Pages

Tuesday 20 December 2016

MUSAFIR DI SESUATU TEMPAT SELAMA 6 HARI

SOALAN:

Assalamualaikum wbt,

Begini. Saya tinggal di Kuala Lumpur lalu saya bermusafir ke Kedah selama 6 hari. Berapa hari boleh saya jamak dan qasar?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Kami nyatakan di sini beberapa situasi yang menyebabkan keharusan solat musafir terputus :

* Niat untuk bermukim di suatu tempat selama empat hari yang sempurna atau lebih berserta malamnya, tidak termasuk hari ketibaan dan hari bertolak pulang. Jika kita bermusafir ke suatu destinasi dan telah menempah hotel selama enam hari, maka bila tiba di destinasi atau lokasi tersebut tidak boleh lagi mengqasarkan solat, kerana telah berniat untuk bermukim empat hari dan ke atas).

* Jika belum tiba ke tempat destinasi yang hendak dituju, dia telah berniat bahawa ia akan tinggal di situ secara mutlak (iaitu hanya niat untuk bermukim dan tidak akan berpindah ke tempat lain lagi). Musafir yang berniat untuk bermukim secara mutlak iaitu semata-mata terlintas niat untuk bermukim, tanpa ditentukan berapa lama tempoh ingin bermukim, maka hilang statusnya sebagai musafir, bahkan ia menjadi seorang yang mukim dan tidak harus lagi mengqasarkan solatnya.

* Apabila sampai kembali ke tanah air atau tempat permulaan perjalanannya, seperti telah memasuki sempadan qaryah, maka tidak boleh lagi mengqasarkan solat.

* Semata-mata timbul niat untuk kembali ke tempat permulaan perjalanannya setelah bermusafir sejauh dua marhalah atau lebih.

* Kembali semula ke tempat permulaan perjalanan dari musafir yang belum cukup dua marhalah.

Musafir tidak dikira terputus dalam keadaan seperti berikut:

* Berniat untuk tinggal sementara atau bermukim selama 3 hari pada suatu tempat, atau lebih 3 hari tetapi tidak mencukupi empat hari yang sempurna. Contohnya, berniat tinggal 5 hari tetapi termasuk hari datang dan hari balik.

* Berniat untuk bermukim selama empat hari tetapi niat tersebut berlaku ketika di musafir belum berhenti pada suatu tempat, bahkan masih berada di dalam perjalanan.

Justeru, saudara penanya tidak boleh menjamakkan solat atau menqqasarkan solat sepanjang tinggal di Kedah, kecuali ketika di dalam perjalanan datang dan pulang. Ini kerana saudara telah berniat mukim selama 4 hari dan lebih. Justeru, hendaklah saudara melakukan solat tamam dan tidak melakukan jamak sepanjang tempoh tersebut. Pengecualian juga diberikan jika saudara memulakan musafir baru ketika bermukin dengan jarak yang lebih dua marhalah juga, maka dibolehkan mengambil rukhsah dalam tempoh musafir kedua itu.

Wallahua’lam.

Pautan ke laman rasmi PMWP: https://goo.gl/W6PsaZ

No comments:

Post a Comment