Pages

Friday, 16 October 2015

Asal Usul Wali 9 ( Bah 1 )

Bahawa ini bilangan tanah Jawa daripada permulaannya datang kepada kesudahannya daripada sebab bebal dan hina fakir yang dhoif ini duduk di dalam masygulnya kepada dua likur hari bulan Syaaban dan kepada tahun Alif dan kepada hari Ahad fakir ini keturunan hidayat daripada tuhan kita yang maha tinggi. Maka menjadi hati fakir ini terlalu amat terang daripada mematut dan mengarang segala bicara di dalam tanah Jawa ini maka menjadi bersalinlah nama fakir yang hina dengan nama Bujanggi Serqa Dewa itu. Maka dapatlah hamba patut dan hamba bicarakan segala hal ehwal yang dahulu kala di dalam tanah Jawa ini daripada pertamanya datang kepada kesudahannya daripada mengetahui nama segala tanah Jawa dan nama segala anak raja2nya istimewa segala orang yang kuasa2 di dalam tanah Jawa ini.

Maka adalah tersebut di dalam surat ini maka hendaklah tuan2 sekelian bicarakan kepada perbedaannya dan pertemuannya tanah Jawa dengan tanah yang lainnya akan supaya kita ketahui berapa ada maslahat dan tipu di dalamnya maka sekianya sekelian raja2 yang amat berakal serta dengan arif bijaksananya istimewa segala menteri dan segala hulubalang yang arif akan mengetahui segala bicara yang amat indah2 itu. Maka di ambilnya daripada permulaannya maka di kembalikannya kepada kesudahannya maka sanya segala yang berakal akan berbaiki negerinya selamanya kedatangan musuh yang amat keras.

Demikianlah Bujanggi Serqa Dewa itu mematut segala perkataan raja2 yang dahulu kala itu istimewa kenyataan segala tipu dan akal segala hakim yang empunyai jalan ini agar supaya kita ketahui segala pekerjaan hakim yang dahulu2 itu supaya masuk kepada pekerjaan kita sekarang ini. Agar supaya jangan masuk segala tipu dan muslihat kepada segala yang berakal sekarang ini agar supaya selamat sempurna hidupnya di dalam dunia dengan nama kebajikan akan dia demikianlah pertamanya.

Adapun segala tanah Jawa itu sekeliannya habis mengadap ke Timur laut negerinya adapun akan kepala tanah Jawa itu Belambangan kerana ia tempat zahir Sunan Ratu Giri Kedatuan dan lagi pun Belambangan itu tiada di boleh di perintah oleh kepada kitab melainkan kafir Majusi jua yang dapat memerintah dia kerana sudahkan sumpah Sunan Ratu. Adapun akan telinganya kedua tanah Jawa itu maka iaitu Demang dan Lumajang. Adapun akan matanya kedua tanah Jawa itu Unungan dan Bangar. Adapun akan hidungnya tanah Jawa itu maka iaitu Rejash. Adapun akan mukanya tanah Jawa itu maka iaitu Pasuruan.

Adapun akan leher tanah Jawa itu maka iaitu Surabaya maka sebab itulah tiap2 ada perang besar di dalam tanah Jawa maka negeri Surabaya itulah tempat orang berhimpun kerana makna Surabaya itu berani susah demikianlah maknanya. Adapun akan tangannya kedua tanah Jawa itu maka iaitu Sumenep Pamekasan dan Tanjung. Adapun akan dadanya tanah Jawa itu maka iaitu Grisik dan Sidayu dan Tuban dan Rembang. Adapun akan perutnya tanah Jawa itu maka iaitu Jepara dan Semarang dan Demak Kala Ungu Pekalongan dan tatkala adapun akan pehanya tanah jawa itu maka iaitu Cirebon.

Adapun lututnya tanah Jawa itu maka iaitu negeri Betawi. Adapun akan kakinya tanah Jawa itu maka iaitu negeri Bentan. Maka adapun akan tulangnya tanah Jawa itu maka iaitu Metaram. Adapun akan uratnya dan dagingnya tanah Jawa itu maka iaitu negeri yang di tengah2 seperti Kedua dan Jipang dan Madiun Penarakan Jegaraga dan Kediri demikianlah kenyataan tanah Jawa itu. Maka kepada ketika itu tiadalah ketahuan perbedaan perempuan dan laki2 sama jua pakaiannya kepada ketika itu.

Al kisah maka tersebutlah perkataan ada raksa dua laki isteri keluar dari dalam hutan rimba belantara maka ia masuk ke dalam negeri yang bernama Pajang di sanalah ia menjadikan dirinya raja memerintahkan di dalam negeri Pajang maka di namainya dirinya ratu Baqo namanya. Adapun akan raja baqo itu empat puluh orang manusia di makannya kepada sehari2 ia dua laki isteri demikianlah pekerjaannya raja Baqo itu di dalam pekerjaannya yang sehari2 juga ia memakan orang. Maka sampailah tujuh tahun lamanya raja Baqo di dalam kerajaannya itu maka segala rakyatnya pun terlalu amat susah maka takdir Allaha Taa’alaya.

Maka ada seorang2 bernama Si Jaya anak orang Keluran maka kepada suatu malam maka ia fikir “Jikalau demikian halnya rajaku ini nescaya habislah orang di dalam negeri ini di makannya dan aku pun kelak di makannya juga akhirnya”. Setelah sudah ia berfikir demikian itu maka kepada siang harinya maka Si Jaya pun mencari tumpangan orang yang berlayar ke negeri Keling. Setelah sudah ia beroleh tumpangan itu maka iapun berlayarlah ke negeri Keling setelah sampailah ke negeri Keling maka Si Jaya pun bergurulah kepada seorang Berahaman yang terlalu amat sakti.

Maka berapa daripada ilmu tipu dan muslihat yang di pelajari oleh Si Jaya kepada Berahaman sakti itu maka sekelian hal ehwal tanah Jawa pun habislah di ceterakannya oleh Si Jaya itu kepada gurunya. Maka Berahaman itupun terlalu amat hairan akan dirinya daripada mendengar khabar yang demikian itu kemudian maka kata Berahaman kepada Si Jaya “Kepada hari ini engkau kunamai Sang Aji Jaya maka marilah kita pergi mengembara ke tanah Jawa”. Maka kata Sang Aji Jaya kepada Berahaman itu “Betapakah peri tuanku pergi ke tanah Jawa jikalau tiada ada perahu yang pergi ke tanah Jawa berdagang di sanalah kita menumpang kepadanya”.

Maka kata Berahaman kepada Sang Aji Jaya “Hai Aji Jaya lihatlah olehmu kebesaran Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya nyata kepada segala hambanya” maka kata Berahaman kepada Sang Aji “Hai Aji Jaya peluklah kakiku berteguh2 jangan lepas dan pejamkanlah kedua matamu dan jangan melihat ke bawah”. Kemudian maka Sang Aji Jaya pun memeluk kaki Berahaman maka Berahaman pun terbanglah ke udara maka lalu melayang ke tanah Jawa. Setelah ia sampai ke tanah Jawa maka lalu ia turunlah betul negeri Jawa yang bernama Pajang.

Kemudian maka kata Berahaman kepada Sang Aji Jaya “Negeri manakah ini” maka kata Sang Aji Jaya “Inilah negeri Pajang tuanku”. Maka kata Berahaman “Jikalau demikian marilah kita masuk mengadap raja Pajang” kemudian maka Berahaman dan Sang Aji Jaya pun masuklah mengadap raja Pajang yang bernama raja Baqo itu. Kemudian kepada ketika itu raja Baqo lagi tidur nafasnya pun menderu2 seperti ombak memecah di tepi pantai bunyinya. Kemudian maka Berahaman pun berhentilah di pintu menyuruh melihat kepada yang menunggu pintu. Maka seketika lagi maka raja Baqo pun bangunlah kedua laki isteri maka yang menunggu pintu pun masuklah memberi tahu raja Baqo mengatakan ada orang datang dari negeri Keling hendak mengadap tuanku maka kata raja Baqo “Suruhlah ia masuk” maka Berahaman dan Aji Jaya pun masuklah.

Setelah Aji Jaya dan Berahaman melihat rupa raja Baqo itu iapun terlalu dahsyat maka kata raja Baqo kepada Berahamana “Hai manusia darimanakah engkau datang ini dan apakah pekerjaanmu datang kepada aku”. Maka kata Berahamana kepada raja Baqo “Adapun akan hamba ini datang dari negeri Keling dan nama hamba Berahamana dan pekerjaan hamba datang kepada tuan hamba ini hendak melihat segala pekerjaan tuan hamba kerana bahawa sekali2 tiada layak raksa itu menjadi raja kepada manusia”. Maka kata raja Baqo kepada Berahamana “Hai Berahamana sungguhlah seperti katamu itu dan jikalau sekira2 ada manusia yang boleh mengalahkan aku nescaya aku pulanglah kepada tempatku”.

Maka kata Berahamana “Hai raja Baqo sungguhkah yang seperti katamu itu” maka kata raja Baqo “Sungguhlah seperti kataku itu”. Kemudian maka kata Berahamana kepada raja Baqo itu “Dan jikalau demikian katamu keluarkanlah kepada aku dan akulah yang boleh melawan dikau”. Maka kata raja Baqo kepada Berahamana “Sungguhkah yang seperti katamu itu hai Berahamana” maka kata Berahamana “Sungguhlah seperti kata hamba ini”. Maka kata raja Baqo kepada Berahamana “Jikalau engkau alah olehku apakah taruhmu kepada aku” maka kata Berahamana kepada raja Baqo “Adapun jikalau hamba alah oleh tuan hamba maka hambalah makan oleh tuan hamba dan jikalau tuan hamba alah oleh hamba itu apakah akan taruh tuan hamba kepada hamba”.

Maka kata raja Baqo kepada Berahamana “Dan jikalau aku alah olehmu nescaya aku kembalilah kepada tempatku dan engkaulah menjadi raja di dalam negeri Pajang ini”. Maka kata Berahamana “Baiklah jikalau sungguh yang seperti kata raja itu maka hendaklah raja nyatakan apa2 raja kehendak kepada hamba ini”. Maka kata raja kepada Berahamana “Hai Berahamana cubalah soal aku yang lima perkata itu. Maka yang pertama2 anak itik yang baharu menetas itu mana laki dan yang mana perempuan dan kedua perkara burung pipit itu mana laki2 dan mana perempuan dan ketiga perkara kodok dua ekor mana laki2 dan mana perempuan dan keempat perkara teras asam di larik sama besarnya dan sejengkal panjangnya dan mana hujungnya dan kelima perkara jikalau ada bulan dua.

Maka aku pulang kepada tempatku demikianlah soalku kepadamu hai Berahamana. Cubalah olehmu dalam seketika ini juga dan jikalau lambat engkau menjawab dia nescaya engkau kumakanlah sekelian dagingmu dan tulangmu pun habis remuk2”. Maka Berahamana pun tersenyum mendengar soal raja Baqo itu maka kata Berahaman kepada raja Baqo “Adapun akan soal tuan hamba itu budak2 yang mengembala kerbau yang diam di dalam hutan”. Setelah raja Baqo mendengar kata Berahamana demikian itu maka iapun terlalu amat marah kepada Berahamana maka kata raja Baqo kepada Berahamana “Hai Berahamana dan jikalau barang apa sekalipun maka hendaklah engkau jawab dengan seketika ini jua”.

Maka kata Berahamana kepada raja Baqo “Baiklah hambalah yang akan menjawab soal tuan hamba itu. Adapun akan soal tuan hamba pertama2 itu anak itik yang baharu menetas mana laki2 dan mana yang perempuan. Maka hendaklah kita bawa kedua kepada tepi air mana yang dahulu turun anak itik itu ke dalam air itulah laki2 dan yang tinggal itulah perempuan. Dan kedua perkara soal tuan hamba itu burung pipit sejodoh mana laki2 dan yang mana perempuan. Maka hendaklah kita cucuk dengan rambut telinganya burung itu mana yang terus lubang telinganya itulah laki2 dan yang tiada terus itulah perempuan.

Dan ketiga soal tuan hamba itu kodok sejodoh mana laki2 dan yang mana perempuan. Maka hendaklah kita cucuk dengan jarum kodok kedua itu yang mana ada ia berdarah itulah kodok perempuan dan yang tiada berdarah itulah laki2. Dan keempat perkara soal tuan hamba itu teras asam jawa di larik panjangnya sejengkal sama besarnya mana hujung dan yang mana pangkalnya. Maka hendaklah kita ukur kayu itu panjangnya kemudian maka kita lipat dua kali ambil sama tengahnya maka kita letakkan kepada tandan tengahnya itu kepada mata pisau mana yang berat itulah pangkalnya dan yang ringan itulah hujungnya demikianlah hal kita mengetahui dia. Adapun soal tuan hamba yang kelima perkara itu nanti hari malamlah maka hamba tunjukkan kepada tuan hamba”.

Setelah itu hari pun malamlah maka bulan pun teranglah maka Berahamana pun mengambil air di sungai kepada suatu tempat. Maka di bawanya ke hadapan raja Baqo itu maka kata Berahamana kepada raja Baqo itu “Hai raja lihat apalah yang ada di dalam pasu ini”. Kemudian maka raja pun melihat ke dalam pasu itu maka di lihatnya ada suatu bulan di dalam air itu. Kemudian maka kata Berahamana kepada raja Baqo “Hai raja Baqo tengadahlah ke langit tuan hamba apa yanga ada di atas langit itu” kemudian maka raja Baqo pun menengadah ke langit.

Maka di lihatnya suatu bulan pula ada di langit maka kata Berahamana “Hai raja telah adalah bulan dua itu maka hendaklah raja segera undur pulang kepada tempat bumi istana raja yang lama itu”. Maka raja Baqo pun terlalu amat marah mendengar kata Berahamana itu maka iapun segera berdiri hendak menangkap Berahamana dan Sang Aji Jaya itu. Maka Berahamana dan Sang Aji Jaya pun segera terbang ke udara maka raja Baqo melihat hal yang demikian itu maka iapun terlalu amat hairan akan dirinya.

Setelah Berahamana itu terbang ke udara maka kata Berahamana kepada raja Baqo “Hai raja Baqo ingat2lah tuan hamba akan pekerjaan tuan hamba itu dan jikalau tuan hamba lambat keluar dari istana ini nescaya hamba bunuhlah tuan hamba”. Setelah raja Baqo mendengar kata Berahamana demikian itu maka iapun takut maka ia pergi mengambil isterinya maka raja Baqo pun keluarlah dari istananya lalu ia masuk ke dalam hutan rimba belantara itu. Setelah Berahamana itu melihat raja Baqo sudah kembali ke dalam hutan maka Berahamana pun turunlah dengan Sang Aji Jaya duduk di dalam istana raja Baqo serta menyuruh mengimpunkan segala rakyat sekelian.

Setelah sudah berhimpun maka Berahamana pun memberi perintah pada sekelian rakyat daripada membedakan akan pakaian laki2 dan pakaian perempuan dan menyuruh perempuan itu menaruh rambut panjang dan berkemban dan bersubang dan menyuruh laki2 itu setengah bercukur dan menyuruh bertatah gigi. Kemudian pula maka Berahamana dan Sang Aji Jaya pun menjadikan menteri dan lurah dan petinggi dan kebayan dan lain daripada itu beberapa pula daripada alat kerajaan dan kebesaran di perbuat oleh Berahamana dan Sang Aji Jaya di dalam tanah Pajang.

Kemudian maka ia mengajar bagai2 bahasa yang patut kepada raja2 dan yang patut kepada segala menteri sekelian istimewa pula yang patut kepada sekelian rakyat demikianlah halnya Berahamana dan Sang Aji Jaya memerintahkan segala rakyat di dalam negeri Pajang itu. Maka sampailah kepada tiga tahun lamanya Berahamana dan Sang Aji Jaya menjadi raja dalam negeri Pajang maka mahsyurlah perintahnya kepada sekelian negeri yang asing. Maka sekeliannya pun habislah mengikut perintahnya Berahamana dan Sang Aji Jaya daripada segala alat kebesaran tahta kerajaan.

Kemudian maka sampailah kepada enam tahun lamanya Berahamana diam di dalam negeri Pajang maka kepada sekali waktu Berahamana duduk sendirinya maka terkenang kepada anak isterinya di dalam negeri Keling. Kemudian maka Berahaman pun berkata kepada Sang Aji Jaya katanya “Ya adinda Sang Aji Jaya bahawa hamba ini hendak pulang ke benua Keling tinggallah adinda memerintahkan negeri Pajang ini” maka Sang Aji Jaya pun memeluk mencium Berahaman. Maka kata Sang Aji Jaya “Jikalau kekanda kembali ke benua Keling hamba pun turut kembali bersama2 dengan kekanda itu”.

Maka kata Berahaman kepada Sang Aji Jaya “Ya adinda janganlah adinda turut kembali ke benua Keling kerana telah dengan kehendak Allaha Taa’alaya daripada anak cucu tuan hambalah menjadi raja di dalam tanah ini”. Setelah sudah Berahaman berkata demikian itu maka Berahaman pun bermohonlah kepada Sang Aji Jaya lalu ia terbang ke udara maka tinggallah Sang Aji Jaya menjadi raja di dalam negeri Pajang itu. Kemudian maka beristerilah berapa puluh isterinya kemudian maka ia beranaklah berapa puluh anaknya.

Maka sampailah lima belas tahun lamanya maka Sang Aji Jaya pun menjadikan anaknya yang tua raja di dalam negeri Pajang. Maka anaknya yang lain sekeliannya pun menyembah kepada saudaranya maka sampailah dua tahun lamanya anaknya Sang Aji Jaya menjadi raja di dalam negeri Pajang itu maka Sang Aji Jaya pun matilah. Maka sampailah kepada anak cucunya Sang Aji Jaya menjadi raja di dalam Pajang yang memerintahkan kepada segala negeri yang asing di dalam tanah Jawa ini demikianlah halnya daripada anak cucu Sang Aji Jaya maka berhentilah ceritanya.

Kemudian dari itu maka tersebutlah perkataan ada empat buah negeri yang pertama Kuripan dan kedua Daha yakni Kediri ketiga Kekalang keempat Singasari maka ratu yang keempat buah negeri itu bersaudara sama ibu dan sebapa. Adapun yang tua itu ratu Kuripan dan yang panggul itu ratu Daha dan yang penengah itu ratu Kekalang dan yang muda itu Singasari. Adapun akan raja Kuripan itu beranakkan panji. Adapun akan raja Daha itu beranakkan raden galuh kemudian maka raden Inu pun di dudukkan oleh ayahanda raja Kuripan dengan raden galuh Daha.

Setelah sudah panji itu duduk dengan raden galuh Daha maka ia menaklukkan sekelian tanah Jawa itu kemudian maka menjadi raja di dalam tanah Jawa itu memerintahkan seluruh tanah Jawa ini maka sampailah kepada tiga kali turun maka baharu ia berhenti ceritanya maka panji pun matilah maka sekelian anak cucunya pun lamalah kerajaannya tiada seperti dahulu kala lagi akan kuasanya maka banyaklah raja2 yang takluk2 kepadanya itu habis membalik tiada mahu menyembah dia lagi masing2 menjadi raja sendirinya juga.

Al kisah kemudian daripada itu maka tersebutlah perkataan Situng Wanarah namanya raja di dalam negeri Pajang maka terlalu amat gagah beraninya menaklukkan seluruh tanah Jawa ini. Kemudian maka ia beranak seorang lakilaki maka tatkala sampailah umur anaknya lima belas tahun maka Situng Wanarah pun matilah. Kemudian anaknya itu naik kerajaan menggantikan bapanya berapa tahun lamanya ia naik kerajaan di dalam negeri Pajang itu maka iapun pindahlah ke Majapahit di sanalah ia membuat negeri baharu.

Maka berapa tahun lamanya ia diam di Majapahit maka iapun beranaklah seorang laki2 maka di namai oleh ayahanda baginda akan anaknya itu Beruya Jaya. Maka tatkala sampailah umur Beruya Jaya sepuluh tahun maka ayahnya pun matilah maka tinggallah Beruya Jaya menjadi raja di Majapahit memerintah seluruh tanah Jawa itu. Maka Beruya Jaya pun menjadikan Pepatih bernama Patih Gajah Muda namanya maka terlalulah amat bijaksana. Maka Beruya Jaya pun menyuruh menaklukkan tanah seberang seperti Banjar dan Pasar dan Kuti dan Sukadana dan lain daripada itu sekeliannya tanah seberang yang bernama pengiran2 rajanya sekeliannya sudah takluk kepada Majapahit dahulu kalanya.

Maka sekelian raja2 itu pun habis mengadap ke Majapahit tiap2 tahun ia memberi ufti kepada Beruya Jaya di Majapahit kemudian daripada itu maka Beruya Jaya pun menjadikan raja di negeri Palembang. Adapun yang di jadikan raja itu ialah Sang Aria Demar anak Beruya Jaya dengan raksa kerana ada seorang raksa perempuan di dalam hutan. Maka ia berkehendak kepada raja Majapahit maka iapun menjadikan dirinya seperti rupa manusia terlalu amat elok rupanya maka iapun masuk berhambakan dirinya kepada Beruya Jaya menjadi dayang2.

Kemudian maka Beruya Jaya melihat rupa dayang2 itu terlalu amat elok maka Beruya Jaya pun terlalu amat berahi akan dia. Kemudian maka dayang2 itupun di pakai oleh Beruya Jaya maka berapa lamanya maka dayang2 itupun hamillah. Kemudian maka dayang2 itupun hendak memakan pinggang manusia maka tiada di beri oleh Beruya Jaya. Kemudian maka gusar ia teresak2 maka Beruya Jaya pun terlalu amat hairan kemudian maka dengan seketika itu juga dayang2 itu menjadi raksa rupanya maka lalu ia kembali lari ke dalam hutanlah ia beranak.

Kemudian maka anaknya pun makin besar maka anaknya pun bertanyakan bapanya kepada emaknya kemudian oleh emaknya itu di berinya tahu kepada anaknya. Adapun akan bapanya itu ratu Majapahit Beruya Jaya namanya. Setelah kanak2 itu mendengar kata emaknya maka iapun bermohonlah kepada emaknya lalu ia berjalan masuk ke negeri Majapahit perhambakan dirinya kepada raja Majapahit. Maka Beruya Jaya pun terlalu amat kasih akan dia maka di namai oleh Beruya Jaya akan kanak2 itu Aria Demar maka di jadikan Beruya Jaya akan Aria Demar itu raja di negeri Palembang. Maka bergelarlah ia Sang Adipati Palembang memerintahkan seluruh tanah Palembang seperti Bangka dan Belitung dan yang lain daripada itu tiadalah hamba sebutkan lagi.

Adapun akan raja Majapahit yang bernama Beruya Jaya itu berapa puluh bininya dan berapa ratus gundiknya maka iapun beranak seorang laki2 keluar daripada gundiknya. Maka terlalulah amat elok rupanya maka di namainya akan anakanda itu raden Lemba Petang. Maka di peliharakannyalah dengan sepertinya maka sampailah umurnya raden Lemba Petang sembilan tahun. Maka kepada suatu malam raden Lemba Petang itu tidur di atas katil yang keemasan maka sekelian dayang dayangnya pun masing2 bertunggu maka kepada sangka dayang dayangnya raden Lemba Petang itu sudah tidur.

Kemudian maka dayang dayangnya pun berceteralah sama sendirinya demikian katanya “Adapun akan anak tuan kita raden Lemba Petang ini terlalu amat elok parasnya seorangpun tiada ada samanya elok di dalam negeri Majapahit ini tetapi sayangnya sedikit tuan kita ini keluar daripada anak gundik dan sekiranya anak bini tuan kita ini tiadalah ada celanya lagi”. Setelah raden Lemba Petang mendengar kata dayang dayangnya demikian itu maka iapun bangun perlahan2 dengan malunya. Maka raden Lemba Petang pun berkata kepada dayang dayangnya demikianlah katanya “Hai emak inang apa yang kau kata itu” setelah emak inang mendengar suara raden Lemba Petang jaga itu maka iapun diam tiada berkata2 lagi.

Maka raden Lemba Petang pun bertanya juga hendak pun emak inang itu tiada berkata2 lagi maka raden Lemba Petang pun bertanya juga hendak pun emak inangnya itu tiada berkata betul takut kalau raden Lemba Petang itu gusar akan dia. Kemudian maka sembah inangnya “Ya tuanku raden Lemba Petang adapun hamba tuanku ini bertutur dengan sama patik demikianlah kata patik kepada sama patik. Adapun akan tuan kita raden Lemba Petang ini terlalu amat elok parasnya lamun di dalam negeri Majapahit ini tiadalah ada samanya tetapi sayangnya sedikit tuan kita ini keluar daripada anak gundik dan jikalau sekiranya keluar daripada anak bini tuan kita ini tiadalah lagi celanya”.

Setelah raden Lemba Petang mendengar kata emak inangnya demikian itu maka iapun terlalu amat malunya seperti tiada boleh melihat rupanya orang Majapahit lagi raden Lemba Petang itu. Kemudian maka raden Lemba Petang pun bangun perlahan2 turun dari atas tempatnya tidur lalu ia berjalan masuk hutan terbit hutan masuk rimba terbit rimba maka berapa melalui padang yang luas2. Setelah berapa lamanya ia berjalan di dalam hutan itu maka ia pun bertemu dengan sungai maka raden Lemba Petang pun berjalanlah mengikut tepi sungai.

Berapa hari lamanya ia berjalan itu maka iapun sampailah ke tepi laut Surabaya maka iapun bertemu dengan dagang Palembang. Maka kata raden Lemba Petang kepada juragan “Bawalah hamba pergi sama2 ke negeri Palembang” maka kata juragan kepada raden Lemba Petang “Baiklah hambalah yang membawa tuan hamba itu”. Kemudian maka datanglah angin yang baik maka nakhoda Palembang pun berlayarlah pulang ke negeri Palembang bersama2 dengan raden Lemba Petang. Kemudian berapa hari lamanya ia di jalan juragan Palembang itu pun sampailah ke negeri Palembang.

Setelah sampai ia ke negeri maka raden Lemba Petang pun turunlah dari perahu lalu ia masuk ke dalam kepada Sang Aria Demar. Setelah Aria Demar melihat raden Lemba Petang itu datang maka ia pun terkejut lalu segera ia berlari2 datang memeluk raden Lemba Petang lalu di ajaknya duduk bersama2. Hataya berapa bulan lamanya raden Lemba Petang itu duduk di dalam negeri Palembang maka Adipati Palembang pun berkirim surat menyatakan lamun raden Lemba Petang itu datang ke negeri Palembang kepada perahu orang dagang”.

Kemudian maka raja Majapahit pun membalas surat Adipati Palembang menyatakan “Lamun anakku raden Lemba Petang itu aku serahkan padamu dan engkaulah akan memeliharakan dia”. Kemudian maka raden Lemba Petang pun di peliharakanlah oleh Adipati Palembang dengan sepertinya. Setelah sampai umurnya raden Lemba Petang itu enam belas tahun maka raden Lemba Petang pun dewasalah maka Sang Adipati Palembang pun fikir di dalam hatinya “Adapun akan anak tuanku ini sudah dewasalah di mana ia dapat kucarikan isteri kerana di dalam negeri Palembang ini tiada yang layak padanya dan jikalau demikian baiklah raden Lemba Petang ini kubawa ke Kali Ungu kepada betara di Kali Ungu kerana ia dapt memperisterikan raden Lemba Petang ini”.

Setelah sudah ia berfikir demikian itu maka Sang Adipati Palembang pun pergilah ke Kali Ungu membawa raden Lemba Petang. Setelah sampai ke Kali Ungu maka raden Lemba Petang pun di persembahkan oleh Adipati Palembang kepada betara Kali Ungu maka oleh betara Kali Ungu raden Lemba Petang itu di dudukkannya dengan anakanda baginda. Kemudian maka betara Kali Ungu pun menyuruh kepada raden Lemba Petang ia berbuat negeri di Semarang maka di namainya akan raden Lemba Petang itu Adipati Semarang.

Hataya berapa lamanya raden Lemba Petang itu diam di negeri Semarang maka iapun matilah maka tinggallah isterinya dengan seorang perempuan anaknya yang menggantikan kerajaan suaminya. Maka Yaie Adipati Semarang pun berkata kepada sekelian dayang dayangnya “Hai kamu semuanya olehmu bahawa aku minta kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’laya akan anakku ini bahawa sekali2 jangan apa kiranya ia berlakikan raja2nya dan jikalau boleh dengan bolehnya biar ia berlakikan orang yang alim dan pendita yang amat mulia”. Demikianlah pekerjaan Yaie Adipati Semarang sehari2 ia duduk di dalam percintaan juga akan anakanda baginda itu.
Al kisah maka tersebutlah perkataan nabi Mahamada Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama di dalam negeri Madinah. Adapun akan nabi Mahamada Sholaya Allaha A’layaha Wa Salama beranakkan Fathimah kemudian Fathimah pun beranakkan baginda Husin. Kemudian baginda Husin pun beranakkan Zaina Al Abidin kemudian maka Zaina Al Abidin pun beranakkan Alab. Kemudian Alab pun beranakkan Jaa’far kemudian maka Jaa’far pun beranakkan Lamus. Kemudian Lamus pun beranakkan Ali Shodiq kemudian maka Ali Shodiq pun beranakkan Musaril.

Kemudian maka Musaril pun beranakkan Samaun kemudian maka Samaun beranakkan Ali Dzakar. Kemudian maka Ali DZakar beranakkan Jaa’far Shodiq kemudian maka imam Jaa’far Shodiq beranakkan Sheikh Hamad Al Kabiri. Kemudian maka Sheikh Hamada Al Kabiri pun beranakkan dua orang laki2 seorang bernama Sheikh Abi Arif Asad dan seorang perempuan bernama Sanab. Kemudian maka Sanab pun bersuamikan dengan pendita Pasai maka beranak dua orang laki2 dan yang tua bernama Syarif Ibrahim dan yang muda bernama Syarif Kabaro namanya.

Adapun Syarif Ibrahim itu turun ke bawah angin lalu ia masuk ke negeri Belangbangan maka raja Belangbangan yang bernama Tungalun itu pun masuklah agama Asalama serta dengan rakyatnya. Adapun akan Tungalun itu ada ia empunya anak perempuan seorang kemudian maka anaknya pun di dudukkannya dengan Syarif Ibrahim itu. Kemudian maka bunting tiga bulan isteri Syarif Ibrahim maka Syarif Ibrahim pun kembalilah ke atas angin ke negeri Pasai.

Kemudian maka Syarif Kabaro pun turun ke bawah angin lalu masuk ke negeri Campa maka iapun beristerikan anak raja Campa. Maka ia beranak seorang laki2 itulah Sunan Ampel yang bernama Sunan Mahadawama (Mahdum) maka tatkala anak raja Campa yang perempuan itu pergi berlaki ke Majapahit maka Sunan Mahdum pun mengikut pergi ke Surabaya maka Sunan Mahdum pun duduk Ampel.

Adapun akan anak raja Campa itu setelah ia sampai ke Majapahit maka iapun bersuamikan raja Majapahit yang bernama Beruya Jaya. Setelah itu maka iapun tahulah lamun raja Majapahit itu orang kafir kemudian maka puteri Campa pun terlalu amat menyesal ia bersuamikan raja Majapahit itu. Maka ia pun minta pulang ke negeri Campa itu maka puteri Campa pun pulanglah setelah ia sampai ke Grisek di sanalah ia mati.

Al kisah kemudian daripada itu maka tersebutlah perkataan raja Belangbangan yang bernama Tungalun. Setelah sudah Syarif Ibrahim itu pulang ke atas angin maka Tungalun pun menyesallah ia daripada masuk agama Asalama.
Kemudian maka Tungalun pun menyuruh mengimpunkan segala menteri dan hulubalang rakyat sekelian. Setelah sudah ia berhimpun di paseban agung Tungalun pun berkata kepada segala menterinya “Hai kamu sekelian apa bicara kamu sekelian ini akan pekerjaan Syarif Ibrahim yang celaka itu telah kembalilah ia ke atas angin. Maka betapalah akan pekerjaan agama kita sekarang” maka sembah segala menteri “Mana titah patik junjung”. Maka kata Tungalun “Dan jikalau demikian baiklah jikalau keluar kelak anaknya maka hendaklah kita buang kerana anaknya orang yang celaka itu sekali2 tiada harus di taruh di dalam negeri”.

Hataya berapa bulan lamanya maka sampailah kepada waktunya maka puteri Belangbangan pun beranaklah seorang laki2 terlalu amat elok rupanya kemudian maka Tungalun pun menyuruh kepada Patih berbuat suatu peti. Setelah sudah maka kanak2 itupun di masukkan oleh Tungalun ke dalam peti maka di perhiasinya dengan seberhana perhiasan yang amat indah2 itu. Setelah sudah maka Tungalun dengan segala menteri dan hulubalang rakyat sekelian itupun berjalanlah ke tepi laut membawa peti itu.

Setelah sudah sampai ke tepi laut maka Tungalun pun membawa peti itu ke tengah laut maka lalu di letakkannya ke dalam air laut di lepaskannya serta katanya “Hai Jabang Baya anak orang yang celaka baik2lah engkau di jalan”. Setelah sudah Tungalun berkata demikian maka iapun kembalilah ke istananya dengan segala rakyatnya. Adapun akan ibunya Jabang Baya itu tinggallah ia di dalam percintaannya akan anaknya kepada siang dan malam tiadalah hal ia kira2 dengan menangis juga akan anaknya itu.

Hataya maka tersebutlah perkataan Jabang Baya yang di dalam peti hanyut di dalam laut setengah bulan lamanya ia di dalam laut tiada makan dan tiada menyusu hanyalah tangan jua yang di susunya. Setelah sampailah delapan belas hari lamanya Jabang Baya di dalam laut itu maka iapun hanyutlah ke laut Grisek. Maka kepada ketika itu raja Grisek yang bernama Yaie Kendi Pinatah pun duduk di hadap oleh segala dayang dayangnya maka kata Yaie Kendi Pinatah pada segala dayang2nya “Hai kamu sekelian hendaklah kamu sekelian berhadir akan segala makan makanan kerana aku hendak bermain2 ke laut kepada esok harinya” maka sekelian dayang2 pun hadirlah.

Setelah sudah keesokkan harinya maka Yaie Kendi Pinatah pun keluarlah ke tepi laut di iringkan oleh sekelian dayang dayangnya. Setelah sampai ke tepi laut maka Yaie Kendi Pinatah dengan sekelian dayang dayangnya pun turunlah ke dalam laut mandi bersembur semburan serta dengan bunyi bunyian yang amat merdu bunyinya. Hataya dengan seketika itu juga maka sekelian dayang2 pun melihat suatu peti hanyut di tengah laut di pukul ombak timbul tenggelam. Maka sekelian dayang2 pun gilirlah masing2 melihat ke tengah laut maka dengan seketika itu juga maka peti itu pun datanglah ke hadapan dayang2 itu sekelian.

Setelah sekelian dayang2 itu melihat peti yang datang ke hadapannya maka lalu di ambilnya di bawanya kepada Yaie Kendi Pinatah. Setelah sampai kepadaYaie Kendi Pinatah maka lalu ia tunduk menyembah katanya “Hamba tuanku ini mendapat peti di pukul ombak timbul tenggelam maka lalu ia datang ke hadapan patik sekelian maka inilah ia tuanku”. Setelah Yaie Kendi Pinatah melihat peti itu maka lalu di suruhnya buka setelah sudah peti itu terbuka maka di lihatnya ada seorang kanak2 di dalam peti itu rupanya pun terlalu amat elok serta dengan seberhana perhiasannya.

Maka Yaie Kendi Pinatah pun terlalu amat sukacita akan kanak2 itu maka Yaie Kendi Pinatah pun kembalilah ke istananya membawa Jabang Baya itu maka di peliharakannya oleh Yaie Pinatah akan Jabang Baya itu dengan sepertinya. Maka sampailah umurnya Jabang Baya itu tujuh tahun maka Jabang Baya pun berlajar mengaji Qoroana dua tahun lamanya ia mengaji Qoroana itupun khatamlah. Kemudian maka ia mengaji kitab Sitan dan Semar Pandi dan kitab itupun habislah kemudian maka ia mengaji kitab Bedayah maka itupun khatamlah.

Setelah sampailah umur Jabang Baya itu dua belas tahun maka ia pun minta kepada Yaie Kendi Pinatah ia hendak pergi berlayar ke negeri Palembang. Kemudian maka di berinya oleh Yaie Kendi Pinatah berapa puluh riyal akan modal Jabang Baya pergi berlayar itu. Setelah sampailah sebulan lamanya Jabang Baya itu bermuat dagangan maka iapun berlayar ke negeri Palembang. Setelah sampai ke Palembang maka Jabang Baya pun berdaganglah maka sekelian awak perahunya pun berjualanlah maka sekelian masing2 dengan jualannya.

Adapun akan Jabang Baya itu tiap2 orang yang datang meminta kepadanya maka sekeliannya pun habis di berinya. Maka modalnya yang di bawanya itu habislah di berikannya kepada sekelian orang yang meminta kepadanya. Setelah sampailah tujuh bulan lamanya ia di dalam negeri Palembang maka Jabang Baya pun pulanglah ke tanah Jawa. Adapun akan dagangan Jabang Baya itu hanyalah rotan dua puluh gelung. Setelah sampailah Jabang Baya itu ke Gresik maka lalu Jabang Baya itu naik ke Giri membawa rotan dua puluh gelung itu.

Setelah sampai ia ke Giri maka sekelian orang Giri pun datanglah berjabat tangan dengan dia serta meminta sedekah rotan. Maka Jabang Baya pun memberi sedekah rotan kepada segala yang meminta2 itu maka rotan yang dua puluh gelung itupun habislah. Setelah Yaie Kendi Pinatah melihat hal yang demikian itu maka iapun hairanlah maka kata Yaie Kendi Pinatah kepada Jabang Baya “Hai Jabang Baya tiada sekali2 patut laku orang yang berdagang demikian ini. Jikalau selaku ini baiklah engkau tinggal di rumah daripada berdagang”. Maka Jabang Baya pun diamlah di rumah serta memasang pelita tiada bersumbu dan tiada berminyak bernyalah sendirinya nyalanya terlalu amat terang cahayanya itu memenuhi alam maka berapa bulan lamanya yang demikian itu.

Maka kepada suatu hari Jabang Baya duduk sendirinya maka iapun fana kepada Allaha daripada sangat fananya maka Jabang Baya pun berjalanlah naik ke atas gunung Petukangan. Setelah sampailah ke atas gunung Petukangan itu Jabang Baya pun tidurlah di atas bumi tiada bertikar dan tiada berbantal dan tiada makan dan tiada minum tiga bulan lamanya yang demikian itu. Maka matanya pun habislah di kerumuni oleh semut tanah tiada berkelip sehingga nafasnya juga yang ada sedikit. Kemudian maka Yaie Pinatah pun sangatlah bercinta akan Jabang Baya itu maka iapun pergilah mencari Jabang Baya itu kepada barang di mana tempat dengan segala dayang dayangnya maka itupun bertemulah dengan Si Jabang Baya di atas gunung terhantar sendiri dirinya.

Setelah Yaie Kendi Pinatah melihat hal yang demikian itu maka Yaie Kendi Pinatah pun bersegera2 mendapatkan Si Jabang Baya. Setelah Si Jabang Baya melihat Yaie Kendi Pinatah itu datang maka iapun segera bangkit lalu ke udara maka kata Yaie Kendi Pinatah kepada Jabang Baya “Hai Jabang Baya aku datang ini membawa akan engkau nasi segeralah engkau turun”. Maka kata Jabang Baya “Ya bonda hamba tiadalah hamba makan nasi” maka kata Yaie Kendi Pinatah kepada Si Jabang Baya “Bukan akan sebab hendak memberi engkau makan kerana aku sudah berniat akan memberi arwah rasul sebab itulah maka engkau aku suruh makan bubur ini sedikit”.

Setelah Jabang Baya itu mendengar arwah rasul yang di sebut oleh Yaie Kendi Pinatah itu maka iapun segera turun dari udara. Maka katanya “Ya bonda hamba manatah bubur itu” maka kata Yaie Kendi Pinatah kepada dayang dayangnya “Berilah olehmu bubur itu” maka dayang dayangnya itupun memberikan bubur itu kepada Jabang Baya maka di makannya oleh Jabang Baya bubur itu sedikit. Setelah sudah Jabang Baya makan bubur itu sakit jejaklah kakinya yang kanan itu ke bumi dan kakinya yang kiri itu belum lagi jejak maka berjalanlah Jabang Baya itu seperti orang tempang.

Setelah Yaie Kendi Pinatah melihat Si Jabang Baya telah jejaklah kakinya ke bumi maka iapun terlalulah amat sukacita maka katanya kepada Si Jabang Baya “Hai Jabang Baya sekarang telah besarlah engkau nyatalah hal makanya patutlah engkau beristeri maka sebab itulah aku segera datang padamu kerana aku yang memeliharakan dikau dari kecilmu. Maka sebab apalah maka engkau hendak beristeri yang lain kerana tiap2 orang yang menanam buah buahan apakala sudah jadi pohon kayu itu maka sepatutnyalah yang menanam dia itu makan buahnya dahulu kemudian maka baharu yang lain memakan dia”.

Setelah Si Jabang Baya mendengar kata Yaie Kendi Pinatah demikian itu maka iapun terlalu amat hairan mendengar katanya maka kata Jabang Baya kepada Yaie Kendi Pinatah “Ya bonda hamba adapun kepada hati hamba ini sekali2 tiada yang demikian tetapi Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya juga yang melakukan barang kehendaknya dan seperkara lagi jikalau hamba hendak beristeri sekalipun melainkan yang sama2 pangkat umurnya dengan umur hamba maka ia patut dan seperkara lagi jikalau tua sekalipun jika ada air susunya dapat juga akan isteri hamba”.

Setelah Yaie Kendi Pinatah mendengar kata Jabang Baya demikian itu maka kata Yaie Kendi Pinatah “Sungguhkah katamu itu” maka kata Jabang Baya “Sungguhlah kata hamba ini”. Maka kata Yaie Kendi Pinatah kepada Jabang Baya pula “Jikalau ada air susu ini mahukah engkau kepada aku” maka kata Jabang Baya “Jikalau ada air susunya tuan hamba itu mahulah hamba kepada tuan hamba”. Maka oleh Yaie Kendi Pinatah di ubatinya susunya dengan bagai2 ubat kemudian maka baharu di tadahnya kepada cawan yang putih.

Setelah sudah maka baharu di tunjukkannya kepada Si Jabang Baya maka di llihat oleh Si Jabang Baya air susunya yang kepada cawan itu maka kata Jabang Baya kepada Yaie Kendi Pinatah “Bawa mari hamba lihat air susu itu sungguhkah atau tiadakah”. Maka oleh Yaie Kendi Pinatah air susu yang kepada cawan putih itu di suruhnya berikan kepada Si Jabang Baya maka segera di sambutnya cawan itu lalu di minumnya serta katanya “Bahawa tuan hamba ini ibu hamba dari dunia datang ke akhirat dan haramlah tuan hamba ini nikah dengan hamba”. Kemudian maka Yaie Kendi Pinatah melihat hal yang demikian itu maka iapun hairanlah serta ia pulang ke istananya dengan kemaluannya.

Adapun akan Si Jabang Baya itu setelah sudah genap tapanya tiga bulan itu maka iapun turunlah ke Gresik lalu pergi ke Surabaya maka ia duduk di Ampel mengaji kepada Sunan Mahdum. Adapun temannya Si Jabang Baya mengaji itu delapan orang semuanya maka yang delapan orang itulah wali Allaha yang besar di dalam tanah Jawa ini. Adapun wali Allaha yang mahsyur di dalam tanah Jawa ini semuanya empat puluh tetapi di pilih dalam yang empat puluh itu hanyalah delapan orang dan di pilih dalam delapan orang itu hanyalah Sunan Ratu Di Giri.

Adapun wali Allaha yang besar delapan orang itu pertama2 Sunan Ratu Di Giri Kedatuan dan kedua Sunan Bunang dan ketiga Sunan Kali Jaga dan keempat Sunan Cirebon dan kelima Sheikh Lemahbang dan keenam Sheikh Bentung dan ketujuh Pengiran Mejagang dan kedelapan Pengiran Kekashang. Inilah wali Allaha yang delapan orang yang nyatakan keramatnya di dalam tanah Jawa ini. Adapun orang yang delapan itulah teman Si Jabang Baya mengaji kepada Sunan Mahdum di Ampel.

Maka kepada sekali waktu Sunan Mahdum itu bangun kepada waktu tengah malam hendak sembahyang tahajud. Maka di lihatnya kepada kanak2 yang delapan itu semuanya habis menyala hanyalah yang seorang itu besar nyalanya. Kemudian maka oleh Sunan Mahdum di simpulnya hujung kainnya semua dan yang besar nyalanya itu besar simpulannya. Kemudian maka kepada siang harinya maka Sunan Mahdum pun bertanya kepada kanak2 itu sekelian katanya “Siapa kamu yang ada bersimpul kain kamu kepada malam ini”. Maka semuanya pun menyahut segala yang bersimpul kainnya maka kata Sunan Mahdum pula “Siapa yang besar simpulannya daripada yang banyak” maka sahut Si Jabang Baya “Hamba tuanku yang besar sendiri”.

Maka kata Sunan Mahdum itu “Tahukah engkau yang menyimpul kain kamu sekelian” maka kata kanak2 itu “Tiadalah hamba tahu yang menyimpul kain hamba tuanku ini”. Maka Sunan Mahdum pun diam di dalam hatinya tahulah ia lamun Si Jabang Baya itu penghulu segala wali Allaha di dalam tanah Jawa itu maka Si Jabang Baya itulah yang bernama Sunan Ratu Digiri Kedatuan. Adapun akan Sunan Ampel itu beranak tiga orang yang tua perempuan bernama Yaie Kedi Pemenyuran namanya dan kedua Yaie Kedi Meluku dan ketiga Sunan Bunang itulah yang muda sekali. Adapun akan Yaie Kedi Pemenyuran itu berlakikan raja Tuban maka beranakkan Sunan Angngudung. Adapun akan Sunan Angngudung itu beranakkan Sunan Qudus.

Dipetik dari :مهدي اسلام

Sumber: Hikayat Tanah Jawa

Manuskrip British Library

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum, Saya Umi Amanah. Saya sedang dalam research terhadap Hikayat yang kebetulan sudah saudara transliterasikan ke dalam aksara latin. Bolehkah saya meminta alamat email anda untuk berkomunikasi terkait manuskrip tersebut?

    ReplyDelete