Pages

Friday 10 June 2016

PERINGATAN DARI TEMBOK YANG BERKATA-KATA

Ada diriwayatkan terdapat dua sahabat berjiran tetangga yang saling bertengkar mengenai hak mereka terhadap sebidang tanah.Dalam keadaan bertengkar begitu,terdapat pada dinding tembok itu batu bata merah di atas tanah yang direbutkan itu berkata sesamanya sendiri:

"Tahukah kamu bahawa diriku ini asalnya ialah seorang raja yang berkuasa diatas dunia ini selama seribu tahun,lalu aku pun mati.

Maka hancurlah tulang belulangku berserakan selama seribu tahun pula.
Kemudian tanah liat yang bercampur dengan belulangku dijadikan barangan tembikar,tetapi lama kelamaan tembikar itu pun pecah dan aku pun tinggal selama seribu tahun lagi ditanah pembuangan.
"Selepas itu,aku dipungut semula oleh pembuat batu bata maka dijadikanlah batu bata seperti keadaan aku....."

Maka apabila kedua sahabat yang berjiran tetangga ini mendengar cakap dari batu bata tembok itu,terdiamlah mereka dan insaflah mereka dengan apa yang hendak direbutkan itu hanya sebidang sekangkang kera,sedangkan sebahagian batu bata berkenaan adalah sisa dari seorang maharaja yang berkuasa lebih seribu tahun diatas dunia ini.

Kerana itu janganlah kita bersifat tamak haloba.Dan andai kita berharta dan menjadi jutawan,mempunyai kedudukan tinggi dan berkuasa,janganlah bermegah dan menyombong diri.

Mungkin tulang belulang kita satu ketika nanti akan turut bercampur gaul dengan tanah-tanah liat dan akan diambil oleh pembuat batu bata untuk dijadikan tembok atau barangan tembikar seperti yang dialami oleh maharaja yang berkuasa selama seribu tahun ini.

Dengarkanlah pesanan para cendekiawan yang menasihatkan kita sebagai berikut:
"Andai dunia ini daripada emas tetapi ianya akan fana(musnah)dan akhirat pula dari tembikar tetapi ianya kekal abadi ,maka bagi orang yang berakal dan zuhud,pasti tidak menginginkan emas dan intan yang akan musnah,melainkan mereka tetap memilih yang kekal(akhirat)walaupun ianya dari tembikar sekalipun."

Terjemahan kitab
"Mengetahui hakikat sesuatu Yang Diingat"
Oleh Imam Al-Qusyairi.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment