Pages

Wednesday 14 February 2018

Nasihat Iman 4

NASIHAT IMAN HABIB ALI ZAENAL ABIDIN AL HAMID.

● Ketawa itu perkara yang harus, tapi bila banyaknya ketawa akan menyebabkan kerasnya Hati.
Banyak ketawa dapat mematikan atau mengeraskan hati.
Sedikitkanlah ketawa dan banyaklah kamu menangis.
Menagis kerana akhirat itu yang dituntut dalam agama kita.
Ada suatu kisah, seorang Sahabat Nabi yang menangis kerana kehilangan untanya.
Maka berita itu diketahui Rasulullah, lalu Nabi bertanya.
Maka dijawab, kerana Untanya hilang.
Lalu Nabi mengatakan, Saya menyangka kamu menangis kerana terlepas takbiratul ihram bersama imam.
Kata sahabat itu, " ya Rasulullah, adakah takbiratul ihram itu lebih baik dari unta aku? "
Jawab Nabi, " ia lebih baik dari apa yang ada di muka bumi ini walaupun dipenuhi dengan unta kamu. "
Rasulullah mendidik para sahabat, supaya tidak merasa selesa dengan kedudukan yang ada, supaya sentiasa mencari maqam yang tinggi disisi Allah.

● Firman Allah  سبحانه و تعالى :
“Adakah kamu wahai orang-orang beriman menyangka untuk kamu masuk syurga tanpa kamu diduga.”

Adakah semudah itu kamu masuk syurga? Sementara Allah  سبحانه و تعالى belum melihat kepada kamu, tidak menduga kepada kamu untuk mengetahui siapakah di antara kamu yang sabar dan siapa di antara kamu yang bermujahadah di jalan Allah  سبحانه و تعالى .

Yakni jangan kamu anggap syurga itu murah. Jangan kamu anggap syurga itu adalah boleh dicapai dengan mudahnya.

Anda bilamana ingin mendapati dunia, ingin mendapati sesuatu kedudukan yang tertinggi. Nak jadi ketua, nak jadi apa saja. Adakah mudah untuk mencapai tingkat yang tinggi itu? Anda kena belajar, anda kena ada latihan, anda kena mesti dihantar kemana dulu untuk berkhidmat. Akhir sekali baru anda boleh sampai kepada tujuan yang anda nak cari itu.

Macam itu juga syurga.....

Bukan dengan bangun tidur terus masuk syurga. Tidak... Syurga tidak lebih murah daripada pencapaian yang diinginkan oleh manusia di dunia ini dari hal-hal keduniaan.

Kita kalau nak kan keduniaan, siang malam kita bertungkus lumus. Nak kan sampai darjat yang tinggi, sampai apa saja dikorbankan. Untuk dunia kita korban segala sesuatu untuk mencapainya. Untuk syurga, kita angkat kaki tidur?

Tidak...

Demi Allah syurga lebih berharga daripada apa saja yang diimpikan orang-orang daripada hal keduniaan. Ini keduniaan semua, yang orang pada berlumba-lumba untuk mencapainya. Yang bersaing satu dengan yang lain, yang tidak sedikit  juga menghentam yang lain untuk tidak disaingi. Mengorbankan segala yang dimiliki, tenaganya, fikirannya, hartanya, waktunya untuk dapat keduniaan. Untuk dunia berkorban segala sesuatu. Untuk akhirat, doa saja tak nak berbuat. Doa baik tapi kena buat.

Adakah kamu menyangka untuk masuk syurga sementara tidak diuji Allah  سبحانه و تعالى . Jangan mimpi untuk masuk syurga tanpa diduga.

Yang nak hidup di dunia selesa lalu minta syurga, kata baginda Rasulullah ﷺ “ini orang jahil”. Orang yang bodoh itu, orang yang ikut hawa nafsunya untuk mencapai hal keduniaan tapi minta pemberian yang besar di sisi Allah  سبحانه و تعالى , nak syurga firdausi, nak istana, nak macam-macam tapi di dunia ikut hawa nafsu. Di manakah letak orang-orang islam menilai syurga yang dicipta Allah  سبحانه و تعالى .

Allah dalam Al Quran meletakkan satu ketetapan kepada manusia bahawasanya jangan sekali-kali kamu menyangka untuk dapat syurga tanpa kamu diduga oleh Allah  سبحانه و تعالى .
MUSTAHIL....

● Jangan kamu berselisih, kalau kamu berselisih kamu akan gagal. Kalau kamu gagal, akan dicabut pertolongan Allah  سبحانه و تعالى . Ini sunnatullah.

Tak akan ada pertolongan dari Allah kepada orang beriman kalau berselisih. Apa pun yang akan dibuat, tak akan ada pertolongan dari Allah سبحانه و تعالى bilamana orang beriman berselisih disebabkan yang namanya beriman bersaudara bukan berselisih.

Sementara perselisihan adalah benih kepada runtuhnya ikatan persaudaraan. Tak akan sampai kepada matlamat yang diinginkan kalau berselisih.

Maka demikian Baginda Rasulullah ﷺ segera bangkit daripada solat zohornya untuk mendamaikan 2 kelompok yang berselisih.

● Jaga pandangan mata, apatah lagi pandangan pada yang bukan mahram kerana bermulanya dari pandangan matalah pelbagai dosa yang boleh terjadi. Pandangan pada yang bukan mahram itu adalah panahan dari Iblis..

● Semakin jauh hubungan suami isteri dengan Allah, maka jarak kamu antara suami isteri juga menjadi jauh.
Semakin dekat hubungan suami isteri itu dengan Allah, maka jarak kamu antara suami isteri juga menjadi semakin dekat.
Peliharalah hubungan kamu dengan Allah, tidak kira kamu sudah bernikah atau masih bujang.

● Setiap dosa yang dilakukan akan menyebabkan wujudnya titik-titik hitam di dalan hati. Apabila hati sudah hitam, maksiat akan terasa manis. Ubatilah dengan bertaubat dan beristigfar.

● Bila seseorang mendapat nikmat, tidak cukup sekadar lafaz الحمد لله. Itu baru rukun pertama daripada syukur. Rukun kedua syukur ialah mempergunakan nikmat menurut tujuan nikmat itu diberi (syukur praktikal).

Masing-masing perlu memerhatikan bagaimana dia telah bersyukur secara lafaz dan praktikal.

Contohnya bila dapat nikmat anak, maka perlulah anak itu dididik dengan betul. Bila dapat nikmat kereta, makan gunakannya untuk pergi ke tempat-tempat yang baik. Nikmat sihat tubuh badan digunakan anggota-anggota badan untuk perkara-perkara yang baik.

● Dunia hanyalah tempat persinggahan sementara. Kita hanya bermusafir di bumi Allah ini. Amat beruntung orang yang mempersiapkan bekal untuk menghadapi hari akhirat. Orang beriman sememangnya penat di dunia ini, tetapi di akhirat mereka akan bersenang-lenang dengan nikmat Allah. Manakala bagi orang yang bersenang-lenang di dunia ini, mereka akan 'penat' pada hari akhirat kelak.

● Didiklah anak-anak mengenali Allah dan Rasul-Nya sejak dari kecil. Jangan biarkan mereka lebih mengenali artis berbanding kenalnya mereka terhadap Rasulullah dan para sahabatnya.

● Mati itu pasti tetapi tidak ramai yang mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Bila tibanya waktu ajal, tidak terlewat walau sesaat.

● Sesuatu yang terucap dalam keadaan emosi/marah, kebiasaannya menyimpang serta menyembunyikan kebenaran. Hendaklah menahan marah walaupun dalam situasi seseorang itu layak dimarahi.

● Bila gelapnya hati, seseorang itu sudah tidak rasa apa-apa bila melakukan dosa. Titik hitam mula memenuhi hatinya sehingga dia susah untuk mendapat hidayah Allah. Jauhilah daripada dosa dan maksiat, sesungguhnya ia menggelapkan hati.

No comments:

Post a Comment