Pages

Tuesday 28 August 2012

BERTEMU DENGAN PENUNGGU BABI HUTAN.

Percakapan datuk dengan jin semakin hangat, secara perlahan-lahan percakapan itu bertukar kepada pertarungan kebatinan. Kemampuan dan kekuatan datuk benar-benar teruji. Mata datuk bercahaya garang dengan urat-urat timbul di dahi dan lengannya. Peluhnya jangan dikira terus menerus membasahi seluruh badan.

Datuk tahu kalau dia kalah. Dia akan rebah ke bumi. Seluruh badannya akan lebam. Jadi datuk bertekad untuk melawan dengan apa cara sekali pun. Masa berlawan itulah datuk terasa cuping telinga sebelah kirinya lembik. Datuk senyum, satu tanda baik. Kemenangan akan berada di pihaknya. Datuk terus mengucapkan begini :

Jong keli jong, tali cemati tebang buluh bunting pagi
melemang………

Belum pun tamat datuk mengucapkan mentera itu. Dia terasa pangkal belikatnya keras macam batu. Datuk tidak boleh bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk terus bertempik dengan menyeru nama guru ilmu batinnya, serentak dengan itu datuk mengambil senapang seraya berkata : “Kalau aku kalah, aku rebah, kalau aku menang, aku berdiri dan kau pulang ke tempat asalmu.”
Datuk pun melepaskan satu tembakan kepada rusa. Tepat tembakan datuk kena pada kening rusa. Rusa yang berjumlah tujuh ekor itu hilang entah ke mana. Kawasan itu jadi sepi. Pemandangan datuk kembali normal yang ujud di depannya sekarang iailah sebatang pokok besar dengan akar-akar bergayutan yang mencecah muka bumi.

Datuk menang dalam pertarungan itu. Sebelum meninggalkan tempat itu, datuk segera mencari anak-anak kayu yang bercabang tujuh yang mengarah ke matahari jatuh. Anak kayu bercabang tujuh itu datuk tikam ke bumi. Cabang yang tujuh ke bawah. Lepas itu datuk memotong cabang tujuh lalu berkata : “Ini kawasan manusia, dan kau telah pulang ke tempat asalmu.”

Datuk pun mencari arah, dia mula masuk tadi. Dia duduk di situ lebih kurang setengah jam. Kemudian baru kawan-kawannya pulang. Semua binatang buruan di masukkan ke dalam bonet kereta Ford Anglia kepunyaan datuk. Dalam perjalanan pulang datuk dan kawan-kawannya singgah di pekan Pengkalan Bharu. Mereka makan dan minum kopi disebuah warung dekat surau. Cara kebetulan pula tuan punya warung itu adalah kenalan datuk yang sama-sama satu datang dari Aceh. Datuk pun menceritakan tentang peristiwa yang dialaminya. Menurut tuan punya warung itu, setiap pemburu yang berjumpa dengan rusa yang berjumlah tujuh, selalunya cukup sulit untuk keluar dari kawasan hutan, kalau keluar pun dia tidak akan sihat atau separuh gila.

“Biasanya bila meraka sampai ke rumah, mereka terus sakit dan meninggal, masa sakit itulah mereka tidak tentu arah, kalau silap dilayan atau tidak berjumpa dengan dukun yang handal penyakit itu akan berjangkit pada si anak, biasanya sakit suka pada anak bongsu.” Terang tuan punya warung itu pada datuk. Datuk terdiam kemudian datuk mengajak tuan punya warung itu ke tepi sungai. Datuk minta tuan punya warung itu memandikannya dengan air yang bercampur dengan daun tujuh jenis, untuk mengelakkan badi rusa itu mengikut datuk balik ke rumah.
Walau bagaimanapun, datuk terhindar dari serangan sebarang penyakit. Malah, kegemarannya untuk memburu bertambah giat dan hebat. Asal terdengar saja padanya ada kawasan terdapat landak, kancil atau kijang, datuk tidak akan melepaskan peluang untuk memburu. Kalau tidak dapat waktu siang, dia akan pergi waktu malam. Memburu adalah suatu kerja yang amat dicintai oleh datuk.

Kalau sudah tiba masanya datuk untuk berburu. Jangan siapa cuba menghalang. Dia tidak peduli. Kalau dilarang juga datuk naik darah. Selalu jadi korban kemarahan datuk ialah nenek saya yang tidak bergitu senang dengan sikap datuk itu. Selain dari berburu datuk cukup rajin berlajar ilmu-ilmu kebatinan. Datuk pernah bertapa di Gua Ulu Licin tujuh hari tujuh malam tanpa makan sebiji nasi, tapi tubuh datuk tidak susut.

Kalau ada dukun ilmu batin mengubat orang cara kebatinan, datuk tidak segan-segan berkawan dan mencuri ilmu dari dukun itu. Anehnya, datuk tidak berhajat untuk menjadi seorang dukun. “Semua yang dicari hanya sekadar untuk pelindung diri,” kata datuk.

Pada suatu pagi ahad, datuk telah menerima kunjungan seorang temannya dari Port Weld, dekat Taiping iaitu Lee Kong Hua, seorang pengusaha kilang kopi. Setelah berbincang agak lama dengan kawannya itu. Datuk pun mengambil keputusan untuk pergi memburu babi yang selalu merosakkan tanamannya di Paya Besar. Kawannya itu bersetuju, mereka terus pergi ke balai polis Bruas memberi tahu tentang hajat mereka untuk memburu babi.

Hasrat datuk dan kawannya itu tidak dihalangi oleh pihak polis, kerana kawasan Paya Besar masih lagi belum telibat dengan kawasan hitam. Dengan kereta Ford Anglia mereka masuk ke dalam kawasan Paya Besar ikut jalan enam kaki. Sampai ke kawasan kebun getah lebih kurang pukul sepuluh pagi.

Kemudian datuk dan kawanya itu menyusul jejak tapak kaki babi menghala ke utara. Lebih kurang dua jam berjalan, babi yang dicari masih tidak ditemui. Mereka masih tidak putus asa. Lee Kong Hua sudah merancangkan bila dapat babi hutan nanti, dia akan membawa babi itu pulang dengan lori kepunyaan seorang kawannya yang sudah bersetuju datang ke kebun getah datuk lebih kurang pukul tiga petang. Dia mengira paling kurang lima ekor babi akan diperolehinya, kerana dia tahu datuk memang cekap menembak.

Jalan punya jalan akhirnya datuk dengan kawannya tersua dengan seekor babi hutan yang besar. Datuk melepas tembakan tapi, babi segera melompat masuk ke dalam belukar kecil yang penuh dengan pokok serunai laut, senduduk, datuk dan kawannya mengelilingi belukar kecil itu, tiba-tiba babi itu keluar dari belukar dan berlari ke arah Ulu Dendang. Mereka terus memburunya. Masa memburu datuk dan kawannya terserempak dengan satu kumpulan babi. Dan babi yang mereka kejar itu berada tidak jauh dari kumpulan tersebut.

“Dia sudah luka,” Datuk memberi tahu kawannya.

“Hati-hati babi hutan luka selalunya ganas.”

“Aku tahu, tunggu di sini, dia mesti ditembak, kalau tidak kita akan diserangnya,” tambah datuk lagi. Kawannya akur pada cakap datuk.

Datuk memintas babi itu dari belakang. Babi itu berpusing mengadap ke datuk. Alangkah gembiranya hati datuk. Dia sudah mengambil tempat yang baik. Dia terus menghalakan muncung senapang ke arah kepala babi hutan itu. Macam selalu sasaran yang dipilih oleh datuk ialah pada kening setiap binatang buruannya. Bila pemetik senapang mahu ditarik babi itu memusingkan tubuhnya lalu masuk ke hutan sebelah kiri. Datuk terus mengikutinya dengan tenang.

Suatu ketika binatang itu berhenti. Datuk sudah pun mencari tempat yang baik untuk melepaskan tembakan. Entah macam mana bagaikan ada suatu kuasa yang menarik tangan datuk menarik pemetik senapang. Dan satu ledakan bergema. Babi terkejut dan terus lari. Gatuk terus juga memburu hingga sampai ke Ulu Sungai Dendang. Di seberang sungai datuk melihat babi hutan itu menyondol-nyondol tanah dengan tenang. Datuk berjalan menyusul tebing sungai ke hulu. Dia menyeberang melalui sebatang pokok merbau tumbang yang merintangi Sungai Dendang.
Jadi berada di kawasan itu, seperti berada di kawasan sendiri fikir datuk. Datuk pun sampai ke seberang. Ternyata datuk tidak boleh mendekati babi itu, kerana di pisahkan oleh satu kolam kecil yang airnya keroh. Kalau datuk melepaskan tembakan dari situ pun boleh, tapi datuk tidak mahu. Dia mahu menembak babi jarak yang dekat sekali. Datuk pun melompat kolam kecil yang seluas kira-kira lima kaki itu. Datuk merangkak dan mencari tempat yang baik.

Babi hutan itu itu terus juga nyondol tanah. Datuk berdiri di seballik pokok ara. Tiba-tiba datuk terasa telinganya berdesing, pandangannya berubah dan jadi berpinar-pinar. Datuk bagaikan berada di satu dunia lain yang sunyi tapi amat menyeramkannya. Dengan pokok-pokok yang beranika ragam dengan akar yang berjuntaian. Datuk mengira semuanya terjadi kerana dia terlalu letih, banyak membuang tenaga kerana belari. Dia mahu merebahkan babi hutan itu dengan segera, kalau babi itu tidak mati, nanti dia mengamuk, semua penoreh getah di Paya Besar akan diserangnya.

Datuk tahu, kalau babi hutan mengamuk cukup buruk padahnya. Datuk melihat babi hutan itu menyondol tanah di pangkal pokok besar. Datu meletakkan buntut senapang di bahu. Dengan hati-hati dia pun menarik pemetik senapang. Datuk jadi gawat sekali. Senapang itu tidak berbunyi dan babi hutan terus menyelinap ke balik pokok besar.

Dari celah pokok besar itu muncul seorang wanita yang sungguh cantik. Dia mahu mendekati datuk dan mengatakan bahawa babi itu berada tidak jauh daripada pohon itu. Dia suruh datuk memburunya dan datuk sudah tahu, dia terperangkap lagi. Wanita di hadapan datuk terus bercakap dengan manjanya. Bau harum yang sangat asing menyusuk lubang hidung datuk. Datuk merasa dirinya seakan-akan melayang-layang.

Datuk segera bertafakur menyatukan mata batin dan seluruh kekuatan pancainderanya. Dia terasa ada sesuatu kuasa yang menyuruh dia kembali ke seberang sungai. Datuk menentang kuasa itu dengan penuh keyakinan. Kali ini datuk terasa dia mula tewas. Dia terdengar suara perempuan cantik itu ketawa. Datuk membuka mata. Perempuan cantik itu sudah tiada lagi di hadapannya.

Datuk berpatah balik.

Bila datuk sampai ke seberang. Suara desing di telinganya sudah hilang. Pandangnya tidak berkunang. Pokok-pokok besar yang dilihat bergayut dengan akar tadi, ternyata hanya pokok-pokok kecil yang tidak ada akar bergayut. Datuk duduk di situ, beberapa saat, kemudian kawannya Lee Kong Hua pun sampai ke tempatnya.

“Kenapa ?” tanya kawan datuk

“Kita balik.”

Mereka pun segera pulang ke kebun getah. Sampai di situ sudah ada lori yang dijanjikan oleh Lee Kong Hua menunggu. Datuk terkejut disamping pemandu dua orang anggota polis seorang berpangkat sarjan dan seorang lagi polis biasa.

Datuk kenal yang berpangkat sarjan itu namanya Ali, lebih dikenali dengan nama Sarjan Ali, orang Paya Ara dan membeli tanah berhampiran dengan rumah datuk.

“Kenapa Tuk,” tanya datuk dengan tenang kepada sarjan itu.

“Kalau saya tahu tadi, awak nak memburu saya tahan, saya tahu awak akan sampai ke Ulu Bendang,” kata Sarjan Ali.

Datuk diam. Kemudian Sarjan Ali terus menyoal datuk, kalau datuk mengalami perkara ganjil semasa berburu. Datuk bercerita apa yang dialaminya tadi.

“Saya dah duga kawasan itu keras ada penunggunya, banyak orang yang berburu ke situ tidak pulang, sebulan dulu Cina dari Setiawan hilang ghaib entah ke mana berburu di situ, bila dikesan cuma jumpa kain dan rangka sahaja yang tinggal,” sambung Sarjan Ali. Mengeremang bulu datuk mendengarnya.

Kemudian datuk dan kawannya ke jalan besar. Terus pulang ke rumah. Penerangan yang diberikan oleh Sarjan Ali itu membuat datuk ingin lagi sekali pergi berburu di daerah itu. Walau bagaimana pun hasrat itu dibatalkan oleh datuk sesudah dia menemui seorang tua di Kampung Cangkat Berangan. Orang itu berkata pada datuk begini : “Jangan pergi, kalau kau menerima cakap perempuan itu yang menyuruh kau mencari babi itu, kau akan hilang entah ke mana.”

“Saya nak jumpa juga.”

“Tambahkan lagi ilmu pendinding diri untuk kau.” Kata orang tua itu. Namanya Tok Aki Simbang, waktu mudanya dia seorang pendekar malah pernah terlibat dalam peperangan Larut. Dia adalah orang kuat Long Jaafar.

Datuk pun belajar lagi beberapa ilmu kebatinan dengan Tok Aki Simbang. Orang tua itu pun mencurahkan ilmunya pada datuk. Dan datuk memang pun berazam untuk menemui perempuan cantik itu.

TIDUR DI RUMAH BUNIAN.

Sebulan kemudian, datuk pergi ke tempat tersebut. Ia berhasrat untuk menemui perempuan cantik. Tepat, pukul tiga petang datuk pun masuk ke dalam hutan. Lebik kurang setengah jam berada di dalam hutan. Datuk diberkas oleh anggota tentera kerana masuk ke dalam kawasan hitam.
Datuk lalau dibawa ke balai polis. Seminggu datuk tidur dalam lokap sementara menanti hari perbicaraan. Bila dihadapkan ke mahkamah datuk didapati bersalah dan dihukum penjara selama seminggu, datuk bersyukur pada tuhan, kerana pihak mahkamah mengambil kira hukuman itu berjalan dari tarikh ia mula ditahan. Pada perbicaraan itu datuk pun dibebaskan.


Datuk mengambil keputusan yang tepat. Ia melupakan tentang perempuan cantik itu. Tapi, perangainya yang suka memburu itu tidak dapat dikikisnya dari hati. Kalau sehari ia tidak pergi memburu, ia terasa hidupnya terlalu sepi. Semua yang dilakukannya serba tidak kena. Akhirnya, datuk teringat tentang hutan kecil di pinggir bukit kota. Menurut orang-orang yang berladang di pinggir bukit itu, ayam hutan cukup banyak terdapat di situ. Pelanduk dan landak juga selalu ditemui oleh mereka. Kerana bukit kota tidak termasuk dalam kawasan hitam, datuk pun mengambil keputusan untuk berburu ke tempat tersebut.

Datuk berusaha mengumpulkan beberapa orang kawannya. Diajak berunding untuk berburu ayam hutan. Semua kawan-kawannya menolak dengan alasan takut tersua dengan komunis atau terjumpa dengan anggota tendera.

“Jangan bodoh, kawasan itu, kawasan putih,” kata datuk pada kawan-kawannya dengan nada suara yang keras sambil meraba-raba misai tebalnya.

“Kami tak mahu pergi,” jawab kawan-kawan datuk.

Kemudian mereka meninggalkan datuk sendirian di anjung rumah. Cerita orang-orang yang berladang di pinggir Bikit Kota terserempak dengan komunis, bukanlah perkar baru. Sudah jadi buah mulut orang ramai. Sudah sampai ke pengetahuan ketua Kampung Kota dan penghulu. Sudah pun dilaporkan kepada pihak polis. Orang-orang keomunis itu memang suka melintas jalan ikut Bukit Kota dari Segari menuju ke Ulu Perak, akhirnya masuk ke dalam kawasan Thailand. Orang-orang yang berladang ki kaki bukit merasa beruntung dan bertuah kerana orang-orang komunis itu tidak menggangu mereka.

Walaupun kawan-kawannya tidak mahu pergi, datuk tetap meneruskan rancangannya. Ia berazam mahu menembak ayam hutan sebanyak yang boleh disamping itu ia berharap juga akan dapat menembak seekor dua napuh atau landak. Tidak ada persiapan tertentu yang diatur oleh datuk untuk pergi memburu kecuali sehari sebelum masuk hutan, ia membakar kemenyan di hujung bendul sambil membasuh mukanya dengan air kelapa muda tiga kali.

Pagi itu, datuk bertolak dari rumah sesudah makan nasi dan minum kopi. Ia menaiki basikal sejauh dua batu untuk sampai ke ka Bukit Kota. Memang, sudah dirancangnya untuk memburu ayam hutan pada sebelah pagi. Ia berpendapat pergi memburu pada sebelah pagi banyak untungnya, boleh meredah hutan hingga matahari jatuh.

Waktu datuk sampai di kakai Bukit Kota matahari sudah pun meninggi. Air embun di hujung daun nampak bersinar-sinar di panah matahari. Datuk tidak terus masuk ke dalam hutan. Ia singgah dulu di sebuah pondok kepunyaan kawannya. Ia bertanya pada kawannya, arah mana terapat bunyi kokok ayam hutan.Kawannya tiu pun menunjukkan arahnya.

“Batalkan saja rancangan kau tu,” ujar kawannya dengan tenang sambil merenung ke arah pokok-pokok hutan. Datuk tersenyum sambil melurut muncung senapangnya dua tiga kali dengan tapak tangan.

“Kenapa ?” Datuk menimang senapangnya. Kawannya terdiam tapi merenung pada tali pinggang datuk yang digayuti peluru.

“Merbahaya.”

“”Kau takut aku ditangkap komunis,” “Kalau tidak kenapa kau tahan aku.”

Datuk meletakkan buntut senapang ke bumi. Ia merenung pada puncak Bukit Kota. Datuk terdengar bunyi kokok ayam hutan atau ayam denak. Mata datuk bercahaya, kokok ayam itu bertalu-talu dan bersahutan -sahutan pula. Datuk sudah tidak boleh bersabar lagi. Ia segera meletakkan senapang atas bahu dan bersedia untuk melangkah masuk ke dalam hutan.
“Jangan terburu-buru nanti buruk padahnya,” kawan datuk yang bertahi lalat di pipi mengingatkan datuk.

“Kau usah banyak cakap, kalau mahu daging ayam hutan, cakap terang-terang, aku boleh beri. Berapa ekor kau mahu.” Balas datuk dan ia pun mengatur langkah menuju lorong ke dalam hutan. Kawannya segera mengejarnya. Tiba-tiba sahaja hati datuk jadi panas dengan perbuatan kawannya itu. “Usah pergi,” tahan kawannya. “Ini urusan aku, kau tunggu di pondok habuan kau ada.”

“Aku tak mahu apa yang kau dapat, tapi kau mesti ingat tempat ini bukan tempat sebarangan, banyak orang yang sesat di dalamnya.”

“Dia orang itu siapa, dan aku siapa, kalau tak cukup syarat di dada aku tak jadi pemburu tau.” Datuk mula membangga diri. Dan datuk terus masuk ke dalam hutan. Kawannya geleng kepala.
Makin jauh datuk meredah hutan, makin kerap didengannya suara kokok ayam jantan. Datuk pun sampai ke satu kawasan agak lapang. Fatuk berhenti di situ, tiba-tiba ia terpandang sekumpulan ayam hutan keluar dari celah-celah pokok menuju ke kawasan tanah lapang, mencakar-cakar tanah di situ, kemudian masuk ke dalam semak kembali. Memang tidak salah lagi inilah tempatnya kata datuk dalam hati.

Ia merangkak perlahan-lahan menuju ke balik batang besar. Ia duduk di situ, matahari beransur terik, tapi sinar matahari itu tidak dapat menjamah batang tubuh datuk kerana ia diteduhi oleh rimbunan pokok hutan. Datuk memasukkan peluru penabur ke dalam laras senapang. Datuk terdengar kokok ayam hutan di atas kepalanya. Datuk donggakkan kepala. Ia nampak seekor ayam jantan dengan bulu yang berkilat bertenggik atas dahan. Ayam itu mengepak-ngepakkan sayapnya. Ekornya yang panjang berkilat bergerak-gerak dimain angin. Datuk melompat, seekor lipan bara sepanjang satu jengkal keluar dari celah daun-daun kering merayap atas kasut. Kerana kuat sangat datuk melompat lipan itu terpelanting ats tanah. Datuk segera memijaknya hingga lipan itu mati. Ayam jantan atas kepala terbang dan hilang. Datuk kecewa. Wa terus memaki lipan yang sudah hancur itu. Datuk membuat rancangan lain. Ia mahu beruhab tempat kerana datuk yakin ayam-ayam itu tidak akan datang ke situ lagi.

Baru lima langkah datuk melangkah ia terdengar kokok ayam. Datuk berpatah balik ke tempat asal. Daduk di situ sambil menghisap rokok daun nipah. Sepuluh minit masa berlalu, ayam hutan tidak juga datang ke tanah lapang. Waktu datuk mencampakkan puntung rokoknya ke pangkal pohon meranti patah cabang, datuk terdengar kokok ayam lagi. Datuk tersenyum. Ia yakin ayam-ayam itu akan datang juga ke situ. Memang benar dugaan datuk. Ranting pokok sebelah kanannya bergerak-gerak. Seekor ayam hinggap di situ, kemudian turun ke tanah lapang. Ayam itu memanggil kawan-kawannya yang lain. Dua tiga ekor ayam betina keluar dari celah-celah pokok lalu menghampiri ayam jantan.

Satu peluang yang baik bagi datuk. Ia melepaskan tembakan. Ayam jantan menggelupur atas tanah. Datuk segera menerkam lalu menyembelihnya. Masa datuk mengikat kaki ayam untuk digantung ke pinggannga, seekor ayam betina meluru padanya berpusing di depan datuk dua tiga kali. Datuk segera menangkapnya. Mata golok yang tajam pun memutuskan urat di tengkok ayam. Bila datuk memeriksa badan ayam itu ternyata pangkal paha ayam itu sudah ditembusi peluru.
Dua ekor ayam hutan tergantung di pinggang datuk. Cukup senang hatinya. Dan datuk bercadnag salah seekor daripada ayam itu akan diberikan pada kawannya yang berladang di kaki bukit. Panas kian terik dan datuk mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Pada sebelah petangnya ia akan datang lagi berburu kesitu.

Datuk mendongak ke langit. Matahari sudah agak condong ke barat. Datuk senyum, ia dapat menduga pukul berapa sekarang. “Masih awal lagi, kalau tak silap baru pukul tiga,” kata datuk dalam hati. Dengan cara mendadak sahaja ia membatalkan rancangannya untuk pulang. Ia mahu memburu lagi, sebelum matahari jatuh di kaki langit, ia bercadang untuk menembak paling kurang lima ekor ayam lagi. Alang-alang berburu biar puas. Esok lusa belum tentu boleh datang lagi ke sini. Siapa tahu entah esok , entah tulat kawasan ini akan dijadikan ‘Black Area’. Sebelum semuanya berlaku biar aku gunakan peluang ini. Itulah yang difikirkan oleh datuk.
Ia menyumbatkan peluru ke dalam laras senapang. Pusing kiri pusing kanan, Akhirnya datuk berjalan ke arah utara mengikuti lorong ayam hutan dengan harapan di hujung lorong itu ia akan bertemu dengan barang yang dicarinya. Baru lima ela berjalan datuk sudah terdengar kokok ayam jantan.

“Kali ini kawan-kawan yang tidak mahu ikut aku memburu tentu rugi,” kata datuk dalam hati sambil mematah dahan pokok hutan. Datuk kian jauh masuk ke dalam hutan. Datuk terdengar bunyi suara orang bercakap. Ia segera menyembunyikan diri di celah rimbun pokok hutan. Suara orang bercakap itu makin lama makin dekat berselang seli dengan bunyi kokok ayam dan suar itek. Sesekali datuk terdengar bunyi orang mengukur kelapa. Puas datuk melihat kiri kanan, ia tidak nampak pun bayang manusia. Datuk mengira itu cuma perasaannya sahaja. Ia segera keluar dari tempat persembunyiaan dan meneruskan perjalanannya. Datuk terasa kepalanya pening dan ia tercium bau wangi di kelilingnya. Ia menduga penunggu Bukit Kota mahu menguji dirinya. Cepat-cepat datuk memebaca sesuatu, tapi bau wangi itu makin kuat datangnya, kepalanya terasa berdenyut-denyut.

“Ganjil,” kata datuk sambil mengaru tanah. Dengan hujung goloknya datuk membuat garisan tiga segi di muka bumi. Tapi hujung garisan itu dipacaknya dengan ranting kayu. Mulut datuk terus membaca sesuatu dengan tenang. Kemudain ia mengembus pancang yang dicacaknya itu dengan mulut. Ketiga-tiga pancang itu rebah ke bumi. Tahulah datuk, bahawa ia tidak berhadapan dengan penunggu Bukit Kota, tapi ia berhadapan dengan makhluk lain yang serba aneh.
Datuk meneruskan perjalannya. Bau wangi tetap menyumbat lubang hidungnya. Daun-daun hutan yang tua berguguran ke bumi. Angin bukit yang bertiup menyegarkan badannya. Rasa pening di kepalanya hilang. Datuk berhadapan dengan pokok-pokok bunga yang beraneka rupa. Datuk tidak peduli pada semuanya itu. Ia menyimpang ke kiri, masuk ke arah hutan kelubi. Di situ juga datuk bersua dengan pokok-pokok bunga.

Di hujung pokok-pokok bunga itu terdapat jalan tanah merah. Datuk terus ikut jalan itu , kerana kokok ayam hutan datangnya dari situ. Datuk berhenti berjalan, bila ia terpandang seorang perempuan tua berdiri di hujung jalan. Bila melihat datuk berhenti, perempuan itu segera menghampirinya.

“Kau sesat,” kata perempuan itu.

“Tidak.”

“Habis macam mana kau ke mari.”

“Saya memburu ayam.”

“Patutlah ayam aku banyak yang hilang.”

“Saya….”

“Sudah mari singgah di rumah aku dulu.”

Datuk terus mengikuti perempuan tua itu ke rumahnya. Kerana perempuan itu mendakwa, bahawa ayam yang tergantung di pinggang datuk itu, adalah ayam kepunyaanya, tanpa soal jawab datuk terus menyerahkan padanya. Ayam itu dijadikan gulai yang kemudiannya dijadikan hidangan makan malam buat datuk. Selain dari perempuan tua itu datuk dapat berkenalan dengan seorang perempuan muda yang tinggal serumah dengan perempuan tersebut.

Datuk diberitahu oleh perempuan tua, bahawa perempuan muda itu adalah anaknya, datuk cuma angguk kepala sahaja, kemudian datuk minta perempuan itu menghantarkannya ke kaki Buki Kota. Permintaan datuk itu tidak dapat dipenuhi oleh perempuan tua tersebut. Ia minta datuk bermalam di rumahnya.

“Baiklah, tapi pagi esok saya mesti balik,” kata datuk.

“Boleh, kami tidak pernah mungkir janji.”

“Hantarkan saya sampai ke kaki bukit.”

“Tentulah boleh, tapi kau mesti berjanji kepada kami.”

“Janji apa ? “

“Jangan menembak binatang ternakan kami.”

Datuk terdiam. Apa haknya perempuan tua ini menahan kesukaannya. Datuk menatap wajah orang tua itu lama-lama. Orang tua itu tersenyum.

“Kau susah dengan syarat itu ?”

“Tak susah, tapi….”

“Memburulah di tempat lain tapi jangan di sini.”

“Baiklah.”

“Kalau kau mungkir janji buruk padahnya.” Orang tua itu mengigatkan datuk dengan nada yang keras. Bulu tengkuk datuk meremang.

Malam itu datuk tidak tidur. Orang tua itu mengajak datuk berborak hingga menjelang subuh. Cara diam-diam datuk jatuh hati pada perempuan muda yang nampak bersopan santun. Cantik orangnya dengan sepasang mata yang besinar. Berkulit putih dan rambut terhurai di atas bahu. Subuh itu datuk terpaksa sembahyang subuh di surau bersama dengan penduduk di kampung tersebut. Orang di situ menerima datuk dengan mesra.

Seperti yang dijanjikan. Orang tua itu bersama anaknya menghantar datuk sehingga ke kaki bukit Kota. Sebagai tanda kenangan anak orang tua itu menghadiahkan kepada datuk sebilah keris pendek.

“Ingat, jadilah manusia yang teguh pada janji, tidak menipu dan menyeksa sesama mahkluk, ” kata orang tua, bila bertemu dengan jalan ia mula masuk ke hutan dulu.

“Kalau mahu ayam minta pada kami, jangan menembaknya atau mencurinya,” sambung perempuan tua itu. Datuk mengangguk kepala sambil menoleh ke kanan. Bila datuk menoleh ke kiri semula, perempuan dan anaknya hilang. Datuk pulang tanpa ayam hutan tapi membawa keris pendek yang terpaksa di usap dengan kemeyan setiap malam Jumaat. Itu pesan perempuan tua yang mesti dipatuhinya, tapi setiap kali keris itu diusap, anak pada perempuan tua itu akan menjelma. Satu perkara yang tidak disenangi oleh datuk.

Lantas datuk mengambil keputusan untuk memulangkan keris itu. Ia pun pergi ke bukit Kota, satu hari satu malam dia berada di situ. Dia tidak juga bertemu rumah perempuan tua itu. Tempat yang ditandanya dulu, ternyata hutan besar yang menakutkan dan penuh dengan pokok-pokok besar dan akar kayu berjuntaian. Dari kawan datuk yang membuat pondok di kaki bukit Kota, datuk mendapat tahu, bahawa kampung yang dimasukinya dulu ialah kampung orang bunian. Dan datuk terjumlah pada orang yang beruntung, kerana orang bunian itu berkenan padanya kerana itu dia dilayan, kalau orang bunian tidak berkenan, sudah pasti datuk sesat di dalam hutan berbulan-bulan.

Walaupun begitu, datuk masih dapat menjalinkan silaturahimnya dengan orang bunian dengan baik. Malah ia telah dikira sebagai salah seorang anggota orang bunian. Datuk mendapat tahu semuanya ini menerusi anak perempuan orang tua melalui keris pendek yang di usapnya pada tiap-tiap malam Jumaat.

“Ingat, buat sesama manusia, jangan tamak dalam hidup, bersihkan diri dari perasaan hasad dan dengki,” kata perempuan tua itu pada datuk pada suatu malam.

“Saya tahu,” jawab datuk. Kemudian perempuan itu menghilangkan diri di tengah-tengah bau kemeyan yang semerbak. Dua minggu kemudian, datuk menghilangkan diri selama seminggu. Seluruh anak buahnya jadi gempar. Masuk minggu yang kedua, datuk pulang dan memberitahu nenek, bahawa dia telah berkahwin dengan orang bunian. Nenek terdiam. Tidak memberikan sebarang komen.


SUMBER : TAMAR JALIS ( BUKU 1 )

No comments:

Post a Comment