"Sentiasalah kamu ingat kepada Allah سبحانه وتعالى. Dirikanlah solat, yakni perbaikilah hubungan kamu dengan Allah, mesrakan hubungan kamu dengan Allah سبحانه و تعالى, dekatkan hubungan kamu dengan Allah, ketika susah dan senang,"
"Dan jika tertekan kembali kepada Allah سبحانه و تعالى. Jangan bergantung pada kekuatan diri kamu sendiri. Ada Tuhan yang mengawal, dan memerintah kepada kamu. Ingatlah kepada Allah سبحانه وتعالى."
"Ada Tuhan yang menjadikan musuh itu berjaya menyakiti dan menindas kamu sebagai dugaan daripada Tuhan kepada kamu. Berapa lama Firaun menindas Bani Israel? Cukup lama. Bahkan ramai yang dibunuh. Tapi adakah Allah سبحانه وتعالى perintahkan Nabi Musa عليه السلام angkat senjata kepada Firaun?"
"Tidak. Jadi apa suruhan Allah? Allah سبحانه وتعالى berfirman; “Sabarlah, kerana ini bumi milik Allah.” Disuruh sabar. Adakah Mesir itu bukan milik Allah سبحانه وتعالى? Sementara Firaun yang berkuasa di situ. Allah سبحانه وتعالى akan bagi kepada siapa saja yang Dia kehendaki, walaupun Firaun. Tapi adakah Firaun beruntung dalam hal ini?"
"Firman Allah سبحانه وتعالى; “Dan mereka yang beruntung ialah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Walaupun Firaun mentadbir dunia, tapi kalau tak bertaqwa, kerajaan yang dimilikinya itu tiada manfaat bagi dirinya. Yang baik di sisi Allah سبحانه وتعالى, walaupun tidak mentadbir bumi itu ialah bagi orang-orang yang bertaqwa."
"Kamu mahu ini dunia, ambillah kamu. Allah سبحانه وتعالى sedia memberi tapi bukan itu yang berharga disisi Allah سبحانه وتعالى. Solat adalah hubungan kita dengan Allah سبحانه و تعالى, dan zakat hubungan kita dengan manusia. Walaupun sedang dizalimi, disakiti, akan tetapi Allah perintahkan untuk perbaiki hubungan dengan Allah سبحانه و تعالى dan manusia."
"Jangan dengan dasar kamu dizalimi, segala tindakan yang salah kamu lakukan. Jangan dengan dasar kamu disakiti, segala perbuatan yang haram kamu akan langgar. Laa, Tidak. Jadilah hamba yang taat kepada Allah سبحانه وتعالى, bukan taat kepada keadaan. Orang yang menjadi hamba kepada keadaan akan berubah sikapnya bergantung kepada perubahan keadaan."
"Orang yang mudah terpengaruh dengan kondisi dan situasi akan menjadi hamba kondisi dan situasi. Bila orang buat baik, dia buat baik, tapi bila orang buat yang haram, dia buat yang haram juga. Pasal apa? Menjadi hamba kepada keadaan."
"Tapi orang yang menjadi hamba Allah سبحانه و تعالى, walau dalam keadaan apa pun suka, duka, dia akan tetap mematuhi perintah Allah سبحانه و تعالى , dan tidak akan berganjak daripada landasan yang ditetapkan Allah dan Rasul-Nya."
"Allah سبحانه و تعالى berfirman didalam Al-Quran bermaksud; “Bersegeralah meraih pemberian, keampunan Allah dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi..” Disuruh segera. Siapa mereka? Orang yang berinfaq dalam keaaan senang dan susah. Orang mudah berinfaq dalam keadaan senang tapi berat dalam keadaan susah."
"Ini untuk menunjukkan kestabilan seseorang untuk patuh pada Allah سبحانه و تعالى, ketika susah kembali kepada Allah dengan sabar, tidak menjadi hamba kepada keadaan. Keadaan menginginkan seseorang itu melakukan satu kerusuhan, ikut juga. Tapi seorang mukmin akan guna akalnya. Keadaan yang memaksa saya bertindak ini sesuai dengan Allah dengan Rasul-Nya atau tidak?"
"Bukan keadaan yang menjadi neraca buat kita! Bukan situasi yang menjadi timbangan sikap apa yang kita perlu ambil? Jika begitu, sikap kita akan berubah mengikut situasi, jika angin ke barat ke barat, angin ke Timur, ke Timur."
"Rasulullah ﷺ melarang kita menjadi Pak Turut. Yakni kalau orang baik, kita baik, kalau orang tak baik, kita ikut tak baik juga. Mesti ada prinsip, pegangan kukuh yang tidak berubah iaitu perintah Allah dan Rasul-Nya."
"Sampai peringkat fitnah yang berlaku di akhir zaman memaksa orang-orang yang berpegang pada jalan agama seumpama orang yang menggenggam bara api. Fitnah ini mencabar aqidah seseorang sehingga untuk selamat, dia perlu pergi ke hujung bandar."
"Dia perlu kehujung bandar dengan membawa kambing sebagai bekalan, dan hidup dengan meminum susu daripada kambingnya sehinggalah ajal menjemputnya. Ini demi menyelamatkan agamanya."
"Perbaikilah hubungan kamu dengan Allah سبحانه وتعالى dulu. Orang yang hatinya ada Allah سبحانه وتعالى, dia tidak risau akan keadaan sekelilingnya. Dia tidak terkesan, bila keadaan ekonomi tidak baik, dia tidak takut apa-apa pun juga, sebab dia kenal Allah."
"Dan dia ingat Allah سبحانه وتعالى. Sebab dia tahu Allah سبحانه وتعالى sentiasa bersama dengannya, tidak kira susah ataupon senang. Dia sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى. Dia tahu yang memberi segala-galanya adalah Allah سبحانه وتعالى, Allah Yang Maha Kaya. Allah Yang Maha Memberi lagi Maha Perkasa."
Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.
No comments:
Post a Comment