai yang lekat pada tubuhnya.

Kemudian daripada memakai maka di himpunkan segala isi rumahnya empat ratus empat puluh daripada gundik dan empat puluh orang daripada isterinya dan empat orang daripada anaknya yang perempuan. Yang tuhanya bernama puteri Jabarir Khaibar namanya yang tengah puteri Sekandarir namanya yang alang bernama puteri Qomarir namanya yang keempat bernama puteri Shofiah namanya. Dalam empat orang anaknya itu puteri Shofiah itulah mahsyur terpuji elok parasnya jika ia menangis seperti biji delima merkah lidahnya seperti baiduri matanya ajaib manis bibirnya seperti khayal makjun yang tubuhnya seperti pelenggam teperlang2 seperti bintang yang hitamnya seperti sayap kembang padang bola matanya lentik menongkat keningnya bagai sudah di pantas dahinya seperti sudah di tulis anaknya rambutnya seperti cincin di tuang kepalanya mendam madu lara rambutnya hitam dan lebat panjang sampai ke tumit kakinya telinganya patut dengan mukanya dan pipinya seperti pauh di layang hidungnya bagai kuntum melur dagunya bagai madu bergantung manis seperti segara bercampur madu tiada dapat di katakan lagi.

Syahdan takjublah segala memandang lakunya itu dan parasnya demikianlah di cetera oleh orang yang empunya cetera akan rupa puteri Shofiah itu seperti rupa anak puteri pari di dalam bumi. Seorang pun tiada menyamai rupa dalam benua Khaibar itu seperti akan lenyap di pandang orang. Maka raja Khaibar pun menyuruhkan anaknya keempat itu memakai seperti adat anak raja2 maka di cium oleh raja Khaibar kepada anaknya keempat dan berpesan pada segala isi rumahnya katanya “Bahawa aku pergi ini akan perang besarlah hendaklah kamu sekelian minta kepada tuhan kita matahari supaya di berinya akan menang daripada seteruku itu”.

Maka sembah sekelian isi rumahnya ”Baiklah tuanku barang di beri matahari kemenangan atas segala raja2 daripada seteru yang tiada mahu menyembah dia yang amat menerangkan isi alam dunia ini. Ia engkau binasakan Mahamada itu”. Maka raja setelah sudah berkata2 itu maka iapun keluarlah dari dalam mahligai maka ia bersabda kepada menteri yang bernama Fawadho Al Kabir itu katanya “Hai menteriku akan engkau menunggu negeri istanaku dengan segala laskarmu”.

Setelah sudah ia berpesan itu lalu naik ke atas gajah putih gadingnya hitam dan selaksa gajah dari kanan dan selaksa gajah di kiri sekelian berbaju besi dan pelbagai senjatanya masing2 memegang senjatanya dan empat puluh orang pahlawan di hadapan raja Khaibar memegang alat senjata dengan pakaiannya dan sepuluh laksa sahaya tebusan memakai keemasan berjalan dari belakang raja Khaibar dan empat ratus anak raja2 yang bermahkota dengan segala kelengkapan di hadapan raja Khaibar dan tiga puluh hulubalang yang berkuda dan memakai qalah yang keemasan di hadapan raja Khaibar dan di hadapan raja2 banyak itu segala orang rakyat itu yang tiada tepermanai itu berjalanlah dari kanan dan kiri dan terkembanglah payung kerajaan terlalu amat banyak di atas raja Khaibar dan berbagai2 rupanya dan namanya dan berapa puluh alam dan tanggal panji2 dan delapan anak ajteri memegang jogan kerajaan di hadapan raja Khaibar dan beberapa puluh para yang lain dari kanan dan di kiri maka berbunyilah bunyian terlalu azmat bunyinya seperti halilintar membelah keluar.

Sebermula akan Amir Al Mukminin Ali Karoma Allaha Wajahaha pun hampirlah ke kaki kota Khaibar itu maka berseru2lah menteri yang bernama Lamaa’t dari atas kudanya ujarnya “Hai Ali pada akalmu bagaimana dapat engkau masuk ke dalam kota itu akan parit itu bolehlah kau permudahkan akan sekarang jikalau keluarlah raja kami jikalau seribu pun ada nyawamu sekelian habis di bunuhnya jangan engkau takbur memecahkan kaum kami yang sedikit ini”. Maka kata baginda Ali “Hai kafir jikalau tiada raja kamu keluar barang di mana daya upaya pun aku masukkan juga ke dalam kota kamu itu akan membunuh kamu sekelian”.

Maka Lamaa’t pun tertawa ujarnya “Hai Ali dari mana datangmu masuk ke dalam kota ini di bawah petala bumikah atau kau bantunkah pintu kota ini atau seperti burungkah kau terbang di udara” maka sahut baginda Ali “Bahkan sungguhnya seperti tiga perkara katamu itu Ana Shaa Allaha Taa’alaya dapat kukerjakan jikalau dengan tolong tuhanku yang maha kuasa tetapi di dalam tiga fasal katamu itu suatu kuturut”. Maka kata menteri Lamaa’t “Di dalam kerja mana kau kerjakan sekarang supaya kulihat” maka kata baginda Ali “Pintu kotamu ini kubantunkan dengan kemuliaan hak Sabahaanaha Wa Taa’alaya”.

Maka berkata oleh menteri Lamaa’t “Hai Ali betapa bahana bagimu itu tiada engkau ketahui lagi akan perbuatannya pintu itu bukan barang2 sembilan belas ribu min beratnya dan berapa hikmat. Tatkala orang mendirikan dia dengan beberapa muslihat putus adanya hikmat hakim dan berlaksa orang mengerjakan dia. Dapat seorang dirimu hendak membinasakan pintu ini bantunlah olehmu”. Maka baginda Ali pun datanglah mengampiri pintu kota itu serta di jabatnya khalaqah pintu itu. Maka oleh kafir yang di atas kota itu di gugurkannya suatu batu besar seperti seekor gajah maka batu itupun dengan kurnia Allaha Taa’alaya tertahan dengan kudratnya. Maka batu itupun mengelak di atas kepala baginda Ali maka segala lontar segala kafir itu jatuh ke atas batu itulah umpama perisai pada Amir Al Mukminin Ali.

Setelah di lihat oleh segala kafir itu demikian itu sekelian mengasak dan berpusing2kan kepalanya dan berkata2lah sama sendirinya “Barang kali ada seorang laki2 demikian itu tiada dapat orang mengerjakan pekerjaan yang demikian”. Akan Amir pun menyebut nama Allaha Taa’alaya yang sangat mulia serta di gerakkan pintu itu di goncangnya kekiri dan kekanan bergeraklah segala kota yang selapis itu. Bercintalah segala kafir yang di atas kota itu haru birulah kesana kemari maka menteri Bahsad pun berlari mengatakan khabar serta bajunya pun basah dengan peluhnya berapa kali ia rebah bangkit lari juga ia berlari2 dengan sungguh hatinya matanya pun ngarit.

Setelah hampir pada raja Khaibar maka terpejam celiklah mata Lamaa’t maka ia pun berteriak2 dengan pucat mukanya dan suaranya pun terputus2 seperti akan putus nyawa lakunya itu dengan tangannya menunjukkan baginda Ali memegang pintu itu khalayak sekeliannya pun hairanlah melihat kelakuan menteri Tefaa’t. Setelah ia hampir ke hadapan gajah raja Khaibar maka ia pun menghempaskan dirinya duduk tangannya kiri di balikkan kebelakang tangannya katanya menginjak2 ujarnya “Wah raja akan Ali itu sudah jatuhlah akan khalaqah pintu kota kita maka di goyangnyalah pintu itu bergoncanglah Qombar tiga itu selapis maka berterjunanlah kami sekelian di atas bangunan. Akan kata Ali itu hendak di bantunnya pintu kota itu”. Demi raja Khaibar mendengar sembah menteri itu maka segera di halau gajahnya keluar maka segala rakyatnya yang seperti laut yang mengiringkan raja Khaibar pun berlari keluarlah.

Maka akan baginda Ali menggerakkan pintu itupun demikian oleh baginda Ali ke dalam bumi segera di masukkannya. Maka di gerakkan baginda Ali di tolak pula ke kanan dan kekiri makin dalam pula ia tertanam main jauh gempanya. Maka bergeraklah kedua lapis kota yang bertanam ke parit itu maka bergempalah bumi yang kedua lapis kota itu. Di sana pun jatuh segala yang di atas kota itu dan segala pohon kayu pun bergeraklah dan segaala taman dan kolam pun habis rosaklah dan segala mahligai raja Khaibar di dalam taman itupun habis binasa dan segala burung dalam taman itupun berterbangan.

Maka di hunjam baginda Ali pula sekali lagi masuk pintu itu ke dalam bumi serta di goyangkannya seperti dahulu itu maka bergeraklah kota itupun bergempalah. Maka segala pendita pun membuka kitabnya di sangkanya gempalah akan kiamat. Maka oleh baginda Ali di tekannya pula tiang pintu itu serta di gerakkannya pula maka bergeraklah kota maka di sana pun huru haralah segala orang di sana dan segala gajah kuda dan lembu dan kijang dan unta keldai dan lagi segala binatang yang lain berlari2 tempuh menempuh dengan manusia seperti laku akan kiamat.

Maka duli pun berbangkit menjadi kelam kabut maka di hunjamkan pula lalulah oleh baginda Ali pintu itu sekali lagi. Maka di tolak kekanan kekiri maka bergoncanglah kota Hawadho Al Hakim dan bergempalah di sana pula. Adapun akan raja Khaibar telah sampailah ke medan Hawadho Al Hakim akan segala rakyat yang tiada tepermanai itupun sampailah ke medan Qombar tiga. Maka kelima lapis kota itupun bergempalah maka pecahlah segala rakyat itu yang banyak itu gemuruh bunyinya dan segala gajah kuda kenderaan mereka itu sekelian terkejut lari.

Ada yang menjatuh orang yang di atasnya ada yang gajah menta mengamuk di dalam tentera yang banyak itu tiada terkuasa oleh gembalanya ada yang berteriak menempuh segala rumah orang. Maka tatkala itu ikat perang raja Khaibar binasalah maka raja Khaibar dan hulubalang yang pilihan serta beraninya keluar juga mendapatkan baginda Ali daripada selapis kota pada selapis kota di belahnya keluari segala tentera yang tiada tepermanai itu. Maka di hunjamkan pula oleh baginda Ali pintu itu dan di gerakkan seperti dahulu itu juga maka bergempalah sekelian kota Nazhor Al A’shafi dan segala kafir di sana pun huru haralah segala laki2 dan perempuan berlari berteriak2 penangan kesana kemari dan segala kedai dan rumah ada yang tumbang ada yang rebah ada yang bergerak sahaja.

Maka segala kafir itupun lupa akan anaknya ada yang lupa akan suaminya ada yang sakit jadi daripada sangat terkejut itu. Maka di hunjamkan baginda Ali pula pintu itu serta di goyangnya maka gempalah kota Nazhora’t maka bergeraklah jemburan dan balai dan gedung dan segala pekan dan lorong. Maka mahligai raja Khaibar pun haru haralah serta bertangisan isi istana raja Khaibar ada yang lari ke taman maka di sana pun demikian juga maka lari pula keluar di sana pun demikian juga kelakuan isi istana raja Khaibar.

Maka puteri Shofiah pada ketika itu ia duduk di atas singgahsana kaca serta bersandar kepada sandar cermin khambi dengan emas keranjang maka di lihat rupa dirinya terlalu amat elok seperti akan dapat di permainnya. Maka fikir di dalam hatinya “Akan rupaku ini jikalau di lihat oleh nabi Mahamada rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama nescaya berahilah ia akan daku dan seperti aku berahi akan dia” demikianlah pada rasa hatinya maka takburlah akan rupanya dirinya itu. Syahdan terminumlah minuman asyik berahi itu maka mabuklah ia di dalam arutnya itu maka berasbak seperti laut kerathuan demikianlah tiada lain pada hatinya hanyalah nabi Mahamada rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama juga pada pemandangannya.

Tatkala datang gempalah oleh baginda Ali itu ke dalam mahligai singgahsana itu maka puteri Shofiah pun jatuh ke atas geta puteri kerana singgahsana itu di atas geta perak. Maka pecahlah kaca itu akan puteri Shofiah luka sedikit seperti alif juga maka iapun turun di atas geta itu turut pada tangannya tiada di lepaskan. Maka terbatalah ia sendirinya mendapatkan segala inang pengasuhnya maka inang pengasuhnya pun serta melihat puteri Shofiah luka itu maka di sambutnya serta dengan tangisnya di dukungnya hendak di bawa lari keluar kota. Setelah di lihat menteri Fawadho Al Kabirit maka segara di suruhnya tutup pintu itu maka akan pagar di luar itupun di suruh keliling pada segala laskarnya masing2 dengan senjatanya serta gajah kuda.

Sebermula akan baginda Ali pun di geraknya akan pintu kota itu maka akan negeri Khaibar itupun akan karamlah kata Sheikh Safabi sebab itulah maka baginda Ali tiada di masuk akan ke bumi. Syahdan maka pada ketika itu Jibril pun turun membawa firman Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya pada rasul Allaha ujarnya “Ya nabi Allaha firman Allaha yang amat kuasa kepada tuan hamba hendaklah tuan hamba larangkan Ali menghunjamkan pintu Khaibar itu. Jikalau lagi di geraknya nescaya binasalah alam dunia ini”. Setelah sudah Jibril A’layaha Al Salama mengunjung firman Allaha Taa’alaya pada kekasihnya itu maka iapun kembalilah ke hadrat Allaha Taa’alaya serta mengadap Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya.

Maka nabi Allaha pun menyuruh orang berseru2 baginda Ali menegahkan janganlah lagi menggerakkan pintu itu maka berserulah segala sahabat di seberang parit itu kepada baginda Ali menyampaikan sabda rasul Allaha di isyaratkan mereka itu dengan tangannya melarangkan. Setelah baginda Ali melihat isyarat orang menegahkan dia itu maka pintu kota itupun di bantun seraya ia melompat serta menyebut2 nama Allaha minta tolong dengan kudratnya. Setelah sudah terbantunnya pintu itu maka di lambungkan ke udara melayang seperti burung Bulbul. Setelah di lihat segala kafir celaka itu maka sekelian pun ketakutanlah kalau2 di tempuh pintu itu masing2 berlindung dirinya.

Setelah akan jatuh pintu itu maka di sambut baginda Ali akan pula di bawanya ke tepi parit itu maka di jadikan baginda Ali akan titi. Maka tiada sampai kira2 sehasta lagi maka baginda Ali pun duduk antara hujung tebingnya itu di pegang oleh baginda Ali maka lalulah segala laskar Asalama yang banyak itu dengan segala gajah kuda dan akan anak jari Amir Al Mukminin Ali Abi Tholib bergerak pun tiada. Setelah rasul Allaha melangkahkan kedua kaki baginda yang maha mulia itu maka tiadalah terderabat oleh jari Amir Al Mukminin Ali Karoma Allaha Wajahaha maka segera di jabat dengan segala jarinya kiri.

Dalam pada itupun di rasai baginda Ali sangat juga beratnya maka di jabatnya pula dengan kedua belah tangannya. Syahdan di sorongkan pula kedua belah kakinya ke bawah pintu itu dan di apungkannya dengan sehabis kuatnya maka tiada juga terderita oleh baginda Ali. Maka daripada sangat darurat maka baginda Ali pun berkata “Hai batu kepala hamba segeralah tuan hamba undurkan tapak kaki yang maha mulia itu kerana tiada terderita oleh hamba” maka rasul Allaha pun segera memalingkan kudanya. Maka Amir Al Mukminin Ali pun berbangkit serta di tariknya papan pintu itu serta dengan firman Allaha Taa’alaya di permain2nya maka akan Dzawa Al Faqoro itupun di sandangkannya pada bahunya.

Maka ia berkata pada segala sahabat yang banyak itu “Ahawa segala tuan2 apa juga bicara kita akan makdum kita di seberang parit itu dengan dua tiga laksa orang hanya”. Maka kata Amir Al Mukminin Abu Bakar “Sementara kafir itu belum berhimpun marilah kita cari tutup parit itu”. Arakian maka kedapatanlah tutup parit itu oleh Amir Al Mukminin Omar di taruhnya di bawah bangunan maka segera di ambil di kenakannya kancingnya bersendi2 lalu di bubuhkanlah pada parit itu. Arakian maka menyeberanglah rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama dengan segala orang yang belum menyeberang itu.

Arakian akan raja Khaibar pun sampailah ke medan Qombar tiga itu dengan segala rakyat yang tiada tepermanai itu. Maka di lihat raja Khaibar pintu kotanya itupun sudah terbantun dan akan lascar nabi Allaha itupun sudah berjejak ke seberang sini dan akan rakyatnya pun habislah pecah belah tiada berketahuan lagi dan ikat perang binasalah. Maka iapun amarah terlalu amat sangat maka di suruhnya bunuh wazirnya tujuh orang yang memaling rakyat itu. Pada ketika itu bercakap tiga orang menteri yang besar2 serta ia meniarap di bumi di hadapan gajah raja Khaibar itu pertama Bahsad kedua Tefaa’t ketiga Lamaa’t sembahnya “Ya tuanku syah alam jikalau dengan firman raja Khaibar kamilah memulihkan ikat perang itu” maka kata raja Khaibar “Segeralah kau kerjakan seperti cakapmu itu”.

Maka menyembahlah ketiga menteri itu lalu berbangkit mengerahkan segala rakyatnya dengan takutnya akan penghulunya menuju kepada kaum Asalama masing2 dengannya senjatanya. Setengah menjabat kayu ada yang pedang betelanjang pada tangannya maka pada ketika itu juga berhaturlah segala rakyat yang tiada tepermanai itu seperti laut. Maka segala tanggal dan panji2 seperti di karang dan gajah kuda seperti rupa perahu tawakan berbaik pergi mari. Pada ketika itu matahari pun kuranglah cahayanya daripada sebab sangatkan sinar pakaian segala raja dan gajah kuda. Syahdan tagar pun berbunyi sedikit seperti orang berikat2.

Setelah raja Khaibar melihat pulih sudah ikatan perangnya itu maka iapun sukacitalah lalu memberi anugerahkan orang yang cakap itu daripada pakaian kerajaan dan seorang seekor gajah hadir sekelian pakaian kerajaan alat perkakas daripada emas di tatahkan ratna mutu manikam. Maka raja Khaibar pun melimpahkan kurnia pula pada segala tenteranya yang tiada tepermanai itu beberapa gedung berisi emas dan perak dan permata dan beberapa pula gedung pakaian di hambarkan kepada segala rakyat itu. Maka sekelian rakyat itupun bercakaplah hendak bersembahkan nyawa serta badan ke bawah rajanya maka segala kaum Asalama pun mengikat peranglah.

Syahdan maka berdirilah kepada perang kedua pihak tentera itu seperti guruh petir di langit dan seperti halilintar membelah bunyinya. Maka kedua pihak tentera pun sama datangnya seraya berpanah panahan dan berlepas lepasan lembing tukar menukar pergi datang. Maka segala burung di udara pun tiada boleh lalu sebab kebanyakan anak panah yang lalu itu dan angin pun terhenti daripada kebanyakan payung dan panji2 dan tanggal alam itupun bertemulah antara kedua pihak laskar itu lalu bertikam campur baur tiada berketahuan lagi maka gegak gempita perang itu tiada berundur berlalu amat besar perangnya.

Syahdan bunyi gajah kuda juga kedengaran dan bunyi tempik sorak segala manusia tiada sangka bunyinya dan tapak kaki segala manusia dan gajah kuda seperti ribut taufan bunyinya selaku akan kiamat. Maka duli pun berbangkit lalu ke udara cuaca menjadi kelam kabut seperti malam maka sangka mereka itu hari sudah malam maka masing2 berlengkap dirinya pun perang itu terlalu ramai melainkan bunyi segala suara hulubalang juga kedengaran. Gemerincing bunyi senjata dan segala tempik sorak segala yang berkenaikan kudanya segala yang berperang bertetakkan pedang dan segala yang penakut berteriak.

Maka segala yang bergajah berjuangkan gajahnya dan segala yang bertikamkan lembingnya maka segala kepala manusia pun berpelanting seperti jalan dan kaki segala tangan segala manusia yang putus2 berpelanting seperti anak kati. Syahdan badan pun terhantar di bumi seperti khoram gandum menindih dan bangkai memangkai bercampur dengan bangkai gajah dan kuda. Setelah belubanglah darah tumpahlah ke bumi mengalir seperti air sungai yang deras maka duli pun tiadalah berbangkit lagi kelihatanlah orang berperang itu baharu hingga Asar maka perang itu lagi dating malamlah maka dalam gelap gelita itupun perang bersuluhkan kilat senjata.

Adapun tatkala perang itu baginda Ali sekali itu di katakan oleh Sheikh Sanabi Dzawa Al Faqoro tiada terhunus daripada sarungnya melainkan pintu kota Khaibar itu juga di palukan baginda Ali kepada segala kafir itu daripada dhorab palu baginda Ali. Maka segala kafir itupun pecahlah perangnya maka di ikut oleh laskar Asalama dating ke medan Qombar tiga. Telah di lihat raja Khaibar laskar pecah perangnya maka iapun memalingkan gajahnya ke hadapan segala hulubalang dan pahlawan yang pilihan maka bertemulah ia dengan laskar Asalama. Maka berperanglah di sana daripada sangat bahana senjata kafir itu maka segala laskar Asalama pun patah perangnya.

Maka di ikut raja Khaibar datang keluar kota Qombar tiga pada ketika itu baginda Ali pun tampil memalu kekanan dan kekiri seperti kelakuan orang gila. Barang di mana di tempuh baginda Ali bangkai bertambun2 maka sekelian rakyat kafir itupun sangat hebat melihat kelakuan baginda Ali itu. Lalu undur dengan rajanya sekali lalu ia masuk ke dalam kota Kefarat maka segala laskar Asalama pun di perdangkapnya segala kafir itupun masuklah ke dalam kotanya. Mengikat perang pula raja Khaibar di sana dengan demikian baginda Ali pun datang ke pintu kita Kefarat itu maka di palu dengan pintu Qombar tiga pada tangannya itu maka pintu Kefarat itupun roboh.

Syahdan maka pintu pada tangan baginda Ali itupun patah sama luluh lentak menjadi abu. Setelah di lihat raja Khaibar pintunya terbuka maka ia pun mengerahkan segala rakyatnya menghalakan senjatanya kepada baginda Ali. Maka Amir Al Mukminin Ali pun bertempik tujuh bulan pendengaran bahana suaranya kedengaran bunyinya daripada hebat mendengar tempik baginda Ali itu. Bumi pun bergoyanglah dan segala ular yang besar2 pun terkejutlah keluar dari dalam lubangnya dan harimau dan segala binatang pun berlari ke dalam belukar mengeram takutnya kepada harimau bertemu dengan kepala kijang daripada sangat takut itu harimau pun tiadalah khabar akan menangkap kijang dan ayam hutan pun bertelak di belakang musang dan puyuh pun melarikan anaknya di taruh di bawah perutnya.

Syahdan dan serigala pun berdiri di belakang harimau dan siamang pun melarikan anaknya ke hutan rumah siamang dan musang pun lari meninggalkan rumahnya dan badak pun berlumba dengan sapi daripada terkejut mendengar tempik baginda Ali itu. Syahdan dan gajah yang di kenderai oleh segala hulubalang pun setengah menjatuhkan orang yang di atasnya dan segala busar yang terpegang pada tangannya segala pahlawan pun setengah putus talinya.

Maka raja Khaibar pun jatuh dari atas gajahnya lalu pengsan seketika sedar daripada pengsannya itu maka ia berkata pada seorang saudaranya yang bernama Maisar “Hai saudaraku aku sangkakan langit runtuh ke atas bumi dan aku sangkakan bumi belah”. Maka segala kafir pun rebah pengsanlah maka jaga daripada pengsannya itu maka ia lari menuju kotanya bernama Selamik itu maka pintu kota itupun di tutupnya dan segala batu yang besar2 itu pun di tambunnya dan di tunggu oleh segala hulubalang.

Sumber: Kitab Perang Khaibar
Manuskrip British Library

No comments:

Post a Comment