Al kisah maka tersebutlah perkataan raja Kastin tatkala ia duduk dalam perbendaharaan ayahanda nabi Allaha Sulaiman A’layaha Al Salama itu. Maka raja Kastin pun terkenan ayahanda baginda nabi Allaha Sulaiman hendak pun ia tiada mahu masuk perang malu ia kepada raja Handik dan hendak pun ia perang bersungguh2 malu ia akan rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama. Maka raja Kastin pun menangis terlalu amat sangat maka ia minta doa kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya demikian bunyinya “Yaa Robaya Yaa Sayadaya Yaa Mawalaya ya tuhanku engkau pertemukanlah apa kiranya hambamu dengan rasul Allaha” maka dalam ia fikir demikian itu maka ada seorang hulubalang baginda itu Gentar Syah namanya.
Setelah di lihat baginda itu menangis maka iapun berdatang sembah dan akan sembahyang “Ya tuanku takutkah duli syah alam akan Mahamada dan baginda Ali itu maka syah alam menangis terlalu amat sangat itu patik lihat”. Maka titah raja Kastin”Hai hulubalangku Gentar Syah bukan aku takut akan Mahamada itu dan bukan aku takut akan Ali itu kerana aku malu kepada Mahamada Rosawala Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama kepada pagi jemah kiamat di hadapan bapaku yang budiman nabi Allaha Sulaiman A’layaha Al Salama”.
Maka sembah hulubalang itu “Jikalau demikian titah syah alam baiklah segala rakyat dan bala tentera duli syah alam ini tuanku serahkan kepada paduka kekanda raja Handik itu”. Maka titah raja Kastin “Benarlah sembahmu itu jikalau demikianlah baiklah kupohonkan dan himpunkan segala rakyat dan bala tentera kita yang di laut dan yang di dalam hutan dan yang di bumi dan yang di udara dan yang di dalam bumi itupun semuanya himpunkan belaka seorang pun jangan bertinggalan lagi bawa olehmu ke negeri raja Handik”.
Maka hulubalang itupun menyembah lalu ia pergi keluar daripada mengadap raja Kastin itu maka di suruhnya himpun kepada lima orang pahlawan. Maka pahlawan yang lima orang itupun segeralah ia pergi ada yang kelaut ada yang ke dalam hutan ada yang ke bumi ada yang ke udara ada yang ke dalam bumi mengimpunkan segala rakyat raja Kastin itu. Kira2 sebulan tujuh hari lamanya segala pahlawan itu pergi mengimpunkan segala rakyat dan bala tentera itu maka iapun berhimpunlah pada raja Kastin sekeliannya itu.
Hataya maka di persembahkan hulubalang itu kepada raja Kastin demikian sembahnya “Ya tuanku syah alam sudahlah patik suruh himpunkan segala rakyat dan bala tentera tuanku itu akan sekarang adalah di luar kota negeri tuanku”. Maka titah raja Kastin “Hai Gentar Syah perjamu olehmu dahulu segala rakyat kita itu” maka di perjamu oleh hulubalang itu akan rakyat dan bala tentera yang tiada tepermanai dan tiada terhisabkan oleh segala makhluk itu melainkan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya juga yang tahu akan banyaknya itu.
Setelah sudah di perjamu makan minum oleh hulubalang itu maka ia berdatang sembah pula “Ya tuanku sudahlah patik perjamu tujuh hari tujuh malam” maka titah raja Kastin “Jikalau sudah demikian maka hantarkanlah olehmu kepada raja Handik”. Adapun negeri raja Handik itu jauhnya daripada negeri raja Kastin itu antara setahun perjalanan maka segala rakyat dan bala tentera pun berjalanlah menuju ke padang Hunain daripada suatu perhentian datang kepada suatu perhentian. Hataya maka ada kira2 antara sebulan perjalanan lagi maka sampai kepada raja Handik maka bahananya segala rakyat raja Kastin itupun gemuruh bunyinya seperti akan bergerak bumi tempatnya berjalan itu.
Maka kedengaranlah kepada raja Handik bunyi yang demikian itu maka iapun terkejut di sangkanya akan kiamat juga maka iapun fikir di dalam hatinya maka baginda pun tiadalah bergerak daripada singgahsananya. Syahdan maka di wartakan oranglah kepada raja Handik bahawa yang datang ini rakyat raja Kastin maka di suruh baginda alu2kan kerana di sangkanya adinda baginda itu bersama2 dengan rakyatnya yang banyak itu kerana raja Kastin itu tiada terkhabar lagi. Setelah sudah ia pergi empat orang hulubalang yang di suruhkan raja Handik mendapatkan rakyat raja Kastin itu.
Setelah ia sampai kepada rakyat raja Kastin itu maka hulubalang yang empat orang itu pun bertanya kepada rakyat itu katanya “Rakyat dari mana datangnya ini”. Maka sahut rakyat itu “Adapun kami ini rakyat raja Kastin dan nama penghulu kami yang di serahkan oleh baginda itu Gentar Syah namanya akan membantu raja Handik”. Maka kata hulubalang yang di suruhkan oleh raja Handik itu “Bawalah kami kepada Gentar Syah itu supaya kami bertanyakan khabar yang nyata kerana kami ini di suruhkan oleh baginda raja Handik kepada tuan hamba empat orang hulubalang” maka Gentar Syah pun segeralah ia pergi mendapatkan hulubalang itu.
Setelah hulubalang itu bertemu dengan Gentar Syah maka hulubalang yang di suruhkan itupun bertanyakan hal raja Kastin itu” maka di ceriterakannya oleh Gentar Syah kepada hulubalang itu akan hal tatkala baginda itu duduk menangis di dalam perbendaharaan nabi Allaha Sulaiman itu daripada mulanya datang kepada kesudahannya. Maka hulubalang itu pun bermohon pada Gentar Syah lalu ia kembali mengadap raja Handik maka di persembahkannya oleh hulubalang itu kepada raja Handik akan hal kelakuan adinda baginda daripada permulaannya datang kepada kesudahannya. Maka setelah sudah di persembahkan oleh hulubalang itu kepada raja Handik maka raja Handik pun diamlah maka rakyat raja Kastin itupun penuh sesak tiada bersalahan lagi sampai ke tepi laut Qalzum.
Al kisah maka tersebutlah perkataan raja Kastin setelah sudah baginda itu menyuruhkan Gentar Syah membawa rakyat yang tiada tepermanai lagi banyaknya itu kepada raja Handik. Maka raja Kastin pun pun berhentilah daripada minta doa kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya maka baginda pun pergilah mencari rasul Allaha dan baginda Ali ke padang Hunain. Maka di dapatinya oleh raja Kastin rakyatnya penuh sesak pada padang Hunain itu maka raja Kastin pun terdirilah di tengah padang Hunain itu adapun akan besar panjang baginda itu seperti sepohon kayu Benung yang tinggi di tengah padang demikianlah rupanya.
Maka raja Kastin pun berseru demikian katanya “Ya rasul Allaha takutkah tuan hamba akan hamba maka tuan hamba berlindungkan diri tuan hamba di belakang Ali itu”. Setelah di dengar oleh rasul Allaha dengan segala sahabat raja Kastin bersuara demikian itu maka baginda Ali pun khidmat menyembah kepada rasul Allaha hendak keluar berperang dengan raja Kastin maka baginda Ali pun segeralah ia naik ke atas kudanya Daladala Jabarut. Setelah di lihat oleh rasul Allaha hal baginda Ali demikian itu maka tiada di beri oleh rasul Allaha mendapatkan raja Kastin maka sabda rasul Allaha “Hai Ali jangan dahulu engkau pergi pada raja Kastin itu” maka baginda Ali pun diamlah ia kerana tiada di beri rasul Allaha.
Maka rasul Allaha pun minta doa kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’laya demikian bunyinya “Yaa Robaya Yaa Sayadaya Yaa Mawalaya ya tuhanku engkau juga yang tahu akan hati hambamu raja Kastin itu. Ya tuhanku Yaa Roba Al A’alamayana”. Maka firman Allaha kepada segala malaikat “Pergilah engkau kepada kekasihku itu sekira2 tujuh puluh malaikat dengan rupa Izrail. Pergilah ambil olehmu nyawa raja Kastil” maka turunlah malaikat itu tujuh puluh orang merupakan Izrail kepada Mahamada Rosawala Allaha. Maka kata malaikat itu “Al Salaama A’laya Kama Yaa Rosawala Allaha Yaa Habayaba Allaha” maka sabda rasul Allaha “Wa A’laya Kama Al Salaama ya habibku Izrail”.
Maka kata malaikat itu “Ya nabi Allaha yang kekasih Allaha hamba di titahkan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya kepada sayada Mahamada apa kehendak sayadaya mengambil nyawa raja Kastin itu dengan lathif lagi dengan perlahan juga” maka Izrail pun pergilah ia kepada raja Kastin. Setelah ia sampai kepada raja Kastin maka Izrail pun memberi salam maka di sahuti oleh raja Kastin salam Izrail itu. Setelah sudah demikian itu maka titah raja Kastin “Hai segala hulubalangku pergilah engkau sekelian ke padang Hunain itu lawan olehmu baginda Ali itu berperang kerana aku di panggil oleh raja Handik”.
Hataya kelakian maka hulubalang yang di titahkan itupun berjalanlah kepada rakyat raja Kastin. Setelah ia sampai hulubalang yang di suruhkan itu maka iapun mengerahkan segala rakyat itu berjalan ke padang Hunain. Setelah hampirlah sampai kepada khemah rasul Allaha maka hulubalang itupun berseru2 demikian katanya “Hai baginda Ali marilah tuan hamba ke medan berperang dengan kami sekelian”. Setelah di dengar oleh hulubalang berkata itu kepada baginda Ali berseru2 maka baginda Ali pun naik ke atas kudanya yang bernama Daladala Jabarut itu maka genderang perang pun berbunyilah daripada kedua pihak tentera itu terlalu azmat bunyinya.
Maka baginda Ali pun melompat ke udara serta baginda bertempik tiga kali berturut2 maka langit pun seperti akan runtuh dan bumi pun seperti akan belah rasanya. Maka bunyi segala senjata pahlawan pun gemerincing maka rakyat raja Kastin pun terlalu amat banyak matinya kira2 empat ribu empat ratus mendengar bunyi tempik baginda Ali itu. Maka baginda Ali pun melepaskan kekang kudanya lalu ia menyerbukan dirinya kepada rakyat raja Kastin yang seperti laut itu serta di hunus pedangnya yang bernama Dza Al Faqoro itu maka Dza Al Faqoro pun memanjangkan dirinya saujana mata memandang jauhnya. Maka baginda Ali pun memarangkan pedangnya kekiri dan kekanan kehadapan dan kebelakang maka rakyat raja Kastin pun terlalu banyak matinya dan jin dewa dan mambang berhanyunanlah kerana perang baginda Ali di kejamkan kedua matanya.
Hataya maka raja Kastin setelah ia sudah menyahut salam Izrail maka kata raja Kastin “Hai Izrail manatah firman Allaha Taa’alaya yang kau bawa kepada aku itu kerjakanlah olehmu” maka sahut Izrail “Hai raja Kastin palingkanlah rupa tuan hamba itu”. Maka raja Kastin pun membelakang mengadap kiblat serta ia mengatakan “Kudrat tuhan atas hambanya”. Maka di ambil Izrail nyawa raja Kastin itu dengan sekejap mata juga maka baginda pun kembalilah ke rahmat Allaha Qoalawaa Anaa Lalaha Wa Anaa Alayaha Roajaa’wana. Maka kata Izrail “Apa juga dosaku ini kepada Allaha Taa’laya maka aku mengambil nyawa raja Kastin ini dengan sekejap mata” maka rasul Allaha pun datang kepada Izrail. Maka kata rasul Allaha “Hai Izrail hormati akan raja Kastin itu kerana ia isi syurga”.
Setelah di dengarnya oleh Izrail kata rasul Allaha itu maka di ambilnya dengan berlambatan. Setelah sudah baginda kembali dari negeri yang fana ke negeri yang baqo maka jenazah raja Kastin pun di kerubungi oleh awan setelah itu maka ia berseru2 demikian bunyinya “Hai segala kamu orang perbendaharaan raja Sulaiman tinggallah kamu sekelian”. Maka segala mereka itu pun memandang ke langit maka katanya segala mereka itu “Siapakah yang berseru2 itu” maka sahutlah “Akulah raja Kastin” maka sekelian mereka itupun mendengar nama raja Kastin itu maka sekelian mereka itu pun menangis maka mayat raja Kastin itupun di bawa malaikat ke langit.
Setelah itu maka terdengarlah kepada raja Handik akan hal adinda baginda sudah mati itu dan baginda Ali berperang dengan rakyat raja Kastin itu maka raja Handik pun mengimpunkan segala jin dan pari dewa dan mambang dan yang di darat segala bota dan raksa bergajah dan badak harimau dan burung lain daripada itu seperti beruk dan lotong gegah dan siamang lain daripada itu seperti ular dan kala lipan dan gerangga selambad semut lain daripada itu yang di udara pula seperti madu dan tebuan dan penyengat kembang dan pigat nyamuk dan agas maka berhimpunlah sekeliannya itu maka di suruhkannya oleh raja Handik sekeliannya itu masuk perang.
Adapun akan titah raja Handik di suruhnya menangkap baginda Ali maka dengan takdir Allaha Taa’alaya di lepaskannya hambanya daripada tangkap dan bunuh pada masa itu suatu pun tiada memberi bahaya. Maka baginda Ali pun memejamkan kedua matanya membunuh segala rakyat raja Kastin itu maka tatkala di bukannya kedua matanya maka baginda Ali pun memandang kepada rakyat raja Handik itu pula terlalu sekali ajaib datangnya ada yang di udara dan di laut dn dari dalam hutan dan dari dalam bumi terlalu banyak berbagai2 jenisnya tiada menderita lagi datangnya itu penuh sesak udara dan padang Hunain itu rupanya.
Setelah di lihat oleh baginda Ali hal yang demikian itu maka baginda Ali pun kembali kepada rasul Allaha. Maka baginda Ali pun berdatang sembah katanya “Ya junjungan datanglah rupanya ajal hambamu gerangan sekali ini dan berapa2 hambamu mengalahkan negeri yang besar2 tiada hambamu melihat rakyat yang demikian ini terlalu sekali amat banyak datangnya. Beberapa yang di dalam laut dan yang di dalam hutan dan yang di dalam bumi dan yang di atas bumi dan yang di udara demikianlah ya rasul Allaha berpasuk2kan datangnya masing2 dengan rupanya dan lakunya itu seperti malaikat mengelilingi langit rupanya itu melainkan Allaha dan rasulnya juga yang mengetahui dia”.
Setelah di dengar oleh rasul Allaha kata saidina Ali demikian itu maka rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama pun mengambil air sembahyang lalu nabi Allaha sembahyang dua rakaat salam. Setelah sudah nabi Allaha sembahyang itu maka rasul Allaha pun minta doa kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya demikian bunyinya “Yaa Robaya Yaa Sayadaya Yaa Mawalaya ya tuhanku manatah janjimmu akan memberi bantu hambamu ya tuhanku”. Maka firman Allaha Taa’alaya “Hai Mahamada kekasihku suruhkanlah hambaku Ali berperang dahulu kemudian maka datanglah bantu daripada aku lagi pun kuat baginda Ali itu aku tambahi pula daripada yang dahulu itu. Hai kekasihku Mahamad dan tujuh ribu malaikat aku suruhkan bantu hambaku Ali itu”.
Setelah baginda rasul Allaha mendengar firman Allaha demikian itu maka sabda nabi Allaha “Hai anakku Ali masuk peranglah engkau dahulu. Kemudian maka Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya memberi bantu akan kita tujuh ribu malaikat”. Setelah baginda Ali mendengar sabda nabi Allaha demikian itu maka baginda Ali pun mengambil air sembahyang maka baginda Ali pun sembahyang dua rakaat salam. Setelah sudah baginda Ali sembahyang itu maka ia pun pergi mengadap rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama katanya “Ya junjunganku jikalau belum hambamu mengalahkan raja Handik dan raja Badar itu tiadalah hambamu mengunjungi Kaabah Allaha itu. Jikalau tiada demikian bukanlah hambamu bernama baginda Ali Marotadhoya harimau Allaha dan raja segala laki2 dan bukanlah judu Fathimah Al Zaharoya Rodhoya Allaha A’nahaa”.
Maka iapun naiklah ke atas kudanya yang bernama Daladala Jabarut maka pedangnya yang bernama Dza Al Faqoro pun di persandangnya. Maka iapun melompat ke udara maka genderang perang daripada kedua pihak tentera pun di palu oranglah terlalu azmat bunyinya. Maka baginda Ali pun bertempik tiga kali berturut2 maka langit pun seperti akan runtuh dan bumi pun seperti akan hancurlah rasanya maka rakyat raja Handik pun terlalu amat banyak matinya kira2 tiga laksa tiga ribu tiga ratus seperti ikan kena tuba demikianlah rupanya oleh ia mendengar bunyi tempik baginda Ali itu.
Maka baginda Ali pun melepaskan kekang kudanya maka ia menyerbukan dirinya kepada rakyat kafir itu yang tiada tepermanai itu. Maka baginda Ali pun mengunus pedangnya yang bernama Dza Al Faqoro itu maka Dza Al Faqoro pun memanjangkan dirinya sekira2 saujana mata memandang panjangnya. Maka di parangkannya kekiri dan kekanan kehadapan dan kebelakang. Maka rakyat raja Handik pun banyaklah matinya dan bangkai pun seperti bukit bertambun2 dan darah pun seperti laut. Adapun baginda Ali memarang itu dari masyrik datang ke maghrib dari daksina datang ke paksina maka Daladala Jabarut pun berenang di dalam laut darah dan bunyi kakinya berenang itu seperti bunyi ombak yang di laut Qalzum pada tatkala turun taufan nabi Allaha Nuh A’layaha Al Salama mengempas pada kaki bukit Qaf demikianlah bunyinya.
Maka pada tatkala baginda Ali membunuh rakyat raja Handik itu tiada ia membukakan matanya maka di lihat oleh rasul Allaha kelakuan baginda Ali berenang di dalam laut darah itu. Maka baginda rasul Allaha pun minta doa kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya demikian bunyinya “Yaa Alahaya ya tuhanku Yaa Roba Al A’alamayana kau peliharakan apa kiranya hambamu itu kerana ia tiada khabarkan dirinya siang dan malam membunuh segala kafir itu”. Adapun pada ketika itu di ceriterakan oleh orang yang empunya ceritera ni sudah dua belas hari dan dua belas malam lamanya baginda Ali membunuh segala kafir itu maka adalah sekira2 sepenjuru dunia ini sudah habis di bunuhnya oleh baginda Ali itu segala kafir.
Maka pada keesokan harinya pula terlalu amat kerasnya maka baginda Ali pun membukakan kedua matanya maka di lihatnya dirinya berenang di laut darah itu. Maka baginda Ali pun mengucap sholawat akan nabi Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama maka baginda Ali pun berseru2 dengan nyaring suaraya maka kedengaranlah suaranya pada tujuh persangga bumi suara baginda Ali itu demikian serunya “Yaa Alahaya ya tuhanku engkau juga yang kuasa memberi kuat tolong hambamu dan engkau juga yang menambah gagah hambamu ya tuhanku” maka di tambahi Allaha Taa’alaya gagah baginda Ali abana Abi Tholib.
Kemudian maka firman Allaha Taa’alaya menyuruhkan tujuh ribu malaikat turun dari langit akan membantu baginda Ali dan daripada seorang malaikat itu gagahnya seperti gagah baginda Ali juga dan kudanya seperti kuda baginda Ali juga dan pedangnya seperti pedang baginda Ali juga. Adapun tandanya malaikat itu telinganya lebar besar sedikit daripada telinga baginda Ali maka semuanya malaikat itu menyerbukan dirinya kepada rakyat raja Handik yang tiada tepermanai dan yang seperti laut itu. Maka di hunusnya oleh malaikat itu pedangnya yang seperti pedang saidina Ali itu serta ia memarang kekiri dan kekanan kehadapan dan kebelakang.
Maka malaikat itupun berseru2 demikian katanya malaikat itu “Hai baginda Ali datanglah bantu daripada tuhanmu yang Waahada Al Qohaaro”. Setelah di dengar oleh baginda Ali suara malaikat itu maka di bukakannya matanya maka datanglah kuatnya pula baginda Ai itu daripada yang dahulu itu. Maka di lihatnya oleh baginda Ali malaikat itu membunuh segala kafir itu tiadalah terhisabkan lagi matinya itu melainkan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya juga yang tahu akan banyaknya. Maka perang baginda Ali dengan segala malaikat itu seolah2 akan kiamat lakunya dan seperti Israfil meniup sangkakala demikianlah rupanya dan lakunya.
Setelah genaplah empat puluh hari empat puluh malam maka baginda Ali pun bertempik pula maka kedengaranlah kepada tiga puluh persangga bumi sebab sudah di tambahi Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya gagah baginda Ali itu. Setelah terdengarlah oleh Jibril suara baginda Ali itu maka Jibril pun sujud ke hadrat Allaha Sabahaanaha Wa Taa’aaya. Setelah ia bangkit daripada sujudnya itu maka ia berdatang sembah demikian bunyinya “Yaa Robaya Yaa Sayadaya Yaa Mawalaya ya tuhanku kau berikanlah hambamu baginda Ali itu bertempik. Ya tuhanku jikalau kau berikan hambamu baginda Ali itu bertempik nescaya kiamatlah dunia ini”.
Maka firman Allaha Taa’alaya “Hai Jibril pergilah engkau pada segala mereka itu yang di dalam dunia seperti bukit dan segala kayu2an dan batu. Suruhkanlah ia masuk perang membantu hambaku Ali itu dengan firmanku juga yang amat kuasa” maka Jibril pun turunlah ia ke dunia. Maka kata Jibril “Hai sekelian kamu bukit dan kayu2an dan batu masuk peranglah kamu sekelian dengan firman tuhan yang maha tinggi itu”.
Setelah di dengarnya oleh bukit dan kayu2an dan batu itu kata Jibril demikian itu maka segala bukit dan kayu2an dan batu itupun masuk peranglah ia bersama2 dengan baginda Ali dan akan segala kayu2an itu bercabutanlah dengan akarnya sekelian memukuli segala rakyat raja Handik itu dan segala bukit pun berlompatanlah ia ke udara menimpai segala kafir itu dan segala batu pun berhambalangan melontari segala kafir itu dan bunyinya bukit itu jatuh menimpai rakyat raja Handik itu seperti bunyi halilintar membelah2 demikianlah bunyinya jatuh bukit itu sebuah2.
Setelah genaplah dua puluh hari dua puluh malam maka tiada juga habis rakyat raja Handik itu usahkan habis makin bertambah pula datangnya. Maka raja Handik pun mengimpunkan segala anak raja2 dan hulubalang segala yang takluk kepada baginda itu delapan belas laksa banyaknya dan segala rakyatnya tiada tepermanai dan tiada terhisabkan oleh segala makhluk melainkan Allaha Taa’alaya juga yang tahu akan banyaknya. Maka titah raja Handik “Hai segala raja2 sekeliannya masuk peranglah kamu sekeliannya” maka sembah segala raja2 itu sekeliannya “Daulat ya tuanku syah alam”. Maka sekeliannya raja2 itu pun menyembah lalu ia berjalan masuk perang maka adalah bunyinya gegak gempita seperti akan kiamat lakunya perang itu.
Maka raja Handik dan raja Badar dan segala raja2 yang banyak itupun mengiringkan baginda berjalan dari belakang rakyat yang banyak itu. Maka adalah lamanya perang itu sampai kepada tiga bulan sepuluh hari sepuluh malam maka baginda Ali pun tiadalah membukakan mata baginda. Maka dengan seketika itu datanglah firman Allaha Taa’alaya kepada Jibril “Hai Jibril pergilah engkau turun kepada Mahamada kekasihku itu sampaikan firmanku kepada Mahamada jangan di beri hambaku Ali itu memejamkan matanya. Jikalau ia memejamkan matanya nescaya kiamatlah dunia ini kerana hambaku Ali itu harimauku”. Maka Jibril pun turunlah ke dalam dunia mendapatkan rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama maka Jibril berbisik dengan rasul Allaha menyampaikan firman Allaha itu.
Maka sembah baginda Omar “Ya junjunganku jikalau ada dengan izin tuan hamba akan hamba membantu baginda Ali itu berilah hamba pergi” maka sabda rasul Allaha “Janganlah tuan hamba pergi ya Amir Al Mukminin Omar biarlah hamba juga pergi sendiri”. Maka rasul Allaha pun berjalanlah ke padang Hunain itu pada tempat orang berperang itu maka rasul Allaha pun berdirilah pada suatu saf bersama2 dengan Jibril A’layaha Al Salama dan dengan segala malaikat yang ketujuh lapis langit itu. Maka semuanya malaikat itu masuk peranglah membantu baginda Ali membunuh rakyat raja Handik dan raja Badar.
Adapun tatkala rasul Allaha berdiri itu dengan baginda Abu Bakar dan baginda Omar dan baginda Osman dan malaikat sekelian bersama2 dengan rasul Allaha itu dan langit tiada kelihatan daripada kebanyakan segala malaikat itu turun dari langit maka rasul Allaha pun mengucap syukur akan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya. Setelah sampailah kepada empat bulan sepuluh hari berperang itu maka segala malaikat itu mengatakan baginda Ali itu tiada hidup dan daripada sebab kebanyakan hulubalang dan pahlawan raja Handik dan raja Badar itu melainkan rasul Allaha juga mengatakan baginda Ali itu hidup.
Adapun pada masa itu baginda Ali pun tiadalah ia sedarkan dirinya lagi setelah Daladala Jabarut itu merasai baginda Ali tiada sedarkan dirinya itu sebab ia membunuh rakyat raja Handik dan raja Badar itu. Maka Daladala Jabarut itupun terbanglah ke udara antara langit dan bumi maka baginda Ali pun merasai sangat kepanasan kerana kena cahaya matahari maka baginda Ali pun membukakan kedua matanya. Maka baginda memandang kepada pihak maghrib maka di lihatnya darah seperti air turun dari bukit Qaf lalu ke laut Qalzum demikianlah rupanya.
Hataya kelakian maka Jibril pun datanglah dengan firman Allaha Taa’alaya kepada baginda Ali maka oleh Jibril di terbangkannya baginda Ali dengan kudanya mendapatkan raja Handik dan raja Badar. Maka apabila baginda Ali bertemu dengan raja Handik dan raja Badar itu maka baginda Ali pun bertanya demikian katanya “Hai raja Handik dan raja Badar mahukah engkau masuk agama Asalama”. Maka kata raja Handik “Hai Ali mengapakah maka engkau mengatakan kata yang demikian itu kepada aku dan jikalau belum habis rakyatku dan hulubalangku dan segala raja2 yang di bawahku belumlah aku mahu menurut katamu itu hai Ali”.
Maka kata baginda Ali “Hai raja Handik dan raja Badar jikalau demikian ingat2lah engkau. Tahanlah olehmu bekas tanganku ini”. Maka di persinsingnya kekang kudanya oleh raja kedua itu dan di junjungnya perisainya yang bertatahkan ratna mutu manikam itu. Maka baginda Ali pun mengunus pedangnya yang bernama Dza Al Faqoro itu maka di pusing2kannya oleh baginda Ali maka mata pedang itupun berbelit2 pada pinggang raja kedua itu. Maka di sentakkannya oleh baginda Ali Dza Al Faqoro itu daripada pinggang raja kedua itu maka raja kedua itupun putuslah pinggangnya. Maka matilah kedua raja itu maka di masukkan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya raja kedua itu ke dalam neraka jahanam.
Maka di lihatnya oleh sekelian rakyatnya dan segala hulubalangnya dan segala raja2 akan hal raja Handik dan raja Badar sudah mati itu maka iapun sekeliannya habis lari segenap hutan rimba dan padang tiada berketahuan lagi perginya. Setengah lari berhimpun pada tuan puteri Zalazaya lalu ia berdatang sembah “Ya tuanku syah alam adapun paduka kekanda dan paduka anakanda tuanku sudahlah hilang tuanku di bunuh oleh baginda Ali itu tuanku” habislah di ceritakan akan hal segala rakyat itu cerai berai tiada berketahuan lagi perginya ada yang lari ke dalam hutan rimba ada yang lari ke dalam lubang tanah ada yang lari ke dalam laut.
Setelah di dengar oleh tuan puteri Zalazaya akan sembah segala rakyat raja Handik demikian itu maka tuan puteri Zalazaya pun menyuruhkan empat orang pahlawan mengimpunkan segala raja2 dan hulubalang rakyat sekelian. Setelah sudah berhimpun sekelian yang takluk kepadanya itu maka tuan puteri Zalazaya pun keluarlah dari dalam negeri Kasthon Hiran itu lalu ia berjalan menuju jalan ke bukit Qaf ia berjalan bersungguh2 supaya bangat ia sampai.
Hataya kelakian maka baginda Ali pun tatkala ia berhenti daripada perang itu maka iapun kembalilah kepada khemah rasul Allaha dan segala malaikat itupun kembalilah ke langit masing2 kembalilah kepada tempatnya. Kemudian segala malaikat itupun minta doa kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya akan Amir Al Mukminin Ali Karoma Allaha Wajahaha maka masing2 dengan doanya. Adapun segala malaikat yang ketujuh lapis langit itupun munajat ke hadrat Allaha Taa’alaya minta doa kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya demikian bunyinya “Yaa Robaya Yaa Sayadaya Yaa Mawalaya ya tuhanku ampun apalah kiranya dosa hambamu Ali itu”. Maka firman Allaha Taa’alaya “Ya malaikatku telah sudah terdahulu firmanku barang siapa berperang dengan raja Handik itu itulah perang sabil Allaha namanya maka syurgalah akan baginya”.
Setelah itu maka baginda Ali pun kembali daripada perang raja Handik dan raja Badar dengan kemenangannya itu maka baginda Ali pun menyuruhkan orang Makah dan orang Madinah merampas segala raja2 dan segala harta raja Handik dan raja Badar itu kira2 sepuas2 hatinya orang Makah dan orang Madinah itu mengambil segala harta itu dan segala perkakasnya raja kedua itu adalah di dalam tiga bulan sepuluh hari maka tiadalah terkira lagi banyaknya segala harta itu. Hataya kelakian maka baginda Ali pun kembalilah kepada rasul Allaha maka sabda rasul Allaha “Ya anakku Ali pergilah engkau kepada istana raja Handik dan raja Badar mengimpunkan segala hartanya dan perkakasnya. Setelah itu maka kita kembalilah ke Makah dan ke Madinah”.
Maka sembah baginda Ali “Ya junjunganku baiklah junjunganku kembali dahulu ke Makah dan ke Madinah. Barang kali sudah junjunganku kembali Ana Shaa Allaha Taa’alaya atas hambamulah menentukan dia segala harta raja Handik dan raja Badar itu”. Setelah sudah baginda Ali berkata2 dengan rasul Allaha maka kemudian rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama itupun kembalilah ke Makah dan ke Madinah dengan sahabat yang ketiga dan rakyat tiga laksa empat ribu. Maka baginda Ali pun pergilah mengantarkan rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama itu kira2 sehari perjalanan di hantarkan oleh baginda Ali itu.
Maka baginda Ali pun sujud pada kaki rasul Allaha maka sabda rasul Allaha “Hai anakku Ali ingat2 engkau pada barang suatu pekerjaan jangan engkau melalui firman Allaha dan sabdaku melainkan kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya engkau kuserahkan”. Maka baginda Ali pun memberi salam dengan takzimnya lalu baginda berjalan kembali ke negeri raja Handik dan raja Badar maka baginda rasul Allaha pun kembalilah ke Makah dan ke Madinah. Maka rasul Allaha pun masuk ke dalam kota maka sabda rasul Allaha “Hai segala rakyatku dan orang Madinah kembalilah ke rumah kamu sekelian”. Maka segala rakyat rasul Allaha pun kembalilah masing2 pulang ke rumah tangganya maka baginda rasul Allaha pun tetaplah dalam Makah dan Madinah.
Hataya maka baginda Ali pun setelah kembali daripada mengantar rasul Allaha itu maka baginda pun berjalanlah menuju negeri raja Handik. Setelah baginda sampai maka baginda Ali pun berhenti di luar kota negeri itu maka baginda Ali pun bertanya kepada orang dalam negeri itu “Siapa ada orang dalam istana raja itu” maka sembah orang itu “Tiada siapa tuanku”. Maka baginda Ali pun masuklah ia ke dalam istana raja Handik itu maka baginda Ali pun memandang kekiri dan kekanan maka baginda Ali pun tercengang2 melihat kekayaan raja Handik itu beberapa daripada emas dan perak yang terkena pada peraduan raja Handik itu lain daripada permata berbagai2 jenisnya.
Setelah itu maka baginda Ali pun turun daripada istana raja Handik itu maka baginda pergi pula kepada istana raja Badar maka baginda Ali pun naiklah ke istana raja Badar. Maka baginda Ali pun hairanlah tercengang2 pula melihat perintah istana raja Badar itu lagi dengan besarnya pula daripada istana raja Handik itu beberapa emas yang bertatahkan ratna mutu manikam yang terkena kepada istana itu. Maka ada sebuah geta di kanan istana itu seperti sebuah rumah yang besar tiangnya daripada tembaga suasa dan lantainya daripada sembuarna dan atapnya daripada kaca yang hijau bertatahkan ratna mutu manikam dan pintunya daripada zamrud yang amat hijau.
Maka dalam rumah itu ada berhala empat buah terlalu amat besar daripada emas bertatahkan ratna mutu manikam dan ada pula berhala yang lain kecil2 empat puluh ekor mengadap berhala besar itu ada yang daripada emas dan ada yang daripada suasa dan ada yang daripada perak dan lain daripada itu beberapa pula yang berbagai2 berupa2an maka sekelian berhala itu lengkap dengan segala pakaiannya. Setelah di lihat oleh baginda Ali maka saidina Ali pun mengucap syukur Al Hamada Lalaha Roba Al A’alamayana maka segala berhala itupun habis di binasakan oleh baginda Ali. Setelah itu maka baginda Ali pun tiadalah mahu duduk di istana itu maka duduklah baginda Ali di tanah dengan segala handai taulan baginda Ali.
Ehsan dari : مهدي اسلام
Sumber: Kitab raja Handik
Manuskrip British Library
No comments:
Post a Comment