Pages

Friday, 16 October 2015

Ilmu Membersihkan Hati.

"Seseorang tidak akan mencapai sifat tawaduk dengan merasakan dirinya lebih mulia daripada orang lain. Seseorang itu, Jika dia berjumpa dengan kanak kanak, anggaplah kanak kanak itu lebih mulia daripadanya, kerana kanak kanak belum banyak melakukan dosa daripada kita. Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadah kepada Allah سبحانه وتعالى berbanding kita."

"Orang yang merendah diri, dia akan dimuliakan oleh Allah سبحانه وتعالى. Barangsiapa yang meninggikan diri, dia akan dihinakan oleh Allah سبحانه وتعالى. Siapa yang merendahkan dirinya maka Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat kedudukannya,
darjatnya. Seseorang itu apabila dengan kemaafan maka Allah akan menambahkan kemuliaan dan dengan tawadhuk Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat darjatnya."

"Satu kisah, Imam Al-Ghazali rah, seorang Ulama besar dalam sejarah Islam, hujjatul islam yang banyak menghafal hadith Nabi Muhammad ﷺ. Beliau dikenal sebagai ahli dalam filsafat dan tasawuf dan banyak mengarang kitab-kitab. Suatu hari, ketika Imam Al-Ghazali menjadi imam disebuah masjid. Tiba-tiba, saudaranya yang bernama Ahmad tidak mahu berjamaah bersama Imam Al Ghazali."

"Lalu berkata kepadanya ibunya; “Wahai ibu, perintahkan saudaraku Ahmad agar solat mengikutiku, supaya orang-orang tidak menuduhku selalu bersikap buruk terhadapnya." Ibu Imam Al-Ghazali kemudian memerintahkan puteranya Ahmad agar solat menjadi makmum kepada saudaranya Al-Ghazali."

"Ahmad pun melaksanakan perintah sang ibu, solat bermakmum kepada Imam Al-Ghazali. Namun ditengah-tengah shalat, Ahmad melihat darah membasahi belakang Imam. Kemudian Ahmad memisahkan diri. Setelah solat Imam Al-Ghazali bertanya kepada Ahmad, saudaranya itu; “Mengapa engkau memisahkan diri yakni mufaraqah dalam solat yang aku imami?"

Saudaranya menjawab; “Aku memisahkan diri, kerana aku melihat belakangmu berlumuran darah." Mendengar jawapan saudaranya itu, Imam Ali-Ghazali mengakui, hal itu mungkin kerana dia ketika solat hatinya sedang terfikir-fikir masalah fiqih, yang berhubungan haid seorang wanita yang mutahayyirah."

"Imam Al-Ghazali lalu bertanya kepada saudara; “Dari manakah engkau belajar ilmu pengetahuan seperti itu?” Saudaranya menjawab; “Aku belajar Ilmu daripada Syeikh Al-Utaqy Al-Khurazy iaitu seorang tukang jahit sepatu-sepatu, tukang sepatu.” Kemudian Imam Al-Ghazali pergi kepadanya."

"Setelah berjumpa dengannya, Imam Al-Ghazali berkata kepada Syeikh Al-Khurazy; “Saya ingin belajar dengan Tuan." Syeikh itu berkata; "Mungkin saja engkau tidak akan mampu menuruti perintah-perintahku." Imam Al-Ghazali menjawab; “Insya Allah, saya kuat."

"Lalu Syeikh Al-Khurazy berkata; “Baik, Bersihkanlah lantai ini." Imam Al-Ghazali kemudian melakukannya dengan penyapu. Tetapi Syeikh itu berkata; “Sapulah dengan tanganmu." Imam Al-Ghazali menyapu lantai dengan tangannya, kemudian dia melihat kotoran yang banyak dan menghindari kotoran itu."

"Kemudian Syeikh berkata; "Bersihkan kotoran itu dengan tanganmu." Imam Al-Ghazali lalu membersihkan dengan menyisingkan pakaiannya. Melihat keadaan yang demikian itu Syeikh berkata; “Bersihkan kotoran itu dengan pakaianmu seperti itu." Imam Al-Ghazali menuruti perintah syeikh tersebut dengan redha."

"Imam Al-Ghazali telah menanggalkan pakaian kebesarannya lalu memakai pakaian orang kebanyakan, lalu diambilnya penyapu untuk membersihkan kawasan gurunya selama berbulan-bulan lamanya. Satu hari, Imam Al-Ghazali bertanya kepada gurunya. Bilakah guru nak ajar saya 'ilmu'.?"

"Gurunya berkata; "Sudahlah, kamu sudah tamat pengajian." Lalu beliau didoakan oleh gurunya seorang Aulia yang mustajab doanya, agar dikurniakan ilmu-ilmu tersembunyi buat Imam Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali kemudian pulang dan setibanya di rumah beliau merasakan mendapat ilmu pengetahuan luar biasa."

"Setelah hari itu, Imam Al-Ghazali merasa pelik pada saat setiap kali beliau ingin mengarang kitab. Beliau berkata; "Bila masanya aku belajar ilmu ini?" Rupanya barulah dia sedar bahawa ilmu yang dipelajarinya dari gurunya itu bukanlah ilmu lisan dan ilmu tulisan. Akan tetapi ia ilmu buah hasil dari sifat 'ikhlas' yang dicampakkan Allah سبحانه وتعالى ke dalam hatinya yakni ilmu laduni."

"Beliau telah mengikhlaskan dirinya pada saat beliau menuntut ilmu serta melaksanakan amanah amanah Allah سبحانه وتعالى yang 'tertinggi' iaitu merendah diri untuk menjadi 'hamba' Allah yang sebenar-benarnya di sisi-Nya. Dan Allah سبحانه وتعالى telah memberikan Ilmu Ladunni, ilmu Kasyaf yang diperolehi daripada tasawuf atau kebersihan qalbu, membersihkan hati oleh Allah سبحانه وتعالى kepadanya."

"Orang yang merendah diri, dia akan dimuliakan oleh Allah سبحانه وتعالى. Barangsiapa yang meninggikan diri, dia akan dihinakan oleh Allah سبحانه وتعالى. Siapa yang merendahkan dirinya maka Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat kedudukannya,
darjatnya. Seseorang itu apabila dengan kemaafan maka Allah akan menambahkan kemuliaan dan dengan tawadhuk Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat darjatnya."

Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

No comments:

Post a Comment