Pages

Friday 3 August 2012

NABI LUTH

“Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu. Si gadis yang sedari tadi begitu leka mencedok air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi.

Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.

Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa. Pasti anak muda itu menjadi mangsa untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Pada mereka, wanita tidak ada daya tarikan langsung. Lelaki hanya untuk lelaki, manakala wanita untuk wanita.

“Apa yang harus aku jawab kepada mereka,” bisik si gadis itu sendiri. Dia menjadi begitu serba salah.

“Apakah kedatangan kami ini menganggu saudari?” tanya pemuda itu kembali. ”

” Oh tidak. Tapi… bolehkah tuan-tuan tunggu di sini sebentar. Biar saya maklumkan dahulu kepada bapa saya,” balas si gadis terputus-putus. Dia mencapai bekas air yang hampir penuh dan pulang dengan tergesa-gesa.

Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth.

Baginda amat mengerti apakah akibatnya seandai kedatangan para tetamunya itu diketahui oleh kaumnya. Namun tabiatnya yang suka menerima tetamu, tetap kuat mendesak meskipun risiko yang terpaksa diterimanya sangat tinggi. Hari sudah menjelang malam, baginda sendiri pergi menjemput para tetamunya itu.

Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar. Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya.

Sebaik sahaja mendengar berita yang menarik dan sangat ditunggu-tunggu itu, bergegas dan berpusu-pusulah mereka ke rumah Nabi Luth.

“Wahai Luth! Bukakan pintu ini dan serahkan anak-anak muda itu kepada kami. Kami sangat memerlukan mereka. Buka pintu ini cepat!” Salah seorang daripada mereka terjerit-jerit sambil menendang daun pintu rumah Nabi Luth.

“Wahai Luth! Engkau larang kami dari mendekati anak muda, sebaliknya engkau sendiri menyimpan tiga orang pemuda,” jerit satu suara yang lain.

“Ya Allah, selamatkanlah kami,” doa Nabi Luth sambil memandang ke arah para tetamunya.

“Wahai kaumku! Aku ada anak gadis. Aku bersedia mengahwinkan kamu dengan mereka sekiranya kamu mahu. Tinggalkanlah perlakuan buruk kamu selama ini. Dan janganlah kamu ganggu para tetamu kami ini.”
Nabi Luth tidak henti-henti menasihati kaumnya.

“Ah! Usah hendak bersyarah di sini. Kami ke mari bukan untuk mendengar leteranmu. Kami ke sini untuk bersuka ria.” Suara-suara mereka kian tegas dan semakin tidak terkawal.

“Hai Luth! Engkau sememangnya tahu kami tidak perlu kepada wanita. Tapi kami yakin engkau tahu apa yang kami perlukan sekarang.”

“Baik engkau serahkan mereka kepada kami segera. Kalau tidak kami akan pecah-pecahkan pintu ini.”

Nabi Luth tahu kemungkaran apa yang akan terjadi sekiranya tetamunya jatuh ke tangan mereka yang telah tenggelam dalam perlakuan yang melampaui batas itu. Baginda juga sedar, kalau dipertahankan sekalipun, mereka pasti cuba untuk menceroboh masuk. Kini, apa yang mampu dilakukan oleh Nabi Luth hanyalah berdoa kepada Allah SWT. Hanya kepada Allah sahajalah tumpuan terakhir, tempat baginda berserah diri dan bergantung harap.

Namun baginda dapati suatu keanehan; tiada terbayang walau sedikit pun tanda-tanda kebimbangan pada wajah para pemuda itu. Mereka kelihatan begitu tenang dan bersahaja.

“Wahai Luth! Usah khuatir dengan ugutan mereka,” kata salah seorang daripada pemuda itu. Nabi Luth seakan-akan tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh salah seorang tetamunya. Baginda memandang tepat ke arah pemuda yang bersuara itu. Bunyi ketukan pada pintu bertambah kuat dan keras.

“Wahai Nabi Allah! Sebenarnya kami adalah malaikat utusan Tuhanmu. Kami jamin mereka tidak akan dapat mengganggu kamu. Bawalah keluarga dan pengikutmu keluar dari sini di akhir malam ini kecuali isterimu kerana dia termasuk golongan yang derhaka.”

Kini, barulah Nabi Luth sedar bahawa pembalasan dari Allah ke atas sikap keterlaluan kaumnya telah hampir tiba… Tepat ketika seperti yang ditentukan oleh Allah, penglihatan kaum yang derhaka itu ditarik, dan serta-merta segalanya makin kelam, hitam. Setiap mata telah menjadi buta. Akibatnya, keadaan menjadi hingar-bingar dan bercelaru. Masing-masing jadi buntu dan hilang haluan, lantas bertembung antara satu sama lain.

Menjelang Subuh, tatkala Nabi Luth, beberapa keluarga dan pengikutnya sudah berada agak jauh dari sempadan kota Sadum, maka turunlah azab Allah SWT. Allah memerintahkan malaikat memotong kedua-dua belah sempadan bumi warga Sadum itu dengan kedua-dua sayapnya. Kemudian bumi itu dijulang tinggi ke langit dan diterbalikkan bahagian yang atas ke bawah, yang bawah ke atas, lalu dihempas sekuat-kuatnya ke dasar bumi. Hancur berkecailah kota Sadum dan turut terkuburlah sama para pengamal homoseks di perut buminya.

Kemudian kawasan itu dihujani pula oleh batu-batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi. Dan di dataran itu jugalah akhirnya terbentuknya sebuah lautan. Lautan yang digelar sebagai `Laut Mati`. Ia adalah lambang kebesaran kerajaan Tuhan, juga sebagai tanda keadilan-Nya di dunia lagi agar manusia sentiasa mengagungkan dan membesarkan syariat-Nya.


KESAH SEPENUHNYA.

Ketika Nabi Ibrahim meninggalkan Mesir, menuju Palestin, turut serta pula anak saudaranya, iaitu Nabi Lut. Tetapi tak lama kemudian, desakan penghidupan memaksa kedua dua Nabi ini berpisah. Nabi Lut lalu menetap di sebuah dusun yang bernama Sadum, di kawasan Palestin juga.


Adapun penduduk kampung itu luarbiasa nakal dan rosak perangainya. Mereka berlumba lumba mengerjakan kejahatan, segala rupa kejahatan: merompak, membunuh teman sendiri, menganiaya sesama manusia, sehingga tidak seorang pun dari orang lain yang dapat lalu di situ, melainkan dirompak mereka.


Salah satu sifat yang paling busuk yang menjadi adat dan kebiasaan hidup mereka, ialah bahawa suka mengerjakan pekerjaan yang hina dina, iaitu melepaskan syahwat terhadap orang lelaki, sedangkan terhadap perempuan tidak ada sedikitpun menarik hati dan kegemaran mereka.


Bertentangan dengan tabii alam yang biasa, dimana kaum lelaki dengan segala kepandaian dan kekuatan merebutkan perempuan cantik untuk dijadikan isteri, tetapi mereka ini tidaklah tertarik sedikit juga hatinya terhadap kaum wanita yang bagaimanapun juga cantik dan moleknya, Yang mereka rebutkan, sampai dengan menghabiskan harta dan menumpahkan darah, ialah orang orang lelaki sendiri lebih lagi pemuda pemuda yang gagah dan cantik, untuk dijadikan teman hidup dan pelepas hawa nafsu mereka.


Jika ada pemuda yang lalu ke kampung mereka, pasti pemuda itu mereka goda dan diperebutkan, kadang kadang sampai dengan menumpahkan darah, antara satu sama yang lain.
Dapatlah digambarkan, bagaimana buruk dan celakanya nasib wanita di saat itu. Tidak ada orang suka kepada mereka, tidak ada yang menghiraukan. Mereka terpaksa mengerjakan hal hal yang tak layak pula dengan sesama wanita sendiri untuk sekadar menghilangkan nafsu berahi mereka sebagai wanita. Kerusakan masyarakat sungguh hebat dan merata di seluruh pelusuk dan lapisan.


Demikianlah hidup mereka puluhan tahun lamanya. Kejahatan dan kemesuman itu bukan semakin berkurang, sebab tidak seorang juga di antara mereka yang mahu menurutkan nasihat orang lain. Bahkan kejahatan dan kemesuman itu semakin menjadi jadi, sehingga keluar dari batas perikemanusiaan samasekali.
Terhadap kaum yang begitu itulah, akhirnya Allah menurunkan perintah kepada Nabi Lut dengan perantaraan wahyuNya. Perintah untuk membimbing kaum yang sesat kepada menyembah Allah, menjauhi segala kejahatan dan kemesuman, menghentikan semua kemungkaran yang sudah menjadi tabiat dan adat mereka itu.


Tetapi, semua ajaran dan peringatan Nabi Lut itu tidak dapat masuk dalam telinga dan hati mereka. Kejahatan dan kemesuman mereka lakukan terus, bahkan semakin hebat dan hebat juga. Nabi Lut dengan tabah tak bosan bosannya memberikan nasihat nasihat dan pengajaran kepada mereka, diingati dengan ancaman azab Allah. Tetapi semua itu mereka permudahkan malah mereka ejek saja.
           



Akhirnya Nabi Lut mendoa ke hadhrat Allah, minta agar kaumnya yang sesat itu ditunjuki. Dan kalau sudah nyata nyata tidak akan dapat ditunjuki dan diajari samasekali lagi, Nabi Lut minta agar kepada mereka diturunkan ajaran yang tidak berupakan nasihat dan kata kata saja, tetapi dikirimkan azab yang sengeri ngerinya, agar dengan azab itu mereka insaf kembali atau musnah samasekali. Sebab tidak ada gunanya hidup mereka di muka bumi ini, selain dari menambah kerusakan dan kejahatan saja.


Doa Nabi Lut ini didengar dan dikabulkan Tuhan. Tuhan mengutus beberapa Malaikat untuk menurunkan seksa terhadap kaumnya Nabi Lut yang derhaka dan tak mahu ditunjuki itu. Malaikat malaikat itu mula mulanya turun dan singgah di rumahnya Nabi Ibrahim dengan berbentuk manusia. Mula mula Nabi Ibrahim mengira yang Malaikat malaikat itu manusia biasa yang bertamu ke rumahnya. Mereka diperlakukan Nabi Ibrahim sebagai tamu. Tetapi Malaikat malaikat itu menerangkan yang bahwa mereka adalah Malaikat yang diutus Allah ke kampung Nabi Lut, untuk menurunkan seksa yang sehebat hebatnya terhadap mereka yang engkar itu.


Alangkah terperanjat Nabi Ibrahim mendengarkan seksa yang akan datang itu, dan meminta kepada Malaikat malaikat itu untuk menunda datangnya seksa itu, dengan harapan mudah mudahan mereka kembali dari kejahatan mereka.
       
Tetapi dengan tegas dijawab oleh Malaikat malaikat yang datang itu, bahawa kepada mereka sudah dikirim Nabi Lut untuk mengembalikan mereka dari kesesatannya. Sayang mereka tidak mendengarkan ajakan Nabi Lut itu, sehingga semua usaha dan daya sudah dipandang cukup. Dan ditegaskan pula bahwa Nabi Lut serta orang orang yang percaya akan terlepas dari seksa itu. Sedang isteri Nabi Lut sendiri pun akan turut pula merasakan seksa hebat itu, karena dia termasuk orang orang yang engkar dan tidak menurutkan kebenaran Nabi Lut.


Malaikat malaikat itupun meninggalkan rumah Nabi Ibrahim, pergi menuju ke desa Sadum yang derhaka itu dengan berbentuk manusia yang masih muda belia dengan wajah yang cantik molek dan menarik. Di tengah jalan Malaikat malaikat itu bertemu dengan seorang anak perempuan yang sedang mengambil air minum. Kepada anak perempuan itu, Malaikat malaikat itu minta supaya diperlakukan sebagai tetamu di rumahnya. Oleh anak perempuan itu diterangkan akan tabiat penduduk kampungnya sendiri yang penuh dengan kejahatan, lebih lebih kalau melihat dan mengetahui akan lelaki yang berwajah cantik, pasti timbul perkosaan dan pencemaran dengan segala cara yang mesum mesum. Maka sebelum menerima permintaan tetamu yang terdiri dari dua orang pemuda yang cantik molek, anak perempuan ini minta izin lebih dahulu kepada tetamunya untuk memberitahukan dan bermusyawarah dengan bapanya.


Anak perempuan itupun pulang ke rumahnya memberitahukan kepada bapanya dengan berkata: Ya bapaku, di sana di pintu masuk ke kota ini, ada dua orang lelaki, yang belum pernah saya lihat penduduk kampung kita ini sebaik dan secantik kedua mereka itu. Keduanya ingin bermalam di rumah kita. Tetapi saya takut kalau diketahui oleh penduduk kampung kita ini, beradanya mereka di tempat kita ini.
Bapa ini adalah Nabi Lut sendiri, sedang anak perempuan itu adalah anaknya Nabi Lut.
Alangkah terkejutnya Nabi Lut mendengar khabar ini. Setelah bertanyakan akan keadaan kedua orang itu, Nabi Lut memberikan nasihat kepada anaknya bagaimana cara caranya agar tetamu itu tidak sampai diketahui oleh penduduk kampungnya.
       
Mula mula Nabi Lut agak keberatan menerima kedua pemuda itu menjadi tetamu di rumahnya sendiri, takut kalau-kalau diketahui rakyat dan pasti akan mendatangkan kecelakaan besar bagi tamu dan dirinya sendiri. Tetapi kerana rasa perikemanusiaan, dia tidak sampai hati untuk menolak tetamu yang ingin menumpang dan bermalam di rumahnya.
Akhirnya Nabi Lut dengan diam diam dan sembunyi sembunyi agar jangan dilihat orang, ingin berjumpa sendiri dengan kedua pemuda yang bertamu itu.
Setelah bertemu, lalu Nabi Lut menasihatkan supaya kedua pemuda itu berhati hati sekali, jangan diketahui orang dan jangan sampai menumpang di rumah orang lain di desa itu, agar jangan diperkosa dan menjadi mangsa nafsu dan kemesuman mereka. Nabi Lut bersedia membawa mereka bermalam dan menjadi tetamu di rumahnya sendiri, tetapi harus berhati hari benar.


Dengan rasa khuatir dan waswas yang memuncak, tetamu itupun dibawanya pulang dengan diam diam dan sembunyi sembunyi. Tetapi malang baginya, dalam pada itu isteri Nabi Lut sendiri, telah mengetahui akan kejadian ini dan telah menyiarkan kedatangan tetamu itu kepada penduduk kampungnya.
Alangkah terkejutnya Nabi Lut, setelah dia dan tetamu itu sampai di rumahnya sendiri, penduduk kampungnya sudah berkerumun mengepung rumahnya, ingin mendapatkan lelaki yang cantik yang menjadi tamu Nabi Lut itu untuk pelepas nafsu mereka sebagai yang diterangkan di atas tadi.
Tidak ada lain bagi Nabi Lut untuk menghindarkan kemesuman yang akan terjadi, selain memberi nasihat kepada mereka sekali lagi, agar mereka kembali ke jalan yang henar, meninggalkan pekerjaan yang keji dan mesum itu serta takut kepada seksaan Allah yang mungkin datang.


Semua nasihat Nabi Lut itu hanya melayang di udara, tidak satu pun yang dapat masuk dalam telinga dan otak mereka. Malah di saat Nabi Lut memberi nasihat itupun sebahagian mereka sudah bersiap untuk menyerbu merebutkan dua pemuda yang menjadi tetamu Nabi Lut itu. Melihat keadaan yang genting itu, Nabi Lut dengan segera menutup pintu rumahnya, serta menguncinya dari dalam, agar tidak seorang pun dari mereka itu yang dapat masuk ke dalamnya.
       

Kembali Nabi Lut menasihati mereka melalui sebuah jendela, agar mereka penduduk yang sesat itu kembali kepada isteri mereka masing masing, yang sudah diajarkan halal bagi mereka. Membuang adat yang kotor itu sejauh jauhnya, dan memperingatkan, bahawa kalau mereka tak menurutkan nasihatnya akan datang seksa Tuhan yang sehebat hebatnya.
Nasihat Nabi Lut ini mereka jawab dengan berkata: Hai Lut, kami tidak tertarik kepada anak anak perempuan engkau, kami tidak hendak dan tak ingin terhadap perempuan, engkau sudah tahu apa apa yang kami ingini itu.
Nafsu mereka sudah tiba di puncak matahari dan perasaan mereka sudah tertutup oleh nafsu yang memuncak itu, sehingga nasihat yang bagaimana juga pun hebatnya tidak akan terdengar lagi oleh telinga mereka, tidak akan diterima lagi oleh akal mereka. Mereka semakin mendesak memaksa masuk ke rumah Nabi Lut. Mereka masuk lantas menyerbu terhadap tetamu yang dua orang itu, berebutan sebagai binatang buas.


Melihat hal yang demikian itu, kedua orang tetamu itu, iaitu Malaikat malaikat yang diutus Tuhan itupun berkata kepada Nabi Lut: Hai Lut, janganlah khuatir benar, kami ini Malaikat yang diutus Allah untuk mengabulkan doa engkau dan melepaskan engkau dari bahaya besar ini, mereka tidak dapat berbuat apa apa terhadap engkau dan kami, mereka malah akan dapat dihancurkan. Barulah hilang ketakutan dan kekhuatiran Nabi Lut. Dengan sekejap mata, Nabi Lut, anak perempuannya, dua Malaikat itu sendiri beserta orang orang yang beriman dengan Lut, dapat melepaskan diri dari kepungan kaum derhaka itu. Nabi Lut dan pengikut pengikutnya diperintahkan Malaikat itu untuk meninggalkan desa yang keparat itu, dan tidak dibolehkan membawa isterinya sendiri, karena isterinya termasuk mereka yang akan menerima seksa.


Seperginya Nabi Lut dan sahabat sahabatnya, maka turunlah seksa Tuhan atas desa dan penduduk desa itu. Mula mula sekali bergoncanglah bumi dengan sehebat hebatnya, sehingga runtuh segala gubuk dan gunung, segala gedung gedung dan rumah rumah. lalu turun hujan batu yang sehebat hebatnya. Sehingga dalam sekejap mata saja, datarlah kampung itu dan lenyaplah semua penduduk yang jahat, engkar dan derhaka itu.
Firman Allah: Kejadian itu adalah satu ayat Allah, tetapi banyak orang yang tidak percaya.


Sungguh hebat dan mengerikan sekali siksa Tuhan yang ditimpakan kepada kaum Lut, kerana kejahatan yang mereka lakukan adalah puncak segala kejahatan, , bahkan puncak dari segala perbuatan. Pembunuhan, perzinaan, perompakan semuanya itu adalah perbuatan zalim, perbuatan yang menjatuhkan darjat manusia. Tetapi melepaskan nafsu berahi (sexual) antara sesama lelaki atau sesama wanita, adalah lebih zalim dari semua kezaliman kezaliman yang tersebut di atas ini. Binatang pun tak pernah melakukan kezaliman semacam ini.


Bagaimanakah jadinya masyarakat manusia kalau kezaliman seperti itu bermaharajalela dan merata? Akibatnya ialah terhentinya keturunan, manusia akan lenyap dari permukaan bumi. Bumi akan kosong dari makhluk yang bernama manusia. Bumi akan didiami hanya oleh binatang binatang lata.
Ya, sampai demikianlah jahatnya manusia berakal kalau dibiarkan, kalau tak mahu menurutkan pimpinan Allah dengan perantaraan para Nabi dan RasulNya. Manusia akan kehilangan rasa malu, bila meninggalkan pimpinan Allah dan RasulNya. Tanpa perasaan malu, manusia akan menjadi lebib rendah daripada binatang yang tak punya akal.


Nabi Lut beserta kedua orang puterinya beserta orang orang yang beriman dengannya dihindarkan Allah dari seksa hebat itu, kerana mereka orang orang beiman. Tetapi isteri Nabi Lut turut musnah kerana dia termasuk golongan orang orang yang kafir itu.
Tetapi sayang, dalam Bible Perjanjian Lama, Kitab Kejadian 19, ayat 30 sampai 38, dicantumkan cerita yang sangat menodai akan kesucian Nabi Lut dan kedua orang puterinya. Tercantum disitu, bahwa kerana semua lelaki sudah musnah, sedang puteri itu menginginkan turunan yang baik, lalu kedua puteri itu bersepakat untuk memberikan minuman tuak yang memabukkan kepada Nabi Lut, agar Nabi Lut menjadi mabuk (hilang akal atau kesedarannya). Di saat Nabi Lut kehilangan kesedaran itu, lalu kedua puterinya itu mengajak bapanya sendiri iaitu Nabi Lut untuk bersetubuh (Nauzu Billah), agar mendapatkan keturunan dari bapanya sendiri.


Alangkah kotor dan mesumnya cerita yang demikian ini, tertulis dalam sebuah kitab yang mereka anggap suci. Nabi Muhammad diutus membawa Kitab Suci al-Quran di antara lain adalah untuk membersihkan nama dari setiap Nabi dan Rasul Allah, termasuk Nabi Lut dan kedua puterinya itu.
Firman Allah dalam al-Quran: Sesungguhnya Lut adalah seorang dari orang orang yang diutus. Ertinya salah seorang Rasul dari Rasul rasul Allah yang suci dan murni. Tidaklah mungkin seorang Rasul Allah akan minum tuak yang haram dan terlarang, akan mabuk hilang akal dan kesedaran, apalagi akan berbuat mesum dengan puterinya sendiri. Sungguh satu tuduhan palsu yang sangat maksum. Umat Islam wajib membela nama dan kesucian Nabi.

No comments:

Post a Comment