Al kisah maka tersebutlah perkataan ada seorang raja di tanah Jawa pesisir bernama Pengiran Jekatera namanya. Maka ia beranak seorang perempuan terlalu amat elok parasnya tetapi ada sedikit celanya kerana buleh segala tubuhnya maka ayahanda baginda pun terlalu amat masygulnya.
Maka Pengiran Jekatera pun berbicaralah dengan sekelian menteri dan hulubalangnya istimewa kepada sekelian orang yang alim2 mesyuarat daripada hal tuan puteri buleh itu hendak di buangkan oleh baginda ke pulau itu. Setelah sudah mesyuarat maka anakanda baginda pun di turunkan ayahanda baginda ke perahu serta dengan inang pengasuhnya.
Maka lalu di suruh kayuhkan oleh ayahanda akan anakanda itu ke pulau kerana ada pulau di hadapan negeri Jekatera hampir jua kepada negeri. Di sanalah tuan puteri itu di suruh taruhkan oleh ayahanda baginda maka di namai pulau itu oleh orang Jekatera pulau Puteri namanya. Maka kepada tiap2 hari Isnin maka Pengiran Jekatera pun menyuruh membawakan bagai2 nikmat akan anakanda itu serta dengan sekelian dayang dayangnya.
Maka sampailah tiga tahun lamanya tuan puteri itu duduk di dalam pulau dengan dayang2nya maka kepada siang dan malam tiadalah lain pintanya kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya melainkan minta hilangkan penyakitnya juga demikianlah halnya.
Al kisah maka tersebutlah perkataan ada seorang ustat di dalam negeri Walanda terlalu amat arif kepada barang sesuatu pekerjaan. Adapun akan ustat itu pekerjaannya kepada tiap2 hari adalah ia mengurangi makan dan minum daripada ia memanjangkan akal dan kira2nya. Maka kepada tiap2 malam ustat itu duduk di halaman melihat ke langit menyatakan segala bintang dan bulan dan awan demikianlah pekerjaannya ustat itu sehari2. Maka datanglah kepada suatu malam ustat itu duduk di halaman mengadah ke langit melihat segala bintang dan awan serta memanjangkan akal dan kira2 maka serta dengan kehendak Allaha Taa’alaya maka masuklah kepada akalnya ustat itu demikian ini “Baiklah aku menyuruh sebuah kapal berlayar mengelilingi melihat segala tanah kalau2 ada apa2 yang di lihatnya”.
Setelah sudah ustat itu berfikir demikian itu maka hari ppun sianglah maka ustat pun pergilah mengadap raja Walanda. Setelah ia sampai kepada raja maka ustat pun mempersembahkan segala fikirnya kepada raja itu setelah raja mendengar sembah ustat itu maka raja pun berkenanlah kepada hatinya. Maka raja pun menyuruh membaiki sebuah kapal lengkap dengan segala senjatanya istimewa segala perbekalan akan berlayar itu jangan di kata lagi. Setelah sudah saratlah kapal itu bermuat perbekalan maka nakhoda kapal pun masuklah mengadap raja.
Setelah sampailah ia kepada raja maka sembahnya “Ya tuanku sudahlah sarat kapal itu” maka titah raja kepada nakhoda kapal itu “Berlayarlah engkau kepada barang kehendakmu lihat olehmu segala negeri dan segala gunung dan segala pulau yang dapat tempat kita mencari untung”. Setelah nakhoda itu mendengar titah raja demikian itu maka nakhoda kapal pun bermohonlah kepada raja Walanda lalu ia turun ke kapalnya lalu ia berlayar menuju matahari masuk. Berapa lamanya ia di laut maka banyaklah ia melihat kekayaan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya maka sampailah setahun lamanya ia di dalam laut itu tiadalah ia melihat negeri dan pulau dan gunung.
Maka nakhoda kapal pun terlalu amat susah hatinya daripada perbekalan pun sudah habis maka nakhoda pun menyuruh mengurangi makan dan minum. Maka sampailah tengah dua tahun lamanya kapal itu berlayar di dalam laut berkeliling kesana kemari dan tiadalah berketahuan perginya maka sekelian makanan dan minuman di dalam kapal itupun habislah. Maka sekelian orang di dalam kapal itupun terlalu amat sedih kepada siang dan malam tiadalah ia hal daripada meminta doa kepada Allaha maka dengan takdir Allaha Taa’alaya maka kapal itupun jatuhlah ke pulau Puteri.
Setelah nakhoda kapal serta dengan sekelian awak perahu semuanya itu melihat gunung dan pulau maka iapun sukacitalah hatinya sedikit. Maka kata nakhoda kepada jurumudi “Hai jurumudi dekati olehmu pulau itu kalau2 ada air di atasnya” maka jurumudi pun mendekati pulau itu. Setelah sudah dekat maka jurumudi pun menyuruh berlabuh maka di labuhkan oranglah kapal itu. Setelah sudah berlabuh maka nakhoda pun turunlah ke pulau Puteri itu di iringkan oleh sekelian awak perahunya. Setelah nakhoda kapal itu sampai ke pulau itu maka iapun naiklah ke darat maka di lihatnya ada sebuah istana terlalu amat indah2 perbuatannya.
Maka nakhoda kapal pun pergilah mengampiri istana itu maka di lihatnya banyak orang perempuan bermain2 di luar istana itu maka nakhoda kapal pun pergilah mendapatkan dayang2 itu. Setelah sampailah ia kepada dayang2 itu maka nakhoda kapal pun bertanya kepada dayang2 itu katanya “Siapakah yang empunya istana ini”. Maka dayang2 pun berkata kepada nakhoda kapal itu “Adapun yang empunya istana ini tuan kami anak raja Jekatera”. Maka kata nakhoda kapal itu kepada dayang2 katanya “Apa sebabnya maka tuanmu itu ada ia di sini kerana ia anak raja besar” maka datang2 pun menceterakan daripada permulaannya datang kepada kesudahannya.
Maka nakhoda kapal pun terlalu amat hairan maka kata nakhoda kapal kepada dayang2 itu “Telah berapa tahunlah sudah lamanya tuan puteri di buang di pulau ini” maka kata dayang2 itu “Adalah sudah dua tahun lamanya tuan kami diam di pulau ini”. Maka kata nakhoda kapal itu “Jikalau demikian katamu bawalah aku kepada tuan puteri itu kerana aku pun buleh juga. Maka sebab itulah maka aku berlayar meninggalkan negeriku hendak mencari ubat kerana ada konon dukun hampir negeri ini terlalu amat tahu ia mengubati”.
Setelah dayang2 mendengar kata nakhoda kapal itu maka iapun membawa nakhoda kapal itu masuk mengadap tuan puteri. Maka tuan puteri pun terkejut melihat seorang laki2 buleh datang padanya maka kata tuan puteri kepada dayang2 itu katanya “Hai dayang2 orang manakah yang datang pada aku ini”. Maka kata dayang2 itu “Tuanku nakhoda kapal baharu datang dari negeri Walanda sebab ia meninggalkan negerinya kerana iapun sakit juga seperti tuanku maka sebab itulah ia berlayar hendak mencari dukun kerana ada konon tuanku dukun yang tahu itu hampir negeri kita ini”.
Maka kata tuan puteri kepada nakhoda kapal itu “Sungguhkah yang seperti katamu itu” maka kata nakhoda kapal kepada tuan puteri “Sungguhlah ya tuanku tuan puteri”. Maka kata tuan puteri kepada nakhoda kapal itu “Jikalau sungguhlah yang seperti katamu itu bawalah aku bersama2 dengan dikau” maka kata nakhoda kapal “Baiklah tuanku”. Setelah sudah nakhoda kapal berkata2 dengan tuan puteri maka nakhoda kapal pun turunlah ke perahunya membawa tuan puteri dengan empat orang dayang2nya yang di bawanya yang banyak itu habislah tinggal di pulau itu.
Setelah sudah nakhoda kapal itu turun ke kapal membawa tuan puteri itu maka ia pun berlayarlah sambil memasang Meriam. Maka terdengarlah bunyi meriam itu kepada pengiran Jekatera maka pengiran pun menyuruh sebuah perahu kecil pergi ke pulau Puteri itu melihat anakanda baginda. Setelah perahu kecil itu sampai ke pulau maka orang yang di suruh pengiran itupun naiklah ke atas pulau itu melihati tuan puteri. Setelah sampailah ke istana tuan puteri maka di lihatnya tuan puteri tiadalah lagi dalam istananya maka suruhan pengiran pun bertanya kepada dayang2nya yang tinggal itu maka kata dayang dayangnya sekelian itu habislah di ceterakannya kepada suruhan pengiran itu.
Setelah suruhan itu mendengar khabar dayang2 itu maka iapun bersegeralah ia pulang ke Jekatera memberitahu pengiran. Setelah sampai ia ke Jekatera maka lalu ia masuk mengadap pengiran serta mempersembahkan hal ehwal anakanda tuan puteri membuang dirinya mengikut kepada perahu orang dagang. Maka ayahanda dan bonda pun menangis mengempaskan dirinya maka lalu keduanya itu pengsan berganti2 dua laki isteri maka pengiran Jekatera pun menyesallah ia membuang anaknya kepada pulau Puteri itu. Maka tinggallah Pengiran kedua laki isteri dengan masygulnya akan anakanda itu siang dan malam tiada berhenti gila2 dengan menangis juga akan anakanda itu.
Maka tersebutlah perkataan nakhoda kapal membawa tuan puteri berapa lamanya ia berlayar di dalam laut maka sampailah ia ke negeri Walanda. Setelah sampai maka nakhoda kapal pun menyuruh memasang meriam tanda kesukaan. Setelah raja Walanda mendengar bunyi Meriam terlalu ramai itu maka iapun menyuruh melihati ke laut maka di lihatnya suruhan raja yang datang itu. Maka orang yang melihati pun kembalilah memberi tahu kepada raja maka nakhoda kapal pun turunlah ke darat lalu masuk mengadap raja.
Maka segera di tegur oleh raja akan nakhoda itu maka nakhoda pun berdiri serta memberi hormat maka nakhoda pun mempersembahkan hal ehwal tuan puteri Jekatera itu dan perinya di dalam laut. Maka raja Walanda pun menyuruh mendapatkan puteri Jekatera maka puteri Jekatera pun turunlah. Setelah sudah tuan puteri itu turun maka segala meriam pun berbunyilah maka puteri pun sampailah ia ke dalam istana raja Walanda. Maka segera di sambut oleh raja Walanda tangan tuan puteri itu lalu di dudukkannya hampir kerusinya. Maka tuan puteri pun terlalu amat hairan akan dirinya melihat orang Walanda itu buleh belaka dan tahulah ia lamun di perdayakan oleh nakhoda kapal itu kerana sudah adatnya orang Walanda itu buleh semua kulitnya demikianlah halnya.
Kemudian maka tuan puteri itupun duduklah dengan raja Walanda berapa tahun antaranya maka tuan puteri pun beranak seorang laki2 dengan raja Walanda itu. Maka sampailah umurnya sepuluh tahun lamanya “Maka di dalam itupun kelak aku mencari tipu akan dia” setelah sudah raja Walanda berfikir demikian itu maka iapun menyuruh membaiki sebuah kapal. Setelah sudah mustaib maka raja pun membuat kiriman kepada pengiran Jekatera. Setelah sudah maka anakanda pun turunlah ke kapal serta dengan inangnya seorang maka kapal pun berlayarlah.
Berapa bulan lamanya ia di laut maka sampailah ke Jekatera maka nakhoda kapal pun memasang meriam tiada berhenti maka pengiran Jekatera pun menyuruh melihati kapal itu. Setelah sampailah ia ke kapal maka lalu ia naik ke atas kapal serta ia bertanya kepada nakhoda kapal itu katanya “Kapal dari manakah ini”. Maka kata orang kapal itu “Adapun akan hamba ini datang dari negeri Walanda membawa cucu raja Jekatera ini kerana anak raja Jekatera yang di buang di pulau Puteri itu. Telah bersuamilah ia dengan raja Walanda maka beranakkan seorang laki2 inilah yang kami bawa ini”.
Maka sahut orang yang melihati itu “Jikalau sungguh yang seperti katamu itu apa tanda tuan kamu” maka kata nakhoda kapal kepada suruhan itu “Dayang2 tuan puteri Jekatera itu ada serta”. Katanya “Hai dayang2 segeralah engkau keluar ada orang yang bertanyakan dikau” maka dayang2 itupun keluarlah. Setelah orang melihati itu melihat dayang2 tuan puteri itu ada dalam kapal itu maka iapun segeralah ia kembali mempersembahkan segala kata orang kapal itu dan perinya dayang2 tuan puteri itu di dalam kapal itu. Maka Pengiran Jekatera pun menyuruh seorang menteri pergi mendapatkan cucunda baginda dengan alat kerajaan.
Setelah sampailah menteri itu ke kapal maka iapun segera naik ke atas kapal lalu ia hendak menyembah kepada anak tuan puteri itu. Maka segala pesan ninda baginda semuanya pun habis di persembahkannya maka anak tuan puteri pun naiklah ke darat di iringkan oleh segala menteri dan penggawa sekelian masuk ke dalam puri. Setelah Pengiran Jekatera dan permaisuri melihat cucunda terlalu amat elok parasnya olehnya sedikit tubuhnya itu putih sepa maka Pengiran dan permaisuri pun terlalu amat sukacita hatinya seperti melihat anakanda tuan puteri rupanya.
Maka berapa lamanya anak raja Walanda itu diam di Jekatera maka ia meminta tempat kepada ninda selebar kulit kerbau maka di beri oleh ninda akan cucunda itu tempat selebar kulit kerbau. Kemudian maka oleh nakhoda kapal itu di cincangnya kulit kerbau itu halus2 maka lalu di kelilingkannya sepanjang kulit kerbau itulah di perbuatnya tempat. Maka meriam di dalam kapal pun habis di naikkannya ke darat demikianlah halnya kemudian maka datang pula kapal dari negeri Walanda maka di naikkannya pula meriamnya.
Hataya berapa lamanya anak tuan puteri itu diam di dalam negeri Jekatera maka iapun bermohonlah kepada ninda baginda hendak pulang ke negeri Walanda. Maka oleh pengiran Jekatera itu di peluknya dan di ciumnya akan cucunda baginda itu maka sembah nakhoda kapal kepada pengiran Jekatera itu “Adapun akan hamba tuanku ini tinggal menunggui rumah cucunda kerana kalau2 cucunda datang ke Jekatera ini” maka kata Pengiran kepada nakhoda kapal itu “Baiklah mana bicaramu itu aku ikut”. Setelah sudah ia bermohon kepada ninda baginda maka iapun naiklah atas kapal lalu berlayar kembali ke negeri Walanda.
Setelah ia sampai ke negeri Walanda maka iapun turunlah lalu masuk mengadap ayahanda dan bonda menyembahkan segala pesan pengiran kepada bondanya demikianlah halnya. Adapun akan nakhoda kapal itu tinggal ia di Jekatera maka kepada tiap2 tahun kapal dari negeri Walanda datang ke Jekatera. Setelah ia datang maka lalu di tenggelamkkannya oleh nakhodanya maka lalu ia memberi tahu kepada pengiran sembahnya “Ya tuanku ada kapal cucunda datang dari negeri Walanda membawa kiriman anakanda tuan puteri kepada tuanku maka sekarang tenggelamlah di laut Jekatera ini”.
Maka titah Pengiran kepada patih “Hai patih pergilah engkau suruh angkati sekelian harta cucuku itu taruhkan kepada tempatnya” maka patih pun pergilah ke tepi laut menyuruh mengangkati sekelian harta itu lalu di naikkannya kepada tempatnya. Demikianlah kepada tiap2 tahun kapal datang dari negeri Walanda membawa Meriam dan peluru dan ubat demikianlah halnya. Hataya berapa tahun lamanya yang demikian itu maka Pengiran Jekatera pun kembalilah ke rahmat Allaha kemudian maka bendaharanya naik kerajaan. Maka sampailah dua tahun lamanya bendahara itu naik kerajaan maka tiadalah ia sukahatinya melihat anak Walanda lagi.
Setelah nakhoda kapal itu melihat kelakuan bendaharanya itu maka iapun berbicaralah dengan segala temannya. Setelah sudah putus bicara maka kepada waktu tengah malam maka nakhoda kapal itu pun menyuruh memasang meriam menembak kepada rumah bendahara istimewa kepada rumah sekelian rakyat. Maka gegarlah negeri Jekatera itu kepada tengah malam maka sekelian rakyat pun larilah masing2 membawa dirinya. Adapun akan bendahara itu pun larilah ia pindah daripada tempatnya. Setelah sampai kepada siang harinya nakhoda kapal itu memasang meriam maka iapun berhentilah.
Maka kepada siang harinya bendahara Jekatera pun masuk ke Mataram mempersembahkan sekelian hal ehwal itu kepada sultan Mataram. Maka sultan Mataram pun terlalu amat amarah serta menyuruh mengimpunkan rakyat kepada barang sekadarnya. Setelah sudah berhimpun maka sekelian rakyat Mataram pun berjalanlah pergi ke Jekatera. Setelah sampai ke Jekatera maka sekelian menteri dan hulubalang pun peranglah dengan orang Walanda tujuh hari tujuh malam ia berperang itu maka habislah segala ubat dan peluru orang Walanda.
Maka sekelian orang Mataram pun datanglah mengepung kota orang Walanda maka tiadalah lagi berdiri sekelian anak Walanda daripada kekurangan senjata. Maka daripada sangat takutnya mati maka tahinya pun di lemparkannya kepada rakyat Mataram. Setelah orang Mataram melihat tubuhnya sekelian habis penuh tahi maka sekeliannya pun habislah lari tunggang langgang masing2 membawa dirinya.
Setelah itu maka sekelian rakyat Mataram pun kembalilah ke Mataram serta mempersembahkan sekelian hal ehwal itu kepada sultan. Maka sultan Mataram pun terlalu amat hairan mendengar hal yang demikian itu maka sultan pun diam tiada terkata2 lagi. Maka duduklah sultan di dalam masygulnya daripada mengira ngirakan pekerjaan anak Walanda yang duduk di dalam tanah Jekatera itu kepada siang dan malam tiada berhenti.
Al kisah maka tersebutlah perkataan ada seorang Syarif di negeri Arab turun ke negeri Semarang bernama Sayada Buhara namanya. Setelah ia sampai ke negeri Semarang maka lalu ia duduk di masjid mengajar mengaji berapa hari diam di masjid itu. Maka terdengarlah kepada Yaie Kedi Semarang mengatakan ada seorang Syarif baharu datang dari negeri Arab duduk di masjid maka Yaie Kedi Semarang pun menyuruhkan dayang2nya memanggil Syarif Buhari maka dayang2 itupun pergilah ke masjid mendapatkan Sayada Buhari.
Setelah ia sampai kepada Sayada Buhari maka ia menyampaikan segala pesan Yaie Kedi Semarang maka Sayada Buhari pun masuklah ke dalam puri pergi mengadap Yaie Kedi Semarang. Setelah sampailah ke dalam puri maka Yaie Kedi Semarang pun berdiri memberi hormat kepada Sayada Buhari. Setelah itu maka Sayada Buhari pun di perjamunya makan dan minum pelbagai nikmat indah2 berapa hari lamanya Sayada Buhari itu di perjamunya makan dan minum di dalam puri. Maka Yaie Kedi Semarang pun berkata kepada Sayada Buhari katanya “Ya tuanku ada suatu maksud hamba kepada tuanku. Jikalau suka tuanku maka hamba mahu mengatakan dia”.
Maka kata Sayada Buhari “Apa maksud Yaie kepada hamba yang kebajikan nescaya hamba ikut akan dia” maka kata Yaie Kedi Semarang “Jikalau tuanku suka akan dia ada seorang hamba empunya anak perempuan. Jikalau tuanku sudi akan dia hamba serahkan kepada tuanku”. Setelah Sayada Buhari itu mendengar kata Yaie Kedi Semarang demikian itu maka kata Sayada Buhari kepada Yaie Kedi Semarang “Jikalau sungguh seperti kata tuan hamba itu segeralah hamba menerimalah akan dia”. Setelah sudah Yaie Kedi Semarang menyerahkan anaknya kepada Sayada Buhari maka datanglah kepada hari yang baik Sayada Buhari pun nikahlah dengan anak Yaie Kedi Semarang dengan Lembu petang.
Berapa lamanya Sayada Buhari itu duduk dengan anak Yaie Kedi Semarang maka iapun beranak tiga orang laki2 kemudian maka Sayada Buhari pun hendaklah ia kembali ke atas angin. Maka Sayada Buhari pun memanggil isterinya maka isterinya pun datang katanya “Ya adinda adapun akan hamba ini hendak pulang ke atas angin kerana hamba asal orang atas angin kembali ke atas angin” maka kata Yaie Kedi Semarang “Baiklah tuanku sebenarnyalah yang seperti kata tuanku itu tetapi siapakah yang akan ganti tuanku di Semarang ini kerana tiap2 negeri apakala tiada ia empunya raja nescaya rosaklah ia”.
Maka kata Sayada Buhari kepada isterinya “Adapun yang akan gantiku itu ialah anakku yang muda sekali” maka kata Yaie Adipati Semarang “Betapakah maka anak tuanku yang muda itu tuanku perbuat ganti itu kerana ia terlalu bodoh”. Maka kata Sayada Buhari kepada isterinya “Ya adinda tiadalah adinda tahu akan anak kita itu ialah yang telah di suratkan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya di dalam Luh Mahfuz lamun akan anakanda itu wali Allaha”. Setelah sudah Sayada Buhari menjadikan anaknya itu raja di dalam negeri Semarang maka iapun berlayarlah kembali ke atas angin anaknya yang muda itulah naik kerajaan bernama Adipati Semarang.
Maka sampailah Adipati Semarang itu empat tahun lamanya ia menjadi raja di dalam negeri Semarang maka iapun pergilah ia berguru kepada Sunan Kali Jaga di Demang. Maka oleh Sunan Kali Jaga di ajarnyalah akan Adipati Semarang itu dengan ilmu yang sebenar2nya kemudian maka Adipati Semarang pun membuang kerajaan.
Adapun yang di jadikannya raja itu ialah saudaranya yang tua maka di namainya akan saudaranya itu Adipati Semarang. Kemudian sampai berapa tahun lamanya ia membuang kerajaan itu maka iapun pindahlah ke Tembayat maka di namai akan dia Sunan Tembayat.
Dipetik dari: مهدي اسلام
Sumber: Hikayat Tanah Jawa
Manuskrip British Library
No comments:
Post a Comment