Di Semenanjung Malaysia, keris panjang biasanya mempunya panjang matanya antara 50 hingga 62 sentimeter.
Di zaman dahulu dengan keris panjang inilah kerja " menyalang " dilakukan. Apabila ia dilakukan untuk menyalang maka ia dinamakan Keris Penyalang. Cara-cara pekerjaan menyalang itu dijalankan telah diceritakan secara terperinci dan jelas oleh T.J Newbold ( diperolehi oleh Mr Westerhout, Superintendan di negeri Naning - 1839 ) seperti berikut :
" Orang salah yang telah diikat dibawa ke Bukit Penialang, yang terletak berhampiran dengan Tabu. Seorang Penghulu, Empat Suku, 12 orang Panglima, Bendahara dan Makdum meletakkan hukum dan mereka ini duduk di bawah pokok-pokok tambuseh yang tumbuh di pinggir sebuah bukit. Orang-orang saksi mara ke hadapan dan disoal oleh penghulu.
Setelah pasti orang salah itu betul membuat salah ia dijatuhkan hukum mengikut undang-undang Islam, yang sesuai mengikut adat Minangkabau, iaitu didenda dengan wang sebanyak satu bhar - bersamaan dengan 24 ringgit dan 30 sen wang Sepanyol ketika itu - atau pun kena salang dengan keris. Oleh kerana tidak mampu untuk membayar denda maka persediaan bagi menyalangnya dengan secepat mungkin dijalankan.
Kubur digali di tempat itu juga dan orang salah, yang masih diikat, duduk ditepi lubang kubur. Bagi keselamatan, dua orang panglima duduk disebelah kiri dan kanannya, dan sambil itu pula Panglima Besar Sumum menyabutkan Keris Panjangnya dan menempatkan sekeping kapas di hujung mata keris itu. Ia menempatkan hujung mata keris itu di sebalik atas tulang selangka kanan orang salah, dan sambil memegang keping kapas dengan jari tangan kirinya, lalu keris ditikam secara miring dalam anggota badan orang salah itu sehingga sampai ke hulu keris itu. Kemudia mata keris di tarik keluar dan dalam masa itu juga keping kapas masih dipegang lagi supaya jangan darahnya mengalir keluar.
Orang salah, menggigil dengan kuatnya, ditolak jatuh ke dalam kubur. Tetapi apabila orang itu meminta hendak minum air, ianya dibangkitkan. Sebelum sempat menempatkan bibir tempurung yang berisi air ke dalam mulutnya ia pun jatuh ke dalam kubur menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dengan serta merta mayatnya ditimbus dan kemudian kesemua yang hadir pun bersurailah pulang ke tempat masing-masing ."
Sumber ilmu : Mata Keris dan Bentuknya m/s 209.
No comments:
Post a Comment