Pages

Sunday, 18 October 2015

Perang Khaibar V dalam kitab Jawi.

Al kisah datanglah hikayat nabi Allaha di pulau Khaibar itu mendapatkan segala sahabatnya maka hairanlah sekelian laskar Arab dan orang Khaibar melihat kemuliaan nabi Allaha itu. Arakian maka nabi Allaha pun kembalilah ke benua Khaibar maka sepanjang jalan itu tiada berputusan segala orang membawa persembahan daripada nikmat pelbagai2. Setelah hampirlah ke mahligai itu maka Siti Sejarat pun datang mengalukan nabi Allaha.

Arakian A’bada Al Malik pun berdatang sembah “Ya nabi Allaha mahukah tuan hamba berburu pada tempat raja kami berburu itu kerana di sana amat banyak perburuan” maka sabda nabi Allaha “Mahu aku pergi jika kamu bawa”. Maka kata A’bada Al Malik “Jika demikian yang di perhamba bermohonlah pergi dahulu memberi tahu segala yang di sana menyuruh berlengkap kelengkapan perburuan itu daripada anjing perburuan” maka sabda nabi Allaha “Pergilah engkau”. Arakian maka berkata pula Siti Sejarat kepada nabi Allaha “Akan isi mahligai ini hendak hamba bawa mengadap nabi Allaha” maka sabda nabi Allaha “Bawalah olehmu” maka Siti Sejarat pun pergilah mengimpunkan segala mereka itu kesana kemari ada yang kerumah ibubapanya ada yang kepada rumah saudaranya dan keluarganya.

Maka tersebutlah perkataan seorang menteri raja Khaibar itu bernama Halman Sair akan saudara ibunya seorang perempuan di ambil raja Khaibar akan gundiknya. Maka akan Halman Sair itu asalnya menteri raja Khaibar itu juga ia pun daripada jenis orang Habsyi dan sangat bahananya Halman Sair itu ubatan dan berseteru ia dengan Fawadho Al Kabir itu dan bapa sama bapanya dan datang kepada anak anaknya pun ngeranlah hatinya melihat menteri Fawadho Al Kabir itu di hormat kepada rasul Allaha itu maka iapun mencari upaya.

Maka di perbuatnya suatu hikmat daripada hubatan maka di ambilnya akar kayu yang menurus ke dalam bumi dan kuku burung yang membawa dengan kakinya dan bulu cerpelai dan otak gonggong dan kuku helang laut. Maka di bakarnya sekelian itu di perhabunya dan berapa pula pelbagai ramuan di keluarnya dari dalam kitab Lukman Al Hakim di suratnya pada daun buluh perindu. Maka itupun di perhabunya juga maka di bubuhnya dalam minyak lemak burung Siwah. Maka di campurnya bau bauan serta di jaganya dengan serta tapanya maka minyak itupun bernyala kelakuannya.

Maka di cubanya kepada seekor burung percita kerana burung itu pada setahun tiga hari juga ia berkasih kasihan jantannya dengan betinanya. Kemudian daripada itu bencilah masing2 mencari makan sana sini jikalau ia bertemu barang di mana keduanya masing2 lari jikalau terserempak lalu berpatuk. Maka di cubalah Halman Sair kepada seekor burung percita jantan maka di tambatkan kepada sepohon kayu maka di pekenakannya minyak itu sedikit pada muka burung percita jantan itu.

Seketika lagi maka lalulah kawan percita sekelian betina semata2 kerana belum lagi musimnya berkasih kasihan dengan jantan itu. Maka dalam antara burung banyak itupun datanglah mendapatkan percita jantan itu yang lain itu terbanglah lalu maka seekor burung itu menggerakkan dirinya tiada lagi mahunya burung itu di sana. Setelah di lihat oleh Halman Sair wasillah hikmat itu maka sukacitalah ia.

Setelah datanglah Siti Sejarat mengimpunkan segala isi istana raja Khaibar itu maka minyak itupun segera di sapunya kepada muka saudaranya dan di berinya memakai. Maka ia berkata pada saudaranya “Hai saudaraku jikalau engkau di peristerikan rasul Allaha akan dikau jangan kerana engkau lupakan daku dan aku meminta kepadamu menteri Fawadho Al Kabir itu akan hambaku”. Maka Bentayu pun berkenanlah kata saudaranya itu maka pergilah ia mendapatkan Siti Sejarat. Maka kata Halman Sair kepada ibunya “Baik juga tuan hamba pergi serta dengan saudara hamba”.

Maka Kukam Habsyi itupun pergilah bertongkat kepada kedua belah tangan dan berkain beruji hitam yang halus seperti tanggal kerana ibu Bentayu itu tuhalah tujuh ratus tahun umurnya dan giginya pun sudah tanggal sebilah juga di hadapan lagi ada dan rambutnya pun bertampal2 juga tinggal setengah hitam setengah putih dan telinganya pun tulilah tiada mendengar dan kelopak matanya pun jatuhlah maka jadi kecillah matanya dan budi bicaranya angarlah dan belakangnya bongkok tigalah dan badannya pun dhoiflah.

Telah berhimpunlah segala isi istana raja Khaibar itu maka di bawa Siti Sejaratlah mengadap rasul Allaha serta dengan anak isterinya. Maka rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama duduklah hadir dengan segala sahabat maka kelihatanlah datang Siti Sejarat membawa segala mereka itu ke hadapan rasul Allaha. Maka sabda rasul Allaha “Hai Siti Sejarat katakan pada segala mereka itu bahawa segala sahabatku ini ia masing2 hendak berkata padanya Siti Sejarat seorang sepatah. Adakah akan mahu mereka itu mendengarkan dia” maka oleh Siti Sejarat di katakanlah pada mereka itu bahawa segala sahabat di sampaikannya seperti sabda nabi Allaha itu. Maka sahut segala isi istana raja Khaibar “Katakanlah yang mana hendak katakan itu katalah supaya kami dengarkan” maka di persembahkan Siti Sejarat kepada rasul Allaha.

Setelah rasul Allaha mendengar sembah Siti Sejarat maka segala sahabat pun masing2 melihat mana yang berkenan kepada hatinya. Maka Omar Maa’da Karoba pun terpandanglah kepada muka Bentayu maka kata Omar Maa’da Karoba pun berahilah tiada tertahan lagi. Maka iapun berkata “Ya nabi Allaha akan perempuan itu hamba pohonkanlah seraya di tunjukkan” maka sabda rasul Allaha “Apa engkau katakan kepada aku tanyalah ikrarnya”. Maka Omar Maa’da Karoba pun berkata kepada Siti Sejarat menyuruh bertanyakan ikrar Bentayu maka kata Bentayu “Betapa periku mengambil dia kerana ia seumpama nenekku” maka kata Omar Maa’da Karoba “Hai sayada salah sekali katamu itu. Engkau aku ambil isteriku engkau tuha siapa pula mencarikan harta kita yang di rumahku itu. Maka sekarang engkau tua kalau muda maka segala hartaku kuserahkanlah ke bawah khadam tuan hamba”.

Maka Bentayu pun menangis mengempaskan dirinya di hadapan majlis itu maka Omar Maa’da Karoba pun tiada tertahan lagi hatinya suatupun tiada khabarkan dirinya maka iapun berbangkit hendak mendukung Bentayu. Maka segala khalayak pun hairanlah memandang kelakuan Omar Maa’da Karoba itu maka baharu sebelah tangan Bentayu di pegang Omar Maa’da Karoba maka iapun datang memeluk mencium anaknya seraya katanya “Wah celakaku” maka Bentayu di dukung Omar Maa’da Karoba di bawa pulang ke khemahnya serta di nikahkan oranglah.

Maka ibu Bentayu pun tinggal menangis seperti kanak2 dan memukul2 kepalanya serta di hantukkannya kepada segenap kayu. Adapun akan minyak di muka anaknya itu sudah terkenalah kepada muka Kukam maka Zubir pun terlihatlah kepada muka Kukam itu tiadalah tertahan hatinya lagi lalu ia menyembah kepada rasul Allaha katanya “Ya nabi Allaha akan Kukam perempuan itu hamba pohonkanlah akan hambamu”. Maka sabda rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama “Hai Zubir betapakah datang hatimu hendak mengambil akan dia akan isterimu kerana ia orang tuha umpama ibubapa kepada kamu”.

Maka sembah Zubir “Ya nabi Allaha jikalau apa sabda sekalipun terjunjunglah ke atas kepala hamba akan perempuan itu hamba mohonkan juga kerana tiada tertahan hati hambamu berahi akan dia”. Maka lalu bangkit pergi mendukungkan Kukam di bawanya kembali kepada khemahnya maka segala khalayak yang banyak pun hairanlah melihat akan kelakuannya Zubir itu. Setengah ia tertawa gelak2 kemati matian tiada khabarkan dirinya maka Kukam pun menangis berteriak katanya “Hai cucuku pekerjaan apa engkau kerjakan ini. Jikalau engkau hendak beristeri ada seorang anak saudaraku terlalu baik parasnya maka ambillah akan dikau”.
Maka kata Zubir “Kata apa tuan hamba katakan. Adakah orang yang lebih baik paras daripada tuan hamba ini kepada hatiku janganlah di beri Allaha aku menjamah tubuh orang yang lain. Jikalau bidadari sekalipun tiadalah apa gunanya kepada aku melainkan tuanlah nyawaku”. Maka Kukam itupun kata Zubir tiada di dengarnya akan orang tuha itu sangatlah letihnya dan sendi tulangnya pun terketar2. Maka lalu di dukungnya Zubir masuk ke dalam khemahnya serta di selesaikan rambut Kukam itu dan buanganya tahi matanya. Maka kata Zubir “Hai tuan hamba marilah tuan mandi kerana tuan baharu masuk agama Asalama” maka di dukungnya bawa pergi mandi.

Setelah sudah mandi lalu di berinya berkain baharu maka orang tua itu pun kesejukanlah maka Zubir pun datanglah membujuk isterinya seraya berbagai2 bunyi katanya. Setelah jauh malam Zubir pun mengantuk lalu tidur di sisi isterinya maka Kukam pun daripada sangatlah dukacitanya dan tubuhnya pun amat sakit sebab di kulah akulahnya oleh Zubir dan sangatlah ia mengempaskan dirinya itu maka Kukam pun matilah.

Setelah hari siang maka Zubir pun terkejutlah di lihatnya hari sudah tengah hari maka iapun segera berbangkit seraya berkata2 “Malunya aku akan jamu baharu datang hari sudah tinggi nasi belum masak”. Maka di ambilnya Kukam hendak di ribanya maka di lihatnya Kukam sudah mati maka iapun mengharap menangis serta mengguling2kan dirinya seperti kelakuan orang gila sesaat tertawa sesaat menangis serta di ciumnya dan di pegangnya mayat itu lalu di tanggungnya di bawanya berjalan keluar khemahnya.

Maka segala orang banyak pun datang berlari2 di sana sini datang melihat kelakuan Zubir itu semuanya tertawa seperti kematian parau dengan suaranya maka Zubir pun berjalanlah di tengah medan itu mendukung mayat Kukam itu seorang itupun tiada di khabarkan melainkan dengan tangis juga ia. Setelah hari pun petang maka mayat Kukam itu di letakka Zubir maka mayat itu pun bongkoklah maka kata Zubir “Sungguhlah engkau orang baik paras sungguh pun mati makin bertambah pula baik rupamu” maka Omar Maa’da Karoba pun kasihan melihat isterinya menangis akan ibunya.

Maka Omar Maa’da Karoba pun pergi mendapatkan Zubir maka katanya “Hai Zubir apa kesudahan engkau demikian ini”. “Manalah dapat hamba bercerai dengan dia biarlah ku mati bersama2 dengan dia” maka Omar Maa’da Karoba pun kembali kepada isterinya. Maka warta itupun kedengaranlah kepada Halman Sair maka iapun menyesal dirinya tiada berguna lagi. Bermulakan Zubir itu tiga hari tiga malam tiada makan dan tiada minum duduk seperti orang gila. Seketika mayat itu di tanggung seketika di kelek seketika di letakkanya seketika di dukungnya seketika di junjungnya dan di peluk di cium maka mayat itupun busuk hampir akan buruk.

Maka Halman Sair pun datanglah mengadap rasul Allaha memohonkan mayat ibunya itu maka sabda rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama “Hai Halman Sair segeralah engkau ubat sahabatku kerana kamulah maka menjadi fadhilat demikian ini. Jikalau tiada segera engkau mengubat dia nescaya kusuruh penggal batang leher kamu”. Maka Halman Sair pun terlalu sangat takutnya gementarlah segala sendi dan tulangnya maka ia pun segera kembali ke rumahnya maka di perbuatnya hikmat di ramunya pertama di ramunya habu tentawar dan habu lintar dan kuku anjing mati limau di asahnya kepada batu kumah manusia dan daun sekerak di campur dengan ludah orang dan limbahan dan yang kayu belah duduk pada halilintar.

Maka di tanaknya dengan minyak air tinggal duduk di atas pelakah berhadap kepada matahari mati maka ubat itu di perbuatnya maka di jadikan suatu geliga. Maka pergilah ia mendapatkan Zubir maka ubat itu di masukkan ke dalam buluh inas maka di sapukan kepada mayat ibunya itu maka seketika lagi Zubir pun terlengalah lali sedia. Maka di lihatnya dirinya mendukung mayat yang busuk itu maka mayat itupun di hempaskannya habis patah maka iapun mengeletar seraya lari pulang ke khemahnya maka ia pun segera mandi menggosok2 tubuhnya seperti akan carik kulitnya.

Kemudian daripada itu maka kata Abu Bakar Al Shodayaqo “Ya nabi Allaha kepada bicara di perhamba baik juga segala perempuan itu di suruh bawa pulang dahulu kerana kita ini di dalam perang lagi ada di sini besar gundahnya”. Maka sabda rasul Allaha “Jikalau demikian Osmanlah kita suruh pergi ke Madinah membawa perempuan itu” maka Osman pun berlengkaplah. Maka pada keesokkan hari maka baginda Osman pun berjalanlah ke Madinah membawa puteri Shofiah berkenderaan dan berkelambu di iringkan segala dayang2 dan segala perempuan yang lain. Maka Omar Maa’da Karoba pun bermohon kepada rasul Allaha sembahnya “Hamba pun bermohonkan ke Madinah kerana hamba ada isteri. Setelah sudah hamba mengantarkan isteri hamba datang pula mengunjung khadam tuan hamba” maka nabi Allaha pun membenarkan ia pulang itu.

Setelah itu maka rasul Allaha pun menyuruh membuka perbendaharaan raja Khaibar itu memberikan anugerahkan segala anak isteri raja Khaibar maka masing2 mereka itupun kembalilah kepada tempatnya. Maka akan harta yang amat banyak di tinggal lagi di bahagi pula oleh rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama sepuluh bahagi orang Khaibar yang masuk Asalamaa dan sebahagi di berikan menteri Fawadho Al Kabir di suruh berbaiki kota Khaibar mana yang sudah binasa di suruh baik seperti dahulu kala itu dan sebahagi lagi di anugerahkan kepada laskar Arab sebahagi di tinggalkan di dalam perbendaharaan itu dan yang enam bahagi itu di suruh nabi Allaha bawa ke Madinah maka baginda Osman pun berjalanlah ke Madinah. Setelah sampai ke benua Madinah maka baginda Osman pun masuklah ia ke dalam kota Madinah.

Maka tersebutlah perkataan nabi Allaha di bawa A’bada Al Malik berburu dan peri mengatakan nabi Allaha mengambil surat raja Jamsyah yang di taruhnya dalam batu hitam besarnya seperti seekor gajah kerana raja Jamsyah itu beroleh surat pada kitab habatan juga kerana yang membubuh surat pada kitab habatan itu nabi Sulaiman A’layaha Al Salama supaya jangan di perkenakan orang kitab itu. Setelah raja Jamsyah beroleh kitab habatan itu maka sangatlah ia berkehendak berbuat habatan supaya segala harimau di dalam hutan menjadi jinak dapatlah jadi kenderaan dia. Maka habatan itu tiada hasil sebab di surat yang di surat nabi Allaha Sulaiman ia batu Daud A’layaha Al Salama.

Maka yang di jadikan itu bertemu pula maka raja Jamsyah pun hairan maka di carik2kannya maka bertemu pula maka di suruh buang ke laut itupun datang juga maka di bakarnya itupun datang juga tiada hangus. Maka raja Jamsyah pun dukacitalah ujar hasratnya tiada sampai beberapa lamanya dalam dukacitanya itu maka pada suatu hari malamlah maka Iblis pun datang kepadanya dalam mimpinya merupakan dirinya seperti moyang raja Jamsyah. Maka katanya “Hai cucuku jikalau engkau hendak menceraikan surat itu daripada kitab itu perbuat olehmu batu seperti hablur. Maka batu itu pahatkan empat namanya Abu Bakar Omar Osman Ali maka taruhlah surat itu kepada batu itu maka rapatkan seperti dahulu itu”.

Telah raja Jamsyah jaga daripada tidurnya maka di himpunkannya utas dan seri mala maka di belahnya batu itu. Setelah belah dua maka di perbuatnya berangkai di dalam batu itu maka di bubuhkannyalah surat itu ke dalam batu itu di rapatkannya pula seperti dahulu. Maka di bubuhnya berapa hikmat kepada batu itu maka batu itupun tiada lagi di makan besi. Maka pada zaman nenek moyang raja Khaibar beberapa hendak mengambil surat itu tiada dapat di ambilnya dan peri mengatakan tatkala patah perangnya kafir itu oleh Amir Al Mukminin Ali dan peri mengatakan tatkala nabi Allaha kembali ke Madinah dan peri mengatakan tatkala Amir Al Mukminin Ali di tinggal nabi Allaha akan memerang kafir itu.

Al kisah maka tersebutlah perkataan A’bada Al Malik pergi memberi tahu orang kepada tempat perburuan itu. Setelah lengkaplah kelengkapan perburuan itu maka A’bada Al Malik pun kembalilah mengadap rasul Allaha maka di persembahkan A’bada Al Malik segala kelengkapan perburuan itu sudah hadirlah. Maka rasul Allaha pun pergilah bersama2 dengan A’bada Al Malik dan segala sahabat sekalian. Adapun akan Omar di tinggalkan oleh rasul Allaha menunggu mahligai dengan segala laskarnya maka rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama pun berjalanlah sepanjang jalan itu rumah orang dan dusun tiada berputusan.

Setelah sampailah kesana maka datanglah orang yang menunggu istana raja Khaibar itu dan segala orang yang tahu berburu itupun mengalukan nabi Allaha. Maka sekelian di suruhkan nabi Allaha masuk agama Asalama maka sekeliannya pun ikrarlah masuk Asalama maka rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama pun termasalah bermain2 di sana di bawa oleh A’bada Al Malik. Di mana tempat yang ajaib2 dan yang indah2 di tunjukkannya akan hikayat surat dalam batu di taruhkan raja Khaibar itupun di persembahkannya oleh A’bada Al Malik kepada rasul Allaha maka sabda rasul Allaha “Marilah kita pergi ke sana”.

Setelah sampailah kepada tempat batu itu maka sabda rasul Allaha kepada A’bada Al Malik “Belahlah batu itu” maka oleh A’bada Al Malik di himpunkan seri mala dan utas maka di belahnya batu itu. Berapa muslihat patahlah pahat berganti2 pahat patah baja berganti baja sedikit pun berbekas maka hairanlah segala laskar Arab. Maka oleh nabi Allaha di ambilnya lilin tiga keti di tambangkan maka di bacakan nabi Allaha berapa puluh asma Allaha maka di tampalkan berkeliling batu itu maka di suruh nai Allaha kalau tiada ratakan kena lilin itu.

Setelah sudah di tampalkan rasul Allaha kepada batu itu maka dengan takdir Allaha dengan berkat mukjizat rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama maka batu itupun belahlah sendirinya. Maka dapatlah surat itu maka di baca Amir Al Mukminin Ali dalam surat itu Ashahada Ana Laa Alaha Alaa Allaha Mahamada Rosawala Allaha maka segala orang Khaibar pun hairanlah akan kalimah shahadat itu dan bertambah2lah yakin mereka itu. Maka rasul Allaha pun banyak beroleh perburuan berbagai2 jenis maka di suruh nabi Allaha hantarkan ke benua Khaibar dan akan segala sahabat yang tinggal di benua Khaibar dan akan segala orang besar2 di benua Khaibar itu. Maka sabda nabi Allaha kepada baginda Ali “Pergilah engkau membawa perburuan itu ke dalam kota Khaibar” maka Ali pun pergilah bersama2 dengan orang membawa perburuan yang amat banyak itu.

Maka tersebutlah perkataan Bahsad dan Lamaa’t dan Tefaa’t yang di bandar Makmur itu setelah di dengarnya nabi Allaha tiada dalam benua Khaibar maka iapun mengimpunkan segala hulubalang dan laskar dan di kelilingnya kota Khaibar itu maka oleh segala Asalama di lawannya berperang di dalam kota. Arakian maka Ali pun datanglah maka di lihatnya kafir banyak mengepung kota Khaibar itu maka baginda Ali pun bertempik lalu mengunuskan pedangnya menyerbukan dirinya ke dalam kafir itu. Setelah segala kafir mendengar suara Ali itu maka hatinya pun tiada tertahan maka lalu larilah ia maka di perikut oleh baginda Ali ke bandar Makmur.

Setelah di dengar rasul Allaha tempik baginda Ali maka nabi Allaha pun dengan segala sahabat segeralah datang menolong Amir Al Mukminin Ali. Akan segala kafir yang lari dengan Bahsad itupun setengah juga perang yang lain habis lari setengah pada ketika itu juga lepas menyeberang laut Kalbuk. Akan dua orang menteri itu yang banyak tiada sempat lari lagi sebab daripada dhorab tempuh baginda Ali itu maka segala kafir pun berseru2 minta aman. Maka kata baginda Ali “Tiada kamu peroleh aman jikalau belum engkau membawa iman” maka daripada sangat darurat segala kafir itupun ikrarlah membawa iman. Maka sekelian di bawa baginda Ali mengadap nabi Allaha maka sabda nabi Allaha “Masuklah ke dalam kota Khaibar”.

Maka di suruh nabi Allaha palu mangmang berkeliling negeri Khaibar itu mengatakan “Siapa kau redha dan tiada redha bahawa akan menteri Fawadho Al Kabir itu di jadikan nabi Allaha akan raja di dalam negeri Khaibar ini”. Maka sekelian orang Khaibar pun redhalah menjunjung sabda rasul Allaha itu akan menteri Fawadho Al Kabir itupun di ubah namanya Fawadho Al Nasihat maka di arak berkeliling negeri Khaibar maka di serahkanlah segala mahligai dan perbendaharaan itu.

Maka nabi Allaha pun mengajar Fawadho Al Nasihat dengan kata yang mulia2 maka di beri nabi Allaha gelaran akan dia Sultan Adil Khalifah Al Mukminin. Maka Sultan Adil Khalifah Al Mukminin pun menyembah sujud di bawah khadam rasul Allaha. Maka nabi Allaha pun kepada hari yang baik maka rasul Allaha pun kembalilah ke Madinah dengan kemenangan serta mengucap syukur kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya. Adapun akan baginda Ali di tinggalkan rasul Allaha akan menyeberangkan segala pulau di laut Kalbuk itu dan pada negeri yang di seberang laut Kalbuk itu berapa negeri yang besar2 di sana daripada negeri yang takluk kepada raja Khaibar juga maka baginda Ali pun berjalan ke bandar Makmur dengan tiada berkenderaan.

Adapun akan nabi Allaha berjalan setelah sampailah ke negeri Madinah maka masuklah ke dalam kota Madinah. Setelah berapa hari antaranya maka segala harta yang di bawa baginda Osman enam bahagi itupun akan sebahagi di suruh rasul Allaha baiki akan kota Madinah dan sebahagi di suruh rasul Allaha baiki akan Judah dan perbaiki akan segala kubur dagang dan akan sebahagi di anugerahkan segala orang yang tinggal di benua Madinah dan perbaik akan segala kubah anbia dan aulia yang dua bahagi itu di berikan hak Allaha akan segala fakir dan miskin dan orang kesakitan.

Tersebutlah perkataan Amir Al Mukminin baginda Ali berjalanlah setelah sampai ke tepi laut Kalbuk maka ia mencari tumpangan akan menyeberang sebuah perahu pun tiada. Maka lalu di kerat2 baginda Ali pedangnya kayu yang berbuah2 itu di jadikan suatu rakit dan di buatnya suatu pangayuh maka di kayuhnya keseberang sana laut Kalbuk itu berapa kalinya maka sampailah ke seberang sana. Maka baginda Ali pun naik berjalan maka di lihatnya oleh baginda Ali suatu pulau negeri dan kampong pun tiada.

Maka baginda Ali pun berjalan menurut pantai laut itu pada pasirnya putih hempasan ombak itu dan di naungi oleh dahan pandan. Beberapa lamanya ia berjalan maka bertemu dengan seorang orang tuha nelayan duduk mengail di tepi laut itu maka Amir Al Mukminin baginda Ali pun berdiri di balik sebuah batu. Maka isteri orang tuha itupun datang memanggil suaminya “Marilah kita segera kembali mengiringkan raja kerana sebab gurunya itu hendak pulang kerana bunyinya itupun kedengaranlah hampir dusun kita” maka nelayan itupun segeralah ia kembali dengan isterinya.

Maka baginda Ali pun mengikut dari belakang perlahan2 maka mereka itu pun masuklah ke dalam tentera raja yang banyak itu maka baginda Ali pun bertanya pada laskar itu “Siapa yang di permulia raja ini” maka kata orang itu “Inilah guru raja Khaibar yang bernama Hawan itu datang ia kemari ini oleh sebab Mahamada maka ia lari kemari ini”. Setelah di dengar baginda Ali kata orang itu maka saidina Ali pun berjalanlah dahulu maka lalu ia naik ke atas pohon kayu di tengah jalan itu. Setelah lalu keretanya Hawan itu dan berhalanya itu maka baginda Ai pun naiklah ke atas kereta itu duduk dalam berhala yang banyak itu duduk dalam tirai kelambunya maka segala kafir itupun lalu berjalan dengan kesukaan dengan segala bunyi bunyian membawa kereta itu.

Setelah sampai ke negerinya Antaqih maka kereta itupun di hantarkan oleh oranglah pada padang yang maha luas maka berhimpunlah segala kafir itu mengadap Hawan dan berhalanya itu dengan makan dan minum dengan segala permainan. Maka raja Antaqih pun duduklah mengadap pada pangkat yang rendah ddengan hormatnya maka Hawan pun duduklah dengan makan minum dan mengajarkan ilmunya akan raja Antaqih. Maka di lihat Bahsad datang itu maka raja Antaqih pun segera berdiri memuliakan Bahsad maka kata raja Antaqih “Apa pekerjaan tuan hamba datang kemari ini” maka sahut Bahsad “Hamba datang ini teraniaya oleh Ali segala penyuruhnya nabi Allaha maka habislah kami sekelian di peraniayakan dan raja Khaibar pun sudah di bunuhnya”.

Setelah raja Antaqih mendengar kata Bahsad itu maka iapun menghimpunkan segala rakyatnya maka katanya “Sayang sekali aku tiada di bawah duli raja Khaibar. Jikalau aku ada pada ketika itu nescaya Ali itu aku tangkap dengan hidupnya kupersembahkan kepada kepada raja itu”. Arakian maka kata Hawan “Janganlah peduli akan pekerjaan itu aku ppun sudahlah merasai akan Mahamada itu fardhulah atasku berlepaskan dia”. Maka kafir itupun berdiamlah sekelian menyembah kepada gurunya maka duduklah mereka itu makan minum menantikan waktu akan menyembah berhalanya maka haripun malamlah bulan pun pada ketika itu purnama dan segala bintang pun terbitlah.

Maka bunyi bunyian pun sangat di palunya ketika lagi bintang Zuhal pun terbitlah tatkala itu waktu mereka itu menyembah berhalanya. Maka di pasangnya dian dan bakarnya bau bauan terlalu memecah baunya maka segala kafir itu pun membaca segala puji pujian akan berhalanya. Maka Amir Al Mukminin Ali pun berseru dengan nyaring suaranya dan di putuskan telanabat ujarnya “Mengapa kamu menyembah tuhan yang lain daripada Allaha Taa’alaya” maka di ambilnya berhala itu lalu di lontarkan kepada Hawan kena pinggang Hawan. Maka pinggang Hawan pun patah maka Hawan pun terkejut hendak lari lalu jatuh di ekor unta itu ke tanah lalu mati.

Setelah Bahsad memandang baginda Ali maka Bahsad pun larilah bersungguh2 hatinya tiada lagi melihat ke belakang. Maka di perhambat oleh baginda Ali tiada dapat maka di lontar baginda Ali dengan batu kena kepalanya pecahlah maka Bahsad pun matilah. Maka baginda Ali pun masuklah ke dalam laskar kafir itu haru birulah habis pecah belah segala tempat makanannya itu maka tiadalah terlawan kafir itu akan baginda Ali. Maka sekelian minta aman maka daripada darurat di beri baginda Ali aman maka baginda Ali pun bertemu dengan raja Antaqih maka di jengkalkan baginda Ali batang leher raja Antaqih. Maka raja Antaqih pun memberi isyarat dengan tangannya sebab tiada boleh berkata2 itu ertinya hiduplah aku supaya mana katamu kuturut.

Maka di lepaskan oleh baginda Ali batang lehernya maka di suruh mengucap shahadat maka raja Antaqih berlengkap akan hendak memerangkan segala raja kafir yang besar2 daripada hampir negeri Antaqih itu. Maka kata raja Antaqih dan raja Asfahan “Janganlah tuan hamba bersusah lagi atas hambalah membawa mereka itu masuk agama Asalama dengan perlahan2 kerana mereka itu keluarga kepada hamba” maka kata baginda Ali “Jika demikian marilah perahu kelengkapan itu kita menyeberang”. Maka di bawa oranglah lima buah kelengkapan maka naiklah baginda Ali menyeberang dengan raja Antaqih dan segala orang besar2.

Setelah sampailah ke bandar Makmur maka naik mereka itu berjalan ke benua Khaibar maka lalu masuk ke dalam kota Khaibar. Maka Sultan Adil Khalifah Al Mukminin pun datanglah memuliakan baginda Ali dengan sepertinya maka kata Amir Al Mukminin “Hai Fawadho Al Nasihat akan raja Antaqih ini sudahlah ia masuk agama junjungan kita. Maka hendaklah tuan hamba berkira2 akan negeri itu suatu tuan hamba berteguh2kan janji supaya jangan berubah ubah iman dengan tuan hamba dan kekallah segala negeri yang banyak di seberang laut Kalbuk itupun di suruhkan segeralah masuk agama Asalama”.

Maka Fawadho Al Nasihat pun kabullah seperti kata baginda Ali itu maka raja Antaqih pun di tinggal baginda Ali kepada Fawadho Al Nasihat maka Amir Al Mukminin Ali pun kembalilah ke benua Madinah Daro Al Salaama mengadap rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama. Setelah sampailah baginda Ali maka baginda Ali pun berceterakan rasul Alaha segala hal ehwal itupun semuanya di persembahkan rasul Allaha maka rasul Allaha mendakap baginda Ali serta mengucap syukur ke hadrat Allaha Taa’alaya. Maka rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama pun tiap2 tahun pergi perang sabil Allaha kepada segala negeri yang tiada mahu menurut agama Asalama. Jikalau ada hal itu rasul Allaha baginda Ali pergi mendatangkan segala negeri itu maka demikianlah pekerjaannya rasul Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama.

Maka tamatlah hikayat raja Khaibar daripada permulaannya datang kesudahannya di ceterakan oleh sheikh Sanabi rohamata Allaha a’layaha. Maka katanya meminta doa pula sheikh Sanabi itu ke hadrat Allaha Taa’alaya demikian bunyinya “Yaa Alahaya dengan berkat kemuliaan nabi Mahamada Rosawala Allaha Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama barang di kurniakan kiranya rahmat dan sihat dan afiat serta berkat atas orang yang menyurat hikayat ini dan atas yang menaruh dia dan atas orang yang membaca dia dan atas orang yang mendengar dia akan hikayat ini kerana kemuliaan rasul Allaha dan kemuliaan baginda Ali ini kerana Allaha Taa’alaya kurniakan kepada rasul Allaha supaya insaf segala umat nabi Allaha yang mendengar dan yang melihat dan yang membaca dia”.

Tamatlah hikayat kepada hari Khamis barang yang salah minta maaf meminta tambah kerana hamba kurang cermat menyurat tiada banyak di hemat harapnya jengkal tiada tempat. Maka di surat pada hari Khamis Wa Kaabaro Lebai Ishak dengan Ahmad orang muda tiada pernah menyurat dia. Di salin dia di negeri Kedah jua kurang banyak tersalah mana yang tinggal tuan2 yang baca dia tambahlah barang supaya meminjam dia sudah baca pulangkan jangan di taruh merosakkan dia supaya lepas daripada bahaya dunia akhirat.

Sumber: Kitab Perang Khaibar
Manuskrip British Library

No comments:

Post a Comment