Pages

Wednesday, 28 October 2015

Naungan Ar-Rahman .

"Kita ini perlu fokus kepada diri kita, kepada jiwa kita, kepada hati kita, supaya kita sentiasa bermuhasabah bagaimana kedudukan kita, yakni hamba itu disisi Allah سبحانه وتعالى. bagaimana meletakkan Allah di dalam hatinya."

"Ulama' tarbiah menyatakan sekiranya sesesorang ingin mengetahui keadaan hatinya, lihatlah keadaan hatinya disisi Allah سبحانه وتعالى. Jika hatinya memerhati kepada Allah, sentiasa menjaga Allah yakni perintah Allah سبحانه وتعالى, demikian bagaimana hatinya disisi Allah."

"Namun jika hatinya lalai dan leka, alpa mengingati Allah, tidak mengagungkan apa yang diagungkan Allah, tidak memusuhi kepada apa yang dimusuhi Allah, maka seseorang hamba itu akan menjadi rendah disisi Allah سبحانه وتعالى. Hatinya ada Allah."

"Di alam Mahsyar, yakni pada hari kebangkitan. Bayangkan, semua manusia didalam keadaan menunggu. Didalam keadaan kebingungan, kepanasan dan kerisauan akan nasib masing-masing nanti. Matahari pula sejengkal diatas kepala, dan ada yang mandi didalam peluh mereka sendiri, kerana didalam keadaan menunggu, ternanti-nanti, ketakutan dan tertanya-tanya bila dia akan dihisab."

"Kita diatas dunia ini, apabila kita tersangkut dalam traffic jam. Bagaimana reaksi kita? Stress, tidak sabar, marah. Bayangkan, dialam mahsyar nanti, ulama mengatakan seseorang itu boleh menunggu selama berpuluh-puluh ribu tahun lagi untuk penghisaban."

"Di alam mahsyar nanti, semakin baik amalan seseorang itu. Semakin baik amal solehnya, maka penghisabannya, mizan, sirat seterusnya masuk kedalam syurga. Ulama mengatakan singkatnya itu seperti seseorang itu selesai dua rakaat solat. Sangat pantas. Akan tetapi, jika amalan seseorang itu buruk."

"Semakin buruk amalan seseorang itu, maka lambatlah keadaannya. Semakin burul amal, semakin lama dipadang mahsyar nanti. Didalam keadaan panas dan tiada tempat berlindung. Kecuali mereka yang dipilih oleh Allah سبحانه وتعالى. Ada tujuh golongan yang dipilih oleh Allah سبحانه وتعالى."

"Yang pertama, adalah pemimpin yang adil. Yang kedua, adalah lelaki yang mengasihi lelaki yang lain atau perempuan yang mengasihi perempuan yang lain kerana Allah سبحانه وتعالى. Yang ketiga, adalah pemuda yang takut kepada Allah."

"Pemuda yang takut kepada Allah سبحانه وتعالى, yang apabila dia digoda oleh perempuan yang cantik lagi bangsawan untuk melakukan sesuatu yang dikeji. Lalu dia menolaknya. Dia kemudian mengatakan; "Sesungguhnya Aku amat takut kepada Allah سبحانه وتعالى."

"Yang keempat, adalah pemuda yang tumbuh didalam ketaatan. Pemuda yang beribadah kepada Allah سبحانه وتعالى. Dimana usia mudanya dihabiskan untuk melakukan ketaatan, taqarub kepada Allah سبحانه وتعالى. Yang kelima, adalah pemuda yang hatinya terpaut kepada masjid. Sering kemasjid untuk solat. Dan Dia mencintai masjid."

"Yang keenam, pemuda yang hatinya sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى, mengingati Allah سبحانه وتعالى. Dan berlinang air matanya kerana takut kepada Allah سبحانه وتعالى didalam keadaan bersendirian. Dan yang ketujuh, adalah pemuda yang memberi sedekah dengan tangan kanannya, dan tangan kirinya tidak mengetahuinya."

"Maknanya, dia memberi sedekah dengan ikhlas. Dan tujuh golongan tadi, akan diberi perlindungan oleh Allah سبحانه وتعالى dibawah naungan-Nya. Bukan bawah teduhan biasa. Bukan bawah pokok kelapa, bawah pokok mangga."

"Dia berada dibawah naungan Ar-Rahman yang Maha Mulia. Seseorang yang berada dibawah naungan Allah, alangkah beruntungnya ketika didalam mahsyar. Semoga kita digolongkan bersama-sama dengan orang-orang yang mendapat naungan Allah سبحانه وتعالى kelak."

Guru mulia Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

No comments:

Post a Comment