Pages

Thursday, 8 October 2015

Mengambil Keberkatan.

"Seseorang yang bertawassul meminta bantuan yakni meminta pertolongan dengan cara istighasah, adakah dia meyakini bahawa orang yang memberi yang ditawassul memberikan pertolongan?"

"Seseorang yang bertawassul daripada awal dia sudah tahu bahawa yang diminta itu juga adalah makhluk Allah سبحانه وتعالى. Apa yang ada konsep tawassul itu? Konsep tawassul yang memberi, yang mengurniakan secara hakiki adalah Allah."

"Tetapi kadangkala manusia ini amalan kita ada cacatnya sana-sini, taqarrub kita juga lemah kepada Allah. Maka berdasarkan sangka baik kita kepada hamba Allah yang Soleh, rekod Istiqamahnya, berpegang teguh dengan sunnah Allah, sunnah Nabi, berpegang teguh dengan Kitabullah, maka dia ini seorang yang Soleh, seorang yang hampir dengan Allah, maka kita minta tawassul itu minta daripada Allah."

"Maka pengabulannya adalah lebih hampir, pengabulannya lebih kuat. Tawassul ini telah dijalankan dahulu oleh para sahabat رضي الله عنهم. Saidina Umar al-Khattab dalam sebuah hadith soheh, hadith Bukhari yang menyatakan bahawa ketika kemarau panjang di Madinah, Saidina Umar memanggil Saidina Abbas dan bertawassul dengan ahlul-bait Nabi ﷺ."

"Dengan keberkatan Saidina Abbas, dengan keberkatan ahlul-bait Nabi, apabila habis sahaja doa, riwayat hadith menyatakan, Allah menurunkan hujan. Dan mereka faham bukan Saidina Abbas yang memberikan, Allah yang memberikan hujan."

"Kenapa Saidina Umar Al-Khattab bertawassul dengan Saidina Abbas? Kerana Abbas hampir dari segi darah dengan Nabi. Kalau kita pergi 'straight' kepada Allah kita tak jumpa jalan, maka kita sesat. Jadi, ada pintu masuk yang kita patut lalu, lorong yang patut kita lalu, untuk menuju kepada Allah."

"Ketika Nabi Adam عليه السلام diturunkan oleh Allah سبحانه وتعالى daripada syurga ke dunia ini. Nabi Adam telah memohon taubat daripada Allah سبحانه وتعالى, memohon taubah meminta istighfar keampunan daripada Allah سبحانه وتعالى, tetapi jawapan-Nya tak kunjung tiba kepada Nabi Adam  sehingga pada suatu hari datang ilham kepada diri Nabi Adam Sehingga beliau berdoa kepada Allah سبحانه وتعالى; "Ya Allah, dengan keberkatan Muhammad, ampunkanlah aku."

"Maka Allah سبحانه وتعالى bertanya kepada Nabi Adam عليه السلام; "Wahai Adam, dari mana engkau mengenali tentang Muhammad sedangkan dia belum lahir lagi di dunia ini." Maka Nabi Adam mengatakan; "Ya Allah, ketika aku berada di syurga dan aku telah mendongak ke langit, dan aku melihat di atas arash-Mu tertulis kalimah 'Laailaha illallah Muhammadur Rasulullah'."

"Maka sejak itu wahai Allah, aku telah yakin bahawa tiada makhluk yang paling mulia, tiada makhluk yang paling afdal, tiada makhkuk yang lebih baik daripada namanya yang bercantum dengan nama-Mu di atas arash-Mu yang mulia. Namanya yang digandingkan dengan nama-Mu di atas arash 'Laailaha illallah Muhammadur Rasulullah' " Muhammadur Rasulullah tidak boleh dipisahkan pada Laailaha illallah. Kerana ini adalah orang yang paling dicintai, makhluk yang paling afdal secara itlak Nabi Muhammad ﷺ."

"Nabi Adam عليه السلام mengambil keberkatan Nabi Muhammad ﷺ Bukankah ini bertawassul? Dan hadis yang lain menyatakan bahawa, "Kunci kepada Jannah adalah Muhammad, Rasulullah ﷺ." Dan Yang mula-mula membuka pintu Jannah adalah Nabi Muhammad ﷺ. Tidak ada siapa yang boleh mengetuk pintu Jannah untuk seluruh manusia untuk masuk kedalamnya kecuali Nabi Muhammad ﷺ."

"Tiada siapa yang mendahului masuk kedalam syurga sebelum Nabi Muhammad ﷺ. Orang yang pertama yang diberi keizinan oleh Allah سبحانه وتعالى untuk memberi syafaat, syafaat yang gempar dijanjikan kepada Nabi Muhammad ﷺ, yang syafaatnya bukan meliputi umatnya tetapi seluruh umat manusia dari zaman Nabi Adam, Sehingga umat yang terakhir."

"Dimana syafaat kubro yakni syafaat yang besar dimiliki oleh Nabi Muhammad ﷺ. Dihari kiamat nanti, dimana manusia didalam ketakutan. Dan semua nabi-nabi tidak berani menghadap Allah سبحانه وتعالى kecuali Nabi Muhammad ﷺ. Ketika itu, dihari kiamat kenapa tidak meminta keampunan direct dengan Allah سبحانه وتعالى?"

"Tidak boleh. Kerana apa? Kerana ada pintunya. Dan pintunya adalah Nabi yang dicintai oleh Allah سبحانه وتعالى iaitu Nabi Muhammad ﷺ. Ada sesetengah orang mengatakan, tawassul ini tidak boleh. Dengan keberkatan Nabi. Kita memohon syafaat daripada Nabi Muhammad ketika itu dihari kiamat. Bukankah ini bertawassul?

"Dan mana mungkin jika mengharapkan syafaat Rasulullah ﷺ tetapi tidak mencintai baginda. Tidak mengikuti sunnah rasulullah ﷺ. Jika seseorang cintanya kepada Allah سبحانه وتعالى, tetapi cinta kepada Rasulullah tidak meningkat, dia tak rasa cinta kepada Rasulullah."

"Maka cintanya kepada Allah itu bukan cinta yang hakiki. Begitu juga dengan cinta kepada Nabi Muhammad ﷺ, jika cinta kepada Nabi Muhammad ﷺ naik, tetapi cinta kepada Allah سبحانه وتعالى tidak naik, maka cintanya masih palsu."

"Kerana cinta yang hakiki kepada Allah سبحانه وتعالى ataupun kepada Rasulullah ﷺ, apabila satu naik, yang lain akan ikut sama sekali. Tidak mungkin seseorang itu kerana cinta kepada Rasulullah ﷺ menyebabkan cinta kepada Allah سبحانه وتعالى menurun, kecuali kalau cintanya palsu."

"Tidak mungkin seseorang itu cintanya kepada Allah سبحانه وتعالى terlalu meningkat dan menyebabkan cintanya kepada Rasulullah ﷺ berkurang. Tidak mungkin berlaku. Kecuali kalau cintanya palsu. Cinta yang hakiki, apabila seseorang cintanya kepada Rasulullah ﷺ meningkat, meningkat, meningkat, maka cintanya kepada Allah سبحانه وتعالى Allah juga meningkat, bersama kecintaannya kepada Rasulullah ﷺ."

"Kita kena melalui pintu. Dan pintu tersebut ada pintunya Ulamak, pintu orang Soleh, pintunya Murobbi, pintunya Guru, pintunya Ulamak generasi sebelum kita, dan sebelumnya, sahabat, hingga pada Rasulullah ﷺ. Rasulullah adalah pintu terbesar untuk seseorang memohon kepada Allah سبحانه وتعالى. Jika tidak melalui pintu-pintu ini, maka dia boleh terpesong, dia boleh sesat jalan, tak sampai destinasi yang ingin dituju, hatinya tidak sampai kepada Allah سبحانه وتعالى."

Guru mulia Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

No comments:

Post a Comment