Suatu
 petang dalam tahun 1960, datuk yang sudah menjangkau usia 57 tahun, 
membersihkan senapang kampung berlaras satu di anjung rumahnya. Dengan 
tenang dia berkata pada saya “Kamu usah jadi pemburu.” “Kenapa tok?” Dia
 tidak menjawab. Datuk terus menimang-nimang senapangnya. Kemudian datuk
 ambil golok perak. Dia mengasah golok di batu dekat kepala tangga. Dan 
saya masih menanti jawapan dari datuk. “Aku tak mahu cucu-cucu aku jadi 
pemburu,” tiba-tiba datuk bersuara. Dia duduk di anjung rumah kembali. 
Mendengar cakapnya itu saya buat keputusan tidak akan mengajukan 
sebarang pertannyaan padanya. Datuk mudah naik darah, kalau selalu 
ditanya atau disoal. Dia juga tidak suka orang membangkang cakapnya, 
terutamanya dari anak-anak cucunya sendiri.
Datuk
 memang handal memburu. Tidak ramai orang kampung Mandi Upeh macam 
datuk. Cukup asyik dengan kegemaran memburunya, hampir seluruh hutan 
Jajahan Dinding dijelajahnya. Orang-orang kampung menganggap datuk bukan
 pemburu sebarangan. Pemburu yang ada isi, kalau tidak masakan dia 
berani masuk ke dalam hutan yang tidak pernah didatangi oleh manusia. 
Datuk tidak menembak sebarangan pada binatang-binatang buruannya. Dia 
akan memilih tepat dikening diantara kedua-dua kening binatang itu. Dan 
setiap kali datuk masuk ke hutan dia akan memulakan langkah kaki kiri 
dahulu. Kedua belah tumitnya tidak memijak bumi, kecuali sesudah lima 
tapak melangkah. Lepas itu datuk berhenti dia membaca sesuatu, lalu 
mematah ranting kayu yang berada di bawah ketiak kanannya. 
Dilemparkannya sebelah kiri.
Datuk dapat senapang bukan kerana 
dia HomeGuard atau AP. Dia minta sendiri pada kerajaan dengan alasan 
mahu menjaga tanahnya yang seluas lima belas ekar yang ditanam dengan 
getah, durian dari serangan monyet dan babi hutan. Pemintaan datuk 
dipenuhi oleh Inggeris, sesudah pegawai polis, tuan DO serta penghulu 
dan ketua kampung memeriksa tanah datuk. Datuk beli senapang dari 
Taiping dalam tahun 1949. Sejak itulah datuk giat memburu dengan 
senapang. Sebelum itu datuk hanya berburu dengan membuat jerat dan 
sebagainya. Banyak perkara-perkara aneh yang datuk lalui sepanjang 
kariernya. Dan saya antara cucu yang selalu mendengar cerita-cerita 
datuk itu, kerana saya selalu menolongnya mencangkul di kebun, 
kadang-kadang menjadi temannya ke surau. Datuk terlalu sayangkan saya, 
kerana saya adalah cucu lelakinya yang pertama dari anak sulungnya iaitu
 ibu saya. Saya tahu apa kelemahan datuk dan kegemarannya. Dia pemurah 
dan suka mendengar orang mengaji Quran, kebetulan pula saya cucunya yang
 agak terkenal membaca al-Quran di kampung itu. Datuk tidak kedekut 
mengeluarkan wangnya untuk memberikan pada orang mengaji tapi datuk 
tidak memberikannya sendiri melainkan melalui saya.
Biasanya, 
kalau datuk suruh beri sepuluh ringgit, saya hanya memberikan separuh 
saja, yang separuh lagi masuk saku saya. Pernah datuk bercerita pada 
saya: Suatu ketika datuk dan kawan-kawannya masuk hutan dekat dengan 
Gunung Tunggal di Kawasan Segari berhampiran dengan Pantai Remis. 
Kawasan itu tidak pernah dimasuki oleh manusia. Datuk dan kawan-kawannya
 berjaya menembak beberapa ekor binatang. Kerana terlalu asyik memburu, 
tanpa disedari datuk telah terpisah dengan seekor rusa besar. Datuk 
mengikutnya dengan teliti. Datuk memintas rusa itu sebelah kiri dan 
mengambil tempat di sebalik pokok besar. Datuk menghala muncung senapang
 pada kepala rusa. Dia yakin sasarannya akan tepat pada tempat yang 
dimahunya. Tetapi rusa itu bagaikan mengerti dan mempunyai pengalaman. 
Dia mempermainkan datuk, macam mempermainkan kucing. Rusa merendahkan 
badannya kemudian menyelinap di depan datuk dan terus hilang.
Datuk
 terkejut dan bercampur hairan, tapi datuk bukanlah manusia yang mudah 
putus asa. Dia mencari kesan jejak rusa itu. Diperhatikannya ke arah 
mana tapak rusa itu lari. Dia mencium daun-daun kering yang terdapat di 
situ. Akhirnya, datuk merapatkan telinganya dengan bumi. Dia mengeluh, 
ternyata kesan rusa itu sukar diperolehinya. Waktu datuk 
berpusing-pusing di situ, seekor rusa lain muncul di depan datuk. Rusa 
itu jauh lebih besar dan tegap dari rusa yang pertama tadi. Matanya 
berkilau-kilau bagaikan menentang mata datuk yang terbeliak kerana 
terkejut. Datuk tidak melepaskan peluang dan terus melepaskan tembakan. 
Datuk gembira, tembakannya tepat mengenai kening rusa itu. Dia mencabut 
golok perak di tangan untuk menyembelih rusa. Golok ditayangkan di depan
 matanya. Datuk membaca sesuatu dan menghentakkan ulu golok ke tanah.
Bila
 datuk memulakan langkah. Rusa itu segera bangun. Di depan mata datuk 
sekarang wujud dua ekor rusa. Serentak dengan itu dada datuk berdebar. 
Dia mula terasa ada sesuatu yang kurang baik akan terjadi. Datuk 
terdengar kokok ayam hutan. Datuk melepaskan tembakan. Kena pada salah 
seekor rusa itu di kening. Rusa itu rebah dan bangun kembali menjadi 
tiga ekor. Datuk yakin ada sesuatu kejadian yang lain di sebalik 
semuanya itu. Tapi, datuk bukannya manusia lemah semangat, kalau tidak 
masakan dia berani meninggalkan kampung halamannya di Aceh, berperahu ke
 Pengkalan Bharu dan bermukim di kawasan Bruas. Datuk terus menembak 
bertalu-talu. Rusa terus menjadi tiga,empat,lima,enam dan tujuh. Kokok 
ayam hutan bertambah nyaring.
Daun-daun
 hutang di keliling datuk bergerak-gerak bagaikan digoncang orang. Tanah
 yang dipijaknya jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk menumbuk tanah 
dengan tangan kiri. Dirasa daging pangkal lehernya bergerak-gerak. Datuk
 senyum. Dia tahu perkara ini mesti dihadapi dengan cara lain. Dia 
teringat pesanan arwah neneknya dari tanah seberang, kalau berburu 
binatang dan terasa daging pangkal leher bergerak, alamatnya yang diburu
 bukan binatang lagi, tapi boleh jadi penunggu hutan atau syaitan dan 
orang bunian. Datuk letakkan senapang atas tanah. Dia duduk bertafakur 
mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera yang diamalkannya. 
Melalui pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat dengan jelas, 
bahawa rusa itu adalah jin penunggu hutan itu.
Muka datuk jadi 
merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya rapat-rapat. Mata datuk 
tidak berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri lembaga berbadan besar,
 matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit. Giginya besar, 
dua giginya di sebelah kiri dan kanan terjulur keluar, macam gading 
gajah. Dia diapit oleh enam jin yang sama hebat dengannya.
“Kurang ajar, manusia laknat,” suara itu bergema, daun-daun hutan bergerak macam ditiup angin.
Datuk diam bertafakur.
“Kau
 tahu kesalahan kau manusia ?” Tambah suara itu . Belakang datuk terus 
dibasahi peluh. Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang-lubang 
kelemahan tubuhnya dengan ilmu batin yang dipusakainya dari arwah 
neneknya, hingga jin itu tidak berpeluang menyatukan dirinya ke dalam 
tubuh datuk.
“Tidak,” jawab datuk dengan berani.
“Kau masuk ke dalam kawasan larangan ku.”
“Aku sudah meminta kebenaran.”
“Aku tidak membenarkan.” Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur bergerak-gerak.
“Kalau
 kau tidak membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa aku 
masuk tadi.” Cukup tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi 
semuanya.
“Kau manusia biadap,” pekik jin itu, pokok hutan bergerak-gerak.
 
 
No comments:
Post a Comment