"Seseorang yang membicarakan ilmu agama, atau seseorang yang menyebarkan sesuatu ilmu, maka dia perlu tahu ilmu tersebut, dia perlu tahu Guru yang menyampaikan ilmu tersebut, dan dia juga perlu tahu daripada Guru kepada Guru nya yang menyampaikan ilmu tersebut."
"Maka ilmu ini dipanggil ilmu bersanad, ilmu yang bersambung sehingga kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ilmu tanpa sanad maka ilmu itu tidak lengkap, ilmu itu akan ada cacatnya, dan dia akan mudah menghukum orang lain sesat, syirik, bid'ah, palsu dan sebagainya. Maka perhatikanlah pada siapa kita mencedok ilmu tersebut. Mestilah ahlinya, orang yang bertauliah."
"Tanpa sanad, manusia boleh bercakap mengikut pendapatnya. Pendapatnya juga boleh jadi salah. Boleh jadi dengan hawa nafsu. Dan Kita mendapati ramai orang jahil mengaku mengikut Al-Qur’an dan As-Sunnah namun salah faham terhadap Al-Qur’an dan As-Sunnah sehingga melahirkan kelompok-kelompok syaz, golongan pinggiran dan sesat lagi terkeluar daripada kelompok majoriti ulama’ Islam."
"Ini kerana tidak memiliki manhaj Sahih dalam memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Antara kelompok tersebut adalah seperti Mu’tazilah, Jabbariyyah, Qadariyyah, Syiah, Mujassimah, Hasyawiyyah dan sebagainya. Jadi, bukan semua orang yang mengaku mengikut Al-Qur’an dan As-Sunnah sebenarnya memahami kedua-duanya dengan kefahaman yang sahih menerusi manhaj yang sahih."
"Ini perlu difahami agar kita tidak tertipu dengan sebahagian Zahiriyyah yang mengaku mengikut nas-nas Al-Qur’an dan Hadith secara zahir sedangkan kefahaman mereka telah tersasar dari kefahaman sebenar. Saidina Ibn Umar r.a. berkata: “Ilmu itu adalah agama dan solat itu adalah agama. Maka, lihatlah dari mana kamu mengambil ilmu ini dan bagaimana kamu solat dengan solat ini kerana kamu akan dipertanyakan di hari Akhirat” (Riwayat Imam Ad-Dailami)."
"Perkataan Saidina Ibn Umar r.a. ini menunjukkan kepentingan Sanad keilmuan secara umum samada dari sudut Riwayah mahupun Dirayah. Adapun budaya mendalami ilmu-ilmu agama dengan bergurukan buku semata-mata, tanpa bertalaqqi yakni bertemu dengan para ulama’ muktabar, mereka adalah terpisah daripada keilmuan islam yang asal."
"Dan untuk mengambil kefahaman ilmu-ilmu agama, atau sekadar merujuk beberapa individu yang berbicara tentang agama tanpa latar belakang keilmuan Sanad keilmuan yang jelas, apatah lagi memiliki Ijazah Tadris yakni izin mengajar daripada mana-mana ulama’ muktabar, maka mereka akan terpisah daripada tradisi keilmuan Islam yang asal."
"Mereka yang cuba memahami agama sekadar memperbanyakkan bahan bacaan tanpa memperbanyakkan rujukan dari kalangan para ulama’ tidak dinilai sebagai penuntut ilmu atau ahli ilmu sebagaimana dalam tradisi As-Salaf yang terdahulu."
"Sheikh Ibn Jama’ah rah berkata; “Sebesar-besar musibah adalah dengan bergurukan sahifah yakni lembaran-lembaran atau buku” [Ibn Al-Jama’ah: lapan puluh tujuh dan dinukilkan dalam Muqoddimah Syarh Al-Maqawif 1/90."
"Dan Imam Malik r.a. berkata; "ويجب ان يكون حفظه مأخوذا عن العلماء لا عن الصحف Maksudnya: “Hendaklah seseorang penuntut itu hafazannya matan hadith dan ilmu itu daripada ulama, bukan daripada Suhuf yakni lembaran. (Al-Kifayah oleh Imam Al-Khatib m/s 108)"
"Imam As-Syafi’e r.a. juga berkata; “Sesiapa yang bertafaqquh yakni cuba memahami agama melalui isi kandungan buku-buku, maka dia akan mensia-siakan hukum tersebut yakni kefahaman sebenar." (Tazkirah As-Sami’e: 87)."
"Imam Badruddin ibn Jama’ah r.a. menyimpulkan hal ini dengan berkata: وليجتهد على أن يكون الشيخ ممن له على العلوم الشرعية تمام الإطلاع، وله مع من يوثق به من مشايخ عصره كثرة بحث وطول اجتماع، لا ممن أخذ عن بطون الأوراق ولم يعرف بصحبة المشايخ الحذاق. Maksudnya: “Hendaklah seseorang penuntut ilmu itu berusaha mendapatkan Sheikh yang mana dia seorang yang menguasai ilmu-ilmu Syariah secara sempurna, yang mana dia melazimi para sheikh yang terpercaya di zamannya yang banyak mengkaji dan dia lama bersahabat dengan para ulama’, bukan berguru dengan orang yang mengambil ilmu hanya dari dada-dada kertas dan tidak pula bersahabat dengan para sheikh ulama’ yang agung.” (Tazkirah As-Sami’ wa Al-Mutakallim 1/38)"
"Di sinilah secara jelas para ulama’ mengingatkan kita agar mempelajari ilmu-ilmu agama daripada para ulama’ yang mempunyai Sanad keilmuan atau sandaran keilmuan yang jelas yang berbentuk catatan proses pembelajaran mereka dan senarai para ulama’ yang telah mereka bersahabat dengan mereka untuk mengambil ilmu."
"Kita tidak boleh mempelajari ilmu-ilmu agama daripada orang yang tidak mempunyai Sanad keilmuan yang jelas walaupun orang itu terkenal kerana banyaknya pengikut dari kalangan orang-orang jahil bukanlah ukuran keilmuan seseorang guru yang mengajar, tetapi Sanad keilmuannyalah yang menjadi ukuran terutamanya dari sudut Dirayah."
"Imam Ibn Abi Hatim Al-Razi rah meriwayatkan, dengan sanadnya kepada Abdullah bin 'Aun bahawasanya beliau berkata: لا يؤخذ هذا العلم إلا عمن شهد له بالطلب Maksudnya:” Tidak boleh diambil ilmu ini yakni ilmu hadith dan ilmu agama melainkan daripada orang yang telah diakui pernah menuntut sebelum itu, dan pernah meriwayatkan ilmu dari gurunya secara bersanad juga yakni bertauliah." (Al-Jarh Wa At-Ta'dil 1/ 28)."
"Makanya, ilmu-ilmu agama dikembangkan melalui para ulama’ Ar-Rijal, dan bukan melalui lembaran-lembaran, tanpa mempelajarinya secara talaqqi daripada para ulama’ yang mempunyai sanad keilmuan mereka yang jelas."
"Seseorang perlu tahu Guru yang menyampaikan ilmu tersebut, dan dia juga perlu tahu Guru kepada Guru nya yang menyampaikan ilmu tersebut. Maka ilmu ini dipanggil ilmu bersanad, ilmu yang bersambung sehingga kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ilmu tanpa sanad maka ilmu itu tidak lengkap, ilmu itu akan ada cacatnya, dan dia akan mudah menghukum orang lain sesat, syirik, bid'ah, palsu dan sebagainya. Maka perhatikanlah pada siapa kita mengambil ilmu tersebut."
Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.
No comments:
Post a Comment