Pages

Friday, 30 October 2015

Kelebihan Zikir 1V

"Seorang insan itu hendaklah dia tidak menyibukkan dirinya dengan sesuatu yang tidak bermanfaat. Jika seseorang disibukkan dengan sesuatu yang tidak memberi manfaat, itu juga tanda bahawa Allah سبحانه و تعالى berpaling daripada hamba itu."

"Kata Imam Yahya; "Apabila seorang hamba berpaling daripada Allah, Allah سبحانه و تعالى juga akan berpaling daripadanya. Apabila dia menuju kepada Allah سبحانه و تعالى, maka Allah سبحانه و تعالى juga menuju kepadanya."

"Seorang daripada Imam di masjid Ba’lawi Tarim bernama Al-Habib Hamid Umar Al-Hamid. Yang pada zamannya berlaku fitnah yang besar, persengketaan yang kuat berlaku di kota Tarim bedekatan dengan masjidnya. Orang bertanya kenapa dia tidak peduli dengan apa yang berlaku, sedangkan perkara itu berlaku di sebelah masjid kamu saja. Jawab Al-Habib, “Aku tahu tapi ianya sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadaku dalam agama, maka aku sibukkan diriku dengan solat.”

"Sabda Rasulullah ﷺ; “Daripada keindahan Islam itu, kamu meninggalkan sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada kamu.” Khususkan diri kamu dengan perkara yang membawa faedah kepada kamu."

"Maka, intipatinya jangan duduk goyang kaki tanpa mengisi masa dengan perkara yang tidak bermanfaat dalam perjalanan menuju Allah سبحانه و تعالى. Orang mukmin sejati itu berusaha menjadikan perkara yang harus sebagai sunat dengan diselitkan niat-niat agar menjadi ibadah."

"Jauhilah perkara yang sia-sia seperti fitnah dimana-mana maka kita menjaga diri kita daripada terlibat dengannya. Jika berlalu sejam daripada umur seseorang melakukan perkara yang dia tidak diciptakan yakni melakukan selain daripada ibadah. Ianya akan membuatnya menyesal berpanjangan, kerana umur ini ringkas, pendek dan singkat di atas dunia ini. Dia akan menyesal dengan masa yang tidak dijadikan modal untuk meninggikan maqamnya di sisi Allah سبحانه و تعالى."

"Di akhirat nanti dia akan menyesal berpanjangan. Jika kita tidak mampu menjadikan seluruh detik kehidupan kita sebagai ketaatan berpanjangan, sekurang-kurangnya setiap kali selesai majlis, program atau pertemuan yang baik, akhiri dengan doa khatam majlis. Tasbih kifarah atau doa. Perkara tersebut akan menjadi kifarah walaupun didalam majlis itu kita alpa kepada Allah سبحانه و تعالى."

"Orang-orang soleh menjadikan seluruh masanya ibadah kepada Allah سبحانه و تعالى dengan ibadat itu sendiri, atau memasukkan niat-niat ibadah dalam perbuatan-perbuatan yang harus. Hadis sahih Rasulullah ﷺ, daripada riwayat Bukhari dan Muslim, “Tidak duduk bersama satu kumpulan di dunia ini yang tidak menyebut nama Allah سبحانه و تعالى melainkan di hari akhirat nanti mereka akan menyesal kerana melalui hari-hari di dunia dengan tidak zikrullah.”

"Hadis riwayat At-Tabrani, “Tiada yang sesuatu yang disesali oleh ahli-ahli syurga melainkan masa-masa di dunia ini tanpa tidak diisi dengan zikrullah.” Ulama mengatakan penyesalan tersebut setelah dimasukkan ke syurga. Bukan sebelum masuk syurga, tetapi setelah melihat maqam-maqam tingkat-tingkat dalam syurga."

"Mereka menyesal setelah melihat hanya kerana satu “Subhanallah”, seseorang boleh mendapat maqam yang jauh lebih tinggi, dia akan menyesal dan menyesal. Mereka menyesal tetapi kemudiannya Allah سبحانه و تعالى akan memberi keredhaan-Nya, maka gembiralah di hati mereka, dan takkan ada perasaan hasad di hati mereka. Demikian kita memanafaatkan masa kita dengan perkara yang berfaedah. Tidak menyibukkan diri dengan perkara yang sia-sia."

Daripada Al-Habib Kadzim Bin Ja’afar As-seggaf.

No comments:

Post a Comment