Pages

Saturday 25 June 2016

Perang Badar al Kubra siri akhir.

Seramai lebih kurang 70 orang tentera musyrikin telah berjaya dibunuh dan di antara mereka ialah : 'Utbah dan Syaibah, keduanya adalah anak-anak Rabi'ah, al- Walid bin 'Utbah. Mereka dibunuh ketika pertempuran satu lawan satu. Kemudian antaranya lagi ialah, Abu Bahturi bin Hisyam dan al-Jarrah iaitu bapa kepada Abu 'Ubaidah. Beliau dibunuh oleh anaknya sendiri iaitu Abu 'Ubaidah.

Selepas ia cuba mengelakkan diri daripada ayahnya, tetapi oleh kerana ayahnya berdegil akhirnya Abu 'Ubaidah terpaksa juga membunuh ayahnya sendiri.

Umayyah bin Khalaf dan juga anaknya 'Ali juga telah dibunuh oleh Bilal bin Rabah dan 'Ammar bin Yasir. Dendam mereka pada Umayyah bin Khalaf disebabkan penyiksaan yang teruk yang telah dilakukannya terhadap mereka berdua ketika di Mekah. Kemudian Hanzhalah bin Abu Sufian dan Abu Jahal bin Hisyam. Ditentang hebat oleh dua remaja Ansar kerana mereka mendengar bahawa Abu Jahal amat menyakiti Rasulullah SAW. Dan kematiannya disegerakan oleh Abdullah bin Mas'ud.

Naufal bin Khuwailid juga dibunuh oleh Ali bin Abi Talib. Turut terbunuh ialah 'Ubaidah dan al- 'As, bapa kepada Abu Uhaihah Sa'id bin al-'As bin Umayyah, dan ramai lagi.

Bilangan orang-orang musyrikin yang berjaya ditawan juga bilangannya 70 orang. Dan antara tawanan yang dibunuh ketika dalam perjalanan pulang ialah 'Uqbah bin Abu Mu'aith dan al-Nadr bin al-Harith. Ketika di Mekah mereka berdua adalah di kalangan mereka yang melakukan penghinaan yang dasyat terhadap Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW mengarahkan agar mereka yang terbunuh diletakkan di dalam telaga Badar, dimana tempat itu telah ditunjukkan oleh Baginda SAW sebelum berlakunya peperangan lagi. Apabila 'Utbah iaitu bapa kepada Abu Huzzaifah (Abu Huzzaifah adalah antara sahabat yang awal memeluk islam ) di campakkan kedalam telaga, maka muka Abu Huzzaifah berubah. Rasulullah SAW memahami perkara tersebut lalu bertanya : " kemungkinan terdapat sesuatu di dalam fikiran kamu mengenai ayahmu ?"
Beliau menjawab : " Tidak, demi Allah! Tetapi apa yang berlaku ialah aku mengetahui bapaku mempunyai pandangan yang bernas, lemah lembut dan berkelebihan. Sebelum ini aku mengharapkan Allah memberikan hidayat-Nya kepadanya, dan apabila aku melihat dia mati dalam keadaan sekarang, maka aku merasa sedih."
Maka Rasulullah SAW mendoakan kebaikan untuknya ( Abu Huzzaifah ).

Manakala para syuhada seramai 14 orang dan mereka adalah :

1. Haritha bin Suraqa al-Khazraji r.a
2. Dhush-shimaalayn ibn ‘Abdi ‘Amr al-Muhajiri r.a
3. Rafi’ bin al-Mu’alla al-Khazraji r.a
4. Sa’d bin Khaythama al-Awsi r.a
5. Safwan bin Wahb al-Muhajiri r.a
6. Aaqil bin al-Bukayr al-Muhajiri r.a
7. Ubayda bin al-Harith al-Muhajiri r.a
8. Umayr bin al-Humam al-Khazraji r.a
9. Umayr bin Abi Waqqas al-Muhajiri r.a
10.Auf bin al-Harith al-Khazraji r.a
11.Mubashshir bin ‘Abdi’l Mundhir al-Awsi r.a
12.Mu’awwidh bin al-Harith al-Khazraji r.a
13.Mahja’ bin Salih al-Muhajiri r.a
14.Yazid bin al-Harith bin Fus.hum al-Khazraji r.a

Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan supaya bersiap sedia untuk pulang. Baginda SAW menunggang tunggangannya dan berhenti di pinggir telaga yang dicampakkan mayat-mayat musyrikin ke dalamnya lalu menyeru nama-nama mereka dan bapa-bapa mereka : " Wahai sifulan bin sifulan, wahai sifilan bin sifulan, apakah kamu tidak merasa gembira sekiranya kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya? Sesungguhnya kami telah mendapati apa yang dijanjikan oleh tuhan kami sebagai suatu kebenaran. Apakah kamu mendapati apa yang dijanjikan oleh tuhan kamu sebagai suatu kebenaran?."
Umar berkata : " Wahai Rasulullah! Apakah kamu bercakap dengan jasad yang tidak mempunyai roh?"
Baginda SAW menjawab : " Demi tuhan yang Muhammad berada didalam genggaman-Nya ! Kamu semua bukanlah orang yang paling kuat pendengarannya daripada mereka terhadap apa yang aku ucapkan. ( maksudnya mereka mendengar apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW ).

Kemudian Rasulullah SAW menghantar beberapa orang muslimin untuk menyampaikan berita gembira ke Madinah. Baginda SAW menghantar Abdullah bin Rawahah kepada penduduk al 'Aaliyah iaitu mereka yang mendiami kawasan tanah tinggi Madinah, manakala Zaid bin Harithah kepada penduduk al-Saafilah iaitu mereka yang mendiami kawasan tanah rendah Madinah.

Dalam waktu yang sama juga, Ruqqayyah binti Rasulullah SAW isteri kepada 'Uthman bin Affan telah meninggal dunia dan selamat dikebumikan apabila penyampaian berita gembira sampai kepada penduduk Madinah.

Ketika Rasulullah SAW dan tentera-tentera Muslimin hampir sampai ke Kota Madinah, mereka telah disambut oleh anak-anak gadis yang masih kecil sambil memukul kompang sambir bersyair :
   " Bulan purnama telah menyinari kami
Dari celah-celah bukit Thaniyyah al Wada'
     Kewajipan kami ialah bersyukur
Disebabkan seruannya kepada Allah
     Wahai orang yang diutuskan kepada kami
Kamu datang dengan membawa perkara yang ditaati."

Tamat.

No comments:

Post a Comment